MALAYSIA WORLD HERITAGE TRAVEL SITE Rotating Header Image

February 10th, 2018:

38 Tempat Menarik Di Lombok | Percutian Pulau Penuh Keajaiban

Inginkan percutian di dalam sebuah dunia yang jauh dari keriuhan kota dan sentuhan pembangunan? Tidak perlu dibayangkan tempat-tempat yang jauh kerana semua ini dapat anda nikmati di sebuah pulau yang terletak di Indonesia iaitu Lombok. Reputasi Lombok yang bukanlah seperti pulau primadona, Bali, tidak bermakna Lombok tidak menarik untuk dilawati, malahan sebenarnya cukup merugikan jika tidak diterokai.

Destinasi-destinasi mempesonakan di Lombok begitu  banyak dan terpelihara dengan sempurna sekali. Pulau yang terkenal dengan gunung yang berdiri megah, Gunung Rinjani ini memiliki tarikan-tarikan unik yang tidak dapat ditemui di tempat lain antaranya adalah pantai berwarna merah jambu, pantai berpermukaan seperti di planet krypton dan banyak lagi yang sukar dipercayai pandangan mata.

Ingin tahu dengan lebih terperinci berkenaan lokasi-lokasi menakjubkan di pulau indah ini? Teruskan membaca senarai 39 tempat menarik di Lombok yang kami senaraikan ini.

38. Lingkoq Datu, Pantai Penyisok

Lingkoq Datu Pantai Penyisok
Sumber: Didik Hariadi Mahsyar

Keindahan lautan Hindi yang terbentang luas dapat dinikmati dengan sepuasnya dari tebing karang yang berwarna keemasan Lingkoq Datu, Pantai Penyisok ini.

Sebelum sampai ke ‘benua’ yang unik dari muka bumi lain di sekitar Lombok ini anda perlu melalui ladang jagung yang terhampar luas. Setibanya anda di sini nanti, anda dapat menarik nafas lega menikmati keindahan alam tanpa gangguan pelancong lain.

Alamat: Desa Sekaroh, Kecamatan Jerowaru, Kabupaten Lombok Timur


Baca: 48 Destinasi Terbaik Di Bali

37. Gili Kedis

Gili Kedis
Sumber: Backpacken in Azië

Siapa tidak mengidamkan untuk memiliki sebuah pulau sendiri, bersantai di bawah cahaya mentari dengan ditemani bunyi gulungan ombak tanpa sebarang gangguan. Anda dapat merasakan kemewahan ini sekiranya anda meluangkan masa untuk ke pulau kecil, Gili Kedis.

Pulau yang kenit dan tidak berpenghuni ini adalah sebuah pulau yang hanya mempunyai beberapa batang pokok untuk dijadikan tempat berteduh dan untuk mengelilingi sekitar pulau ini hanyalah memakan masa sekitar 10 minit.

Walaupun kecil, keindahan pulau ini tiada bandingnya, berpasir putih, berbatu karang unik dan kejernihan air yang memperlihatkan ikan-ikan berwarna-warni mengujakan sesiapa sahaja yang melawat pulau ini.

Alamat: Sekotong Tengah, Kabupaten Lombok Barat


36. Bukit Pergasingan

Bukit Pergasingan Lombok
Sumber: Ryand Arnold

Terletak pada ketinggian 1670 meter dari aras laut, Bukit Perngasingan adalah sebuah tarikan indah yang perlu anda terokai di Lombok. Mengambil masa sekitar dua setengah jam untuk sampai ke puncaknya, penat lelah pendakian anda ke puncak ini hilang sebaik melihat pemandangan petak-petak sawah dan kebun yang berwarna-warni terbentang ibarat tikar yang dihasilkan dengan penuh ketelitian.

Di sekitarnya pula dihiasi dengan kemegahan Gunung Rinjani, gunung berapi kedua yang tertinggi di Indonesia.

Alamat: Sembalun Lawang, Sembalun


35. Air Terjun Mangku Sakti

Air Terjun Mangku Sakti
Sumber: Kostuba Travel

Apa yang menjadikan Air Terjun Mangku Sakti begitu istimewa kalau dibezakan dengan kawasan air terjun yang lain di Lombok? Jika anda menjejakkan kaki ke sini, anda akan dapat melihat pembentukan batuan yang indah, batuan-batuan ini terbentuk hasil aliran air yang tidak putus-putus dari zaman ke zaman.

