Categories
Malaysia Travel Guide

19 Tempat Menarik Di Kuching | Terokai Keindahan Bandaraya Perpaduan

Anda rasa kehidupan di kota dah cukup kompleks dengan pelbagai kaum berbeza? Mai singgah ke Sarawak untuk satu ‘kejutan’ budaya yang jauh lebih luar biasa. Bukan hanya didiami pelbagai kaum, tapi juga etnik-etnik berbeza yang cukup menarik untuk dikenali.

Ibu negerinya, Kuching, adalah antara destinasi penting untuk anda lawati bagi mengisi dada dengan pelbagai informasi sebelum membuka langkah kaki ke kawasan sebenar yang menjadi penempatan mereka.

Itu sahajakah sebabnya untuk ke Kuching? Jangan disalah anggap pula, statusnya sebagai ibu negeri juga tidak menjadikan ia ketandusan flora dan fauna, kerana kalau anda nak tahu, di sini jugalah pintu masuk untuk ke pelbagai tarikan alam semula jadi yang terdapat di Sarawak.

Dengan hanya melawat sebahagian daripada kesemua tarikan ini, anda dapat merasakan betapa istimewa dan indahnya ibu negeri Sarawak ini. Nak tahu di mana tersembunyi tempat-tempat menarik di Kuching? Teruskan scrolling sehingga ke penghujung artikel untuk mengetahui lebih mendalam tentang tempat-tempat hebat di ibu negeri Bumi Kenyalang ini.

19. Muzium Sarawak

Muzium Sarawak Kuching - Main Image
Sumber: mysutra

Muzium yang tertua di Borneo, Muzium Sarawak adalah sebuah bangunan dengan seni bina Perancis yang telah dibina oleh Charles Brooke pada tahun 1891. Lawatan ke muzium ini akan membuka mata anda tentang bukan sahaja sejarah negeri Sarawak tetapi juga tentang budaya dan kehidupan masyarakat di negeri ini.

Antara koleksi yang dipamerkan di sini adalah senjata-senjata yang digunakan masyarakat Sarawak, bot perang orang Iban, seramik asli yang tertua dari Gua Niah, serta banyak lagi barangan dan kepingan seramik yang diperoleh negeri ini hasil perdagangan dari abad ke-11 hingga ke-13 AD.

Bila dah ‘penuh’ ilmu di dada, anda boleh menuju ke tingkat bawah yang menempatkan Muzium Shoppe untuk membeli tanda ingatan sama ada buku, T-shirt dan sebagainya.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30am – 4.30pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, Taman Budaya, 93400 Kuching


Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Kuching

18. Taman Negara Bako

Taman Negara Bako Image
Sumber: Suara Borneo

Taman Negara Bako adalah taman negara yang terkecil di Asia Tenggara, walaupun kecil, sebenarnya ia adalah taman negara yang tertua yang terdapat di Sarawak. Disebabkan usianya ini, hampir semua spesies tumbuhan di sekitar Borneo terdapat di dalamnya, kecil-kecil cili padi gamaknya.

Bukan sahaja kaya dengan tarikan flora, ia juga menjadi habitat bagi banyak lagi hidupan liar yang lain seperti 150 spesies burung, monyet Belanda (proboscis) dan banyak lagi!

Tak cukup dengan itu, di dalam taman negara yang sama, anda dapat menikmati banyak lagi tarikan alam semula jadi yang lain seperti bukit-bukau, air terjun, paya bakau dan pantai. Secara totalnya, terdapat 16 buah denai yang disediakan untuk anda tempuhi. Pilihan ada di dalam tangan anda, nak yang penuh dengan cabaran atau jalan shortcut? Apa-apa pun, pakailah pakaian yang sesuai untuk berjungle trekking dan hiking ya?

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 5.00pm) | Sabtu Ahad Tutup

Bayaran: Tambang Bot RM30 | Tiket Masuk RM10

Alamat: Taman Negara Bako, Kuching


17. Taman Negara Kubah

Taman Negara Kubah Image
Sumber: Aiman Zhafransyah

Anda sukakan warna-warni? Jangan lepaskan peluang untuk melawat Taman Negara Kubah. Kalau anda nak tahu, taman negara ini menempatkan bermacam spesies tumbuhan hutan yang termasuklah pelbagai jenis bunga orkid yang sukar untuk ditemui di tempat lain.

