Categories
Malaysia Travel Guide

18 Tempat Glamping Menarik Di Malaysia Yang Seronok & Mesra Alam

Mesti ramai tertanya-tanya apa itu glamping ya? Glamping ini adalah satu aktiviti percutian yang unik dan menyeronokkan yang mana konsep ‘glam’ dan ‘camping’ digabungkan. Kebiasaannya di kawasan glamping ini anda boleh terus masuk ke dalam khemah dan tak perlu nak bersusah payah membinanya sendiri. Selain itu, ia juga lengkap dengan kemudahan makanan dan tempat tidur yang selesa, itulah maksud glamping secara ringkasnya.

Namun, untuk setiap kawasan perkhemahan atau glamping, lain kelengkapan penginapannya dan lain juga aktiviti yang ditawarkan untuk anda berseronok sepanjang waktu percutian. Nak tahu apa yang berbeza dan apa yang seronok di tempat glamping menarik di Malaysia ni? Teruskan membaca senarai di bawah.

18. Canopy Tribes

Canopy Tribes - Outdoor Area
Sumber: Canopy Tribes

Kawasan glamping Canopy Tribes terletak hanya 5 minit sahaja dari kawasan air terjun yang terkenal di Kota Tinggi. Kalau dekat dengan kawasan air terjun itu maknanya kawasan sekitar Canopy Tribes mestilah tak kurang hebat flora dan faunanya kan. Dikelilingi oleh hutan hujan tropika, sangat banyak aktiviti yang boleh dibuat kalau berglamping di sini, memang takkan bosan punyalah!

Canopy Tribes - Shared Tent
Sumber: Canopy Tribes

Antara aktiviti yang boleh dibuat adalah meredah hutan, mendaki Gunung Panti, berbasikal, berkayak, memandu ATV di sekitar kawasan hutan dan macam-macam lagi. Dah puas berpeluh pada waktu siang, tiba sahaja waktu malam apa kata kalau ber‘campfire’ atau berbbq bersama keluarga sambil melihat bintang. Anda tak akan bosan walau sesaat pun di Canopy Tribes.

Harga: 2H1M Dewasa RM150, Kanak-kanak RM120 | 3H2M Dewasa RM270, Kanak-kanak RM230

Alamat: 7815, Jln Lombong, Batu 8, Kota Tinggi, Johor 81900


Baca: 13 Hotel Terapung Di Malaysia

17. Kahang Organic Rice Eco Farm

Kahang Organic Rice Eco Farm Resort
Sumber: KOREF

Kahang Organic Rice Eco Farm atau secara ringkasnya KOREF ini adalah sebuah destinasi percutian yang menggabungkan perladangan dan ekopelancongan. Semua yang dihasilkan dari ladang ini adalah secara organik.

Kahang Organic-Rice Eco Farm Resort - Lake View
Sumber: KOREF

Bayangkan pengalaman glamping yang anda dapat nikmati sekiranya ke sini. Persekitaran di sini memang betul-betul kampung, sebaik sahaja anda menjejakkan kaki ke sini, anda dapat melihat ayam berkeliaran di sekitar kawasan, dengan bunyi kokokannya dan pemandangan menghijau sawah padi, cukup indah.

Kahang Organic Rice Eco Farm Resort - Row Boat
Sumber: KOREF

Anda sekeluarga dapat merasai sendiri bagaimana padi ditanam dan dituai. Bukan itu sahaja aktiviti di sini, anda juga boleh bermain flying fox, meredah hutan, berakit, memancing ikan dan banyak lagi. Bila tiba waktu malam pula, anda boleh membawa keluarga ke Sungai Tambang untuk menikmati kecantikan cahaya kunang-kunang yang terbang bebas di kawasan sungai dengan menaiki bot.

Alamat: KM 43, Jalan Kluang – Mersing, 86 700 Kluang, Johor


16. Sekeping Serendah

Sekeping Serendah - Resort Image
Sumber: Sekeping Serendah

Tidak jauh dari Kuala Lumpur iaitu hanya dalam satu jam perjalanan sahaja, anda dapat menikmati penginapan glamping di dalam alam semula jadi dengan penuh ketenangan dan kelengkapan.