Jika diamati air terjun ini, anda dapat melihat kondisi airnya yang kelihatan agak keruh. Apa? Tak jadi nak datang? Jangan berprasangka dengan air keruhnya, kerana sebenarnya air keruh ini terjadi disebabkan kandungan belerang yang terdapat di dalamnya yang dikatakan berkesan menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.

Bayaran: Rp5.000

Alamat: Dusun Sajang, Desa Sajang, Kecamatan Sembalun, Lombok Timur


34. Pantai Semeti

Pantai Semeti
Sumber: @ariamphibia

Macam pernah dilihat Pantai Semeti ini, tapi di mana ya? Oh! Mungkin inilah planet krypton di dalam filem Superman? Batuan berlapis-lapis yang menghiasi sekitar pantai ini menjadikan ia turut digelar Pantai Krypton.

Cukup indah dan epik untuk gambar-gambar di instagram anda. Apa-apa pun berhati-hati melewati permukaan pantai yang berliku ini. Pastikan anda memakai kasut yang sesuai demi keselamatan anda sewaktu bergerak-gerak di atas batuan ini, kalau tercedera, tidak dapatlah anda berlagak seperti Superman.

Bayaran: Rp5.000

Alamat: Desa Mekar Sari, Kecamatan Praya Barat, Lombok Tengah


33. Air Terjun Benang Kelambu

Air Terjun Benang Kelambu
Sumber: Robby Js Setia

Adakah ini dunia sebenar ataupun hanyalah wallpaper daripada laptop Windows anda? Keindahan seperti di dalam lukisan, inilah Air Terjun Benang Kelambu. Air terjun yang jatuh dari tebing tinggi ini kelihatan persis kelambu yang berwarna putih.

Air terjun ini bukan terus mengalir ke bawah seperti air terjun yang lain kerana ia melalui tumbuhan yang tumbuh lebat di sekitar tebing. Sebuah pemandangan yang mengasyikkan.

Perjalanan untuk menuju ke kawasan air terjun ini juga tidak kurang indahnya dengan sawah padi yang terhampar di kiri dan kanan serta ladang kopi. Untuk menaikkan lagi semangat anda ke kawasan air terjun ini, dikatakan sesiapa yang berendam badan di dalam air terjun ini akan menjadi awet muda. Apa lagi? Mai sini!

Bayaran: Rp5.000

Alamat: Desa Aik Bukaq, Kecamatan Batukliang Utara, Lombok Tengah


32. Gunung Tunak

Gunung Tunak
Sumber: Lombok Friendly

Tiada yang lebih mengujakan daripada melihat keindahan alam semula jadi yang seluas pandangan. Salah sebuah lokasi yang menakjubkan untuk anda menyegarkan mata  dengan pemandangan sebegini adalah di Gunung Tunak. Dari gunung ini anda dapat melihat laut biru yang terbentang luas serta tebing-tebing karang yang terbentuk di sekitarnya.

Tak puas dengan pemandangan dari kawasan bukit ini anda juga boleh menikmati pemandangan dari sebuah menara yang kelihatan seperti menara elektrik yang terbina di sini. Namun begitu, pastikan jiwa anda kental untuk memanjat menuju ke dek pemerhatiannya kerana tiupan bayu dari laut agak kencang.

Bayaran: Rp10.000

Alamat: Desa Merta, Kecamatan Pujut, Lombok Tengah


31. Pulau Gili (Gili Trawangan, Gili Meno Gili Air)

Gili Islands
Sumber: Things to do in Bali

Pulau Gili merupakan gugusan 3 buah pulau indah yang terletak di sebelah barat laut Lombok. 3 buah pulau ini adalah Gili Trawangan, Gili Meno  dan Gili Air. Antara 3 buah pulau ini, Gili Trawangan adalah pulau yang paling membangun dan popular dalam kalangan pelancong.

Pulau yang akan menyambut anda dengan kedamaian dan lebih privasi pula adalah Gili Meno yang merupakan sebuah pulau yang terkecil dengan pantai berpasir putih. Gili Meno menempatkan banyak lokasi menarik untuk aktiviti menyelam dan juga sebuah taman burung dengan lebih daripada 200 spesies burung.

Pulau yang nyaman tanpa gangguan ramai pelancong, pantai yang menakjubkan dan taman dengan ratusan spesies burung? Boleh bergetar jiwa melancong anda.


30. Rinjani Lodge

Rinjani Lodge
Sumber: The Gili Guide

Siapa tidak excited bila terdengar sahaja kolam infiniti? Kolam yang menyajikan pemandangan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata ini terdapat di penginapan Rinjani Lodge. Dari kolam renang infiniti ini anda dapat menikmati pemandangan gunung dan hamparan hutan yang seluas pemandangan.