Sekiranya anda bercadang untuk meneroka taman negara ini, terdapat 5 buah laluan yang disediakan iaitu Laluan Palmetum, Laluan Air Terjun, Laluan Rayu, Laluan Selang dan Laluan Belian.

Selain aneka bunga orkidnya, bonus point kenapa anda perlu melawati taman negara ini adalah kerana ia pernah menjadi lokasi penggambaran bukan 1 tapi 2 buah filem Hollywood iaitu The Sleeping Dictionary lakonan Jessica Alba dan Farewell to the King lakonan Nick Norte.

Di samping itu, untuk pengetahuan anda, taman negara ini juga pernah disebut di dalam buku hasil penulisan ahli botani terkenal, Odoardo Beccari yang bertajuk The Great Forest of Borneo sebagai taman negara yang memiliki tanaman palma yang terbaik di dunia. Bukan main hebat lagi Taman Negara Kubah ni kan?

Alamat: Jalan Lundu-Sampadi, Kuching


16. Masjid Bandaraya Kuching (Masjid Negeri Lama)

Masjid Kuching Main Image
Sumber: Yarn‎

Sudah berjalan kesana-kemari, nak menambahkan berkat perjalanan, jangan lupa untuk singgah ke Masjid Bandaraya Kuching ataupun masjid lama negeri ini. Lamanya bukan kepalang sebab ia merupakan masjid yang pertama di Bandar Kuching yang dibina oleh pemimpin yang dihormati di Sarawak  pada ketika itu, Datu Patinggi Ali pada tahun 1847.

Masjid klasik ini pada asalnya dibina menggunakan kayu dimana atapnya terdiri daripada kayu bulian dan dindingnya pula daripada papan. Bangunan lama ini kemudiannya diperbaharui pada tahun 1968 menjadi struktur yang lebih kukuh yang lengkap dengan kubah yang bewarna keemasan.

Untuk pengetahuan anda, masjid ini mampu menampung sehingga 4000 orang jemaah pada satu-satu masa.

Alamat: 332, Jalan Datuk Ajibah Abol, Kampung No3, 93400 Kuching


15. Tugu Kuching

Tugu Kuching Image
Sumber: D’Sha Bridal

Tak sah kalau tak bergambar dengan lambang yang terpenting di Kuching kalau dah melancong ke sini. Mercu tanda ini tak lain tak bukan adalah Tugu Kuching yang megah berdiri di hadapan hotel-hotel dan pusat membeli-belah bandaraya ini.

Tugu yang berada di dalam roundabout ini dijaga dengan baik oleh pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara yang sentiasa memastikan agar warna tugu ini tidak pudar. Maka, bagi anda yang nak bergambar di sini tak perlulah risau ya? Warnanya tetap vibrant bila-bila masa sahaja anda bercadang untuk berposing di sini.

Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, 93100 Kuching


14. Muzium Kucing

Muzium Kucing Main Image
Sumber: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)

Ke mana nak pergi tanpa perlu keluarkan bajet di Kuching ni tapi dalam masa yang sama best bukan main? Jawapannya adalah Muzium Kucing! Jangan main-main, muzium yang juga terletak di ‘Kuching’ ini adalah muzium kucing yang pertama yang terdapat di dunia.

Muzium yang terletak di dalam bangunan Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara di atas Bukit Siol ini menempatkan lebih daripada 3000 pameran yang menarik hati. Berkeluasan lebih daripada 1000 meter persegi, muzium ini memiliki 4 buah galeri yang didalamnya terdapat lebih daripada 50 pameran berbeza seperti jenis-jenis kucing, kucing pada zaman pertengahan, koleksi Garfield, koleksi buku kucing, koleksi Hello Kitty, info tentang kucing pada zaman purba Mesir dan banyak lagi.

Tak ada apa lagi yang perlu anda Google tentang kucing sebaik melawat muzium ini. Nak jadi pakar kucing? Jom ke sini!