Sekeping Serendah - Room Image
Sumber: Sekeping Serendah

Sebuah rumah dengan konsep terbuka, dimana sahaja anda berada di dalam kawasan Sekeping Serendah takkan pernah sunyi dari bunyi hutan hujan tropika yang mengelilingi penginapan ini.

Sekeping Serendah - Pool View
Sumber: Sekeping Serendah

Untuk menikmati pemandangan hutan pun anda tak perlu keluar dari tempat anda bersantai, seperti tarzan moden pula rasanya. Nak beraktiviti, anda boleh terus terjun sahaja ke dalam air kolam yang disediakan ataupun bersantai di kawasan taman di sekitar sambil membaca novel kegemaran anda. Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah melawat Taman Orkid Antarabangsa Serendah dan kawasan kampung orang asli yang terletak berdekatan. Pengalaman penginapan yang cukup unik dan menyeronokkan.

Harga: Dari RM300 Semalaman

Alamat: Chalet, Jalan Ipoh, Kg Orang Asli, Serendah, Kuala Lumpur, KL


15. Caravan Serai

Caravan Serai - Tent Area
Sumber: Caravan Serai

Caravan Serai menawarkan penginapan seperti villa, bilik suite dan khemah safari.  Sekiranya anda inginkan kolam untuk diri anda sendiri dan tak kisah untuk bayar lebih, pilihlah  penginapan di villa.

Caravan Serai Tent - Inside Image
Sumber: Caravan Serai

Tapi kalau ingin betul-betul bersatu dengan alam sekitar, tak lain tak bukan, bemalam di khemah safari adalah pilihan yang tepat.

Caravan Serai - Outside Area
Sumber: Caravan Serai

Khemahnya cukup luas dan lengkap dengan tandasnya sendiri. Kalau dah bercuti tu tak akan nak duduk diam je kan, jangan risau, memang banyak aktiviti yang ditawarkan di sini, dari berenang di kolam renang yang diairi air sungai hinggalah memandu ATV di kawasan hutan yang mencabar.

Harga: Dari RM224 Semalaman

Alamat: Jalan Tras, 28700, Bentong Town, Pahang


14. The Sticks

The Sticks Opera Hut
Sumber: The Sticks

Tendok adalah nama yang diberikan untuk penginapan-penginapan yang ditawarkan di The Sticks Kuala Kubu Baru. Apa maksud ‘tendok’ tu? Tendok adalah gabungan perkataan ‘tent’ dengan pondok. Bila kita fikirkan pondok, mesti sekaligus dengan alam semula jadi sebagai latar belakang kan? Di sinilah anda dapat merasai pengalaman sebenar bermain pondok-pondok bertemankan panorama indah kawasan sekitar.

The Sticks - Room Image
Sumber: The Sticks

Antara penginapan yang ditawarkan di sini adalah rumah buluh yang terletak di bawah lindungan pokok, tendok di tepi sungai yang mana anda boleh melalui laluan khas untuk terus sahaja ke kawasan sungai dan banyak lagi jenis-jenis penginapan yang lain mengikut citarasa anda sekeluarga.

Harga: Dari RM140 Semalaman

Alamat: Lot 213 Jalan KKB – Fraser’s Hill, 44000 Kuala Kubu Baru, Selangor


13. Tanah Aina Fahad

Tanah Aina Fahad - Camp Area
Sumber: Tanah Aina

Tanah Aina Fahad tak pernah sunyi dari bunyi air terjun yang sangat menenangkan jiwa ditambah lagi dengan kawasan sekitarnya yang menghijau dengan flora. Keseronokan bermalam di Tanah Aina Fahad bukan sahaja kerana keindahan kawasan sekitarnya, tapi juga kerana kesempurnaan kawasan resort ini yang direka bentuk dengan indah dan dalam kondisi yang sangat terjaga.

Tanah Aina Fahad - Inside Tent
Sumber: Tanah Aina

Antara penginapan yang terdapat di sini adalah King Tent, Queen Tent dan Normal Tent, namun, khemah King dan Queen kelihatan lebih seperti kabin dan lebih selesa daripada khemah Normal.