Tarikan utama Rinjani Lodge bukan sahaja pada kolamnya yang mampu membuatkan anda terasa seperti di dunia kayangan, malahan kerana lokasinya juga yang agak strategik, terletak berdekatan dengan banyak lagi tarikan lain di Lombok seperti Air Terjun Sendang Gile dan Air Terjun Tiu Kelep yang masing-masing mampu memukau jiwa yang sudah sedia terawang-awang hasil panahan pemandangan dari kolam infiniti tadi.

Jangan pula anda pengsan melihat keindahan alam semula jadi yang bertubi-tubi di Lombok ini, teguhkan jiwa untuk keindahan yang seterusnya.

Harga: Dari Rp826.446 Semalaman

Alamat: Jalan Periwisata Senaru Bayan, Senaru, Lombok Utara


29. Gua Bangkang

Gua Bangkang
Sumber: @agusm123

Teringin merasa sendiri bagaimana perasaannya menjadi seorang ahli arkeologi? Kalau begitu masuklah ke Gua Bangkang, gua yang sudah berusia ratusan tahun ini kelihatan serupa seperti di dalam filem Hollywood, Indiana Jones, jiwa yang tidak adventurous pun tiba-tiba dapat merasakan sensasinya menjadi seorang pengembara.

Nama lain bagi Gua Bangkang adalah Goa Gale-Gale, di sini, anda dapat melihat ribuan ekor kelawar mengepakkan sayap apabila matahari mula terbenam. Jangan lupa untuk membawa topi atau payung melainkan anda ingin menyentuh tahi kelawar, ‘adventurous’lah katakan.

Alamat: Dusun Bangkang, Desa Kuta, Kecamatan Pujut, Lombok Tengah


28. Pantai Tebing

Pantai Tebing
@adityaalazis

Kalau Pantai Semeti membawa anda ke Planet Krypton, Pantai Tebing pula membawa anda ke Grand Canyon di Amerika. Wow! Di Lombok sahaja anda sudah merasa pengalaman berada di planet dan negara lain.

Pembentukan tebing yang unik di tepi pantai ini adalah kerana letusan Gunung Rinjani Tua pada tahun 1257. Datanglah ke sini untuk menyaksikan sendiri keunikan  yang terbentuk hasil daripada fenomena alam yang dahsyat puluhan ribu tahun yang lalu.

Alamat: Dusun Luk, Desa Sambiq Bangkol, Kecamatan Gangga, Lombok Utara


27. Batu Payung, Tanjung Aan

Batu Payung, Tanjung Aan
Sumber: Sharini Mat Saat

Kalau di kotaraya kemegahannya adalah daripada bangunan-bangunan konkrit pencakar langit, namun di Bukit Payung, yang mencakar langit adalah tebing-tebing tinggi yang masing-masing tercipta dengan identiti yang tersendiri.

Tidak perlu ke galeri seni untuk melihat ukiran-ukiran yang dihasilkan secara profesional kerana ini semua dapat dinikmati di dalam alam semula jadi ciptaan tuhan.

Alamat: Jalan Kuta Lombok, Lombok Tengah


26. Pantai Tanjung Bloam

Pantai Tanjung Bloam
Sumber: Fitri Alo Hasanah

Terletak di selatan Lombok, Pantai Tanjung Bloam agak tenang tanpa keriuhan pelancong. Pantai berpasir putih dengan dua buah tebing batu karang di kiri dan kanan menghasilkan sebuah panorama yang cukup memukau jiwa.

Bukan sahaja kerana keindahan pemandangannya, Pantai Tanjung Bloam juga adalah sebuah destinasi yang sesuai bagi anda yang tidak gentar meluncur air ombak yang ganas.

Walaupun tidak sesuai untuk bermandi-manda, aktiviti lain yang dapat dilakukan di sini adalah melihat penyu-penyu bertelur di pesisir pantai kerana Pantai Tanjung Bloam juga sebenarnya adalah salah sebuah kawasan konservasi penyu di Lombok.

Alamat: Dusun Tangsi, Desa Temeak, Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur


25. Pantai Selong Belanak

Pantai Selong Belanak
Sumber: @biyaso

Panorama yang mengasyikkan dapat anda nikmati sewaktu dalam perjalanan ke Pantai Selong Belanak yang mana di kiri dan kanan anda terhampar bukit-bukau yang penuh kehijauan seperti di dalam certia Teletubbies.

