Categories
Malaysia Travel Guide

42 Tempat Menarik di Langkawi | Jom Terokai Keindahan Permata Kedah

 

Jika anda sedang merancang percutian ke Pulau Langkawi, Sudah pasti anda mencari tempat menarik untuk dilawati semasa anda berada di sana.

Kami telah menyediakan senarai 42 tempat menarik di Langkawi berserta dengan sedikit maklumat berkaitan Tempat, Harga Tiket, dan Waktu Operasi bagi memudahkan anda merancang percutian anda ke Pulau Langkawi.


42. Kota Mahsuri  Makam Mahsuri

Tempat Menarik Di Langkawi 1
Sumber: naturallylangkawi.my

Mengikut lagenda, dipercayai bahawa Kota Mahsuri merupakan tempat di mana Mahsuri binti Pandak Maya dikuburkan.

Siapa Mahsuri ?

Mahsuri merupakan seorang gadis kelahiran Pulau Langkawi yang telah difitnah serta dibunuh kerana dituduh berdua-duaan dengan seorang penyair yang bernama Deramang ketika suaminya Wan Derus keluar dari Pulau Langkawi Mahsuri untuk melawan tentera Siam.

Darah Mahsuri dikatakan berwarna putih sebagai bukti bahawa dia tidak bersalah dan difitnah. Mahsuri juga telah menyumpah Pulau Langkawi supaya tidak akan subur dan aman sehingga tujuh keturunan beliau.

Tempat Menarik Di Langkawi 2
Sumber: naturallylangkawi.my

Kota Mahsuri ini terletak di mukim Ulu Melaka 12km dari Pekan Kuah berhampiran dengan lapangan terbang Padang Matsirat.

Makam Mahsuri ini telah dibina semula dan dilengkapi dengan muzium, teater traditional dan rumah Kedah yang melambangkan seni bina rumah Langkawi yang popular pada ketika itu.

Tempat ini juga dikatakan dibina di bekas tapak rumah Mahsuri. Di dalam kompleks tersebut juga terdapat sebuah perigi yang digelar perigi Mahsuri .

Tempat Menarik Di Langkawi 3
Sumber: naturallylangkawi.my

Anda juga boleh membeli cenderamata yang bertemakan Langkawi untuk di bawa pulang sebagai hadiah atau kenangan kerana banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata di sini.

Jika anda menggunakan perkhidmatan kereta sewa, jangan risau kerana tempat letak kereta percuma.

Bayaran sebanyak RM0.50 sen akan dikenakan jika anda ingin menggunakan tandas awam. Terdapat kolam ikan di pintu masuk untuk mengalu-alukan anda, air yang sangat hijau dan kawasan sekitar yang bersih juga menjadi salah satu tarikan selain daripada cerita sejarah disebaliknya.

Harga Tiket:

  • Dewasa : RM7
  • Kanak-kanak : RM3.50

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00 am – 6.00 pm) | Sabtu Ahad (8.00am – 6.30pm)


Lihat Tawaran Terkini Hotel Terbaik Di Pulau Langkawi

41. Dataran Helang

Tempat Menarik Di Langkawi
Sumber: naturallylangkawi.my

Di sini anda berpeluang melihat patung helang merah coklat gergasi sedang bersedia untuk terbang yang dibina sebagai lambang Pulau Langkawi. Angin laut yang menenangkan membuat Dataran Lang sesuai untuk berjalan santai dan bergambar.

Terdapat juga beberapa buah kerusi untuk bersantai yang disediakan dikawasan berhampiran.

Rasanya tidak lengkap percutian anda di Pulau Langkawi jika anda tidak bergambar di sini sebagai tanda kenangan yang anda telah pun sampai ke pulau ini.

Harga tiket : Percuma

Waktu Operasi : Setiap Hari

Tel : +604 966 7789 (Langkawi Tourist Information Centre)

Lokasi : Kuah Jetty, 07000 Kuah, Langkawi


40. Laman Padi

empat Menarik Di Langkawi 7
Sumber: naturallylangkawi.my

Laman padi merupakan destinasi menarik di langkawi yang beraspek eco-pelancongan. Di sini anda boleh belajar bagaimana budaya dan tamadun melayu didalam bidang menanam padi dimulakan.

Beroperasi semenjak tahun 1988, Laman Padi mempunyai keluasan 14.28 ekar dan kawasan pertanian yang seluas 8.6 ekar.

Destinasi ini bertemakan perkampungan melayu dan mempunyai muzium dan juga sawah yang kecil jika anda hendak cuba tangan menanam padi sendiri dengan cara tradisional.

Ia terletak di Pantai Cenang berdepan dengan Meritus Pelangi Hotel. Kalau anda daripada lapangan terbang ia mengambil masa 10 minit jika anda memandu.

Harga tiket: Bermula Dari RM3 Seorang

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Tel: +604-9554312

Lokasi : Laman Padi, Pantai Chenang, Mukim Kedawang 07000


39. Kereta Kabel Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 9
Sumber: naturallylangkawi.my

Jangan lepaskan peluang untuk menaiki Kereta Kabel Langkawi yang merupakan kereta kabel paling curam di dunia dengan kecuraman 42 darjah.

Disamping itu, kereta kable ini juga merupakan yang terpanjang  di dunia dengan kepanjangan 2.2km dan mempunyai tali kabel sepanjang 950 meter.

Perjalanan dari Pekan Kuah ke Kereta Kabel Langkawi mengambil masa 30 minit dan 15 minit jika anda datang dari lapangan terbang Langkawi.

Kereta Kabel Langkawi ini terletak di Gunung Mat Cincang yang berketinggian 709 meter di atas paras laut ke puncak.

Gunung Mat Cincang merupakan gunung kedua tertinggi di Pulau Langkawi, dan terletak berhampiran dengan Pantai Kok. Perjalanan ke puncak mengambil masa selama 20 minit.

Pemandangan semasa dalam perjalanan ke puncak sungguh menakjubkan. Anda akan dapat melihat keindahan rupa bentuk geologi pulau dan pantai yang mengelilingi Pulau tersebut.

Anda juga berpeluang untuk melihat keindahan pemandangan laut hindi ,laut andaman dan pulau-pulau di selatan Thailand dengan jelas.

Kereta Kable ini mempunyai 3 stesyen. Stesyen pertama yang jauhnya 1700 meter terletak pada ketinggian 650 Meter, disini anda boleh turun untuk mengambil kereta kable yang seterusnya yang akan membawa anda kepuncak.

Untuk keselamatan pengunjung, perkhidmatan kereta kabel Langkawi akan dihentikan ketika angin kencang dan bergantung kepada keadaan cuaca.