Tanah Aina Fahad - Air Terjun
Sumber: Tanah Aina

Berkaitan aktiviti di sini, anda sekeluarga boleh beriadah dengan meredah hutan, bermandi-mandi di kawasan sungai dan banyak lagi yang mampu merapatkan hubungan keluarga. Untuk makan pula, sarapan yang disediakan dinikmati di ruang makan di bawah pokok besar di sini ditemani bunyi air sungai yang mengalir deras dan kicipan burung. Terbukti, Tanah Aina Fahad adalah sebuah lokasi percutian yang cukup sempurna.

Harga: Dari RM465 Semalaman

Alamat: Tanah Aina Fahad – Lot 1053, Mukim Ulu Dong, Raub, Pahang


12. Sailor’s Rest Resort

Sailors Rest Boat
Sumber: Sailor’s Rest Resort

Sailor’s Rest Resort ini terletak di dalam kawasan hutan Banjaran Titiwangsa yang berketinggian 600 meter dari aras laut, bayangkanlah kesegaran udara yang dapat dihirup di sini. Penginapan yang ditawarkan di sini adalah rumah 3 bilik, rumah bot, chalet moden, dan chalet kampung, tepuk dada, tanya selera, suasana yang bagaimana anda inginkan semasa cuti ini.

Sailors Rest - Camping Area
Sumber: Sailor’s Rest Resort

Selain daripada itu, yang menjadikan Sailor’s Rest Resort ini seronok untuk dijadikan kawasan percutian bersama keluaraga adalah keindahan tamannya yang dipenuhi pokok-pokok hijau dan bunga-bungaan yang menyegarkan pandangan. Selain itu, anda boleh makan buah-buahan segar terus daripada pokok manggis dan pokok durian yang terdapat di sini, tapi kena tunggu musim buah dahululah ya.

Harga: Glamping RM90/pax

Alamat:  Lot 8592, Lorong Dato Panglima, Kg. Sg. Lurau, Janda Baik, 28750 Bentong, Pahang


Baca: 12 Resort Menarik Di Melaka

11. Walai Penyu Resort

Walai Penyu Conservation - Campsite
Sumber: Walai Penyu Resort

Walai Penyu Resort ini terletak bersebelahan dengan Taman Pulau Penyu, Pulau Selingan. Penginapan yang ditawarkan di sini adalah khemah-khemah yang memiliki pemandangan air laut yang membiru.

Walai Penyu Conservation - Khemah
Sumber: Walai Penyu Resort

Dengan menjadikan resort ini sebagai tempat untuk menghabiskan hari-hari percutian anda sekeluarga, anda dapat menyelami kehidupan sebenar masyarakat kampung di sini yang banyak menjadikan penangkapan ikan dan pembuatan bot dan jala sebagai sumber pencarian utama.

Walai Penyu Conservation - Anak Penyu
Sumber: Walai Penyu Resort

Satu suasana yang begitu harmoni untuk dilihat. Namun, tarikan utama di Walai Penyu Resort ini adalah peluang untuk anda melihat kawasan pembiakan penyu yang terdapat di pesisir pantai.

Harga: Dari RM486 Semalaman

Alamat: Pulau Libaran, Sandakan


10. Tubotel Langkawi

Tubotel Langkawi - Hotel Image
Sumber: Tubotel

Tubotel Langkawi adalah sebuah penginapan unik yang menawarkan bilik tidur di dalam ruangan berbentuk silinder yang berwarna-warni dan juga kontena.  Kecomelan penginapan di sini boleh membuatkan anda tak henti-henti bergambar sebaik sahaja sampai.

Tubotel Langkawi Rooms
Sumber: Tubotel

Walaupun kecil-kecil sahaja ruangan bilik-bilik di sini, anda boleh menyimpan barangan di bawah katil dan turut memiliki ruang untuk soket. Di samping itu, ia juga lengkap dengan kipas kecil dan pendingin hawa.

Tubotel Langkawi - Chill Area
Sumber: Tubotel

Bukan itu sahaja, anda juga disajikan dengan pemandangan indah kawasan laut atau pantai. Apa lagi yang diinginkan? Ruang santainya juga lengkap dengan kerusi malas  untuk anda berehat menikmati bayu laut. Percutian yang cukup chill, simple dan lengkap.