Pemandangan yang sungguh menyegarkan fikiran ini dapat dilihat terutamanya dari bulan Januari ke Mei ketika mana tumbuhan di bukit-bukit ini tumbuh dengan lebatnya.

Setibanya anda di Pantai Selong Belanak pula, anda akan terlihat pasir putih dan lautan dengan ombak yang bergulung-gulung tanpa henti. Tidak jauh dari pantai ini juga terdapat kawasan pertanian yang suasananya dihidupkan dengan petani yang sibuk menggerakkan kerbau.

Alamat: Desa Selong Belanak, Kecamatan Praya Barat, Lombok Tengah


24. Sumber Air Panas Aik Kalak

Aik Kalak Kolam Air Panas
Sumber: DHM Pictures

Air Panas Aik Kalak ini terletak di lokasi yang agak mencabar juga untuk dicapai iaitu berdekatan kawasan perkhemahan Gunung Rinjani. Walaupun anda perlu menempuhi cabaran sebelum sampai ke sini, khasiat yang dapat diberikan air panas ini sudah cukup untuk mengubati lelah anda.

Air panas di sini dikatakan dapat menyembuhkan seribu satu penyakit termasuklah mempertajamkan pandangan mata. Betul atau tidak, apa kata anda rasainya sendiri.

Alamat: Jl. Pariwisata Senaru – Bayan, Senaru, Lombok 83354


23. Gunung Rinjani

Gunung Rinjani
Sumber: 12fly.com.my

Apa gunanya ke Lombok jika tidak mendekati dan cuba menakluki gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia ini. Walaupun masih tidak henti mengeluarkan asapnya, panorama indah yang dihidangkan dari puncak Gunung Rinjani ini membuatkan ia sanggup didaki. Dengan ketinggian 3726 meter dari aras laut, masa yang diambil untuk sampai ke puncak bukanlah satu atau dua jam tetapi sekitar 4 ke 5 hari.

Oleh itu, sekiranya anda berniat untuk mendaki gunung ini, mantapkan dahulu stamina anda ya. Setelah penat mendaki dari kaki gunung untuk ke puncak, anda akan disambut dengan pemandangan yang sukar dilupakan. Alang-alang sudah sampai ke sini, bermalamlah di puncaknya untuk menikmati keindahan angkasa yang dipenuhi bintang bergemerlapan.

Alamat: Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, Jl. Arya Banjar Getas, Lingkar Selatan, Mataram, Lombok Barat


22. Tetebatu

Tetebatu Lombok
Sumber: Tetebatu Village East Lombok

Lombok bukan sahaja memiliki pulau dan pantai yang indah, malahan juga kawasan sawah padinya yang menakjubkan setanding Bali dan Ubud. Yang mempercantikkan lagi pemandangan sawah padi di Tetebatu ini adalah kerana ianya berlatarbelakangkan Gunung Rinjani.

Selain sawah padi, penduduk di sini turut mengusahakan ladang tembakau, koko, cili, kopi, vanilla dan banyak lagi. Lawatan ke Tetebatu membolehkan anda mendapatkan kesemua penghasilan ini secara segar.  Selain itu, di Tetebatu jugalah anda dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat Sasak Lombok.  Sebuah perjalanan yang cukup membuka minda.

Alamat: Kecamatan Sikur, Kabupaten Lombok Timur


21. Pink Beach (Pantai Tangsi)

Pink Beach Lombok
Sumber: Beautiful Destinations Of The World

Bagi pencinta warna pink atau Barbie, pasti teruja melihat keindahan Pink Beach ataupun Pantai Tangsi ini. Mana tidaknya, pasirnya cukup berbeza dari kawasan pantai yang lain disebabkan oleh terumbu karang dan pecahan cengkerang laut foraminifera yang berwarna kemerah-merahan yang terdapat di sini.

Pantai ini merupakan salah satu daripada 7 buah pantai yang berwarna pink di dunia. Amatlah rugi sekiranya anda melepaskan peluang untuk ke pantai ini sekiranya ke Lombok bukan?

Alamat: Desa Sekaroh, Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur


20. Pantai Senggigi

Pantai Senggigi
Sumber: Lombok Dewata TOUR

Tercari-cari di mana lokasi untuk menikmati pemandangan mempesonakan matahari terbenam tanpa perlu mendaki gunung atau melalui jalan-jalan yang sukar ditempuhi? Pantai Senggigi adalah lokasi ajaibnya.

Keindahan sewaktu senja di sini ditambah lagi dengan bayang-bayang hitam dari kejauhan Gunung Agung adalah sebuah pemandangan yang begitu menakjubkan.