Dinasihati anda semak jadual penyelengaraan Cable Car di laman web rasmi panoramalangkawi.com sebelum datang.

Harga Tiket:

  • Dewasa : RM40 (Berserta Mykad)
  • Kanak-Kanak: RM30 (Berserta Mykad)

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 7.00 pm)

Tel: +60 4-959 4225

Lokasi: Telaga Harbour Park, 07000 Langkawi


38. Jambatan Udara Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 10
Sumber: naturallylangkawi.my

Jambatan udara atau Langkawi Sky Bridge yang melengkung ini dibina di atas puncak Gunung Mat Chincang.

Jambatan ini dihubungkan dari stesen puncak dan tergantung 100 meter dari puncak gunung.

Anda perlu menaiki Cable Car jika anda hendak ke Jambatan Udara tersebut.

Harga Tiket: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 7.00 pm)

Lokasi: Telaga Harbour Park, 07000 Langkawi


37. Underwater World Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 14
Sumber: naturallylangkawi.my

Underwater World Langkawi merupakan akuarium yang terbesar di negara ini dan disini anda berpeluang untuk melihat haiwan akuatik yang menakjubkan.

Underwater World ini terletak di hujung pantai cenang bersebelahan dengan Pantai Tengah. Anda boleh menjumpai 200 spesis haiwan marin dan ikan air tawar.

Anda juga boleh melihat Penguin, Ikan Jerung, Singa laut dan Ikan Arapaima yang merupakan ikan air tawar yang terbesar di dunia.

Di sini juga terdapat terowong akuarium yang jika anda lalu, anda boleh melihat jerung dan penyu berenang di atas anda.

Waktu Makan Haiwan Setiap Hari:

  • African Penguin (11.00 am – 2.45 pm)
  • Rockhopper Penguin (11.15 am – 3.00 pm)
  • Seal (Sabtu – Khamis 2.30 pm, Jumaat 4.00pm)
  • Tunnel Tank (3.30 pm)

Harga Tiket:

  • Dewasa – RM36 (Beserta MyKad)
  • Kanak-kanak – RM26 (Beserta MyKad)
  • Warga Emas – RM29 (Beserta MyKad)

Waktu Operasi: Hari Biasa (10 am – 6 pm) | Cuti Umum (9.30 am – 6.30 pm)

No Tel : +604 955 6100 | +604 959 1357

Lokasi Zon Pantai Cenang, Mukim Kedawang, 07000, Langkawi


36. Taman Burung Langkawi Bird Paradise

Tempat Menarik Di Langkawi 17
Sumber: naturallylangkawi.my

Taman burung langkawi, dikenali juga sebagai Langkawi Wildlife Park, dibuka pada tahun 2002.

Ia merupakan hutan tropical yang didiami oleh 2500 burung exotic yang terdiri daripada 150 species burung yang berlainan.

Taman burung ini merupakan taman burung yang tertutup dan dikelilingi oleh dinding setinggi 15 meter.

Burung di taman ini berterbangan dengan bebas dan hidup di habitat yang direkacipta untuk menyamai habitat semulajadi burung burung ini. Disamping itu, taman burung ini juga mempunyai air terjun buatan manusia.

Jika anda memandu Ia mengambil 10 minit dari Pekan Kuah.

Harga Tiket (Berserta Mykad):

  • Dewasa RM24
  • Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) RM16
  • Warga Emas (55 Tahun Keatas) RM16

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30 am – 6.00 pm)

No Tel: +604 966 5855

Email: [email protected]

LokasiLot 1485, Jalan Ayer Hangat, Kampung Belanga Pecah


35. Air Terjun Telaga Tujuh

Tempat Menarik Di Langkawi 19
Sumber: naturallylangkawi.my

Air Terjun Telaga Tujuh boleh dikatakan tempat paling tenang di Pulau Langkawi. Air terjun ini terletak di Gunung Mat Cincang. Kalau anda berani boleh panjat ke atas air terjun ini.

Air terjun ini dinamakan Telaga Tujuh kerana air terjun ini dibentuk dari tujuh mata air semulajadi yang mengalir ke tujuh telaga semulajadi yang berasingan.

Anda boleh ke puncak dengan menaiki anak-anak tangga yang disediakan dan ia mengambil masa selama 45 minit untuk sampai ke puncak.

Harga : Percuma

Waktu Operasi : Setiap Hari

No Tel : +604 966 7789

Lokasi : Gunung Mat Cincang , 1km dari Oriental Village


34. Taman Buaya Langkawi

Tempat Menarik Di Langkawi 21
Sumber: naturallylangkawi.my

Taman Buaya Langkawi atau Langkawi Crocodile Farm terletak 32 km dari Pekan Kuah. Di sini anda boleh melihat buaya dalam habitat semulajadi mereka.

Hampir 1,000 ekor buaya dipamerkan di Taman Buaya Langkawi ini. Buaya diasingkan ke dalam tiga kolam yang berlainan:

  • Kolam Pembiakan
  • Kolam Pemakanan
  • Kolam Pertunjukan

Sebagai hiburan, anda boleh menonton pertandingan gusti “Manusia vs Buaya” yang diadakan setiap hari antara pelatih buaya dan buaya yang terlatih.

Jangan lupa untuk melawat buaya istimewa yang bernama Bujang Kawi. Bujang kawi merupakan seekor buaya yang besar yang lahir tanpa gigi, berukuran 13 kaki dan mempunyai keberatan 450 kilo.

Harga Tiket (Berserta MyKad):

  • Dewasa – RM18
  • Kanak-kanak – RM12

Waktu Pertunjukan: 11.00am – 2.45pm

Waktu Makan: 10.30am

Tel : +604 959 2559

Lokasi : Jalan Datai, Kubang Badak, Mukim Air Hangat, 07000, Langkawi,Kedah Darul Aman


33. Buffalo Park

Buffalo Park Langkawi Image
Sumber: Buffalo Park Langkawi

Dibuka pada tahun 2006, Buffalo Park merupakan sebuah tarikan yang wajib dilawati sewaktu bercuti ke Langkawi bagi anda yang merindukan keindahan pemandangan penuh kehijauan sawah padi dan pergunungan.

Seperti namanya, Buffalo Park, di sini anda dapat menemui  sekitar 100 ekor badak air yang digunakan untuk menghasilkan produk tenusu dan baja organik. Suka makan keju? Inilah lokasinya untuk anda mencuba dan memborong sebanyak mana cheese mozzarella yang dibuat  segar-segar dari kilang. Tak payah menempah tiket ke Itali untuk merasai keju segar!