Harga: Dari RM40 Semalaman

Alamat: Kuala Cenang, 07000 Pantai Cenang, Langkawi


9. Mount Kinabalu Holiday Camp

Mount Kinabalu Holiday Camp - Main Image
Sumber: Sharif Putra

Siapa yang tak teringin mendaki Gunung Kinabalu? Puncak yang tertinggi di Malaysia ini pasti menjadi idaman ramai peminat aktiviti lasak. Kalau dah sampai di puncaknya ini, jangan lupa bermalam di pondok-pondok kayu comel berbentuk segi tiga di Mount Kinabalu Holiday Camp.

Mount Kinabalu - Hut Camp
Sumber: Amzari

Pemandangan dari kawasan kem ini sangat indah dengan gunung-ganang dan langit yang membiru. Yang syoknya lagi, bekalan elektrik dan vending machine pun ada dekat sini. Selain itu, sambil-sambil menikmati pemandangan di sini anda boleh berbbq dengan peralatan bbq yang disediakan. Di samping itu, tidak jauh dari tapak kem percutian ini terletaknya tasik yang terbesar di Sabah. Gunung Kinabalu dah pergi, tasik terbesar Sabah pun dapat singgah. Kan best?

Harga: Dari RM260 Semalaman

Alamat: Mt Kinabalu Holiday Camp Hotel, Mamut, KM 8, Batu 2, Ranau, Sabah


8. Saujana Janda Baik Homestay

Saujana Janda Baik - Campsite Image
Sumber: Saujana Janda Baik

Sekiranya anda tertanya-tanya dimana untuk meluangkan masa percutian dalam alam semula jadi dengan pemandangan bintang berkelipan yang jelas, Saujana Janda Baik Homestay adalah jawapannya. Kedudukannya yang jauh dari kawasan bandar membuatkan langit malamnya dapat memancarkan cahaya jelas daripada bintang-bintang dan bulan. Satu pemandangan yang sangat mempesonakan, jadi, jangan lupa bawa teleskop kalau ke sini.

Saujana Janda Baik - Chalet Image
Sumber: Saujana Janda Baik

Di samping stargazing, anda juga boleh bermandi-manda di sungai yang terletak bersebelahan dengan kawasan chalet di sini. Kalau nak lebih dekat dengan sungai ataupun di kawasan kegemaran anda yang lain, anda boleh menyewa khemah yang disediakan. Selain itu, untuk bersantai, anda boleh naik ke pondok di atas pokok untuk melihat pemandangan sekeliling ataupun bermain permainan papan yang disediakan sambil menikmati minum petang.

Harga: Sewa Khemah RM50

Alamat: Lot 6989, Kampung Janda Baik, 28760 Bentong Pahang


7. Kanopi Villa Janda Baik

Kanopi Janda Baik - Tent Area
Sumber: Kanopi Villa

Kanopi Villa Janda Baik ini terletak di dalam kawasan hutan hujan di kaki bukit Genting Highlands dan hanyalah 45 minit dari Kuala Lumpur. Bagi warga kota, kalau anda mengidamkan suasana tenang dan segar, tak perlu cari jauh-jauh.

Kanopi Janda Baik
Sumber: Kanopi Villa

Khemah-khemah yang didirikan di sini menghidangkan pemandangan indah kawasan gunung-ganang. Tiada perasaan yang lebih indah daripada bangun pagi dengan keindahan sebegini di depan mata. Untuk aktiviti sepanjang penginapan pula, anda boleh menaiki ATV, memancing di kolam yang terletak bersebelahan dengan khemah, bermain permainan papan, berbasikal di trek-trek berdekatan ataupun trekking ke air terjun Bentong. Banyak sekali aktiviti menarik boleh dibuat bersama keluarga.

Kanopi Janda Baik - Lake Area
Sumber: Kanopi Villa

Bukan itu sahaja, Kanopi Villa Janda Baik ini juga terletak berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik yang lain seperti Taman Jepun, Ladang Arnab, Taman Rusa, kereta kabel, kolam air panas, ladang strawberi dan bermacam lagi.