Waktu Operasi:  Setiap Hari Kecuali Cuti Umum (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Bangunan DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang, Petra Jaya, 93050 Kuching


13. Taman Sahabat Kuching Sarawak

Taman Sahabat Bandar Kuching
Sumber: Wahbi Wahbi

Taman Sahabat Kuching Sarawak adalah sebuah taman rekreasi yang dibina pada tahun 2005 hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China untuk memperingati hubungan diplomatik antara kedua-dua negara yang telah pun mencapai ulang tahun ke-30.

Taman indah yang terletak di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu taman Malaysia dan taman China. Di dalam kawasan Malaysia, anda sekeluarga dapat melihat Sarawak Fountain yang mana berdirinya sebuah monumen yang menjadi simbol kepada kepelbagaian etnik di Sarawak, di hadapannya pula terdapat Malaysia Murals yang memaparkan 14 buah dinding  (14 buah negeri di Malaysia).

Di dalam taman China pula, terdapat jambatan zig-zag, perigi permintaan (wishing well), pondok rehat berinspirasikan Kunming dan Beijing, sebuah tugu yang berketinggian 20 kaki Laksamana Cheng Ho dan banyak lagi. Berjalan-jalan di sini, anda sekeluarga juga dapat menyejukkan mata melihat kelibat-kelibat ikan koi yang berenang dengan penuh keseronokan di dalam kolam-kolam yang ada di sini.

Nak tenangkan fikiran dari kacau-bilau di bandar? Tariklah nafas lega sebentar di dalam taman yang mendamaikan ini.

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Tabuan Heights, 93350 Kuching


12. Taman Negara Gunung Gading

Taman Negara Gunung Gading Image
Sumber: Lundu Homestay

Dah selalu melihat bunga Rafflesia dalam brochure pelancongan atau National Geographic, bila lagi nak melihatnya di depan mata? Anda boleh merasai pengalaman ini sendiri dengan menjejakkan kaki di Taman Negara Gunung Gading.

Kalau anda nak tahu, taman negara ini adalah tempat di mana pemuliharaan bunga terbesar di dunia ini dilakukan.  Pada mulanya, projek ini dilaksanakan secara tertutup oleh Jabatan Taman Negara, namun kemudiannya ia dibuka supaya orang ramai dapat melihat khazanah alam ini dengan lebih dekat. Pihak berkuasa masih memantau aktiviti ini untuk memastikan tiada sebarang kerosakan berlaku sewaktu lawatan orang ramai.

Macam mana? Excited tak nak tengok bunga Rafflesia ni? Sebelum anda ke sini, anda perlu tahu bahawa bunga ini mengambil masa dalam 8 ke 9 bulan untuk mencapai kematangan dan hanyalah berbunga penuh untuk 4 ke 5 hari sebelum mati, jadi anda perlulah bertanya dengan pihak taman negara ini terlebih dahulu tentang waktu yang terbaik untuk melawat bagi mengelakkan kekecewaan ya?

Waktu Operasi:  8.00am – 5.00pm

Bayaran Masuk: RM20

Alamat: Taman Negara Gunung Gading, 94500 Lundu


11. Hutan Simpan Semenggoh

Hutan Simpan Semenggoh Image
Sumber: Sally Rodrick

Sudah melihat orkid, rafflesia dan monyet Belanda, apa lagi yang belum dibuat di tanah Borneo ini? Apa lagi kalau bukan melihat haiwan terkenal di Borneo ini iaitu orang utan!

Terletak hanyalah 30 minit pemanduan dari pusat bandar Kuching, Hutan Simpan Semenggoh merupakan tempat di mana orang-orang utan dididik oleh renjer-renjer hutan supaya pandai ‘membawa diri’ apabila dilepaskan di dalam hutan.

Pusat Hidupan Liar Semenggoh yang dibina pada tahun 1920 ini bukan sahaja menjadi tempat rawatan untuk orang utan, tapi juga kepada lebih daripada 1,000 ekor haiwan liar yang lain.

Waktu yang paling menarik untuk ke sini adalah sewaktu orang-orang utan diberi makan iaitu pada sekitar pukul 9.00am ke 10.00am dan 3.00pm ke 3.30pm. Jangan terkejut pula kalau anda terdengar penjaga-penjaga di sini memanggil nama manusia seperti Salina untuk turun dari pokok yang tinggi bila waktu makan tiba. Sebabnya, orang utan di sini diberikan nama seperti manusia. Specialkan layanan untuk haiwan dekat sini?

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum Tutup

Bayaran Masuk: Dewasa RM10

Alamat: Jalan Puncak Borneo, 93250 Kuching


Baca: 28 Destinasi Terbaik Di Miri Untuk Percutian Yang Luarbiasa

10. Kuching Wetlands National Park

Kuching Wetlands National Park Main Image
Sumber: Ezrin Nazan

Terletak hanyalah dalam 5 km dari Pantai Damai, Kuching Wetlands National Park merupakan sebuah taman negara yang berkeluasan 6610 hektar yang hampir keseluruhannya terdiri daripada hutan paya air masin.

Cara yang paling best untuk menerokai taman negara ini adalah dengan menyelusuri sungai menggunakan bot sewa yang disediakan. Anda dapat melihat pemandangan kawasan perkampungan Melayu serta banyak hidupan fauna lain yang selalu dilihat di dalam kaca tv secara live.

Alamat: Petra Jaya, 93050 Kuching


9. Kuching Civic Centre

Kuching Civic Centre Image
Sumber: Chipmunk 1 / CC By 2.0

Tak sempat untuk melawati semua tarikan yang ada di negeri ini? Nak pendekkan jalan cerita, anda bolehlah melawat Kuching Civic Centre.

Walaupun tak dapat melawat kesemua tempat best di sini, sekurang-kurangnya dapatlah anda melihat dari jauh tempat-tempat seperti Gunung Santubung, Gunung Serapi dan banyak lagi di sekitar Kuching ini secara 360 darjah.

Kalau cuaca baik dan pandangan mata 20/20, pemandangan anda boleh menjangkau sehingga ke kawasan pergunungan Kalimantan. Yang menariknya lagi, million dollar view ini boleh anda nikmati dalam harga hanya RM2. Macam tak ada sebab untuk tak pergi bukan?

Bayaran Masuk: RM2

Alamat: Jalan Taman Budaya, Kuching


8. Pantai Damai

Pantai Damai Main Image
Sumber: Kuching Family Homestay

Bercadang untuk berkelah sewaktu berada di Kuching? Anda boleh memilih Pantai Damai sebagai lokasi untuk anda menebarkan tikar berkelah. Sambil menikmati juadah yang dibawa, anda dapat menyejukkan mata dengan pemandangan indah pantai ini yang cukup terjaga kebersihannya serta hutan hujan tropika yang mengelilingi Gunung Santubong.

Setelah puas melegakan paru-paru dengan udara yang segar, anda boleh meneruskan langkah ke Kampung Kebudayaan Sarawak yang terletak hanyalah 10 minit perjalanan dari sini.

Alamat: Teluk Bandung Santubong, 93756 Kuching


7. Kampung Kebudayaan Sarawak (Muzium Kebudayaan Sarawak)

Muzium Kebudayaan Sarawak Kuching Image
Sumber: Sarawak Cultural Village

Kampung Kebudayaan Sarawak ataupun Muzium Kebudayaan Sarawak adalah antara sebuah tarikan yang wajib dilawati di negeri ini. Terletak di dalam kawasan berkeluasan 17 ekar di kaki Gunung Santubong, muzium ini bukanlah sebuah muzium biasa. Kenapa? Kerana ia merupakan muzium hidup, sesuai dengan namanya, tidak ubah seperti kawasan kampung yang sebenar.

Di sini anda dapat melihat secara realistik rumah-rumah unik etnik-etnik dan masyarakat yang terdapat di Sarawak seperti rumah tinggi Melanau, rumah menyuarat kaum Bidayuh, tempat simpan senjata dan banyak lagi. Kalau bernasib baik, anda juga dapat melihat perlangsungan perkahwinan sebenar orang Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan masyarakat Melayu sendiri.

Di dalam rumah-rumah ini juga terdapat kakitangan yang menunjukkan aktiviti seharian mereka sebagai etnik tertentu, lengkap dengan pakaian tradisional.

Waktu Operasi: Setiap Hari (11.30am – 4.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM50 | Kanak-kanak RM25

Alamat: Kampung Budaya Sarawak, 93010 Kuching


6. Taman Buaya Jong

Taman Buaya Jong Kuching Image
Sumber: Jong’s Crocodile Farm Zoo Sdn Bhd

Anda seorang yang berjiwa berani? Jangan lupa untuk singgah ke taman buaya yang terbesar di Malaysia iaitu Taman Buaya Jong. Taman buaya ini menempatkan lebih daripada seribu ekor buaya yang mana kesemuanya setia menanti kedatangan anda di sebalik sangkar yang menjadi habitat mereka.

Anda juga boleh melihat aksi buaya-buaya ini menyambar bangkai ayam yang digantungkan pada tali rentang pada waktu makan mereka iaitu setiap pukul 11.00am dan 3.00pm.

Bukan itu sahaja, anda juga boleh melawat Muzium Buaya yang turut menempatkan tulang buaya bernama Bujang Senang yang merupakan antara buaya paling kejam di Sarawak.

Andai kata sebaik membayar tiket tiba-tiba terasa meremang bulu roma dan tak jadi nak tengok buaya, anda boleh melihat banyak lagi haiwan lain yang turut terdapat di sini seperti biawak monitor, monyet, musang, beruang madu, burung merak dan lain-lain lagi. Taman buaya yang bukanlah sekadar buaya.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Waktu Buaya Diberi Makan (11.00am – 3.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM24 | Kanak-kanak RM12

Alamat: Siburan, 29Km Kuching-Serian Road, 93250 Kuching


5. Taman Orkid Kuching

Taman Orkid Kuching Main Image
Sumber: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU)

Suka bunga orkid tapi tidak memiliki stamina yang tinggi untuk berjungle trekking di Taman Negara Kubah yang dikatakan kaya dengan pelbagai spesies orkid? Jalan mudahnya adalah dengan melawati Taman Orkid Kuching.

Bukan sikit variasi orkid yang ada dalam taman ini, kerana kalau dikira, terdapat lebih daripada 80,000 orkid kesemuanya di atas tanah yang berkeluasan 15 ekar ini.

Walaupun tidak perlu menerokai hutan, untuk sampai ke taman orkid ini anda perlu menyeberangi Sungai Sarawak menuju ke Jeti Pangkalan Sapi. Dari jeti ini, anda perlu berjalan kaki hanya 5 minit untuk sampai ke pintu masuk Taman Orkid.

Sebagai peringatan, orkid adalah sejenis tumbuhan yang berbunga mengikut musim, maka kajilah terlebih dahulu musim-musimnya sebelum ke sini ya? Di samping itu, kawasan taman ini kurang teduhan dari panahan mentari, kalau tak nak mekap cair atau muka berpeluh semasa berposing untuk gambar, datanglah ke sini seawal yang mungkin.

Waktu Operasi: Isnin Tutup | Selasa – Ahad (9.30am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Taman Orchid, 96000 Kuching


4. Muzium Sejarah Cina Sarawak

Muzium Sejarah Cina Sarawak Main Image
Sumber: Kuching Family Homestay

Dirasmikan pada tahun 1993 sebagai Muzium Sejarah Cina Sarawak, bangunan muzium ini sebenarnya meyimpan memori yang jauh lebih lama daripada itu. Struktur muzium ini  telah dibina pada tahun 1912, sejak dari itu sehinggalah tahun 1921, bangunan ini digunakan sebagai mahkamah oleh masyarakat Cina.

Kini, muzium ini meyimpan pelbagai bukti berkaitan sejarah masyarakat Cina sejak zaman pemerintahan Raja Putih. Barangan pameran yang dapat dilihat di sini adalah seperti peralatan muzik, barangan seramik, dan banyak lagi. Di samping itu, anda juga dapat mengetahui lebih mendalam berkenaan kepelbagaian etnik Cina yang wujud serta info-info berkaitan yang lain.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm) | Hari Pertama Cuti Umum, Ulang Tahun T.Y.T, Hari Pekerja Hari Malaysia Tutup

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Jalan Main Bazar, 93100 Kuching


3. Muzium Tekstil

Muzium Tekstil Bandar Kuching Image
Sumber: Kuching Family Homestay

Bangunan dengan seni bina Renaissance Inggeris ini pada asalnya merupakan  Pusat Perubatan sebaik selesai pembinaannya pada tahun 1907. Kemudiannya, bangunan ini diambil alih untuk dijadikan Jabatan Pendidikan.