Selain keju, susu yang didapati dari ladang ini turut digunakan untuk menghasilkan produk lain seperti ais krim, yogurt dan susu pelbagai perisa. Semua produk dihasilkan secara segar dari ladang ini sendiri!

Di samping membeli-belah hasil tenusu kerbau yang segar, anda sekeluarga juga boleh melakukan banyak aktiviti menarik yang ditawarkan di sini seperti memberi kerbau makan dan memerah susu kerbau. Anda juga boleh melihat bagaimana keju mozzarella ini dihasilkan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM1

Alamat:  Jalan Nyior Chabang, Kampung Nyior Cabang, Langkawi 07100


32. Galleria Perdana

Galleria Perdana Langkawi Image
Sumber: Muhd Ramdzan Rahmat II

Galleria Perdana merupakan sebuah galeri yang telah ditubuhkan untuk mempamerkan hadiah-hadiah dan anugerah yang telah diterima oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah bt. Mohd. Ali.

Galeri yang dibuka pada tahun 1995 ini terletak di dalam kawasan perkampungan Kilim dengan keluasan 5.3 km persegi. Sebaik sampai di sini anda akan disambut dengan keindahan lanskap di luar galeri yang ditumbuhi dengan pokok-pokok menghijau termasuklah tumbuhan herba.

Untuk pengetahuan anda, muzium ini mempamerkan dalam sekitar 2000 daripada 9000 koleksi pada satu-satu masa yang ditukar dari masa ke masa. Jadi, kalau anda datang ke sini pada waktu yang berbeza, anda mungkin dapat melihat koleksi yang lain daripada sebelumnya.

Pameran di dalam galeri ini terbahagi kepada 3 bahagian. Masa yang diambil untuk habis melihat setiap koleksi di sini adalah dalam sekitar 2 jam.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.30pm) | Cuti Sekolah Cuti Umum (8.30am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM2

Alamat: Jalan Ayer Hangat, Mukim Kilim, 07000 Langkawi


31. Langkawi Mangrove Tour

Langkawi Mangrove Tour
Sumber: Langkawi Mangrove Tour

Langkawi Mangrove Tour dapat memberikan anda sekeluarga pengalaman menyelami alam sekitar yang cukup mengujakan. Di mana dengan menyertai lawatan ini, anda dapat menerokai kepelbagaian flora dan fauna yang ditawarkan hutan paya bakau Langkawi.

Perjalanan yang anda tempuhi akan melalui kawasan-kawasan seperti sungai yang mengalir tenang, pantai-pantai berpasir putih, pembentukan unik batu-batu kapur dan banyak lagi.

Bayaran: RM150 – RM300

Alamat: White Sands Enterprise ( KV 0003499-M ), Jeti Perlancongan Sungai Kilim, Mukim Air Hangat, 07000 Langkawi


30. Taman Agroteknologi Mardi

Taman Agroteknologi Mardi Langkawi
Sumber: Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi

Berkeluasan 27.39 hektar, Taman Agroteknologi Mardi menawarkan anda sekeluarga pengalaman yang penuh manfaat kerana di sini anda sekeluarga dapat mempelajari banyak perkara berkaitan teknologi-teknologi yang digunakan dalam menghasilkan pelbagai jenis tumbuhan di Malaysia.

Anda dapat melihat lebih daripada 20 jenis pokok buah-buahan seperti buah nanas, buah cempedak, buah belimbing, buah mangga dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, tumbuhan herba juga boleh didapati di sini. Kesemua jenis tumbuhan yang dihasilkan di sini dapat dilihat tanpa perlu mengeluarkan peluh kerana anda akan dibawa meneroka dengan menaiki pengangkutan yang disediakan.

Yang bestnya, setelah puas melihat kesemua ladang yang terdapat di sini, anda akan dibawa untuk bersantai di sebuah perhentian untuk menikmati pelbagai jenis buah tempatan yang terhasil mengikut musimnya. Nak tahu apa lagi yang best? Anda boleh menikmati semua ini secara percuma! Sekiranya anda bercadang untuk ke sini,datanglah ketika musim buah yang tak lain tak bukan dari bulan Mei sampai Julai.

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (8.30am – 5.00pm) | Jumaat Tutup

Bayaran: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5

Alamat: 1, Jalan Padang Gaong, Lubuk Semilang, Ulu Melaka Kuah, 07000, Langkawi


29. Muzium 3D Langkawi

Muzium 3D Langkawi
Sumber: Langkawi SkyCab

Muzium 3D Langkawi adalah salah sebuah tarikan yang terletak di Oriental Village. Muzium ini bertempat di dalam sebuah bangunan 3 tingkat yang mempamerkan bukan sedikit tapi 200 buah lukisan 3D! Ingin lagi sebab kenapa anda perlu melawat muzium ini? Kalau anda nak tahu, muzium ini memiliki koleksi lukisan 3D yang terbesar di negara ini dan antara yang terbesar di dunia!

Muzium ini terbahagi kepada 9 zon berbeza iaitu Zon Interaktif 1 dan 2, Zon Malaysia, Zon Akuarium, Zon Klasik, Zon Main Hall, Zon Fantasi, Zon Safari dan Zon Ilusi Optik.

Masa yang diambil untuk habis bergambar dengan sepuas hati semua karya realistik di sini adalah antara 3 ke 4 jam. Jadi, yang wanita, pastikan mekap anda tak cair walaupun dah berpeluh!

Bayaran: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM20

Alamat: Oriental Village Burau Bay, 07000 Langkawi


28. Pulau Payar Marine Park

Pulau Payar Marine Park Langkawi Image
Sumber: Santousi Photography

Pulau Payar Marine Park adalah sebuah pulau yang tidak dihuni oleh sesiapa namun ianya menjadi destinasi tarikan pelancong yang datang dari serata dunia untuk aktiviti jungle trekking, memerhati burung, menyelam skuba dan snorkeling.

Kalau anda ingin melihat ikan-ikan berenang dengan banyak dan bebas seperti di dalam akuarium di sekitar anda, inilah lokasinya. Nak tahu kenapa banyak sangat hidupan marin dekat sini? Sebabnya adalah kerana ia merupakan salah satu pulau yang termasuk di dalam Taman Marin yang mana aktiviti perikanan adalah dilarang sama sekali.

Selain ikan-ikan, hidupan eksotik lain juga dapat dinikmati keindahannya seperti batu-batu karang yang penuh warna-warni.

Untuk pengetahuan anda, pulau ini memiliki 4 buah kawasan pantai berbeza yang boleh anda pilih sebagai lokasi penerokaan dunia bawah air. Kesemua pantai ini cukup tenang untuk anda berseronok bersama keluarga tanpa risau.

Bagi anda yang ingin menikmati keindahan pulau ini lebih daripada sehari, anda perlu mendapatkan kebenaran untuk berkhemah di sini daripada pihak berkuasa.

Alamat: Pulau Payar Marine Park


27. Kilim Karst Geoforest Park

Kilim Karst Geoforest Park
Sumber: Kilim Karst Geoforest Park

Kilim Karst Geoforest Park merupakan sebuah kawasan taman hutan yang berkeluasan lebih daripada 100 km persegi. Penerokaan sekitar taman ini dapat membuka mata anda dengan pelbagai jenis keindahan alam yang terdiri daripada pembentukan gua-gua indah, pantai yang memukau pandangan mata, kawasan paya bakau dan banyak lagi.

Sambil melihat keindahan flora anda juga dapat menyaksikan ragam haiwan-haiwan liar yang menjadikan kawasan-kawasan ini sebagai habitat mereka.

Antara lokasi yang menjadi tarikan di sini adalah Gua Kelawar, Gua Buaya, Rumah Terapung dan kawasan Eagle Feeding.

Waktu Operasi: Setiap hari (8.30am – 5.00pm) | Waktu terbaik (Sept – Mac)

Bayaran: Dari RM250 – RM500

Alamat: Sungai Kilim Tourist Jetty, Kampung Kilim, Mukim Ayer Hangat, 07000 Kilim, Langkawi


26. Tanjung Rhu

Tanjung Rhu Langkawi Main Image
Sumber: Tetamoo

Tanjung Rhu adalah sebuah kawasan pantai yang sungguh mempesonakan keindahannya sehingga termasuk di dalam senarai sebagai antara 100 pantai yang terindah di dunia oleh media antarabangsa, CNN. Wow!

Namun begitu, pantai ini lebih tenang dan privasi berbanding Pantai Cenang. Sambil menikmati kedamaian pantai, anda dapat menikmati pemandangan pokok-pokok rhu yang tumbuh mekar di kiri dan kanan, dah macam di luar negara.

Bukan itu sahaja, kecantikan kawasan pantai ini turut diserlahkan lagi dengan kewujudan bot-bot nelayan dan bot pelancong yang berlabuh di tepian pantai.

Untuk aktiviti yang sering dilakukan di sini pula, aktivitinya adalah seperti parasailing, snorkeling dan banyak lagi. Namun begitu, pantai ini turut menjadi kawasan pantai persendirian yang mana hanya boleh dilawati oleh tetamu penginapan di sekitar kawasan. Oleh itu, terdapat kemungkinan yang anda tidak boleh mengakses pantai ini dari pukul 5.30 pm dan ke atas.

Alamat: Jalan Tanjung Rhu, Tanjung Rhu, 07000 Langkawi


25. Skytrex Adventure Langkawi

Skytrex Adventure Langkawi Image
Sumber: Fyza Nordin

Ingin melakukan sesuatu yang lasak? Jom ke Skytrex Adventure Langkawi. Kalau anda pernah dengar tentang Skytrex di Shah Alam, cawangan Skytrex di Langkawi ini pula agak berbeza dan lagi best daripada Shah Alam kerana kawasannya yang lebih luas dan waktu operasinya yang lebih kerap.

Memang puaslah kalau dapat beraktiviti kat sini! Sambil melakukan aktiviti lasak yang ditawarkan, anda boleh menikmati pemandangan yang mengujakan Gunung Mat Chincang.

Untuk melakukan aktiviti-aktiviti di sini, anda perlu memiliki berat tidak lebih daripada 100 kg dan ketinggian tidak kurang daripada 1.5 meter.  Anda juga boleh memilih untuk melakukan aktiviti di sini mengikut tahap yang berbeza iaitu Beginner, Intermediate dan Expert. Jangan overconfident pula ya?

Waktu Operasi: Pendaftaran Awal (9.00am) | Pendartaran akhir (3.00pm)

Bayaran: Beginner RM50 | Intermediate RM60 | Expert RM70

Alamat: Skytrex Langkawi Adventure Park Jalan Teluk Yu Kampung Kok Langkawi Kedah


24. Sandy Skull Beach

Sandy Skull Beach Image
Sumber: Langkawi Tour

Sandy Skull Beach  adalah sebuah tarikan indah yang terletak di kawasan yang agak tersorok di sebalik hutan. Pantai dengan air yang jernih dan pasir putih halus ini sangat menarik untuk dijadikan lokasi bersantai bersama keluarga dalam keadaan penuh privasi.

Anda boleh menggunakan kemudahan-kemudahan yang tersedia di sini seperti surau, pondok, meja, dan tandas. Terasa lapar? Di sini juga turut dibuka beberapa buah gerai yang menjual buah-buahan.

Banyak sebab untuk anda jadikan pantai ini sebagai destinasi lawatan sekiranya ke Langkawi kerana seperti dikatakan tadi, ianya dikelilingi oleh kehijauan pokok-pokok hutan, berpasir halus yang sedap untuk dipijak, air yang jernih bak kristal dan sesuai untuk bermandi-manda. Kalau dilihat di hujung-hujung pantai, turut terdapat pembentukan batuan yang menarik.

Alamat: Pantai Pasir Tengkorak, 07000 Langkawi


23. Air Terjun Durian Perangin

Air Terjun Durian Perangin Langkawi
Sumber: Aisyah Raudhahtul Jannah

Disempadani oleh dusun-dusun buah dan perkampungan penduduk tempatan adalah tarikan semula jadi Air Terjun Durian Perangin. Air terjun ini merupakan sebuah air terjun 14 peringkat yang sungguh mengujakan bila dilihat.

Sambil menikmati pemandangan air terjun dengan air yang jernih ini, anda boleh berkelah, berenang atau membuat bbq kerana kemudahan memanggang turut disediakan di sini.

Alamat: Hutan Simpan Gunung Raya, Langkawi


Baca: 37 Homestay Di Langkawi Yang Menarik

22. Air Terjun Temurun

Air Terjun Temurun Langkawi

Kalau tak puas lagi dengan sebuah air terjun, singgah pula ke Air Terjun Temurun yang terletak di dalam hutan simpan Mat Chincang, Langkawi.

Pemandangan menenangkan perasaan flora dan fauna di sekitar air terjun ini akan membuatkan jiwa anda terasa seperti dicaj kembali tenaganya dan minda terasa sungguh segar, ditambah lagi dengan bunyi air yang jatuh dari ketinggian 30 meter, membuatkan seluruh deria badan terasa nikmat kedamaiannya.

Sambil menyaksikan keindahan yang terhidang di depan mata, anda boleh melakukan aktiviti-aktiviti seperti berbbq, berkelah, bermandi-manda atau merentas hutan.

Alamat: Air Terjun Temurun, 07000 Langkawi


21. Pantai Pasir Hitam

Pantai Pasir Hitam Image
Sumber: Sha Ramson Abdullah

Jangan terkejut, Pantai Pasir Hitam ini bukan ‘hitam’ pada namanya sahaja, tapi memang pasirnya berwarna hitam. Apa yang membuatkan pasir di pantai ni tak macam kat tempat lain?

Mengikut kisah-kisah mitos yang disampaikan dari zaman ke zaman,  pada satu masa dahulu, terdapat seekor burung Garuda yang datang dan menculik seorang puteri cina yang cantik wajahnya dengan niat yang baik, namun begitu, tunang si puteri ini yang datang dari Rome telah bertempur dengan Garuda ini demi mendapatkan kembali puteri.

Perang antara burung Garuda dengan tunang puteri ini tidak henti-henti sehinggalah sampai ke Pulau Langkawi sampai menyebabkan pasir pantai ini menjadi hitam kerana sisa peperangan.

Tapi, kalau diikutkan sebab sebenarnya, tak lah se‘epik’ yang disangka, kerana pasir ini menjadi hitam disebabkan oleh campuran kandungan mineral yang berbeza iaitu zirkon, ilmenit dan tourmaline. Dan dikatakan yang mineral-mineral yang terdapat di dalam pasir ini datang daripada Gunung Raya melalui mata air yang mengalir tidak jauh dari pantai.

Alamat: Pantai Pasir Hitam, Air Hangat, Langkawi


20. Pantai Teluk Yu

Pantai Teluk Yu Langkawi Image
Sumber: Tourism Malaysia

Pantai Teluk Yu ini mendapat namanya daripada tugu-tugu batu yang berbentuk ikan yu yang diletakkan di tepian pantai.

Tapi jangan risau, anda masih boleh bermandi-manda dengan penuh ketenangan di kawasan pantai ini sebab tak ada pun kehadiran ikan yu yang sebenar di sini, airnya juga sungguh tenang untuk anda jadikan lokasi mandi-manda bersama keluarga, tapi ambil tahulah tentang waktu pasang surutnya ya?

Bertempat di antara Pantai Pasir Tengkorak dan Pantai Pasir Hitam, Pantai Teluk Yu ini hanyalah berkepanjangan 200 meter. Sambil bersantai di tepi pantai yang tidaklah sepanjang pantai yang lain ini, anda dapat melihat pemandangan kepulauan Tarutao, Selatan Thailand yang nun jauh dari pandangan mata.

Alamat: Pantai Teluk Yu, Ayer Hangat, Langkawi


19. Pantai Tengah

Pantai Tengah Langkawi Image
Sumber: Yuruyen Hikayeler

Terletak hanyalah bersebelahan dengan pantai yang meriah dengan pelawat iaitu Pantai Cenang, Pantai Tengah adalah pilihan tarikan alam semula jadi yang lebih tenang untuk anda yang ingin menikmati rasa nyaman pantai yang sebenar tanpa gangguan ramai.

Pantai dengan pasir putih dan air yang jernih ini menawarkan pemandangan matahari terbenam atau menaik yang sungguh mempesonakan. Sambil-sambil melepak-lepak tu, lengkapkan ‘gaya santai tepi pantai’ anda dengan air kelapa yang menyegarkan tekak.

Dah puas melepak, anda boleh cuba bermacam aktiviti menarik yang ditawarkan di sini seperti banana boat, jet ski, parasailing dan bermacam lagi. Kalau nak buat sesuatu yang relaks, rawatan spa turut ditawarkan di sini.

Alamat: Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi


18. Oriental Village Langkawi

Oriental Village Langkawi Main Image
Sumber: My Malaysia

Oriental Village Langkawi adalah sebuah tarikan yang super best yang terletak di Pantai Kok. ‘Kampung’ ini bukanlah kampung biasa tapi ianya padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang bila dilakukan, pengalamannya akan sentiasa terngiang-ngiang di ingatan.

Antara tarikan yang terdapat di sini adalah kereta kabel, jambatan yang dipanggil Sky Bridge, menaiki gajah, animal feeding, galeri, tempat-tempat shopping cenderamata, kedai-kedai makan dan macam-macam lagi! Disebabkan banyak sangat tarikan dalam satu tempat menarik, terdapat sebuah kedai yang memberikan khidmat sewa Segway untuk memudahkan anda sekeluarga melalui setiap tarikan tanpa rasa penat.

Alamat: Burau Bay Padang Matsirat, 07000 Pantai Kok


17. Telaga Harbour Marina

Telaga Harbour Marina Langkawi Main Image
Sumber: Chee Chung

Telaga Harbour Marina adalah sebuah tarikan yang terletak di bahagian barat selepas melepasi Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Teluk yang berkeluasan 27 ekar ini padat dengan segala macam fasiliti yang termasuklah laluan papan kayu untuk berjalan kaki dan restoran-restoran masakan laut.

Bila dilihat keadaannya sekarang yang meriah dengan pelbagai kemudahan, tidak terbayang yang pada suatu ketika dulu, kawasan ini hanyalah sebuah perkampungan nelayan kecil yang kini telah dibangunkan.

Alamat: Telaga Harbour Marina, Pantai Kok, 07000


16. Pulau Beras Basah

Pulau Beras Basah Langkawi Main Image
Sumber: Shira Nasir

Berlatar belakangkan kehijauan hutan yang mekar,  Pulau Beras Basah adalah lokasi yang patut anda lawati sekiranya mendambakan pemandangan yang menyegarkan mata.

Anda dapat menikmati pemandangan air laut yang jernih serta pasir putihnya sambil bermandi-manda atau sekadar berkelah di tepi pantai dan menikmati bayu laut yang mendamaikan. Jangan lupa untuk membawa kamera sekali, mana tahu kalau tiba-tiba muncul burung helang atau ikan lumba-lumba di pantai ni?

Alamat: Pantai Tengah, 07000 Langkawi


15. Pulau Dayang Bunting

Pulau Dayang Bunting Langkawi Image
Sumber: ASAR Travel Tour

Pulau Dayang Bunting, dengar namanya sahaja dah rasa macam pelikkan? Di sinilah terletaknya sebuah kawasan tasik yang dikatakan menjadi tempat kegemaran puteri kayangan yang bernama Mayang Sari. Malahan kalau dilihat dari jauh, tasik yang terletak dalam jejeran bukit ini kelihatan seperti seorang wanita yang bunting dalam keadaan berbaring.