Harga: 2H1M Dewasa RM150, Kanak-kanak RM120 | 3H2M Dewasa RM290, Kanak-kanak RM230

Alamat: Lot 25929 Kg Janda Baik, off Genting Sempah, Bentong, Kampung Janda Baik, Pahang


6. Ant Beach Camp

Ant Beach Camp - Tent Area
Sumber: Ant Beach Camp

Ant Beach Camp adalah tapak perkhemahan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai atau lebih spesifik lagi, dalam 2 minit perjalanan kaki sahaja jaraknya. Sampai sahaja di Ant Beach Camp ini anda boleh menyewa khemah, hammock dan peralatan-peralatan perkhemahan lain untuk didirikan di sini.

Ant Beach Camp - Firepit
Sumber: Ant Beach Camp

Bila lagi nak merasa camping yang realistik macam ini tanpa perlu keluarkan bajet lebih-lebih kan? Di kawasan perkhemahan ini juga turut disediakan sumber air dan tandas, jadi jangan risau tentang perkara-perkara kecil kalau bercadang nak ke sini.

Ant Beach Camp - Beach
Sumber: Ant Beach Camp

Di samping tempat perkhemahan, Ant Beach Camp turut menawarkan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti lawatan ke Pulau Redang dan Pulau Bidong, memanah, bermain bola pantai dan banyak lagi.

Harga: RM10/pax

Alamat: Lot 3294, Jalan Gong Dato-Batu Rakit, Kampung Mengabang Telong. 21030, Kuala Terengganu, Terengganu


5. Mongolian Yurt Sabah

Mongolian Yurt Kundasang Sabah - Hill View
Sumber: My Sutra

Mongolia? Sabah? Apa kaitannya? Untuk pengetahuan anda, Mongolian Yurt ini adalah struktur rumah tradisional masyarakat nomad Mongolia. Yurt yang terdapat di Sabah ini didatangkan dari negara Mongolia sendiri. Berapa lama tradisionalnya rekaan rumah ini? Ia telah wujud sejak 3000 tahun yang lampau, dan mampu melindungi anda yang menginap dari angin yang sejuk di Kundasang.

Mongolian Yurt Kundasang - Camp Site
Sumber: Borneo KK Free

Untuk aktiviti di sini, memerhati bintang adalah salah satu aktiviti yang tidak patut anda lepaskan, pemandangan bintang berkelipan agak jelas sekitar pukul 11  malam dan ke atas.  Untuk waktu siang pula, anda dan keluarga boleh berbbq ataupun melawat ladang sayur-sayuran yang terletak berdekatan. Tak sabar nak tahu bagaimana rasanya tinggal di dalam yurt ini? Apa lagi, jom ke Sabah sekarang!

Harga: Dari RM170 Semalaman

Alamat: Mongolian Yurt Wind Paradise Lodge, Kundasang, Sabah


4. Chengal Hill Resort

Chengal Hill Resort - Arial View
Sumber: Wonderful Travel

Chengal Hill Resort ini terletak di kebun yang berkeluasan 5 ekar dan di kawasan berketinggian 900 meter dari aras laut. Disebabkan ketinggiannya ini, anda dapat menikmati udara yang dingin seperti berada di kawasan berpendingin hawa lebih-lebih lagi pada waktu malam dengan suhu 22 darjah dan ke bawah.

Chengal Hill Resort Chalet
Sumber: Chengal Hill

Jadi jangan lupa bawa pakaian yang sesuai, nanti susah pula nak tidur sebab menggigil kesejukan.

Chengal Hill Resort - Campsite
Sumber: Wonderful Travel

Chengal Hill Resort menyediakan penginapan riverside chalet, dorm style chalet, water chalet, apachi, khemah camping dan glamping. Untuk aktiviti pula, anda boleh mencuba pelbagai aktiviti menarik seperti memanah, ATV, menyewa 4WD untuk meneroka hutan di sekitar, berbasikal dan meredah hutan.

Harga: Glamping RM350/2 pax Semalaman

Alamat: Lot 8537 Kuala Lurah, Kampung Janda Baik, 28750 Pahang, Pahang


3. Tanjung Inn

Tanjung Inn - Glamping Site
Sumber: Aman Pix

Tanjung Inn adalah sebuah penginapan yang terletak berdekatan dengan kawasan pantai, lokasi pun dah cukup best, bagaimana pula dengan tempat menginap?

Tanjung Inn - Tent Huts
Sumber: Aman Pix

Untuk menginap di sini, Tanjung Inn menyediakan khemah-khemah yang agak simple namun dalam masa yang sama cukup selesa. Khemah-khemah ini  terletak berdekatan dengan kolam-kolam air.

Tajung inn - Night Time Glamping Picture
Sumber: Aman Pix

Sekiranya anda sekeluarga menginap di sini, anda boleh meluangkan masa bersantai di taman yang indah di sekitar penginapan dan mengatur aktiviti melihat kunang-kunang di kawasan sungai berdekatan.

Harga: Khemah Dari RM60 Semalaman

Alamat: Jalan Cherating Lama, Kampung Cherating Lama, 26080 Cherating, Pahang


2. Time Capsul Retreat Pahang

Time Capsule Retreat Pahang - Day Time
Sumber: Time Capsul Retreat

Terletak di tengah-tengah Pekan Sungai Lembing, Time Kapsul Retreat Pahang menyediakan anda bilik-bilik tidur kapsul berbentuk silinder yang lengkap dengan katil bersaiz queen. Setiap bilik di sini memberikan anda pemandangan hutan simpan yang menghijau.

Time Capsule Retreat Pahang - Night Time Glamping
Sumber: Time Capsul Retreat

Bergantung kepada bajet yang anda nak keluarkan untuk penginapan, lagi mahal, lagi luas cermin di sekeliling bilik untuk anda menikmati keindahan flora di luar. Bilik-bilik tertentu juga ada yang lengkap dengan jakuzi dan dek luaran untuk bersantai dan menikmati udara segar di luar. Apa salahnya bayar lebih untuk satu pengalaman yang luar biasa sekali-sekali bercuti.

Harga: Dari RM139 Semalaman

Alamat: EB4 Belakang Sek Men, Sungai Lembing 26200


1. Tadom Hills Resorts

Tadom Hill Resort - Glamping Site
Sumber: Tadom Hill Resort

Bagi pencinta aktiviti air dan camping, Tadom Hill adalah destinasi yang tepat untuk disinggahi semasa musim cuti. Di sini tersedia pelbagai jenis penginapan yang cun-cun dan berasaskan kayu buluh yang akan memberikan anda sekeluarga rasa sejuk tak perlu nak berpendingin udara.

Tadom Hill Resort - Diving
Sumber: Tadom Hill

Kan lagi sihat macam ni? Kalau dah puas bersantai di bilik penginapan anda, boleh terus terjun ke dalam tasik dan mandi-mandalah anda sepuas hati.

Tadom Hill Resort Lakeside
Sumber: Tadom Hill

Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah seperti flying fox, memandu ATV, abseiling dan banyak lagi. Sure meriah percutian anda di Tadom Hill Resorts ni!

Harga: Dari RM65 Semalaman

Alamat: Bukit Tadom, Kampung Labohan Dagang, 42700 Banting, Selangor


Nampak cool kan glamping ini sebenarnya? Dengan pelbagai tawaran aktiviti menarik untuk dibuat di sekitar, alam semula jadi yang menenangkan jiwa, jauh pula dari hiruk-pikuk kota, tak ada sebab untuk anda tidak mencuba glamping untuk percutian yang akan datang.

Tambahan lagi sekarang anda sudah pun tahu di mana yang best untuk berglamour camping jadi jangan buang masa lagi, rancang dari sekarang, mesti ada yang menarik hatikan? Kalau ada, tag kawan anda dan share artikel ini supaya mereka pun dapat tahu di mana tempat yang best untuk glamping di Malaysia ni. Jangan lambat ya, tempat-tempat glamping ni cepat sahaja penuh bila tiba musim percutian.

Baca: 27 Hotel Menarik Di Penang

Akhir kata, terima kasih kerana membaca sehingga ke penghujung artikel tempat glamping menarik di Malaysia ini, semoga anda dan orang tersayang dapat menikmati percutian yang penuh dengan keseronokan dan sukar dilupakan dengan aktiviti glamping di sekitar Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *