Apa yang anda bayangkan kalau sebut sahaja Kota Kinabalu? Mesti perkara pertama yang tergambar di fikiran adalah Gunung Kinabalu bukan? Jangan hentikan imaginasi anda di situ sahaja, kerana sebenarnya sangat banyak tarikan lain yang sangat best untuk dilawati di bandar ini.
Dari tarikan Kampung Budaya Mari-Mari yang menjadi pusat pelbagai entik di Sabah hinggalah kepada tarikan yang dapat memacu adrenalin anda di Zip Borneo, Kota Kinabalu adalah sebuah destinasi eksotik yang wajib dilawati walau sekali dalam seumur hidup!
Percayalah, semangat anda untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai destinasi pilihan untuk percutian akan datang akan semakin berkobar-kobar sebaik membaca senarai tempat menarik di Kota Kinabalu ini. Nak tahu di mana? Teruskan membaca.
31. Taman Tunku Abdul Rahman
Taman Tunku Abdul Rahman ataupun Taman Laut Tunku Abdul Rahman merupakan kawasan yang terdiri daripada 5 buah pulau iaitu Pulau Gaya, Manukan, Sapi, Sulug dan Mamutik. Untuk menuju ke pulau-pulau ini hanya mengambil masa beberapa minit dari Kota Kinabalu dengan menaiki bot.
Dalam banyak-banyak pulau yang terdapat di Taman Laut ini, Pulau Gaya dan Manukan adalah pulau yang terbesar, manakala pulau yang paling membangun pula adalah Pulau Manukan dan Sapi. Tak kisahlah yang mana satu pun yang anda rancang untuk singgahi bersama keluarga, kesemuanya menawarkan keindahan yang mempesonakan.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di kawasan-kawasan tarikan Taman Tunku Abdul Rahman adalah snorkeling, berkayak, berbbq, menyelam skuba, merentas hutan dan banyak lagi aktiviti pantai yang lain. Secara keseluruhannya, Taman Tunku Abdul Rahman menawarkan lebih daripada 25 lokasi menarik untuk aktiviti menyelam skuba.
Alamat: Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah
30. Borneo Ant House
Jangan salah faham, Borneo Ant House bukanlah bermaksud pamerannya hanyalah semata-mata tentang si semut, sebab kat dalam ni turut terdapat beberapa galeri yang lain yang secara tidak langsung dapat membuka mata anda tentang kepelbagaian komuniti di Sabah iaitu pameran budaya masyarakat Bajau, Dusun Lotud, Iban dan Bidayuh.
Di samping itu, anda juga dapat melihat koleksi pedang yang digunakan untuk pelbagai perkara sama ada majlis keraian, pertabalan, sebagai barangan berharga dan lain-lain.
Namun begitu, seperti nama yang diberikan iaitu Borneo Ant House, tarikan utamanya tak lain tak bukan adalah semut sendiri yang mana anda dapat melihat patung-patung berbentuk semut dan penerangan berkaitan serangga yang dikatakan memiliki kehidupan yang sangat bersistem dan rajin ni.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (8.00 am – 5.30 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM18 | Kanak-Kanak (7 – 12 Tahun) RM9 | Kanak-Kanak (4 – 6 Tahun) RM3
Alamat: Kampung Kindu, Peti Surat 18, 89207 Tuaran, Sabah
29. Tagal Tinopikon
Tagal Tinopikon merupakan tarikan yang terletak di dalam Kampung Notoruss Penampang. Lokasinya hanyalah sekitar 40 minit dari bandaraya Kota Kinabalu. Untuk pengetahuan anda, Tagal Tinopikon merupakan sebahagian daripada sungai Moyog.
Kawasan ini diwujudkan untuk memelihara hidupan air yang makin terancam disebabkan aktiviti perikanan. Disebabkan susah nak jumpa kawasan yang dipenuhi dengan ikan yang berenang bebas, masyarakat di sini telah menjadikan kawasan di sekitar Tagal Tinopikon sebagai kawasan larangan untuk menangkap ikan. “Tagal” sebenarnya bermaksud “larangan” dalam bahasa Kadazan.
Alamat: 500, 89500 Penampang, Sabah
28. Kipandi Butterfly Park
Siapa tak teruja melihat rama-rama yang penuh dengan warna-warni, tapi malangnya, susah betul nak bertembung dengan mereka ni kan? Untuk memberikan anda sekeluarga kepuasan teruja yang tak habis-habis, anda boleh melawat Kipandi Butterfly Park. Di sini, walau di mana sahaja anda berjalan, anda akan sentiasa disapa dengan kehadiran komuniti serangga yang cun tak terkata ni.
Wajib untuk anda ke sini sekiranya berpeluang kerana bukan sedikit tetapi lebih daripada 1,500 ekor rama-rama yang terdiri daripada lebih 100 spesies. Bukan sahaja rama-rama, anda juga dapat melihat sekitar 500 spesies orkid, hampir 30 spesies tumbuhan herba, pokok periuk kera dan lain-lain lagi!
Sebagai informasi tambahan, waktu yang terbaik untuk melawati taman ini bagi melihat kehadiran banyak rama-rama adalah dari pukul 9 pagi ke 11 pagi.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 4.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
Alamat: Kampung Kipandi, Moyog, Kota Kinabalu, Sabah
27. Atkinson Clock Tower
Atkinson Clock Tower (Menara Jam Atkinson) adalah sebuah menara yang telah dibina untuk memperingati seorang pentadbir British yang meninggal dunia di usia muda iaitu ketika berumur 28 tahun pada tahun 1902, Francis George Atkinson kerana penyakit Malaria.
Menara ini telah dibina dengan menggunakan wang hasil sumbangan keluarga Atkinson sendiri serta para pelayar pada tahun 1905. Menara yang berketinggian 15.7 meter ini merupakan salah satu daripada 3 buah bangunan yang terselamat daripada pengeboman yang terjadi ketika Perang Dunia Ke-2.
Alamat: Berhampiran Dengan Padang Merdeka KK
26. Pantai Tanjung Aru
Pantai Tanjung Aru adalah lokasi di mana anda sekeluarga boleh melarikan diri dari kesibukan di kawasan bandar. Sekiranya anda menginap di sekitar bandar, anda boleh juga datang ke sini tanpa perlu bersusah-payah kerana kedudukannya yang tidak begitu jauh.
Jangan lupa juga untuk membawa kamera dan menanti saat-saat mengujakan matahari terbenam untuk diabadikan di dalam foto. Sebagai peringatan, waktu matahari melabuhkan tirai di Kepulauan Borneo ini adalah jauh lebih awal dari tanah Semenanjung, dalam sekitar 5.30 pm.
Alamat: Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah
25. Kota Kinabalu Upside Down House
Dah bosan melihat benda-benda cliche, anda boleh melawat Kota Kinabalu Upside Down House. Mata anda akan dikejutkan dengan pemandangan yang pelik seperti hidup di angkasa lepas dek kerana kedudukan semua benda di dalam galeri ini yang terbalik daripada yang sepatutnya. Sampaikan anda tertanya, diri sendiri yang terbalik atau barangan di sekeliling? Jangan lupa untuk membawa kamera dengan bateri yang penuh!
Waktu Operasi: Setiap Hari (7.00 am – 7.00 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM12.70 | Kanak-Kanak RM5.30
Alamat: Batu 21, Jalan Telibong – Tamparuli, Tuaran Sabah
24. Menara Tun Mustapha
Jangan ingat di KL sahaja ada reka bentuk bangunan yang mengujakan, sebab di Kota Kinabalu pun ada bangunan luar biasanya! Bangunan yang dinamakan Menara Tun Mustapa ini dibina dengan reka bentuk yang tak pernah dibuat orang, iaitu seperti bentuk sebuah roket yang bakal dilancarkan.
Berketinggian 30 tingkat, dengan 2,160 panel kaca reflektif khas sebagai material di sekelilingnya, sesiapa sahaja yang terpandang akan menara ini akan berasa terpegun. Kalau di KL anda wajib bergambar dengan bangunan KLCC, di Kota Kinabalu, inilah bangunan ikonik yang wajib dijadikan latar belakang salah satu foto percutian anda.
Alamat: Tun Mustapha Tower, 88400 Kota Kinabalu
23. Muzium Sabah
Muzium Sabah adalah salah satu daripada tarikan yang paling best di negeri ini. Kenapa? Kerana di dalam satu kawasan kompleks ni terdapat beberapa bangunan berbeza iaitu Bangunan Utama, Pusat Sains dan Teknologi, Kampung Warisan, Taman Etno-Botani dan Muzium Budaya Islamik Sabah.
Bangunan Utama di kompleks muzium ini memiliki reka bentuk rumah panjang Rungus. Di dalamnya terdapat pameran berkaitan Etnografi, Natural History, Seramik, pameran Sejarah dan juga ruangan Arkeologi.
Lokasinya, terletak berhadapan dengan Secretariat Building dan dalam sekitar 4 km dari Bandar Kota Kinabalu.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00 am – 5.00 pm)
Bayaran Masuk: RM2
Alamat: Jalan Muzium, 88300 Kota Kinabalu, Sabah
22. Jesselton Point Waterfront
Jesselton Point Waterfront adalah kawasan terminal feri yang utama di bandar Kota Kinabalu. Pada asalnya, terminal ini dinamakan sebagai Terminal Feri Kota Kinabalu.
Di sinilah semua para pelawat yang ingin menjejakkan kaki ke pulau-pulau yang terletak di dalam Taman Laut Tunku Abdul Rahman ataupun Labuan akan menunggu kehadiran bot-bot laju.
Terminal ini terletak di bahagian utara Kota Kinabalu dan hanyalah beberapa minit berjalan kaki dari banyak penginapan yang terletak berdekatan.
Bukan sekadar untuk naik bot, sekitar terminal ini juga terdapat banyak kedai-kedai makan, kafe dan juga gerai-gerai yang menjual pelbagai cenderamata.
Alamat: Jesselton Point Water Front
21. Taman Hidupan Liar Lokawi
Ramai orang teringin untuk mendekati haiwan-haiwan Borneo atau fauna yang ditawarkan kepulauan ini, tapi, tak ramai yang berani atau rajin untuk meneroka kawasan hutan bagi mencari sendiri hidupan-hidupan ini.
Sebagai alternatif bagi semua, anda boleh melawat Taman Hidupan Liar Lokawi. Taman Hidupan ini merupakan sebuah zoo kecil yang menempatkan pelbagai jenis haiwan seperti gajah, monyet yang termasuklah monyet proboscis, harimau dan banyak lagi!
Namun begitu, jangan lupa untuk memakai semburan penghalau nyamuk atau badan anda akan mula kemerahan dihinggapnya!
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30 am – 5.30 pm)
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
Alamat: 63, Jalan Penampang, 88200 Penampang, Sabah
20. Mari-Mari Cultural Village
Apa gunanya melancong ke negeri lain kalau tak cuba mengenali pelbagai etnik dan budaya di tempat tu? Untuk tujuan ni, anda boleh membuka langkah kaki ke Mari Mari Cultural Village.
Di sinilah bermacam etnik tradisional Sabah dapat anda kenali dengan lebih dekat di dalam rumah-rumah tradisional mereka. Anda sekeluarga dapat melihat budaya masyarakat yang banyak mengerjakan sawah padi Kadazan-Dusun, penduduk rumah panjang etnik Rungus, masyarakat pemburu dan nelayan Lundayeh, ‘koboi’ serta orang laut etnik Bajau, dan pemburu kepala manusia pada suatu ketika dulu, etnik Murut.
Antara aktiviti yang dapat anda lakukan di sini adalah belajar untuk menghidupkan api tanpa lighter, melihat demonstrasi pembuatan tali, lantai, jus pandan dan banyak lagi!
Alamat: Inanam, 88450 Kota Kinabalu, Sabah
19. Signal Hill Observatory Platform
Signal Hill Observatory Platform adalah sebuah ruang pemerhatian yang berbentuk seperti piring UFO yang terletak di puncak tertinggi bandar ini. Sekiranya anda sekeluarga ke sini, pemandangan yang meluas sekitar bandar daripada perspektif burung yang terbang tinggi dapat dilihat dengan sepuas hati.
Untuk menuju ke sini, anda boleh mendaki hingga ke puncak bukit ataupun menaiki teksi. Waktu terbaik untuk menikmati pemandangan dari sini adalah pada ketika matahari terbenam, keindahannya sukar diungkapkan dengan kata-kata.
Alamat: Jalan Bukit Bendera, Kota Kinabalu
18. Double Six Monumen
Double Six Monumen merupakan kawasan memorial yang dibina bagi mengingati tragedi buruk yang berlaku pada 6 Jun 1976. Tragedi yang mengejutkan negara ini telah mengambil nyawa pemimpin-pemimpin besar Sabah, Ketua Menteri pertama Sabah, iaitu Tun Fuad Stephens beserta enam menteri lain.
Dalam tragedi ini, pesawat yang dinaiki mereka terhempas ketika dalam perjalanan dari Labuan ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu.
Alamat: Grace Garden, 88100 Kota Kinabalu, Sabah
17. Zip Borneo
Dah berjalan ke sana ke mari di sekitar Kota Kinabalu, tapi tak tahu kenapa masih rasa tak puas hati, kemungkinan ubatnya adalah dengan melakukan aktiviti yang ditawarkan di Zip Borneo!
Di sini anda dapat menikmati keindahan yang ditawarkan di Kota Kinabalu sambil melakukan aktiviti lasak yang akan memacu adrenalin anda!
Antara aktiviti yang ditawarkan di sini adalah flying fox merentasi Sungai Kiulu, abseiling, wall climbing, berkayak, berkhemah dan lain-lain lagi. Anda boleh memilih aktiviti apa yang ingin dilakukan melalui pakej-pakej yang ditawarkan.
Bayaran: Dari RM60
Alamat: The Adventure Centre, Kiulu
16. Shangri-La Rasa Ria Resort Nature Reserve
Tak puas dengan hanya melihat fauna yang terdapat di zoo, anda boleh ke Shangri-La Rasa Ria Resort Nature Reserve untuk menikmati keindahan alam semula jadi flora dan fauna yang sebenar ditawarkan negeri Sabah.
Hutan simpan yang diuruskan oleh Shangri-La Rasa Ria Resort dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah ini berkeluasan 64 ekar dengan puncak tertinggi yang berketinggian 95 meter dari paras laut.
Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini selain meredah hutan adalah memerhati burung, melihat orang utan dan menderma untuk membantu penjagaan orang utan di sini. Anda sekeluarga boleh melihat orang utan diberi makan 2 kali sehari setiap hari pada pukul 10.00 pagi dan 2 petang.
Anda juga boleh menjadikan mana-mana orang utan yang terdapat di sini sebagai ‘keluarga angkat’ dalam ‘Foster an Orang Utan Programme’ yang mana anda boleh menderma untuk menampung kebajikan mana-mana orang utan buat masa setahun.
Alamat: Pantai Dalit Beach, Tuaran, Sabah, 89208
15. Kokol Haven Resort
Kokol Haven Resort adalah sebuah penginapan indah yang terletak di puncak bukit Kokol di banjaran Crocker pada ketinggian 2,700 kaki dari paras laut. Kesegaran udara dan keindahan pemandangan yang ditawarkan di sekitar resort ini membuatkan ianya mendapat gelaran sebagai Kundasang yang ke-2.
Di samping itu, lokasinya yang terletak 25 km dari bandar Kota Kinabalu (dalam 40 ke 1 jam pemanduan) menjadikan ia lokasi yang hebat untuk anda sekeluarga mendapatkan ketenangan dari kesibukan kota. Di sinilah anda dapat menikmati ketenangan yang sebenar! Baru betul-betul cuti!
Antara tarikan menarik yang terdapat di resort ini adalah gym mini outdoor, taman herba, gelanggang serbaguna, kawasan untuk berjungle trekking dan pokok buah-buahan.
Harga: Dari RM242 Semalaman
Alamat: 10 km Jalan Kokol Kota Kinabalu Sabah
14. Kota Kinabalu Wetland Centre
Kota Kinabalu Wetland Centre ataupun Pusat Tanah Lembap Kota Kinabalu adalah sebuah tarikan hutan paya bakau yang berkeluasan 24 hektar (59 ekar).
Setibanya anda di sini, anda boleh menggunakan laluan yang disediakan di atas papan kayu yang berkepanjangan 1.5 km. Masa yang diambil untuk habis berjalan menikmati udara segar, memerhatikan burung, tumbuhan dan haiwan liar lain di sekitar hanyalah dalam 45 minit.
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (8.00 am – 6.00 pm) | Isnin Tutup Kecuali Ketika Cuti Umum | Buka Pada Setiap Hari Cuti Umum
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3
Alamat: Jalan Bukit Bendera Upper, Taman Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
13. Marine Muzium Kota Kinabalu
Marine Muzium Kota Kinabalu adalah antara pusat akuarium yang terhebat di Kepulauan Borneo. Antara tarikan yang terdapat di sini adalah Marine Museum Research Showcase, Marine Aquarium, Mangrove Walks, teater mini dan Ocean Outreach Corner. Anda sekeluarga pasti teruja melihat kehidupan di dalam air yang dipamerkan dengan cara yang sangat menarik di dalam muzium ini.
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (9.00 a – 4.00 pm) | Ahad Cuti Umum Tutup
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak Warga Emas RM5
Alamat: Universiti Malaysia Sabah, Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, 88400, Kota Kinabalu, Sabah
12. Perdana Park
Tercari lokasi best untuk chill di waktu malam semasa di Kota Kinabalu? Anda sekeluarga boleh melawat Perdana Park. Sekiranya anda ke taman ini bermula dari pukul 7 malam, anda bakal dikejutkan dengan pemandangan yang cukup mencuri hati iaitu pancuran air yang penuh warna-warni sambil diiringi dengan irama lagu.
Persembahan percuma ini berlangsung selama 15 minit sebelum diulangi semula setiap 30 minit kemudian sehingga pukul 9 malam.
Selain menikmati keindahan pancuran air, anda juga boleh menjadikan Perdana Park sebagai tempat untuk berjogging. Bila perut berbunyi, anda boleh bergerak menuju ke Pantai Tanjung Aru yang tidak jauh dari sini untuk menjamu selera.
Waktu Persembahan Pancuran Air: 7.00 am – 9.00 pm
Alamat: Jalan Aru, Kota Kinabalu, Sabah
11. Kota Kinabalu City Mosque / Masjid Terapung Likas
Kota Kinabalu City Mosque ataupun Masjid Terapung Likas adalah masjid kedua yang terpenting di bandar Kota Kinabalu. Masjid yang terletak di pesisir pantai Likas ini memiliki keluasan sebanyak 14.83 hektar dengan kemampuan untuk menampung sehingga 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Jika dilihat dengan teliti, masjid ini memiliki reka bentuk Masjid Nabawi di Madinah.
Jangan lepaskan peluang untuk bersolat di sini! Sebelum ke tempat lain anda boleh melihat lukisan-lukisan yang dijual di ruang luar masjid ni, mungkin ada yang menarik hati?
Alamat: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah
10. Kota Kinabalu Waterfront
Ingin menikmati pemandangan matahari tenggelam yang memukau pandangan? Datanglah ke Kota Kinabalu Waterfront. Anda boleh berjalan di sepanjang laluan papan berkepanjangan 1.4 km untuk melihat pemandangan ini dengan sepuas hati.
Di sekitar kawasan ini juga terdapat banyak tempat untuk makan makanan laut yang best untuk dicuba. Mana tidaknya, segalanya dihidangkan dengan segar! Nak makan ikan? Ketam? Udang? Dan macam-macam lagi makanan laut segar yang lain, segalanya ditawarkan di sini.
Alamat: Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu
9. Cowboy Town Tuaran
Terletak hanyalah dalam 45 minit ke 1 jam dari Kota Kinabalu, Cowboy Town Tuaran adalah sebuah tarikan di Sabah yang patut anda lawati untuk merasai pengalaman menjadi koboi! Sampai sahaja di sini, anda pasti tidak sabar untuk bergambar di kawasan sekitar yang betul-betul kelihatan macam dalam filem koboi Hollywood.
Antara tarikan yang terdapat di sini adalah kandang kuda, trek menunggang kuda, tarikan alam semula jadi paya bakau, taman herba, river cruise untuk melihat kelip-kelip dan banyak lagi!
Bayaran Masuk: Dewasa RM10 | Kanak-Kanak RM5
Alamat: Cowboy Town of Sabah, Sabandar Leisure Ride, Tuaran
8. Pasar Gaya
Jangan sesekali meninggalkan Kota Kinabalu sebelum menjejakkan kaki ke Pasar Gaya. Pasar Gaya merupakan pasar pagi bagi masyarakat di sini.
Anda boleh ke pasar ini untuk memilih pelbagai jenis cenderamata untuk dibawa pulang. Dari ukiran, keychain hinggalah kepada bermacam barangan berasaskan laut yang lain, boleh rambang mata dibuatnya.
Sekiranya anda ingin membeli-belah dengan tenang di pasar ini, datanglah sebelum pukul 8 pagi.
Waktu Operasi: Dibuka Dari Pukul 6.00 am
Alamat: Sunday Market (Gaya Street) Jalan Gaya Kota Kinabalu Sabah
7. Wisma Merdeka
Wisma Merdeka adalah salah sebuah pusat membeli-belah yang terkenal di Kota Kinabalu. Antara barangan yang boleh anda beli dari sini adalah kraftangan, batik, barangan antik, buku-buku dan banyak lagi cenderamata yang lain.
Kedai makan juga tidak menjadi isu, kerana di sini terdapat banyak kedai makan fast food dan kafe-kafe lain.
Untuk pengetahuan anda, Wisma Merdeka adalah salah satu pusat membeli-belah yang terawal di bandar ini.
Alamat: Wisma Merdeka, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
6. Street Art Graffiti Gallery
Bukan hanya di Penang, di Kota Kinabalu juga ada lokasi seni jalanannya! Street Art Grafitti Gallery merupakan kawasan di mana grafiti dilukiskan pada sisa bangunan kolonial British yang dibina antara tahun 1918 ke 1920.
Bangunan ini sebenarnya terselamat daripada kemusnahan yang banyak berlaku ketika Perang Dunia Kedua, namun begitu, sebuah kebakaran besar telah terjadi kepada bangunan ini pada tahun 1992 yang hanya meninggalkan tapak dan tiang-tiangnya.
Apa yang tertinggal daripada bangunan tua ini telah dijadikan kanvas mereka-mereka yang dianugerahkan kreativiti dan ada juga yang sekadar merosakkan.
Pada sekilas pandangan, anda pasti akan terfikir yang ini mungkin hanyalah kawasan grafiti yang tiada makna, kosong dan penuh dengan vandalisme, namun bila didekati, sebenarnya banyak sebenarnya grafiti yang cukup mempesonakan dan profesional hasilnya!
Alamat: 20, Jalan Haji Saman, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
Baca: 35 Destinasi Menarik Di Kundasang Sabah
5. Wisma Sabah
Wisma Sabah adalah lokasi di mana terletaknya banyak pilihan agen pelancongan yang dapat membantu penerokaan anda di sekitar negeri ini.
Sama ada untuk melawat pulau-pulau di Sabah, menerokai hutan belantara atau penerokaan di bandar ini sendiri, anda boleh mendapatkan khidmat daripada agen-agen yang terdapat di wisma ini.
Di samping itu, di sini juga terdapat banyak jualan barangan untuk para pelancong. Pendek kata, untuk apa sahaja yang berkaitan dengan pelancongan di Sabah, bolehlah datang ke sini.
Alamat: Jalan Haji Saman, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
4. I Love KK Sign
Tak sah kalau tak bergambar dengan sesuatu yang sah-sah hanya terdapat di tempat yang kita pergi kan? Salah satu lokasinya kalau di Kota Kinabalu ni adalah “I Love KK Sign,” sebuah mercu tanda besar yang terletak di Jalan Tun Fuad Stephen.
Alamat: Jalan Tun Fuad Stephen, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah
3. Waterfront Seafood Night Market
Perut menggerodak selepas penat berjalan makan angin di sekitar Kota Kinabalu? Anda boleh menuju ke Waterfront Seafood Night Market ataupun Sinsuran Seafood Night Market.
Di sini, anda sekeluarga boleh mengenyangkan perut yang lapar dengan menikmati bermacam-macam makanan laut yang dimasak secara fresh untuk anda nikmati! Tunjuk je apa yang anda nak makan, nak udang, ikan pari-pari, sotong atau bermacam-macam lagi, dan peniaga tersebut akan masak untuk anda.
Selepas puas menikmati makanan, anda boleh berjalan di kawasan lain pasar malam ini untuk membeli bermacam makanan tempatan lain dan sayur-sayuran yang segar.
Alamat: Jalan Tun Fuad Stephens, Kota Kinabalu, Sabah
2. Pulau Manukan
Ingin tenggelam dalam keindahan alam semula jadi yang mengujakan? Anda sekeluarga boleh melawat Pulau Manukan yang terletak hanyalah dalam sekitar 30 minit dari Kota Kinabalu. Pulau yang merupakan sebahagian daripada Taman Laut Tunku Abdul Rahman ini menawarkan kawasan pantai dengan pasir putih yang berkepanjangan 1.5 km. Anda boleh menuju ke sini dengan menaiki bot dari jeti Jesselton Point.
Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-Kanak RM3
Alamat: Pulau Manukan, Taman Laut Tunku Abdul Rahman, Sabah
1. Masjid Negeri Sembulan
Kalau Masjid Terapung Likas adalah masjid kedua terpenting di bandar Kota Kinabalu, Masjid Negeri Sembulan pula adalah masjid utama di bandar ini.
Masjid yang mula dibina pada tahun 1970 ini memiliki kubah besar yang diilhamkan dari masjid-masjid termasyhur di dunia iaitu Masjid Biru di Istanbul, Masjid Jame di New Delhi dan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, manakala menaranya pula diinspirasikan daripada Masjid Nabi di Madinah dan Masjid al-Haram di Mekah.
Masjid yang boleh memuatkan 5,000 orang pada satu-satu masa ini memiliki 16 batang tiang yang dihiasi dengan potongan ayat Quran yang bertintakan warna emas. Betapa indahnya masjid ini sehinggakan ia pernah dianggap sebagai antara masjid yang tercantik di Asia.
Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, 88100 Kota Kinabalu, Sabah
Penginapan Di Kota Kinabalu
Kota Kinabalu merupakan sebuah bandaraya yang cukup menarik untuk dilawati bukan hanya disebabkan tarikan kotanya yang seronok untuk diterokai tetapi juga keindahan alam semula jadi yang ditawarkan.
Destinasi yang cukup sempurna bukan? Untuk memaksimakan lagi kesempurnaan percutian anda sewaktu melancong ke Kota Kinabalu, anda boleh memilih mana-mana daripada 6 penginapan selesa dan dalam harga bajet yang kami senaraikan ini.
Kota Kinabalu Daya Hotel
Penginapan yang luar biasa strategik, Kota Kinabalu Daya Hotel adalah salah satu pilihan yang terbaik untuk anda yang tak ingin mengeluarkan belanja yang lebih untuk pengangkutan! Bukan sahaja dapat berjimat dari segi pengangkutan, harga permulaan hotel ini juga tersangatlah murah!
Sekiranya anda menginap di sini, anda hanya perlu berjalan kaki dalam 5 minit untuk ke Suria Sabah, 10 minit untuk ke terminal Jesselton Point dan hanyalah beberapa minit untuk ke banyak lagi lokasi lain seperti Pasar Ahad Gaya, Wisma Merdeka, Waterfront dan banyak lagi! Tempat makan pun sangat mudah untuk dicari di kawasan sekitar.
Mengenai pengalaman penginapan di hotel ini, beberapa buah bilik di hotel ini menawarkan pemandangan sekitar bandar dan juga ruang tempat duduk. Kalau anda menginap di sini, jangan lupa untuk menikmati air kopi yang dihidangkan di restoran hotel ni, memang kaw!
Harga: Dari RM126+ Semalaman
Alamat: Lot 3 4, Block 9 Jalan Pantai, 88000 Kota Kinabalu
Dreamtel Kota Kinabalu
Terletak di dalam sebuah bangunan berwarna kelabu yang berdiri megah, Dreamtel Kota Kinabalu menawarkan pelawat KK dengan 160 buah bilik selesa yang dihias dengan moden. Dari bilik hotel ini, anda dapat menikmati pemandangan yang menenteramkan jiwa lautan biru ataupun bandaraya Kota Kinabalu.
Lokasinya juga tidak mengecewakan! Anda boleh berjalan kaki untuk ke banyak kawasan tarikan di Kota Kinabalu ni seperti Menara Jam Atkinson, Pasar Ahad Gaya, pasar kraftangan dan pusat-pusat membeli-belah seperti Wisma Merdeka, Suria dan Centre Point.
Harga: Dari RM215+ Semalaman
Alamat: 5, Jalan Padang, 88000 Kota Kinabalu
C’haya Hotel
C’haya Hotel menawarkan penginapan pelbagai jenis daripada bilik suite bisnes hinggalah kepada suite 3 bilik untuk penginapan bersama keluarga. Di samping itu, anda juga boleh memilih penginapan bilik dalam harga yang berpatutan daripada jenis standard hinggalah superior. Sesetengah jenis penginapan di hotel ini lengkap dengan mesin basuh dan juga tab mandian.
Bilik-bilik di hotel ini dihias dengan warna-warna natural yang sejuk dipandang mata. Bukan itu sahaja, biliknya juga agak luas dan selesa untuk penginapan bersama keluarga.
Lokasinya, terletak berdekatan dengan pusat rekreasi Perdana Park dan pantai yang indah Tanjung Aru. Untuk ke pusat bandar pula, hanyalah memakan masa 10 minit dari sini.
Setelah puas berjalan, anda boleh melegakan badan sambil berenang di dalam kolam infiniti yang terletak di bumbung hotel. Pemandangan yang dapat dilihat dari sini sangat mempesonakan.
Harga: Dari RM176+ Semalaman
Alamat: Lot 7, Jalan Tanjung Aru, 88100 Kota Kinabalu
Mandarin Hotel Kota Kinabalu
Mandarin Hotel Kota Kinabalu adalah penginapan yang patut dipilih sekiranya anda seorang yang ‘perfectionist’ dari segi kebersihan kerana hotel ini memiliki tahap kebersihan yang memang superb! Hiasan dalamannya juga sangat menarik pandangan mata, bila digabungkan kedua-duanya, anda dapat menikmati penginapan yang tersangatlah selesa.
Bukan itu sahaja, lokasinya juga strategik yang mana anda hanya perlu bergerak beberapa tapak dari hotel untuk ke banyak kafe dan kedai makan bagi mengisi kelaparan. Tarikan lain seperti menara jam Atkinson hanyalah di belakang hotel ini.
Untuk anda yang ingin melanjutkan perjalanan ke pulau-pulau yang terdekat, Teminal Jeti Jefferson hanyalah 10 minit berjalan kaki dari sini.
Harga: Dari RM141+ Semalaman
Alamat: Number 138, Jalan Gaya,, 88000 Kota Kinabalu
Monaco Boutique Hotel Kampung Air
Siapa tak suka penginapan dengan konsep cool hipster, moden dan teramatlah comfy ni? Monaco Boutique Hotel Kampung Air adalah penginapan yang pasti ‘kena’ dengan jiwa muda anda.
Atmosfera hotel butik ini sungguh mendamaikan jiwa, walaupun harga yang ditawarkan cukup murah, keselesaannya membuatkan anda rasa seperti menginap di hotel mahal. Bukan itu sahaja, sambil berehat-rehat di dalam bilik yang selesa ni, anda boleh menggunakan kemudahan wifi yang disediakan pihak hotel secara percuma.
Lokasinya, cukup dekat dengan pelbagai kemudahan dan tarikan kerana terletak di kawasan bandar.
Harga: Dari RM88+ Semalaman
Alamat: 13, Jalan Perpaduan, Kampung Air, 88000 Kota Kinabalu
Cititel Express Kota Kinabalu
Terletak di tengah-tengah bandaraya, bangunan Cititel Express Kota Kinabalu jika dilihat dari luar kelihatan seperti sebuah hotel mewah yang tak mungkin menawarkan harga serendah ini. Berlokasi strategik, dengan dekorasi dalaman yang sedap dipandang dan berkonsep moden, tak mungkin kurang daripada RM150, namun inilah yang ditawarkannya.
Dari bilik penginapan hotel ini, anda dapat menikmati pemandangan yang cukup menarik! Katil dan bantal yang disediakan juga sangat empuk untuk tidur yang nyenyak setelah kepenatan meneroka sekitar kota. Kemudahan lain yang disediakan adalah wifi dan tempat meletak kereta yang percuma.
Dari hotel ini anda hanya perlu berjalan kaki untuk ke banyak kawasan seperti Filipino Market, Waterfront Kota Kinabalu, pusat membeli-belah dan Dataran Todak.
Harga: Dari RM136+ Semalaman
Alamat: No. 1 Jalan Singgah Mata 1, Asia City, 88000 Kota Kinabalu
Nak lagi banyak pilihan penginapan dalam harga bajet yang selesa di Kota Kinabalu ni? Anda boleh membaca artikel kami bertajuk 22 Hotel Murah di Kota Kinabalu.
Hotel-hotel yang disenaraikan di dalam artikel kami adalah antara yang terbaik, namun begitu, sebenarnya banyak lagi hotel best lain yang tidak dapat kami senaraikan. Anda boleh layari sahaja laman web booking.com untuk pilihan hotel yang banyak dengan tawaran-tawaran harga yang terbaru.
Tak kisahlah di mana pun anda memilih untuk menginap, diharapkan percutian anda di Kota Kinabalu akan menjadi antara memori terindah yang tercipta bersama keluarga. Sediakan stamina yang mantap sebelum ke sini ya?
Banyak sekali tempat menarik di Kota Kinabalu untuk dilawati dan aktiviti untuk dicuba! Dari aktiviti lasak seperti flying fox hinggalah kepada penerokaan flora dan faunanya, Kota Kinabalu bukanlah destinasi percutian yang biasa.