Sekiranya anda sampai ke kawasan tasik di sini, anda boleh menikmati pemandangan dari platform terapung yang disediakan sambil merendamkan kaki di dalam air tasik. Nak lagi best, terjun dalam air tasik ini untuk sebuah mandian yang sangat menyegarkan badan, tapi jangan lupa untuk mengenakan jaket keselamatan.

Untuk pengetahuan anda, ada juga yang datang semata-mata untuk minum air dari tasik ni yang dipercayai mujarab untuk mendapatkan anak.

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3

Alamat: Pulau Dayang Bunting


14. Island Horses

Island Horses Langkawi Image
Sumber: Island Horses Langkawi

Island Horses adalah salah satu aktiviti yang tidak patut anda lepaskan kalau berada di Langkawi sekiranya tak kisah untuk berbelanja lebih. Anda boleh melawat Langkawi Horses Equestrian Centre yang hanyalah 10 minit berjalan kaki dari Oriental Village Langkawi untuk sebuah pengalaman yang akan terukir di dalam memori.

Anda boleh merancang untuk menunggang kuda berdasarkan jadual yang disediakan. Jangan risau, walaupun tak pernah naik kuda, pihak Equestrian Centre ini akan pastikan semuanya disesuaikan dengan kemampuan anda.

Antara lokasi penerokaan menggunakan kuda yang ditawarkan adalah melalui kawasan-kawasan air terjun yang tersembunyi, hutan yang menghijau, kawasan-kawasan kampung dan pantai-pantai yang nyaman.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (7.00am – 11.00am, 3.00pm – 6.00pm)

Alamat: The Perdana Stables, Telaga Tujuh Waterfalls, Langkawi


13. Kompleks Kraf Langkawi

Kompleks Kraf Langkawi Image
Sumber: Kompleks Kraf Langkawi

Kompleks Kraf Langkawi adalah sebuah tarikan yang berkeluasan 98,000 kaki persegi yang terletak sekitar 21 km dari pekan Kuah.

Kompleks yang luas ini memiliki dua buah muzium untuk anda terokai iaitu Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat Perkahwinan. Di sinilah anda dapat melihat dengan dekat bermacam barangan dan artifak peninggalan masa lampau seperti keris dan banyak lagi.

Lepas puas berjalan dalam kawasan yang seluas ini, mesti rasa laparkan? Tak perlu susah-payah cari kedai makan di tempat lain sebab di kompleks ini juga ada sebuah restoran yang menghidangkan masakan tradisional Melayu yang menarik untuk dicuba.

Waktu Operasi: 10.00am – 6.00pm

Alamat: Kompleks Kraf Langkawi, Teluk Yu, Mukim Bohor


12. Nusantara Gamat

Nusantara Gamat Langkawi Image
Sumber: Jieyune Iyune‎

Setiap kali luka je, mesti nak sapu minyak gamat, sampai dah tinggal sikit minyak tu kat rumah. Nak isi balik stok minyak gamat di rumah tu, anda boleh datang ke Nusantara Gamat.

Bukan je dapat beli minyak gamat dengan harga yang wow tapi juga dapat melihat sendiri di depan mata macam mana proses dari awal sampai akhir minyak gamat ini dihasilkan!

Hati-hati, kalau anda datang ke sini, bukan minyak gamat je yang akan dibeli, banyak lagi produk lain berasaskan gamat yang tak boleh kalau tak beli memandangkan khasiatnya tinggi bukan main seperti balm, sabun dan macam-macam lagi.

Waktu Operasi: 8.30am – 5.30pm

Alamat: Nusantara Gamat, Jalan Padang Mat Sirat


11. Herbwalk Langkawi

Herbwalk Langkawi Image
Sumber: Herbwalk Langkawi

Ingin menimba ilmu lebih banyak tentang tumbuhan-tumbahan herba dan kepentingannya untuk kesihatan?  Anda boleh menyertai sesi lawatan taman Herbwalk Langkawi. Sambil menghirup udara segar di dalam taman, anda akan diberikan penerangan yang mendalam oleh Dr. Abdul Ghani Hussain yang telah terlibat dalam dunia perubatan di Langkawi lebih daripada 30 tahun.

Dr. ini kini sedang memberikan perhatian kepada penyelidikan tentang perubatan tradisional Melayu dan perubatan Islamik, di samping aktif mengumpulkan koleksi tumbuhan dengan manfaat perubatan sejak tahun 2000. Kini koleksinya telah pun mencapai 500 jenis kesemuanya.

Anda sekeluarga boleh bertanya sebanyak mungkin soalan berkaitan kesihatan dan penyelidikan-penyelidikan yang telah dilakukan dalam suasana santai. Di akhir sesi, anda akan dibawa ke sebuah pondok tradisional untuk menikmati teh dan kudapan tempatan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 11.00pm)

Bayaran: Satu Sesi Dengan Bilangan Maksimum 25 Pax  RM750

Notis: Perlu Membuat Tempahan Lawatan Sekurang-kurangnya 2 Minggu Sebelum Lawatan

Alamat: 8th Mile Jalan Ayer Hangat | Mukim Ayer Hangat, Langkawi 07000


10. Langkawi Canopy Adventure

Langkawi-Canopy-Adventure-Main-Image
Sumber: Langkawi Canopy Adventures

Langkawi Canopy Adventure adalah sebuah adventure yang tak patut anda lepaskan sekiranya berada di Langkawi. Anda dapat menikmati keindahan yang ditawarkan Gunung Raya Langkawi sambil melakukan pelbagai aktiviti yang mendebarkan jiwa seperti ziplining, merentas hutan yang tebal, abseiling dan memanjat pokok-pokok. Dengar pun dah rasa mengah kan?

Masa yang diambil pun bukannya pendek kerana di sinilah tahap stamina anda akan betul-betul teruji dalam sekitar 2 ke 3 jam. Kalau anda memang sukakan aktiviti lasak, kepuasan melakukan aktiviti ini tak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Bayaran: Dari RM180+

Alamat: No 1176, Jalan Batu Belah Batu Bertangkup, Kampung Bukit Lembu, 07000 Langkawi


9. Taman Lagenda

Taman Lagenda Langkawi Main Image
Sumber: RA TRAV Car Rental Langkawi

Dibuka pada tahun 1996, Taman Lagenda Langkawi adalah hasil cetusan idea daripada Tun Mahathir. Taman yang berkeluasan 50 ekar ini adalah sebuah lokasi yang perlu dilawati sekiranya anda ingin tenggelam dalam kisah-kisah mitos yang melibatkan Langkawi.

Segala bentuk tugu atau ukiran patung yang menggambarkan legenda atau mitos Langkawi dapat dilihat. Ia juga lengkap dengan papan yang menyampaikan kisah di sebalik arca yang dipamerkan, tak ubah seperti sebuah ‘muzium terbuka’.

