34 Tempat Menarik Di Jakarta | Destinasi Terbaik Di Ibu Kota Indonesia

January 13, 2018 0 By melakatour

Sebut sahaja Indonesia, pasti ramai yang terbayangkan Jakarta selain daripada Bali. Mana tidaknya, status Jakarta  sebagai ibu negera Indonesia membuatkan ia cukup terkenal di seluruh pelusuk dunia. Namun begitu, pasti ramai juga yang tidak dapat membayangkan Jakarta sebagai destinasi yang menarik untuk dilawati kerana kepadatan populasinya dan kesibukannya sebagai kawasan yang paling urban di Indonesia.

Tapi percayalah, Jakarta bukanlah destinasi yang membosankan, jauh dari kebenaran yang sebenar. Jika anda mengetahui di mana destinasi-destinasi menarik di Jakarta, seminggu sudah pasti tidak mencukupi untuk anda mengharungi kesemuanya. Dengan keluasan 662 km persegi, Jakarta menawarkan seribu satu pengalaman berharga untuk anda sekeluarga diterokai.

Dari ketenangan alam semulajadi hinggalah ke kemeriahan taman tema, di sinilah berpusatnya segala tarikan menakjubkan Indonesia. Nak tahu di mana? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Jakarta ini. Bersedia untuk mengeluarkan belanja flight setelah habis membaca senarai ini ya!

34. Kota Tua Jakarta

Kota Tua Jakarta
Sumber: Novi Indriastuty

Nama lain yang lebih hipster bagi Kota Tua Jakarta adalah Bavaria Lama. Kota kecil yang terletak di dalam Jakarta ini digelar sebagai ‘Ratu dari Timur’ ataupun ‘Permata Asia’ oleh pelayar-pelayar yang datang dari Eropah pada abad ke-16 kerana kekayaan sumber buminya dan lokasinya yang begitu strategik.

Kerana kelebihan-kelebihan yang dimiliki kawasan ini, pihak Belanda telah menubuhkan pusat perdagangan di sini. Atmosfera klasik yang wujud disumbangkan oleh peninggalan Eropah terutamanya pada sentuhan seni bina sekitar kota lama ini menjadikan ia lokasi yang mesti dikunjungi sekiranya anda ke Jakarta.

Selain kawasan sekitarnya yang ibarat muzium realistik banyak juga tarikan lain yang ditawarkan Kota Tua Jakarta yang perlu anda kunjungi seperti Muzium Wayang, Muzium Seni Halus dan Seramik, Muzium Maritim, Muzium Bank Indonesia dan banyak lagi.


Baca: 48 Destinasi Menarik Di Bali

33. Gedung Kesenian Jakarta

Gedung Kesenian Jakarta
Sumber: Gedung Kesenian Jakarta

Lihat sahaja rekabentuk bangunan ini dari luar pasti anda sudah dapat membayangkan keadaan di dalamnya yang turut sama megah. Melangkah masuk ke dalam Gedung Kesenian Jakarta ini akan membawa anda ke era lama atau lebih tepat lagi ke abad ke-19 dengan ruang auditoriumnya yang begitu luas bermahkotakan lampu besar chandelier di silingnya.

Walaupun merupakan sebuah bangunan yang klasik, teknologi bunyi di dalam dewan ini sungguh mengagumkan. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sebarang persembahan yang diadakan di sini sama ada teater, orkestra, sastera atau sebagainya. Celikkan mata anda dengan info-info persembahan di Gedung Kesenian Jakarta untuk sebuah pengalaman yang sukar dilupakan anda sekeluarga.

Alamat: Jalan Gedung Kesenian 1, Jakarta 10710


32. Kepulauan Seribu

Kepulauan Seribu
Sumber: Andrea Tri Wibowo

Kepulauan Seribu bukanlah terdiri daripada seribu pulau, tapi sebenarnya gugusan 108 buah pulau yang berada di dalam lingkungan 45 km ke utara Jakarta.

Namun, ini tidak bermakna kesemua pulau ini sesuai untuk dikunjungi, kerana daripada kesemua pulau ini sebenarnya hanya 36 buah sahaja yang boleh dijejaki, dan daripada 36 buah pulau ini hanya 11 buah pulau sahaja yang telah dibangunkan untuk tujuan pelancongan antaranya adalah Pulau Bidadari, Pulau Ayer, Pulau Kotok, Pulau Putri, Pulau Sepa, Pulau Pantara, Pulau Macan, Pulau Tidung dan Pulau Pramuka. Inginkan suasana yang menyegarkan?

Jadikanlah salah satu daripada pulau-pulau ini sebagai destinasi untuk anda kunjungi bersama yang tersayang, sungguh, minda terasa tenang sebaik menjejaki tanah yang tidak tercemar oleh sebarang kemodenan ini.


31. Kidzania Jakarta

Kidzania Jakarta
Sumber: Kidzania Jakarta

Seperti namanya, Kidzania Jakarta, bagi yang sudah tua, malangnya ini bukanlah destinasi untuk anda, pusat edutainment ini dibuat khas untuk anak-anak yang berusia dari 2 ke 16 tahun.

Jika dilihat di dalam Kidzania Jakarta ini, tidak ubah seperti sebuah kota metropolitan sebenar lengkap dengan jalanraya, pusat membeli-belah, klinik, teater, salon dan sebagainya, namun yang menguruskan semua ini adalah kanak-kanak di Kidzania sendiri yang akan menerima gaji dalam matawang Kidzo sebagai ganjaran.

Dalam mereka berseronok, sebenarnya anak-anak dapat mempelajari banyak perkara di sini seperti kepentingan menjalankan tugas yang diberikan. Bersedialah anda untuk mendengar semua cerita mereka sepanjang berseronok di Kidzania bila pulang nanti. Tak cukup sehari mendengarnya!

Waktu Operasi:

Isnin – Khamis: 9.00am – 4.00pm

Jumaat, Sabtu, Ahad: Sesi 1 (9.00am – 2.00pm) | Sesi 2 (3.00pm – 8.00pm)

Hari Cuti: Berdasarkan Pengumuman di Laman Web

Bayaran Masuk: Bermula Dari Rp. 50.000 – Rp. 250.000

Alamat: Pacific Place L6 – 601 Sudirman Central Business District Jl. Jend Sudirman Kav. 52-53


30. Pulau Tidung

Pulau Tidung
Sumber: Pulau Tidung Cinta

Salah satu daripada ratusan gugusan Kepulauan Seribu adalah Pulau Tidung. Pulau ini terdiri daripada dua iaitu Tidung Besar dan juga Tidung kecil yang disambungkan dengan sebuah jambatan panjang yang digelar Jambatan Cinta.

Sekiranya anda ke sini, jangan lepaskan peluang melawati kedua-duanya lebih-lebih lagi kerana dua buah pulau ini memaparkan keindahan alam semulajadi yang berbeza yang mana Pulau Tidung Besar memiliki pantai yang indah dan Pulau Tidung Kecil pula menyajikan keindahan kawasan paya bakau. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sekitar pulau ini adalah bermain jetski, menaiki banana bout, berkanu dan banyak lagi.

Alamat: Pulau Tidung, Selatan Kepulauan Seribu, Jakarta


29. Ocean Ecopark

Ocean Ecopark Ancol
Sumber: Ancol.com

Sekali pandang kawasan Ocean Ecopark ini kelihatan seperti kawasan berjogging dengan keindahan alam hijau yang biasa, tapi jangan terkejut, semakin mendalam anda terokai kawasan ini, semakin banyak anda temui tarikan yang ditawarkannya. Di dalamnya terdapat tasik dengan beberapa buah bot kecil, aktiviti flying fox, paint ball, aktiviti memanah dan banyak lagi aktiviti menarik yang lain.

Berjalan-jalan sehingga ke hujung taman ini anda akan menemui Faunaland yang menempatkan pelbagai jenis haiwan antaranya keldai, burung dan singa. Selain itu, anak-anak anda pasti seronok kerana dapat mendekati dan memberi makan haiwan-haiwan jinak yang ada di sini seperti arnab, burung kakak tua dan bermacam lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (6.00am – 6.00pm) | Sabtu Ahad (8.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Rp 20.000 – Rp 1.250.000 Mengikut Jenis Aktiviti

Alamat: Jl. Lodan Timur No.7, RW.10, Ancol, Pademangan, Kota Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14430


28. Pulau Bidadari

Pulau Bidadari Jakarta
Sumber: Internship Indonesia

Tidak begitu jauh dari kawasan daratan, untuk menuju ke Pulau Bidadari ini hanya memakan masa 30 minit menggunakan bot laju. Bagi anda yang memiliki perancangan yang padat di Jakarta, jadikanlah ini salah satu pulau untuk dilawati.

Kalau anda nak tahu, dahulunya pulau ini digelar sebagai Pulau Sakit kerana pada sekitar abad ke-17, pihak Belanda telah membina sebuah hospital untuk menempatkan pesakit-pesakit kusta. Namun, setelah berabad berlalu, yang tinggal hanyalah keindahan pulau ini untuk dinikmati dan juga peninggalan benteng-benteng yang pernah didirikan Belanda pada ketika dahulu untuk diamati.

Alamat: Pulau Bidadari, Pulau Untungjawa, Selatan Kepulauan Seribu, Kepulauan Seribu, Jakarta


27. Samudra Dolphin Park

Ancol Dreamland Park
Sumber: Visit Indonesia

Jangan pernah rasa terlalu dewasa untuk terhibur dengan aksi ikan lumba-lumba ya, lihat sahaja persembahan yang diadakan di Samudra Dolphin Park bukan sahaja anak anda yang terhibur, dengan anda sekali terasa seronok semacam melihat kerenah haiwan yang bijak dan melucukan ini.

Anda rasa hanya ikan lumba-lumba sahaja yang ada di sini? Pertunjukan menyeronokkan yang melibatkan burung kakak tua dan singa laut juga ada di sini. Yang bestnya lagi, pihak Samudra Dolphin Park juga akan sering bertanya soalan kuiz dan sesiapa yang dapat menjawab dengan tepat akan mendapat hadiah yang cool! Jadi, duduklah dekat sikit dengan penghibur itu ya, barulah senang nak dapat peluang menjawab.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Sabtu Ahad (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Rp 160.000

Alamat: Jl. Lodan Timur No.7, Daerah Khusus Ibukota Jakarta


26. Taman Suropati

Taman Suropati
Sumber: Novem J. Hosea

Sebuah taman yang sudah wujud agak lama, jadi boleh dikatakan sebagai salah satu taman yang antik di sekitar Jakarta ini, namun persekitaran dan lanskapnya terjaga dengan penuh kesempurnaan. Dikelilingi oleh pokok-pokok yang besar sebagai bumbung meneduhi para pengunjung, taman ini juga meriah dengan kicipan burung merpati yang berterbangan di awan.

Yang menarik lagi, sambil anda bersantai atau berekreasi di sini, anda mungkin dapat melihat persembahan muzik klasik ataupun latihan muzik diadakan di sini. Sebuah taman yang mendamaikan jiwa. Suasana yang paling indah Taman Suropati ini adalah dalam sekitar 4.00pm atau pagi, sekitar pukul 7.00am. Tak percaya? Lihat sendiri di depan mata anda keindahannya pada saat-saat ini bila berpeluang ke Jakarta nanti.

Alamat: Jl. Taman Suropati, Menteng, RT.5/RW.5, Menteng, RT.5/RW.5, Menteng, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10310


25. Bayt Al Quran And Istiqlal Museum TMII

Bayt Al Quran
Sumber: Sittie Hijara

Di tanah berkeluasan 20,013 meter persegi ini terletaknya sebuah muzium islamik 4 tingkat yang diberi nama Bayt Al Quran And Istiqlal Museum. Di sini terkumpulnya karya terkenal yang dihasilkan di nusantara oleh ulama-ulama dan cendekiawan islam dari abad ke -17 hinggalah abad ke-20. Antara yang dapat anda lihat dipamerkan di sini adalah Mushaf Sundawi, Mushaf Istiqlal, Mushaf Wonosobo, Mushaf Malaysia, sistem Al-Quran interaktif, Al-Quran braille antik dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00am – 4.00pm) | Isnin (Tutup)

Alamat: Jalan Raya, TMII Pintu I, RT.14 /RW 3, Pinang Ranti, Makasar, Ceger, Cipayung, Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 13810


24. Ragunan Zoo

Ragunan Zoo
Sumber: Gunawan Kartapranata | CC BY 3.0

Berkeluasan 147 hektar, agak lenguh juga untuk menjejaki seluruh tapak Ragunan Zoo ini dengan berjalan kaki, oleh itu digalakkan anda untuk menyewa basikal yang disediakan di zoo ini. Ditumbuhi lebih daripada 50,000 batang pokok, bayangkanlah kesegaran udara di sini. Menempatkan lebih daripada 2000 ekor haiwan yang terdiri lebih daripada 400 spesies haiwan yang bukan sahaja datang dari Indoneia, malahan juga dari Amerika Utara, tanah Arab dan juga benua Afrika.

Kawasan yang menjadi tarikan utama di sini adalah Kid’s Park, di sini kanak-kanak dapat bermain di taman permainan, mendekati burung kakak tua yang boleh berkata-kata dan juga seekor ikan gergasi arapaima yang didatangkan daripada Amazon. Aktiviti lain yang boleh dilakukan sekitar Ragunan Zoo adalah menonton persembahan haiwan, menunggang kuda, menaiki trem dan banyak lagi yang pastinya menceriakan hari anda sekeluarga.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00am – 4.00pm) | Isnin (Tutup)

Bayaran Masuk: Dewasa Rp. 4.000 | Kanak-kanak Rp. 3.000

Alamat: Jl. Harsono No.1, Ragunan, Ps. Minggu, Kota Jakarta Selatan, Daerah Khusus Ibukota Jakarta


23. Dufan (Dunia Fantasi)

Dufan Jakarta
Sumber: Dufan

Kerana dunia realiti agak membosankan, kewujudan Dufan ataupun Dunia Fantasi amatlah diidamkan, inilah yang dibawa oleh salah satu daripada tarikan di Taman Impian Ancol. Banyak sekali tarikan hebat yang terdapat di dalam Dunia Fantasi ini seperti Ice Age Arctic Adventure, Hello Kitty Adventure, water ride Niagara-Gara, thrill ride Hysteria, Fantasy Lights Magic of Dufan dan banyak lagi.

Kerana di dunia sebenar anda hanya mampu berada di satu tempat dalam satu masa, di Dunia Fantasi ini anda akan dibawa mengelilingi dunia melalui permainan dan tarikan yang ada seperti di Eropah, Amerika, Greece, Indonesia, dan lain-lain lagi. Jangan tak nak pulang ke dunia asal pula dah mula berseronok di sini nanti.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 8.00pm)

Bayaran Masuk:  Rp 325.000

Alamat: Jalan Lodan Timur No. 7, RT.14/RW.10, Pademangan Barat, Pademangan, RW.10, Ancol, Pademangan, Kota Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14420


22. Ancol Dreamland

Ancol Dreamland Jakarta
Sumber: Bles Yee-Defeo

Di sinilah dia ketua kepada segala tarikan menarik yang terlintas di fikiran anda dan yang anda impi-impikan untuk rasai, Ancol Dreamland. Apa yang anda bayangkan? Taman tema yang penuh keseronokan di Dunia Fantasi? Taman hijau yang menyegarkan di Ecopark? Mendekati hidupan di dalam lautan biru di Seaworld Ancol? Dan banyak lagi yang mesti dirasai sekali di dalam hidup ada di sini!

Kaki shopping? Pasar Seni juga ada di sini, bukan main menarik lagi barang-barang yang dipamerkan yang termasuklah lukisan, hasil ukiran, barangan antik dan banyak lagi hasil tangan dan cenderamata yang lain. Di pasar ini juga anda dapat melihat secara langsung penghasilan produk-produk ini dilakukan, ya, bukanlah seperti pasar yang lain, agak ekstravaganza.

Bukan itu sahaja, di Ancol Dreamland ini juga anda boleh menyewa kapal untuk menuju ke Pulau Seribu untuk menjauhkan lagi jejak anda di Jakarta ini bersama keluarga. Hebat tak hebat Ancol Dreamland ini? Segala tarikan menakjubkan berada di dalam satu lokasi.

Alamat: Jalan Lodan Timur No.7, RW.10, Ancol, Pademangan, RW.10, Ancol, Pademangan, Kota Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 1443


21. Telaga Arwana Cibubur

Arwana Cibubur
Sumber: Telaga Arwana Cibubur

Terletak di Jalan Jambore, Telaga Arwana Cibubur bukanlah sebuah telaga, tetapi adalah lokasi di mana anda boleh beraktiviti mengeluarkan peluh dan bersantai bersama keluarga tercinta. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah kolam renang pelbagai kedalaman, flying fox, motor ATV, paintball dan banyak lagi.

Kalau anda rasa aktiviti-aktivitinya kedengaran agak cliche, bagaimana pula dengan aktiviti bercucuk tanam di sawah padi dan akiviti santai memancing? Macam-macam boleh dibuat di sini, tepuk dada, tanya selera, tapi alang-alang dah sampai, cuba sahaja segalanya yang ditawarkan di sini, baru berbaloi, ye tak? Lebih-lebih lagi apabila dibuat bersama keluarga, bertambah dahsyat keseronokannya.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 30.000

Alamat: Jalan Jambore RT05 / RW06, Harjamukti, Pondok Ranggon, Harjamukti, Cimanggis, Kota Depok, Jawa Barat 1645.


20. Museum Fauna Indonesia “Komodo” dan Taman Reptil

Museum Fauna Indonesia Komodo dan Taman Reptilia
Sumber: Muhajir

Kenapa dinamakan muzium dan bukannya zoo ya? Ini kerana di Museum Fauna Indonesia anda dapat melihat haiwan yang telah diawet. Di dalam muzium yang memiliki ruang pameran dengan bentuk reptilia purba, Komodo ini terdapat lebih daripada 150 jenis haiwan yang telah diawet dan kesemua haiwan ini diletakkan di dalam bekas kaca. Dapatlah anda lihat secara terperinci bentuk fizikal haiwan yang telah diawet ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 4.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 10.000

Alamat: Jl. Taman Mini Indonesia Indah, RW.2, Ceger, Cipayung, Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 13820


19. Museum Nasional

Museum Nasional Jakarta
Sumber: Michael Backman

Museum Nasional juga digelar sebagai Ganesh Museum kerana tugu gajah yang besar yang terletak di bahagian hadapan muzium ini. Di dalam muzium ini, anda dapat menemui bukan sedikit tetapi lebih daripada 141 ribu bahan pameran. Pameran di sini terbahagi kepada 7 bahagian iaitu arkeologi, seramik, numismtik-heraldik, prasejarah, sejarah, geografi dan etnografi.

Antara yang dapat dilihat dipamerkan di muzium ini adalah koleksi tekstil bersulam emas yang didatangkan dari Sulawesi dan pameran barangan berharga dari Candi Brahu. Bagi pencinta sejarah nusantara, wajib untuk anda ke muzium yang padat dengan pelbagai artifak ini.

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (8.00am – 4.00pm) | Sabtu Ahad (8.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 10.000

Alamat: Jl. Medan Merdeka Barat No.12, Gambir, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10110


18. Seaworld Ancol

Seaworld-Ancol
Sumber: seaworld ancol

Siapa yang tidak teruja dengan hidupan marin yang penuh warna-warni ini, namun malangnya bukan semua dapat menikmati keterujaan berada di dalam lautan yang kaya dengan hidupan tersendiri. Oleh itu, wujudlah akuarium ataupun dunia lautan seperti di Seaworld Ancol untuk memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk menyaksikan hidupan-hidupan ini dengan lebih dekat.

Terdapat dalam 22 ribu ekor ikan yang terdiri daripada 126 spesies yang ada di sini. Semuanya dapat anda lihat di dalam 28 buah ruang pameran yang terdiri daripada 4 buah kolam terbuka, 9 buah akuarium air tawar dan 19 buah akuarium yang lain dengan tema-tema yang tersendiri. Bagi anda yang ingin mendekati hidupan ini, anda boleh ke Kolam Sentuh yang terdapat di sini. Menarikkan?

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 115.000

Alamat: Jalan Lodan Timur No.7, RW.10, Ancol, Pademangan, Kota Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14430


17. Museum Wayang

Museum Wayang
Sumber: Purnama Alamsyah

Pernah melihat wayang kulit? Tidak disangkal lagi, budaya masyarakat melayu tidak begitu berbeza dengan masyarakat jawa, kerana di sini juga pada zaman dahulukala pernah menjadikan wayang kulit sebagai hiburan. Kalau anda teringin melihat sendiri persembahan wayang kulit ini secara langsung, datang sahaja ke Museum Wayang yang mengadakan persembahannya pada setiap hari Ahad dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.

Sudah puas melihat persembahan peninggalan nenek moyang ini, anda boleh meneruskan langkah di dalam muzium ini untuk melihat pelbagai koleksi patung wayang kulit yang bukan sahaja terdapat di tanah Jawa, malahan dari serata dunia seperti di India, China, Vietnam, Kemboja, malahan juga Eropah. Siapa sangka, di Eropah juga ada wayang kulitkan? Nah, inilah dia petandanya ilmu kita sememangnya ibarat sebutir buih di lautan.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa Rp. 5.000 | Kanak-kanak Rp. 2.000

Alamat: Jl. Pintu Besar Utara No.23, RT.7/RW.7, Pinangsia, Tamansari, Kota Jakarta Barat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 11110


16. Museum Asmat

Musuem Asmat
Sumber: Museum Asmat TMII

Muzium yang terletak di Taman Bunga Keong Emas, Museum Asmat boleh diakses  melalui dua pintu masuk iaitu dari Taman Bunga Keong Emas sendiri ataupun melalui Jambatan Taman Akuarium Air Tawar yang terletak di sini.

Antara tema pameran yang terdapat di sini adalah tema manusia dan persekitaran yang menunjukkan pakaian, aksesori, simbol, wuramon (kenderaan roh nenek moyang) dan lain-lain. Seterusnya adalah tema masyarakat dan budaya yang mempamerkan proses pembuatan sago, senjata, peralatan memburu, peralatan muzik dan banyak lagi.

Tema yang terakhir sekali adalah berkaitan dengan kreativiti dan penghasilan yang menunjukkan perkembangan seni daripada seni tradisional kepada seni kontemporari yang dihasilkan oleh masyarakat Asmat. Pameran yang agak komprehensif berkaitan masyarakat Asmat di tanah Jawa ini.

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (8.00am – 2.00pm) | Ahad (Tutup)

Bayaran Masuk: Rp. 10.000

Alamat: Jl. Raya Taman Mini, Jakarta Timur, DKI Jakarta


15. Pecinan Glodok

Pecian Glodok
Sumber: Pecian Glodok

Di mana sahaja, pasti ada Chinatownnya, di Jakarta, Chinatownnya adalah di Pecinan Glodok. Bagi anda yang inginkan suasana yang berbeza, ingin membuka minda tentang budaya yang berbeza, datang sahaja ke Pecinan Glodok untuk melihat kehidupan etnik Cina, Tionghoa di sini.

Memang terasa cukup real seperti berada di negara China dengan reka bentuk bangunannya, warna-warna merah yang mewarnai sebahagian besar kota ini, gerai-gerai yang dibuka di sana-sini, maklumlah, masyarakat Cina dan bisnes, ibarat isi dan kuku, tak gitu?

Alamat: Old Batavia, Jakarta


14. Taman Bunga Widya Mandala Krida Bakti Pramuka

Taman Bunga Widya Mandala
Sumber: Dondy MacKadarsan

Lanskap taman yang indah yang membuatkan anda terasa seperti berada di dalam filem hindustan dapat anda nikmati di Taman Bunga Widya Mandala Krida Bakti Pramuka, agak terbelit lidah menyebut nama panjang taman ini, nak memudahkan anda mencarinya apabila di Jakarta nanti, sebut sahaja Taman Wiladatika, sengaja mahu menguji kebolehan anda menyebutnya, jangan marah ya.

Di taman indah ini, anda dapat menikmati udara menyegarkan yang disumbangkan oleh tumbuhan yang mekar di sekitar setelah puas mengelilingi kota Jakarta yang sentiasa sibuk. Udara sejuk  dan segar di sini dapat melegakan ruang nafas anda yang mungkin telah dinoda asap hitam. Apabila udara segar sudah dihirup, barulah terasa lebih bertenaga untuk meneruskan penerokaan sekitar Jakarta ini bersama keluarga.

Alamat: Jalan jambore I, Cibubur, Jakarta


13. Setu Babakan

Lake-Babakan-Jakarta
Sumber: buku wisata alam indonesia

Maksud setu adalah tasik di dalam bahasa tempatan di sini. Setu Babakan merupakan tasik buatan manusia yang diwujudkan oleh kerajaan Jakarta sebagai tempat pengumpulan air semulajadi yang didatangkan dari Sungai Ciliwung.

Sekiranya anda sekeluarga ke sini, anda dapat melihat kehidupan masyarakat Betawi yang tinggal di sekitarnya. Banyak persembahan seni Betawi yang turut diadakan seperti tarian Topeng, tarian Cokek, seni Gambus, Ondel-ondel, Gambang Kromong dan macam-macam lagi.

Di samping persembahan ini, sekiranya anda bernasib baik, mungkin anda dapat menyaksikan sendiri majlis-majlis masyarakat Betawi diadakan di sini, seperti majlis perkahwinan dan sunat. Apa gunanya melancong jika tidak mendalami budaya masyarakatnya bukan? Anak-anak juga dapat belajar banyak perkara baru tentang kewujudan budaya yang pelbagai.

Alamat: Jagakarsa, Jakarta


12. Museum Fatahillah

Museum Fatahillah
Sumber: Arka Navarro

Ingin mengetahui lebih mendalam tentang Jakarta? Inilah destinasi yang perlu anda lawati, Museum Fatahillah yang terletak di Kota Tua Jakarta. Melihat dari rekaan bangunannya sahaja, cukup sesuai dijadikan muzium, mana tidaknya, bangunan ini telah dibina sejak tahun 1707 lagi, sudah pelbagai era dilaluinya.

Di dalam muzium ini,  bahan pameran yang terkumpul adalah lebih daripada 23 ribu jenis yang berkaitan dengan sejarah Jakarta. Muzium ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Ruang Fatahillah, Ruang Prasejarah Jakarta, Ruang MH Thamrin, Ruang Tarumanegara, Ruang Sultan Agung dan Ruang Jayakarta.

Namun begitu, bukanlah semua bahan itu tadi dipamerkan, kerana daripada kesemua koleksi yang ada, hanya sekitar 500 bahan sahaja yang dipamerkan dan ianya ditukar dari masa ke masa.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (9.00am – 3.00pm) | Isnin (Tutup)

Bayaran Masuk: Dewasa Rp. 5.000 | Kanak-kanak Rp. 2.000

Alamat: Jalan Taman Fatahillah No.1, Pinangsia, Tamansari, Kota Jakarta Barat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 11110


11. Monumen Pancasila Sakti

Monumen Pancasila Sakti
Sumber: Lakeside Montessori School

Bagi sesiapa yang tidak tahu, Indonesia juga tidak selamat daripada serangan komunis pada suatu ketika dahulu. Dan seperti yang kita tahu, sesiapa yang menentang ideologi ini, tiada langsung belas kasihan diberikan kepada mereka, cukup sadis. Oleh kerana ini, wujudlah perjuangan untuk mempertahankan Indonesia daripada penguasaan komunis kejam yang menyebabkan gugurnya ramai rakyat Indonesia pada ketika itu.

Untuk mengingati pahlawan revolusi yang menentang komunis ini, Monumen Pancasila Sakti telah didirikan. Selain monumen ini, di dalam kawasan yang sama turut terdapat banyak lagi tarikan yang lain seperti Sumur Tua, Muzium Pengkhianatan PKI (Komunis), Rumah Penyeksaan, Pos Komando, kawasan jenazah 7 Pahlawan Revolusi, kenderaan antik peninggalan Pahlawan Revolusi, Dapur Umum dan Muzium Paseban.

Di dalam Muzium Pengkhianatan PKI, anda dapat menyaksikan sebuah filem berdurasi 30 minit yang berkaitan dengan pengkhianatan komunis yang berlaku pada ketika dahulu.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 4.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 2.500

Alamat: Jl. Raya Pd. Gede, RT.1/RW.2, Lubang Buaya, Cipayung, Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 13810


10. Monumen Nasional (Tugu Monas)

Monumen National
Sumber: Ariastiadi

Monumen yang berdiri megah memecah angkasa dengan ketinggian 433 kaki (132 meter) ini, Monumen Nasional ataupun Tugu Monas telah dibina untuk memperingati perjuangan rakyat Indonesia bagi mencapai kemerdekaan daripada pihak Belanda yang telah menjajah begitu lama sekali.

Dibangunkan oleh presiden pertama Indonesia, Presiden Soekarno, mercu tanda ini bermahkotakan tugu berbentuk nyalaan api bersalut emas tulen yang seberat 35 kilogram. Monumen ini bukan sekadar untuk dilihat dari jauh kerana sekiranya anda tidak kisah untuk beratur panjang, ia turut memiliki lif yang dapat membawa anda ke tingkat atas bagi menikmati pemandangan seluas pandangan sekitar Jakarta.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 4.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa Rp. 20.000 | Kanak-kanak Rp. 10.000

Alamat: Gambir, Central Jakarta City, Jakarta


9. Museum Bank Indonesia

Musuem Bank Indonesia
Sumber: Pripico Akas

Bangunan yang indah dan klasik ini, Museum Bank Indonesia menempatkan pameran berkaitan matawang Indonesia yang wujud sejak zaman penjajahan Belanda. Walaupun bangunannya agak klasik, pamerannya cukup maju ke hadapan dengan penggunaan gajet untuk menambahkan lagi keseronokan anda menikmati pameran ini, siapa sangka, pameran matawang pun boleh menjadi semenarik di Museum Bank Indonesia ini. Dah puas melihat pameran ini nanti, jangan lupa untuk singgah ke kafe bank ini yang juga menarik untuk dicuba, kopinya memang kawlah!

Waktu Operasi: Selasa – Khamis (8.30am – 2.30pm) | Jumaat (8.30am – 11.00am) | Sabtu Ahad (9.00am – 4.00pm) | Isnin Hari Cuti Kebangsaan (Tutup)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Jl. Pintu Besar Utara No.3, RT.3/RW.6, Pinangsia, Tamansari, Kota Jakarta Barat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 11110


8. Taman Wisata Alam Angke Kapuk

Taman Wisata Alam Angke Kapuk
Sumber: Jon Koplo

Tidak kiralah seberapa banyak bangunan antik yang telah mengujakan anda dan berapa banyak taman tema yang menghiburkan jiwa anda, alam semulajadi tetap mampu mempesonakan anda dengan kehijauannya yang menenangkan pandangan mata dan udaranya yang menyegarkan rongga nafas. Berkeluasan 9982 hektar, kehijauan kawasan paya bakau di Taman Wisata Alam Angke Kapuk ini adalah seluas pemandangan.

Di samping menikmati keindahan alam, anda juga boleh melibatkan diri dalam aktiviti menanam pokok bakau di sini dengan bayaran Rp. 500 ribu. Bagaimanalah rasanya menjadi salah seorang penyumbang kepada keindahan alam taman ini. Di samping itu, untuk memaksimumkan kepuasan anda menikmati keindahan paya bakau ini, anda boleh menyewa kapal yang disediakan di sini untk menyelusuri kawasan sungainya.

Bayaran: Penanaman 1 Pokok Bakau Rp. 500.000 | Kapal Untuk 6 Orang Rp.300.000

Alamat: Jalan Garden House, RT.8/RW.1, Kamal Muara, Penjaringan, RT.6/RW.2, Kamal Muara, Penjaringan, Kota Jkt Utara, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 14470


7. Taman Mini Indonesia Indah (TMII)

Taman Mini Indonesia Indah
Sumber: indoindians.com

Taman yang berkeluasan 150 hektar ini, Taman Mini Indonesia Indah (TMII) boleh dikatakan sebagai kota budaya Indonesia kerana di sini terletaknya semua pameran budaya yang wujud di negara ini. Ianya wujud di dalam bentuk infrastruktur, persembahan, malahan juga muzium.

Rasanya sehari pun tidak cukup anda melihat kesemuanya yang terdapat di sini. Bukan itu sahaja, di tengah-tengah taman mini ini juga terdapat miniatur kepulauan Indonesia. Sebuah destinasi yang sangat menarik dan mesti dilawati sekiranya berada di Jakarta.

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 9.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 20.000

Alamat: Raya Taman Mini, Jakarta Timur, DKI Jakarta


6. Taman Menteng

Taman Menteng
Sumber: Rico

Sekiranya anda ingin berekreasi bersama keluarga, lawatilah taman 30 hektar ini, Taman Menteng yang lengkap dengan pelbagai fasiliti untuk anda sekeluarga beraktiviti, dan ini termasuklah taman permainan untuk kanak-kanak, gelanggang bola keranjang, futsal dan banyak lagi.

Jika anda ingin sekadar menghirup udara segar, taman ini boleh dikatakan agak menarik untuk dijadikan pilihan, nak tahu kenapa? Kerana taman ini turut menjadi pilihan ramai mereka yang berjiwa seni mempamerkan kebolehan mereka seperti menyanyi, bermain muzik dan lain-lain. Sebuah taman yang cukup menghiburkan jiwa.

Bayaran Masuk: Rp. 2000

Alamat: Jl. HOS. Cokroaminoto, Jakarta 10310


5. Freshwater World

Dunia Air Tawar
Sumber: Apple Ibay Ting

Freshwater World  ataupun  Taman Akuarium Air Tawar ini terletak di bahagian selatan Taman Mini Indonesia. Apa yang menariknya di  Freshwater World  ini? Di dalamnya terdapat dalam 126 spesies hidupan marin dengan 6000 ekor kesemuanya. Hidupan-hidupan air tawar ini bukan sahaja dari Indonesia malahan dari pelbgai pelusuk dunia. Sebuah akuarium yang agak padu!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 15.000

Alamat: Jl. Raya TMII, Ceger, Cipayung, Ceger, Cipayung, Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 13550


4. Centex (CX) Waterpark

Centex (CX) Waterpark
Sumber: CX Waterpark Resto

Taman tema air, Centex (CX) Waterpark ini tidaklah semegah Sunway Lagoon, namun pasti dapat memuaskan gian mandi-manda anda bersama keluarga. Di sini terdapat kolam renang yang datang dalam pelbagai ukuran mengikut kesesuaian umur, gelongsor air dengan pelbagai ketinggian, giant bucket dan kolam arus. Bermandi-mandalah anda sekeluarga sepuas hati di waterpark ini sebelum menerokai destinasi lain di Jakarta ya.

Waktu Operasi: 7.00am – 9.00pm

Bayaran Masuk:

Isnin – Jumaat: Rp. 25.000

Sabtu Ahad: Rp. 35.000

Hari Cuti Kebangsaan: Rp. 40.000

Alamat: Jl. Raya Centex no. 88, Ciracas, Jakarta Timur – Jakarta


3. Taman Budaya Tionghoa

Taman Budaya Tionghoa
Sumber: Fikri Ramadhan

Sekiranya sewaktu anda berjalan-jalan di sekitar Jakarta, anda ternampak sebuah kompeks taman yang di pintu masuknya diapit oleh haiwan seperti singa kemungkinan besar anda telah melewati Taman Budaya Tionghoa.

Di dalamnya anda dapat melihat pelbagai artifak yang menekankan falsafah air dan api, yin dan yang serta laut dan darat yang terkenal dalam kalangan masyarakat Tionghoa. Tarikan lain yang terdapat di dalam kompleks taman ini adalah Taman 12 Shio yang menempatkan 12 buah patung yang penting dalam kepercayaan Tionghoa, Jambatan Cinta, Museum Hakka, Museum Cheng dan taman permainan kanak-kanak. Boleh dikatakan hampir kesemua pelosok taman ini sangat fotogenik. Oleh itu, sebelum ke sini, sempurnakan dulu peralatan fotografi anda!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 10.000

Alamat: Ceger, Cipayung, East Jakarta City, Jakarta 13820


2. Anjungan Sulawesi Selatan

Anjungan Sulawesi Selatan
Sumber: Ze Wandering Frogs

Unik, sekali pandang pasti sudah membeliakkan biji mata anda. Terletak di Taman Mini Indonesia Indah, Anjungan Sulawesi Selatan mempamerkan seni bina rumah tradisional masyarakat Sulawesi Selatan.

Di sini juga ditempatkan pameran adat suku Bugis yang termasuklah senjata yang digunakan meraka untuk memburu pada suatu ketika dahulu. Jika anda bernasib baik, mungkin juga anda dapat melihat pertunjukan upacara adat masyarakat ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Rp. 10.000

Alamat: Taman Mini Indonesia Indah ( TMII ), Jalan Taman Mini Indonesia, RW.2, Ceger, Cipayung, Kota Jakarta Timur, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 13820


1. Masjid Istiqlal

Masjid Istiqlal
Sumber: Hazrat Allama Pir

Dalam satu-satu negara, pasti ada masjid terbesarnya sendirikan? Kalau di Indonesia inilah masjidnya, Masjid Istiqlal, masjid yang terbesar bukan sahaja di Indonesia, malahan di Asia Tenggara.

Mula didirikan pada tahun 1961, masjid ini menggabungkan seni bina dari Eropah, Timur Tengah dan Indonesia sendiri. Sebagai masjid terbesar, ia boleh menampung lebih daripada 200 ribu orang jemaah dalam satu-satu masa. Apa lagi? Jangan lupa untuk singgah dan bersolat di masjid terbesar Asia Tenggara ini!

Alamat: Jl. Taman Wijaya Kusuma, Ps. Baru, Sawah Besar, Kota Jakarta Pusat, Daerah Khusus Ibukota Jakarta 10710


Kekayaan budaya dan tempat bersejarah di Indonesia cukup terpancar di banyak destinasi tarikan di Jakarta, mana tidaknya, sebagai ibu negara Indonesia, sudah semestinya tarikan utama negara yang besar ini berlokasi di ibu negaranya.

Dari taman dan pulau-pulau yang indah, muzium yang menceritakan pelbagai era yang pernah dilalui Indonesia, pameran dan persembahan kepelbagaian budaya yang tidak terkira banyaknya, peninggalan seni bina yang telah wujud berabad lamanya dan bermacam lagi, semuanya terletak di dalam Jakarta.

Sudah semestinya Jakarta patut menjadi salah satu destinasi yang mesti anda lawati sekiranya berpeluang ke Indonesia. Namun begitu, sebelum anda sekeluarga terbang beramai-ramai ke sana, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk menempah hotel dengan harga yang akan membuatkan anda tersenyum.

Sekian, diharapkan senarai tempat menarik di Jakarta ini dapat membantu anda sekeluarga membuat perancangan percutian. Selamat bercuti ke Jakarta!

Baca: 35 Destinasi Menarik Di Bandung