Alamat: Barat Pesisir Pulau Lombok


Baca: 25 Hotel Bajet Menarik Di Bali

19. Danau Segara Anak

Danau Segara Anak
Sumber: Mega Permai Tours and Travel

Untuk pengetahuan para pembaca, Segara Anak membawa maksud anak laut. Kenapa pula dinamakan anak laut? Ini kerana air dari danau ataupun tasik ini mempunyai warna kebiru-biruan seperti air laut. Ingin tahu sesuatu yang menarik mengenai tasik ini?

Untuk pengetahuan anda, tasik ini dipercayai memiliki mitos yang mana sekiranya anda melihat kawasan danau ini dan ia kelihatan luas, bermakna anda memiliki umur yang panjang, tapi kalau danau ini kelihatan kecil, bermakna umur anda pendek. Takut pula mendengarnya. Apa-apa pun ajal maut ditangan tuhan, nikmatilah pemandangan indah hasil ciptaan-Nya ini dengan hati yang tenang.

Alamat: Balai Taman Nasional Gunung Rinjani, Jl. Arya Banjar Getas, Lingkar Selatan, Mataram, Lombok Barat


18. Desa Bayan Sasak

Desa Bayan Sasak
Sumber: Surfing Photography tours

Zaman yang manakah yang ingin anda rasai sekiranya anda berjaya menemui mesin merentas masa? Pernah terfikir untuk pergi sejauh sebelum Masihi? Tidak perlu membuang masa mencari mesin ini, kerana anda dapat menikmati sendiri secara realistik kehidupan yang tidak terkesan dengan dunia moden ini di Desa Bayan Sasak.

Kawasan perkampungan klasik ini terletak di kaki Gunung Rinjani. Anda sekeluarga pasti teruja melihat pondok-pondok unik milik penduduk di sini yang keseluruhannya dibuat daripada bahan-bahan semula jadi, jika anda tahu apakah salah satu daripada bahan yang digunakan untuk membuat rumah tradisional ini, anda pasti terkejut.

Alamat: Kecamatan Bayan, Lombok Utara, Nusa Tenggara Barat


17. Pura Batu Bolong

Pura Batu Bolong
Sumber: The Beauty of My Nature

Terletaknya di Pantai Senggigi, Pura Batu Bolong merupakan sebuah kuil hindu yang terletak di atas tebing batu karang di pantai ini. Kuil ini dibina berhadapan dengan Selat Lombok yang mengarah ke Gunung Agung di Pulau Bali kerana ianya dianggap sebagai tempat tinggal dewa.

Inginkan info yang lebih menarik tentang Batu Bolong ini? Untuk pengetahuan anda, berdasarkan sebuah legenda, dikatakan bahawa pada suatu ketika dahulu kawasan ini dijadikan tempat pengorbanan anak dara untuk diberi makan kepada ikan hiu yang terdapat di laut. Keindahan yang menyimpan kisahnya yang tersendiri.

Alamat: Pantai Senggigi, Lombok Barat


16. Pura Lingsar

Pura Lingsar
Sumber: Smailing DMC

Pura Lingsar ini adalah tempat beribadah yang boleh dikatakan paling unik sekali di Lombok ini. Kalau anda nak tahu, Pura Lingsar ini bukan sahaja merupakan tempat suci bagi penganut Hindu, tetapi juga bagi mereka yang beragama Islam yang menjadi pengikut Waktu Telu.

Waktu Telu ini adalah sejenis kepercayaan Islam yang hanya wujud di Lombok. Namun begitu, penyatuan tempat suci ini agak masuk akal kerana Waktu Telu sebenarnya merupakan kepercayaan Islam yang dicampuri dengan kepercayaan Hindu Bali dan animisme. Dibina pada tahun 1714, Pura Lingsar terletak di dalam kawasan sawah padi yang tumbuh dengan subur.

Alamat: Jl. Gora 2, Mataram, Lingsar, Kabupaten Lombok Barat, Nusa Tenggara Bar. 83237


15. Jeruk Manis

Air Terjun Jeruk Manis
Sumber: Didik Hariadi Mahsyar

Bagi pencinta jeruk, sebut sahaja jeruk mesti terliur bukan? Jangan terbayang Jeruk Manis ini sebagai jeruk yang boleh dimakan pula kerana ia sebenarnya adalah nama sebuah tarikan air terjun yang cukup manis dipandang mata yang terletak di Taman Negara Gunung Rinjani.

Air terjun yang berketinggian 30 meter ini dapat anda nikmati setelah berjalan sekitar satu setengah km dari pintu gerbang. Perjalanan anda dari pintu gerbang ini akan ditemani dengan keindahan flora dan fauna yang mengujakan. Sampai sahaja ke air terjun ini anda boleh merehatkan badan di gazebo yang disediakan sambil menikmati bunyi alam yang memberikan ketenangan jiwa.

Bayaran: Rp20.000

Alamat: Jalan Wisata Jeruk Manis, Desa Kembang Kuning, Kabupaten Lombok Timur


14. Pasar Seni Senggigi

Pasar Seni Segigi Lombok
Sumber: Mola2 Resort Gili Air – DHM resorts

Terletak di persisiran pantai, Pasar Seni Senggigi menempatkan banyak gerai yang menjual pelbagai jenis cenderamata yang terdiri daripada ukiran kayu, lukisan, kain tenun, mutiara, beg, keychain dan banyak lagi.

Sebelum meninggalkan Lombok, pastikan anda membeli sesuatu sebagai tanda ingatan kepada yang tersayang. Apa-apa pun, jangan segan untuk bertawar-menawar harga di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 8.00pm)

Alamat: Jl. Raya Senggigi No.16, Senggigi, Batu Layar, Kabupaten Lombok Barat, Nusa Tenggara Bar. 83355


13. Taman Narmada

Narmada Water Park
Sumber: Heavenly Lombok Tour

Bukanlah taman air yang biasa, taman ini sebenarnya cukup antik, Taman Narmada ini dibina pada tahun 1727 oleh Raja Anak Agung Gede Ngurah Karang Asem. Berkeluasan 2 hektar,  taman ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu pintu gerbang, jabalkap, telaga kembar, telaga padmawangi, balai terang, balai loji, patandaan, balai bancingah, bangunan sekepat, Pura Lingsar  dan Pura Kelasa.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Bayaran: Rp10. 000

Alamat: Jalan Raya Narmada, Lembuak, Narmada, Lembuak, Narmada, Kabupaten Lombok Barat, Nusa Tenggara Bar. 83371


12. Desert Point (Bangko-Bangko)

Desert Point Lombok
Sumber: @sahdisurfphotos

Jangan tak tahu, Desert Point ataupun Bangko-Bangko ini sebenarnya pernah dianugerahkan sebagai salah satu daripada 10 destinasi meluncur air yang terbaik di dunia.

Kalau beginilah anugerahnya, bagi anda yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti meluncur ombak ini, jangan terlalu yakin ya. Bagi anda yang datang bersama keluarga, dapatlah anda melihat pakar-pakar surfing beraksi dengan penuh berani.

Alamat: Jalan Putih, Batu Putih, Central Sekotong, West Lombok Regency, West Nusa Tenggara 83365


11. Ashtari Kuta

Ashtari Kuta
Sumber: LOMBOK ISLAND

Ashtari Kuta adalah sebuah kafe yang terletak di atas bukit. Dari kafe ini anda dapat menikmati pemandangan yang mempesonakan sekitar Kura, Lombok. Di bahagian patio kafe ini tersedia beanbag dan juga meja untuk anda duduk bersantai merakamkan pemandangan indah di dalam memori.

Sekiranya anda datang pada waktu pagi, anda dapat menyertai kelas yoga yang diadakan di ruangan yang sama. Yoga sambil menikmati pemandangan indah dan menghirup udara segar, satu pengalaman yang perlu dirasai sekali di dalam hidup.

Alamat: Ashtari estate Raya Ke Mawun Desa Prabu, Kecamatan Pujut, Kuta, Pujut, Kuta Lombok, Nusa Tenggara Bar. 83355


10. Pantai Sekotong

Pantai Sekotong
Sumber: Lombok Traveling

Pantai yang dikelilingi bukit-bukau ini merupakan kawasan pantai berpasir putih yang tidak ternoda dari sebarang pencemaran. Keindahan laut biru Pantai Sekotong ini sungguh mengasyikkan untuk dinikmati dari kawasan puncak bukit.

Dari sini anda dapat melihat Gunung Agung dan berbelas pulau lain yang terdapat di sekitar lautan. Sebuah pemandangan yang pasti akan terbawa hingga ke mimpi.

Alamat: Kabupaten Lombok Barat, Provinsi NTB


9. Gili Nanggu

Gili Nanggu Lombok
Sumber: @wndsanjaya

Sungguh banyak pulau yang indah di sekitar Lombok sehingga rambang mata dibuatnya. Jika anda ingin melawat sebuah pulau yang lebih privasi daripada Gili Meno, Gili Nanggu adalah salah satu pulau yang boleh anda lawati.

Kesunyian pulau ini akan membuai jiwa anda sehingga terlena. Air di sekeliling pulau ini pula begitu jernih menjadikan ia sempurna untuk anda sekeluarga bersnorkeling atau berskuba bagi menikmati panorama indah dalam laut.

Alamat: Pulau Gilinanggu, Sekotong Barat, Central Sekotong, West Lombok Regency, West Nusa Tenggara


8. Air Terjun Tiu Kelep

Air Terjun Tiu Kelep
Sumber: Vivi Vidia Vy

Untuk menuju ke Air Terjun Tiu Kelep ini anda perlu melalui kawasan hutan hujan yang kaya dengan flora dan fauna, jalan untuk menuju ke arah kawasan air terjun ini agak mencabar terutama sekali kerana anda perlu melalui jambatan yang juga merupakan saluran air untuk merentasi hutan ini. Laluan di jambatan ini agak menguji jiwa kerana jambatan ini hanya berpagar pada satu sisi sahaja dan lantainya dipenuhi dengan lumut yang licin.

Setelah melalui jambatan ini, anda akan meneruskan perjalanan di dalam kawasan hutan hijau dan merentasi sungai-sungai kecil. Perjalanan yang penuh cabaran ini akan terasa sangat berbaloi dilalui setelah anda terlihat keindahan air terjun Tiu Kelep yang berketinggian 45 meter. Bunyi hempasan air terjun ini juga sungguh menyegarkan deria.

Alamat: Utara Kaki Gunung Rinjani


7. Pantai Nambung

Pantai Nambung
Sumber: Pulau Lombok

Tarikan utama di Pantai Nambung ini adalah air terjun indah yang mengalir dari laut. Sebuah pemandangan yang luar biasa untuk disaksikan. Air terjun ini dapat diakses dengan menaiki perahu nelayan yang terdapat di sini dengan bayaran sekitar Rp 10.000.

Air terjun yang terhasil daripada pukulan ombak yang melalui celahan batu ini sungguh indah untuk disaksikan. Sekiranya air surut, anda dapat melihat kolam-kolam semula jadi yang terbentuk di kawasan sekitar pembentukan air terjun ini.

Alamat: Nambung, Montong Ajan, Praya Bar. Daya, Kabupaten Lombok Tengah, Nusa Tenggara Bar


6. Pantai Mawun

Pantai Mawun
Sumber: Lombok Authentic Tour

Pantai Mawun adalah sebuah pantai berpasir putih yang diapit oleh dua buah pantai indah yang lain iaitu Pantai Selong Belanak dan Pantai Kuta Pulau Lombok.

Ombak di pantai ini walaupun tidak seganas di pantai Lombok yang lain, ia memiliki dasar pantai yang agak curam, walaupun seronok bermandi-manda di sini, anda tetap perlu berhati-hati. Selain bermain air pantai, anda juga boleh bersantai di dalam gazebo ataupun kerusi-kerusi malas yang tersedia di sini.

Alamat: Desa Tumpak, Kecamatan Pujuk, Kabupaten Pulau Lombok Tengah


5. Pantai Seger

Pantai Seger Lombok
Sumber: @felgra_photography

Pantai Seger seperti namanya, sememangnya sebuah pantai yang menyegarkan. Terletak hanya 15 minit dari Kuta, pantai yang terdiri daripada beberapa bahagian kerana dipisahkan oleh bukit yang rendah ini memiliki air laut yang jernih dan kawasan persisiran berpasir putih.

Di sebalik keindahan pantai ini, tersimpan sebuah kisah ataupun legenda yang terkenal di Lombok. Al-kisahnya, pada suatu ketika dahulu terdapat seorang puteri yang mempunyai raut wajah yang sangat jelita dari kerajaan negeri ini, puteri yang bernama Putri Mandalika ini terasa tertekan kerana tidak diberikan kebebasan untuk memilih jodohnya dan juga dalam masa yang sama dia dilamar oleh ramai penguasa.

Disebabkan kekusutan ini Putri Mandalika telah membunuh dirinya sendiri dengan terjun ke dalam laut. Untuk mengingati peristiwa ini, sebuah monumen puteri ini telah dibina di sebuah sudut di pantai ini.

Alamat: Kuta, Pujut, Kabupaten Lombok Tengah, Nusa Tenggara Bar. 83573


4. Tanjung Ringgit

Tanjung Ringgit
Sumber: NorRul Suaib

Keindahan pemandangan di Tanjung Ringgit membuatkan jiwa anda bergetar seperti jatuh cinta. Air berwarna hijau kebiruan di Tanjung Ringgit ini memantulkan cahaya matahari dengan warna-warna yang mempesonakan mata.

Dari kejernihan air laut ini juga anda dapat melihat dengan jelas terumbu karang yang terdapat di sekitar dasar lautan. Untuk memaksimakan keseronokan anda di sini, anda boleh menyewa perahu nelayan  untuk melihat dengan lebih dekat keindahan panorama di dalam laut jernih ini.

Aktiviti lain yang boleh dilakukan untuk bersatu dengan keindahan ini adalah bersnorkeling ataupun menyelam skuba. Selain keindahan lautan, Tanjung Ringgit juga sebenarnya menyimpan keindahan yang berbeza pada waktu malam. Taburan bintang di langit malam dapat dilihat dengan jelas sekali dari sekitar tanjung ini. Ingin berkhemah? Inilah salah satu lokasi yang terbaik.

Alamat: Jl. Lingkok Siwaq, Sekaroh, Jerowaru, Sekaroh, Jerowaru, Kabupaten Lombok Timur, Nusa Tenggara Bar. 83672


3. Pantai Surga

pantai surga lombok
Sumber: Santai Vacation

Pantai Surga ini terletak sekitar dua jam perjalanan dari Kota Mataram. Apa yang membuatkan ramai pengembara tertarik untuk melawati Pantai Surga ini adalah kerana  pasir putih dan deretan bukit yang menghijau yang terdapat di sekitarnya.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di pantai yang indah ibarat di syurga ini adalah snorkeling dan juga memancing ikan. Memang asyik sekali rasanya kalau dapat bakar ikan segar dari laut, tak gitu?

Alamat: Kecamatan Jerowaru, Lombok Timur


2. Gili Sulat dan Gili Lawang

Gili Sulat
Sumber: Hel Phoenix

Gili Sulat dan Gili Lawang adalah dua buah pulau kecil yang terdiri dari hutan paya bakau dengan sebahagian kecil kawasan pasir putih. Kedua-dua pulau kecil ini juga merupakan tempat menarik di lombok yang menjadi tumpuan utama pelancong barat semasa bercuti di disini.

Perjalanan untuk ke pulau ini dari Kota Mataram adalah dalam sekitar dua jam setengah. Walaupun mengambil masa yang agak panjang sebelum sampai, perjalanan anda disajikan dengan pemandangan yang indah dari sawah dan ladang yang terbentang luas.

Setibanya di pulau ini anda akan mendengar bunyi kicauan burung dan terlihat pohon-pohon kayu bakau yang tumbuh mekar. Sewaktu berada di pulau ini juga sekiranya anda bernasib baik, anda dapat melihat ikan lumba-lumba berenang dengan penuh keriangan di sekitar laut.


Baca: 35 Destinasi Menarik Di Bandung

1. Pantai Sire

Pantai Sire
Sumber: Elite Havens

Pantai yang dikelilingi dengan pokok kelapa ini merupakan tempat rekreasi yang menarik untuk dilawati bersama keluarga. Salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan di Pantai Sire adalah bersnorkeling untuk melihat keindahan terumbu karang dan ikan-ikan yang sentiasa bergerak kesana-sini di dalam air jernih pantai. Anda juga boleh merancang untuk bermain golf di padang golf yang terletak berdekatan dengan pantai.

Alamat: Pantai Sire, Sigar Penjalin, Tanjung, Kabupaten Lombok Utara, Nusa Tenggara Bar. 83352


Bagaimana? Terasa cukup bermotivasi untuk bergerak ke Lombok sekarang juga? Sungguh indah sekali muka bumi Lombok ini rupa-rupanya. Dengan air terjun yang begitu banyak dan lengkap dengan karakter yang tersendiri, pulau-pulau yang mampu membawa anda ke alam mimpi, pantai yang mirip dunia fantasi, apa lagi yang anda cari?

Pelbagai bentuk keindahan alam semula jadi yang wujud di dunia ini sudah terbukti dapat disaksikan di Lombok. Tidak perlulah anda mengeluarkan wang ribuan ringgit untuk ke negara-negara yang jauh dari mata.

Tunggu apa lagi? Kemaskan bagasi anda sekeluarga untuk sebuah eksplorasi alam semula jadi yang akan sentiasa abadi di dalam ingatan. Sebelum itu, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapatkan penginapan dengan harga yang murah di Lombok. Selamat bercuti ke Lombok!