Di samping semua ini, tarikan lain yang turut dapat dinikmati di sini adalah 4 buah tasik buatan yang indah, bukit tinjau yang berketinggian 20 kaki, laluan berjogging dan banyak lagi!

Alamat: Kuah, 07000 Langkawi


8. Taman CHOGM

Taman CHOGM Pulau Langkawi Image
Sumber: Amar Pared

Taman CHOGM adalah sebuah tarikan yang berkeluasan 10 ekar yang didirikan untuk memperingati Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel yang telah diadakan di Langkawi pada tahun 1989.

Di dalam taman ini, pelbagai jenis pokok telah ditanam oleh delegasi dari pelbagai negara yang telah datang ketika mesyuarat komanwel ini. Yang menariknya, setiap pokok yang ditanam turut ditandai dengan nama dan negara asal penanam benih pokok tersebut.

Bagi anda yang datang bersama anak-anak kecil, taman ini turut memiliki sebuah taman permainan kanak-kanak.

Alamat: Taman CHOGM, Persiaran Putra, Kuah


7. Langkawi Upside Down House

Langkawi Upside Down House Image
Sumber: Rumah Terbalik Langkawi

Ini adalah salah sebuah lokasi yang anda kena pastikan bateri  kamera dan phone dah full sebelum sampai, kalau tak, rugi sebab ini adalah sebuah tarikan unik yang mesti diabadikan dalam foto! Langkawi Upside Down House adalah rumah terbalik yang terletak di dalam kontena.

Disebabkan ianya dipanggil ‘upside down’, semua benda yang ada dalam kontena ni adalah dalam kedudukan terbalik. Sampai anda pun boleh pening kepala tertanya-tanya sama ada anda yang terbalik atau barang dalam rumah ni yang terbalik. Jangan malu untuk posing pula! Ada lebih daripada 15 kawasan bergambar ‘lintang-pukang’ yang terdapat di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa RM18 | Kanak-kanak RM15

Alamat: Jalan Padang Matsirat, Kuah, 07000 Langkawi, Kedah


6. UMGAWA Zipline Eco Adventure

UMGAWA Zipline Eco Adventure Langkawi Image
Sumber: Umgawa Legendary Adventures

Terletak tidak jauh dari Kereta Kabel Langkawi, UMGAWA Zipline Eco Adventure adalah sebuah tarikan yang teramatlah best untuk dicuba! Walaupun bayarannya tidaklah murah, tapi pengalaman yang dapat dirasai sewaktu melakukan aktiviti yang ditawarkan tidak dapat ditukar ganti dan pasti tak akan dilupakan seumur hidup.

Kalau dah namanya pun ‘Zipline,’ inilah tarikan utamanya. Cukup panjang laluan yang akan ditempuhi, sambil bergantung pada zipline ni, anda dapat menikmati pemandangan sekitar Gunung Mat Chincang, Air Terjun Telaga Tujuh dan banyak lagi!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 4.30pm)

Bayaran:  Big waterfall adventure: RM429 – RM499 | Jungle flight: RM159 – RM199

Alamat: Umgawa Legendary Adventures, Jalan Telaga Tujuh, 07100 Langkawi


Baca: 21 Hotel Bajet Di Batu Ferringhi Yang Selesa Untuk Bajet Traveller

5. Kompleks HIG

Kompleks HIG Langkawi Main Image
Sumber: Haji Ismail Group

Tak sah kalau tak shopping di Langkawi ni kan? Tapi di mana lokasi shopping tu? Kompleks HIG adalah salah satu tempat yang boleh dilawati untuk sesi keringkan poket. Dekat sini ada bermacam barangan yang dijual dengan harga yang membuatkan anda rasa macam nak borong semuanya!

Dari pinggan-mangkuk, kain pelikat, minyak gamat dan macam-macam lagi, boleh dibeli tanpa rasa bersalah!

Waktu Operasi: 10.00am – 10.00pm

Alamat: Jalan Pandak Mayah, Pusat Bandar Kuah, 07000 Kuah


4. Gunung Raya

Gunung Raya Pulau Langkawi Main Image
Sumber: Langkawi Hotspot

Nak tahu gunung apa yang tertinggi di Langkawi? Gunung Rayalah jawapannya. Gunung yang berketinggian 881 meter ini juga cukup kaya dengan flora dan fauna yang menarik untuk diteroka. Antara hidupan liar yang terdapat di sini adalah monyet, burung helang, burung enggang, kelawar dan banyak lagi.

Sebaik sampai ke kawasan puncak gunung ini, anda akan disajikan dengan pemandangan yang mengujakan sekitar Langkawi, perairan Andaman dan pulau-pulau yang terletak di atasnya.

Alamat: Jalan Air Hangat, Langkawi


3. Idaman Suri

Idaman Suri Langkawi Image
Sumber: Start Travel Tour

Idaman Suri adalah sebuah lagi lokasi membeli-belah yang menarik di Langkawi. Kalau nak tahu, inilah syurga membeli-belah bagi kaum hawa. Di Idaman Suri ini bermacam barangan kelengkapan rumah yang termasuklah pingan-mangkuk dijual dengan harga yang membuatkan  wanita rambang mata. Rasanya, boleh penuh satu kereta kalau dah sekali datang ke sini!

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (9.30am – 8.00pm) | Jumaat Tutup

Alamat: Bangunan Idaman Suri, No. 1, Taman Seri Berlian, Kedah, 07000 Kuah


2. Pekan Kuah

Pekan Kuah

Mengikut lagenda, Pekan Kuah mendapat namanya daripada peristiwa pergaduhan anatara dua gergasi, Mat Cincang dan Mat Raya yang wujud pada masa silam.

Akibat daripada pertarungan ini kuah gulai tertumpah mengenangi kawasan ini dan dari situ Pekan Kuah mendapat namanya. Di pekan ini terdapat:

  • Tempat membeli-belah bebas cukai
  • Jeti Feri
  • Dataran Helang
  • Restoran
  • Bank Pejabat Kerajaan

Salah satu sebab orang datang bercuti ke Pulau Langkawi ini adalah kerana barang di sini bebas cukai. Disebabkan oleh ini, Pekan Kuah merupakan syurga membeli belah kepada yang mencari barang murah. Antara barang yang popular di sini adalah:

  • Coklat Impot Jenama Antarabangsa
  • Set Pinggan Mangkuk Barang Dapur
  • Minyak Gamat

Jika anda mencari tempat makan yang best di Langkawi anda akan jumpa di pekan ini. Anda boleh pilih untuk menjamu selera dengan hidangan seperti nasi kandar hingga ke makanan laut segar.