Namun sejak Ogos 2000, bangunan ini telah dijadikan sebagai Muzium Tekstil yang mempamerkan kepelbagaian busana tradisional dan tekstil hasil tenunan etnik-etnik yang terdapat di Sarawak. Bukan sekadar pameran yang biasa, anda juga dapat melihat bagaimana tekstil ini dihasilkan dari benang hinggalah ia siap sebagai sehelai kain.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm) | Hari Pertama Cuti Umum, Ulang Tahun T.Y.T, Hari Pekerja Hari Malaysia Tutup

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Jalan Tun Abang Haji Openg, 93000 Kuching


2. Islamic Heritage Museum

Islamic Heritage Museum Bandar Kuching
Sumber: Yeo Jiun Tzen / CC By 4.0

Islamic Heritage Museum merupakan sebuah tempat menarik di Kuching yang memaparkan kekayaan khazanah sejarah dan budaya masyarakat Islam di Nusantara. Muzium ini turut menyampaikan info tentang hubungan antara perkembangan Islam di pelusuk ini dengan kawasan lain di dunia.

Bermacam informasi yang dapat anda ketahui dengan melihat 7 seksyen pamerannya antaranya adalah tentang sejarah Islam di Sarawak, senibina Islam, perkembangan ilmu pengetahuan dalam dunia Islam, kostum muzik, senjata dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 4.00pm) | Hari Pertama Cuti Umum, Ulang Tahun T.Y.T, Hari Pekerja Hari Malaysia Tutup

Alamat: Jalan P. Ramlee, 93400 Kuching


1. Kuching Waterfront

Kuching Waterfront Main Image
Sumber: Kuching Today

Nak tahu di mana tempat paling happening di Kuching? Lokasinya adalah di Kuching Waterfront. Terletak pada sepanjang 1 km di tepian Sungai Sarawak, pelbagai tarikan yang menarik untuk dilawati di Kuching terletak di sini, antaranya adalah tokong Cina yang tertua iaitu Tokong Tua Pek Kong serta monumen Charles Brooke.

Apa lagi istimewanya di Kuching Waterfront ini? Sekiranya anda ke sini pada waktu siang, anda dapat menikmati pemandangan yang memukau jiwa Kubu Margherita, Astana dan perkampungan Melayu yang terletak di seberang sungai.

Untuk menikmati pemandangan di sekitar dengan lebih ‘dramatik’ lagi, anda boleh menaiki bot Penambang dari jeti ke jeti. Sebelum pulang, jangan lupa untuk membeli cenderamata yang banyak dijual di sekitar Waterfront.

Alamat: Main Bazaar, 93000 Kuching


Baca: 23 Hotel Murah Di Kuching Yang Sesuai Untuk Bajet Traveller

Taman-taman negara yang mendamaikan, muzium yang padat dengan informasi dan tugu-tugu yang unik, ini hanyalah sedikit cebisan daripada semua tarikan yang ditawarkan oleh bandaraya ini. Percayalah, semakin banyak anda teroka, semakin mendalam rasa cinta anda kepada negeri yang dinamakan sempena nama haiwan comel ini.

Bagi anda yang ingin mengembara lebih luas di tanah Borneo ini, anda boleh membaca artikel kami bertajuk 23 Tempat Menarik Di Sarawak.

Sudah kenyang merasai masakan pelbagai etnik di Sarawak? Jom cuci mata dengan keindahan satu lagi negeri dalam Malaysia yang terletak di Kepulauan Borneo iaitu Sabah, nak tahu di mana tempat-tempat menarik dalam negeri ini? Mai singgah baca artikel kami bertajuk 45 Tempat Menarik di Sabah.

Puaskanlah jiwa kembara anda dengan menuju ke Kepulauan Borneo, percayalah, tiada tempat permulaan yang lebih menyeronokkan daripada di kotaraya yang happening ini sebelum ke destinasi lain. Semoga berseronok di bandaraya Kuching!