Lokasi: Kuah, 07000 Bandar Kuah, Kedah


1. Pantai Cenang

Pantai Cenang Langkawi Main Image
Sumber: Langkawi Fans

Pantai Cenang adalah antara kawasan pantai yang paling terkenal di Langkawi. Kalau dah terkenal, sudah semestinya kawasan di sekitar tidak mengecewakan, cukup meriah dengan pelbagai jualan barangan dan tempat-tempat yang menawarkan aktiviti air yang menarik seperti jet ski, parasailing, banana boat dan banyak lagi. Tempat makan? Macam-macam kedai ada di sini, pilih sahaja yang menarik selera anda.

Pantai yang juga merupakan antara yang terpanjang di Langkawi ini agak padat dari bulan Oktober hingga Mei. Kalau anda ke Langkawi sekitar bulan yang padat ni, waktu yang terbaik adalah di awal pagi untuk mendapatkan lebih privasi.

Alamat: Pantai Cenang, Langkawi 07000


Mencari Penginapan di Pulau Langkawi

Untuk mencari penginapan pula anda tidak akan kekurangan pilihan kerana terdapat banyak tempat penginapan di Pulau Langkawi, setiap satu menawarkan harga dan fasiliti yang berlainan.

malibest-resort-picture-1

Tidak kira anda bercuti bersama keluarga,rakan-rakan atau seorang diri, pasti ada penginapan yang sesuai dengan keperluan dan cita-rasa anda.

Dua lokasi yang menjadi tumpuan pelancong apabila memilih tempat penginapan di Langkawi adalah Pekan Kuah dan Pantai Cenang.

Untuk memberi anda sedikit gambaran berkenaan dengan harga dan jenis penginapan yang boleh di jumpai di Pulau Langkawi saya telah menulis 2 post untuk memudahkan pembaca membuat pilihan terbaik mengikut bajet.

Post pertama saya telah menyenaraikan hotel murah di Pulau Langkawi popular yang terletak di sekitar pulau tersebut.

Post yang kedua pula saya hanya menyenaraikan hotel murah di Pantai Cenang, khas untuk mereka yang lebih gemar bermalam di tepi pantai semasa bercuti nanti.

Setiap kali saya ingin menyemak harga terkini, melihat gambar dan membaca pengalaman orang lain bermalam di sebuah penginapan ataupun membuat tempahan secara online saya membuatnya melalui Booking.com.

Bulan Apa Yang Paling Sesuai Untuk Ke Langkawi?

Kalau anda telah habis membaca artikel ini,sudah pasti anda berhajat untuk bercuti ke Langkawi dan kami janji keputusan anda untuk bercuti di pulau ini tidak akan dikesali.

Jika anda tertanya-tanya bulan apakah yang paling sesuai untuk merancang percutian ke Langkawi, jawapannya terpulang kepada suasana yang anda suka.

Mengikut data pelancong yang di kumpul oleh Langkawi Development Authority:

  • bulan yang paling ramai pelancong adalah bulan Disember
  • bulan yang kurang pengunjung adalah bulan April, August dan September.
Tempat Menarik Di Langkawi
Sumber: lada.com.my

Tips jika anda ingin mendapatkan bilik hotel yang murah, anda perlu elak daripada datang bercuti pada bulan yang sibuk, kerana harga bilik hotel juga akan naik mengikut kadar permintaan. Semakin ramai yang berkunjung , semakin mahal harga hotel.

Fakta Menarik Tentang Pulau Langkawi

Terdapat pelbagai aktiviti di langkawi yang anda boleh lakukan untuk mengisi masa anda disana nanti seperti melawat tempat menarik di Langkawi dan juga shopping di Langkawi.

Jangan risau pasal bajet kerana terdapat pelbagai agensi pelancongan yang menawarkan pakej percutian ke Langkawi yang anda boleh pilih mengikut kesesuaian bajet anda.

Pelbagai initiatif daripada Kementerian Pelancongan untuk mempromosi pelbagai tempat bercuti di Malaysia melalui kerjasama dengan agensi-agensi pelancongan untuk mengadakan pelbagai festival pelancongan seperti MATTA Fair , MITA Go Domestic dan sebagainya.

Pulau Langkawi terletak di persisiran barat laut Semenanjung Malaysia. Pulau Langkawi juga merupakan salah sebuah tempat percutian menarik di Malaysia yang kaya dengan sejarahnya yang tersendiri dan juga menjadi tumpuan destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Menurut sumber yang kami perolehi dari laman Web Langkawi Development Authority, sebanyak 3.6 juta pelancong yang telah datang melancong di Pulau Langkawi pada tahun 2015.

Memang tidak dapat dinafikan, keindahan alam semulajadi dan warisan geologi seperti gunung-ganang, pulau-pulau dan pantai-pantai yang indah menjadikan Pulau Langkawi sebagai tempat pelancongan di Malaysia yang dikenali sehingga peringkat antarabangsa.

Pulau Langkawi juga telah mendapat pengitirafan “Geopark” dari UNESCO (Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan) pada 1 June 2007.

Ini kerana pembentukan struktur batuan yang menarik yang dikelilingi oleh hutan purba , gua yang luas dengan stalaktit dan stalagmit , hutan paya bakau, gua laut, terowong semulajadi , hidupan liar dan air terjun.

Terdapat lebih daripada 90 lokasi tapak Geo yang telah ditemui di rantau ini tetapi hanya tiga kawasan sahaja yang membentuk Langkawi Geopark :

  1. Kilim Geoforest Park Karst
  2. Machinchang Geoforest Park Cambrian
  3. Pulau Dayang Bunting Marble Geoforest Park

Bagaimana Untuk Ke Pulau Langkawi?

Anda boleh menaiki kapal terbang dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) atau Subang Airport dan anda akan tiba ke Langkawi International Airport yang terletak di Padang Matsirat.

Jika anda memilih untuk memandu atau menaiki bas, anda perlu menaiki feri dari Jeti Pulau Pinang , Kuala Kedah atau Kuala Perlis. Anda boleh mendapatkan maklumat lengkap berkaitan :

  1. Tiket Penerbangan Langkawi
  2. Tambang bas Langkawi
  3. Tambang Feri Langkawi
  4. Perkhidmatan sewa kereta Langkawi
  5. Perkhidmatan teksi Langkawi

Habis sudah senarai tempat menarik di Langkawi yang telah kami sediakan. Kalau anda ada cadangan untuk tambah Lokasi ataupun hendak berkongsi pengalaman anda bercuti di pulau langkawi sila hubungi kami dan kami akan kongsi pengalaman anda di Laman Blog kami. Selamat Bercuti!

Sumber Gambar: naturallylangkawi.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *