MALAYSIA WORLD HERITAGE TRAVEL SITE Rotating Header Image

Alamat Maxwell Hill

24 Tempat Menarik Di Taiping | Jom Bercuti Ke Bandar Warisan

Jika sesebuah kawasan boleh digelar sebagai harta karun di negara ini, Taiping adalah tempatnya. Di sinilah tersimpannya pelbagai tempat-tempat menarik yang ‘pertama’ wujud di Tanah Melayu aka Malaysia.

Seperti yang telah direkodkan oleh Majlis Perbandaran Taiping sendiri, secara totalnya, terdapat sekitar 40 perkara yang pertama terdapat di Tanah Melayu di dalam daerah ini.

Dari stesen keretapi, zoo, penjara, muzium hinggalah ke taman tasik dan banyak lagi menjadikan Taiping destinasi percutian yang penuh dengan nostalgia. Nak tahu dimanakah lokasi-lokasi menarik di bandar klasik ini? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Taiping ini.

24. Taman Tasik Taiping

Taiping Lake Gardens Image
Sumber: Destination Perak

Dibuka pada tahun 1880, Taman Tasik Taiping merupakan taman awam yang pertama di Malaysia. Taman tasik yang pada asalnya kawasan perlombongan bijih timah ketika zaman penjajahan British ini juga adalah taman yang terbesar di Malaysia dengan keluasan 64 hektar.

Di dalam tarikan alam semula jadi ini bukan hanya terdapat sebuah tasik tapi 10 buah tasik indah yang di sekitarnya berdiri pohon-pohon angsana yang membekalkan oksigen yang menyegarkan kepada sesiapa yang bersantai di sini.

Untuk pengetahuan anda, lanskap taman ini merupakan hasil rekaan seorang warga British bernama Charles Compton. Antara fasiliti yang terdapat di taman ini adalah kolam teratai, taman Jepun, jambatan zig-zag, laluan rollerskate, trek berjogging, ruang refleksologi, bot pedal dan lain-lain lagi.

Alamat: Taiping Lake Garden, 12, Medan Istana 2, Bandar Ipoh Raya, 30000, Ipoh, Perak


Lihat Tawaran Terbaik Hotel Di Taiping

23. Zoo Taiping

Zoo Taiping Image
Sumber: Mazzlina Linn

Jika Taman Tasik Taiping adalah taman yang pertama di Malaysia, Zoo Taiping pula adalah zoo yang pertama yang wujud ni negara ini. Banyak juga yang bermula di Taiping ya? Tak ke legendary tu?

Taman yang berkeluasan 30 ekar ini memuatkan sekitar 1300 ekor haiwan yang dibiarkan bergerak bebas di dalam habitat semula jadi mereka.  Bagi pencinta haiwan, di sinilah anda dapat mendekati dan mempelajari banyak tentang sifat dan suasana persekitaran sebenar mereka.

Selain itu, Zoo Taiping juga merupakan pelopor Night Safari di Malaysia. Ketika waktu malamlah anda dapat melihat aktiviti-aktiviti haiwan yang kebiasaannya bersifat lebih aktif. Lebih aktif haiwan-haiwan ini, lagi menarik ragam yang dapat disaksikan.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm) | Waktu Haiwan Diberi Makan (9.00am – 12.00pm)

Bayaran: Dewasa RM17 | Kanak-kanak RM8.50

Alamat: Jalan Taman Tasik Taiping, Taman Tasik Taiping, 34000 Taiping


22. Muzium Perak

Perak Museum Taiping
Sumber: Taiping The Guide

Bangunan yang bereka bentuk neo-klasik Inggeris ini, Muzium Perak, merupakan sebuah muzium yang mengumpulkan lebih daripada 8000 koleksi yang terdiri daripada koleksi barangan kebudayaan, arkeologi dan alam semula jadi.

Sesetengah daripada bahan yang dipamerkan di sini telah diklasifikasikan sebagai koleksi yang rare yang berusia lebih daripada seratus tahun dan sukar ditemui ataupun semakin pupus. Antara yang dapat dilihat di muzium ini adalah spesimen haiwan, artifak kraftangan, tembikar dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 5.00pm) | Hari Raya Puasa Raya Haji Tutup

Bayaran: Dewasa RM2 | Kanak-kanak Bawah 12 Tahun Berpakaian Sekolah Percuma

Alamat: Jalan Taming Sari, Taiping, 34000


21. Spritzer EcoPark

Spritzer EcoPark Taiping
Sumber: Spritzer EcoPark

Jangan tak tahu, air mineral Spritzer yang sering diminum ini juga ada tamannya sendiri yang diberikan nama sebagai Spritzer EcoPark. Taman yang dibuka secara rasmi pada tahun 2015 ini menempatkan lapangan golf mini berbayar untuk anda berseronok bersama keluarga sambil menikmati udara nyaman.

Anda juga boleh memasuki ruang yang diberi nama The Discovery Tunnel untuk melihat info berkaitan pemprosesan air mineralnya. Sudah puas mengisi sedikit sebanyak ilmu di sini, anda boleh mencuba aktiviti lain yang disediakan seperti Tree Tag Walkabout dan Kidz Zone yang mana anak-anak anda akan diajar untuk menghasilkan sesuatu menggunakan barangan kitar semula.

Bagi yang sekadar ingin bersantai, anda boleh menikmati kopi yang kaw dari sebuah kafe yang agak eksklusif yang terdapat di sini.

Waktu Operasi:

  1. i) Lapangan Golf: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)
  2. ii) Waktu Lawatan ke Kilang: Isnin – Jumaat (11.00am – 3.00pm) | Sabtu (11.00am)

Alamat: Lot 898, Jalan Reservoir, Off Jalan Air Kuning, 34000 Taiping


20. Ansari Famous Cendol

Ansari Famous Cendol Taiping
Sumber: JH Seng

Cendol, makanan yang manis dan sejuk ini cukup enak untuk dinikmati setelah kepenatan meninjau-ninjau sekitar Taiping. Di mana lokasinya cendol enak ini? Gerainya adalah di Ansari Famous Cendol.

Di sini terdapat dua jenis cendol yang terkenal, iaitu cendol kacang merah dan cendol pulut beras, lapar pula tiba-tibakan? Selain cendol, kalau masih tidak kenyang, anda boleh mencuba rojak India dan pasembornya. Senang cerita, try je semua sekali, bukan selalu dapat datang ke kedai istimewa ini.

Kenapa istimewa? Kalau anda nak tahu, Ansari Famous Cendol ini telah mula beroperasi berdekad lamanya iaitu sejak sebelum merdeka lagi, pada tahun 1940. Di mana lagi tempat terbaik untuk menikmati makanan klasik ini kalau bukan di kedai yang seklasik ini, tak gitu?

Alamat: Ansari Famous Cendol, 92, Jalan Barrack, Taiping 34000


Baca: 13 Destinasi Menarik Di Lumut

19. 5D Art Paradise Taiping

5D Art Paradise Taiping
Sumber: 5D Art Paradise Taiping

Banyak juga pameran multidimensi di Malaysia ini dan Taiping juga tak terlepas daripada mengikuti trend ini. Berlokasi di Jalan Maharajalela berhadapan dengan Gate Kafe, 5D Art Paradise Taiping dipenuhi dengan lukisan-lukisan yang membuatkan anda tertanya-tanya sama ada semua ini realiti atau sekadar ilusi.

Anda boleh berposing pada lukisan-lukisan dan props yang terdapat di sini untuk bergambar dan seterusnya memeningkan kepala followers Instagram anda dengan efek ilusi kreatifnya.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 7.30pm)

Bayaran: 131 cm Keatas RM25 | 91 cm – 130 cm RM20

Alamat: No 25, Jalan Maharajalela, 34000 Taiping


18. Old House Museum

Old House Museum Taiping - Main Image
Sumber: Taiping Forum

Daripada namanya sahaja sudah dapat dibayangkan tahap klasik muzium ini. Old House Museum adalah sebuah rumah kedai lama yang telah dibina pada sekitar tahun 1880 oleh seorang ahli perniagaan Cina, Lim Zi You.

Rumah kedai dengan pintu dan tingkap kayu ini terletak berhadapan dengan Market Square Taiping. Nampak sahaja kecil, namun sebaik anda melangkah masuk ke dalam muzium ini, rumah kedai ini sebenarnya agak panjang ke belakang, lengkap dengan taman indoor.

Bangunan 3 tingkat ini juga turut dipenuhi dengan pelbagai barangan antik yang terdiri daripada perabot, tembikar China, koleksi radio-radio klasik dan banyak lagi. Banyak juga barangan yang dipamerkan boleh dibeli menjadikan Old House Museum ini bukanlah sekadar muzium tetapi juga kedai barangan antik.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (10.00am – 6.00pm) | Sabtu Ahad (9.30am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3 | Bawah 6 Tahun Percuma

Alamat: 2A, Market Square, 34000 Taiping


17. Kota Ngah Ibrahim (Muzium Matang)

Kota Ngah Ibrahim Taiping
Sumber: Kamaruddin Jaffar

Dibina oleh pembesar Perak yang terlibat dalam penentangan terhadap campur tangan British, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Jaafar. Kota Ngah Ibrahim yang terletak di Matang, Taiping ini telah dibina pada tahun 1854 dan dikelilingi oleh tembok batu berkepanjangan 131 meter. Di dalam kota ini  pula, Ngah Ibrahim telah membina kediaman rasminya serta sebuah stor untuk menyimpan bijih timah.

Malangnya, pihak British telah menjatuhkan hukuman buang negeri kepada Ngah Ibrahim yang kemudiannya menjadikan rumah ini sebagai kediaman rasmi Penolong Residen, Kapten Tristam Speedy.

Kota ini kini digelar sebagai Muzium Matang yang menyalurkan informasi berkaitan Perang Larut, pameran barangan yang digunakan dalam pelombongan bijih timah dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: Kompleks Sejarah Matang, Jabatan Muzium Antikuiti Kota Ngah Ibrahim, 34750 Matang, Taiping


16. Dataran Warisan Taiping

Dataran Warisan Taiping
Sumber: Majlis Perbandaran Taiping

Sudah kehabisan idea nak kemana pada waktu malam di Taiping? Apa kata kalau anda bawa keluarga anda makan angin di Dataran Warisan Taiping. Bermacam-macam aktiviti yang dijalankan di sini, ada yang bermain kasut roda, basikal, skuter, kereta kawalan berwarna-warni dan macam-macam lagi.

Yang menariknya lagi, bersebelahan dengan Dataran Warisan Taiping ini juga terdapat pasar meriah ala-ala uptown yang diberi nama Bazaar Cross Street. Pilihan barangan dan makanan yang ada di sini boleh membuatkan sesiapa sahaja rambang mata.

Sudah memilih makanan yang diingini, anda boleh melepak di dataran sambil melihat keseronokan anak bermain dengan permainan yang boleh disewa di sini.

Alamat: 1897, Jalan Taming Sari, 34000 Taiping


15. Taiping Equine Park

Taiping Equine Park Image
Sumber: Taiping Lake Garden Equine Park

Ingin ‘feeling’ seperti keluarga diraja? Jom menunggang kuda di Taiping Equine Park. Pelbagai pakej yang disediakan di sini seperti Joy Ride 2 Laps in Arena, Horse Therapy Single Class, 1 Lap Camping Site, dan banyak lagi termasuklah kelas-kelas menunggang kuda. Satu pengalaman yang pastinya tidak dapat dilupakan.

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (8.30am – 11.00am 3.30pm – 7.00pm) | Sabtu Ahad (8.30am – 7.00pm) | Isnin Tutup

Alamat: Taiping Equine Recreation,Jalan Bukit Larut, 34000 Taiping


14. Bukit Larut (Maxwell Hill)

Bukit Larut Taiping Image
Sumber: Shahir Aman

Bukit Larut atau nama lamanya, Maxwell Hill ini merupakan kawasan percutian tanah tinggi yang popular kerana udara segar dan pemandangan alam semula jadi yang disajikannya, mampu memberikan ketenangan yang sukar diungkapkan.

Untuk menikmati pemandangan di sini, anda boleh menaiki menara tinjau yang disediakan. Dari bukit ini, sekiranya cuaca mengizinkan, anda dapat menikmati pemandangan sejauh Selat Melaka dan kadangkala sehingga ke Pulau Pangkor di bahagian selatan ataupun Pulau Pinang di bahagian utara.

Bukit yang berketinggian 1250 meter dari paras laut ini boleh diakses dengan 2 cara iaitu sama ada dengan menyewa Jeep yang disediakan pihak Bukit Larut (tempahan perlu dibuat dengan awal) ataupun jika anda berstamina tinggi, anda boleh mendaki melalui jalan tar yang disediakan. Masa yang diambil untuk sampai ke puncak adalah kira-kira 3 jam bergantung kepada individu.

Alamat: Maxwell Hill, Pegawai Penjaga Bukit Larut, Taiping, Perak, 34000 Taiping


13. ATV Adventure Park Larut

ATV Adventure Park Larut Image
Sumber: ATV – Adventure Park Larut

Ingin melakukan aktiviti yang bukan sahaja mencabar dan menyeronokkan, tapi juga dalam masa yang sama dapat menikmati keindahan alam sekitar yang memukau? Jawapannya adalah dengan menaiki ATV di ATV Adventure Park Larut. Anda bukan sahaja akan meredah hutan tetapi juga kawasan air terjun yang penuh dengan cabaran.

Wow! Macam susah je? Jangan risau, kerana di sini anda akan diberikan tunjuk ajar tentang bagaimana untuk mengawal ATV ini sehinggalah segalanya terasa natural sebelum memulakan aktiviti lasak ini.

Keadaan jalan yang perlu ditempuhi memberikan cabaran yang berbeza-beza, penuh dengan thrill, tapi yang penting,  tahap keseronokan yang dinikmati sentiasa pada level yang maksimum!

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Selasa (9.00am – 6.00pm) | Selasa Tutup

Alamat: Lot 3644 Pejabat Rekreasi, Jalan Bukit Larut, Taiping, Perak 34000


12. New Clock Tower (Old Market)

New Clock Tower Taiping Image
Sumber: Taiping Lang

Sebenarnya, di Taiping ini terdapat 2 buah menara jam, dan ini adalah salah satunya, New Clock Tower. New Clock Tower yang terletak berdekatan dengan pasar ini memiliki reka bentuk yang sangat unik dengan kaca berwarna-warni yang agak menarik untuk dilihat.

Namun sedihnya jam pada menara ini sudah tidak lagi berfungsi. Boleh dilihat tertulis pada badan menara ini adalah “Pasar Lamar, 1885.”

Alamat: Jalan Taming Sari, Taiping 34000


Baca: 14 Hotel Istimewa Di Ipoh Untuk Pengalaman Menginap Luar Biasa

11. Stesen Keretapi Taiping

Taiping Railway Station
Sumber: Mohamad Yunus

Stesen Keretapi Taiping adalah stesen keretapi yang pertama di Tanah Melayu. Stesen yang dibina pada tahun 1882 ini dibuka pada tahun 1885 oleh Sir Hugh Low iaitu Residen British Perak yang pertama. Landasan keretapi ini dibina untuk menghubungkan Taiping ke Port Weld atau Kuala Sepetang untuk mengangkut bijih timah.

Stesen ini walaupun tidak lagi digunakan, masih dikekalkan supaya generasi baru dapat melihat bagaimana keadaan sebuah stesen keretapi yang telah beroperasi lebih daripada 100 tahun ini. Landasannya pula telah dibuang pada sekitar pertengahan tahun 1980-an.

Alamat: Stesen Keretapi Taiping, 34000 Taiping


10. Menara Jam Besar Taiping

New Clock Tower (Old Market)
Sumber: Taiping The Guide

Clock Tower yang terletak di Jalan Kota ini adalah sebuah menara jam yang dibina pada tahun 1881 menggunakan kayu. Pada tahun 1891, menara ini diperbaharui menggunakan batu-bata. Kalau anda nak tahu, bangunan sebenar menara ini berbentuk kubu empat segi yang telah pun dibuang.

Info menarik yang lain berkaitan menara jam ini adalah ia pernah dijadikan sebagai stesen polis dari tahun 1908 hingga 1950, kemudian, ia ditukar fungsi sebagai balai bomba. Kini, Clock Tower ini dijadikan sebagai Pusat Informasi Pelancong Taiping di mana anda boleh mendapatkan peta perjalanan dan info tentang 33 tempat pertama di Taiping.

Informasi-informasi lain berkaitan pelancongan juga boleh didapati di sini yang termasuklah mengenai tempat penginapan. Selain itu, anda juga boleh membeli cenderamata yang dijual di sini sebagai tanda peringatan.

Alamat: 55, Jalan Kota, 34000 Taiping


9. Rumah Rehat Bandar

Rumah Rehat Taiping
Sumber: zailan arashid

Rumah Rehat Bandar pada mulanya adalah sebuah bangunan satu tingkat yang dibina dengan menggunakan kayu untuk dijadikan rumah kediaman gabenor Perak. Rumah yang dibina pada tahun 1887 oleh pihak British ini kemudiannya dinaik taraf menjadi bangunan batu dua tingkat pada tahun 1894.

Turut ditulis pada pedimen rumah peninggalan klasik ini adalah ‘Rest House 1894,’ menjadikan ia rumah rehat yang pertama di Tanah Melayu.

Alamat: Rest House, Station Road, Taiping


8. Bandar Taiping

Bandar Taiping Image
Sumber: Taiping Zone

Jika bercuti ke Taiping, tak lengkap rasanya tanpa mengetahui latar belakang bandarnya ini. Bandar Taiping atau nama lamanya, Klian Pauh merupakan ibu kota kepada daerah Matang, Larut dan Selama.

Di bandar inilah, jiwa klasikal dan fotografi anda sekeluarga dapat bersorak kegembiraan melihatkan peninggalan-peninggalan bangunan yang sudah tua  dengan reka bentuk yang jelas sekali mendapat pengaruh Inggeris.

Sebagai tempat pengeluaran bijih timah, bandar Taiping mendapat perhatian daripada para penjajah untuk dibangunkan dan oleh sebab itulah, terdapat banyak lokasi menarik di sini yang merupakan yang pertama sekali wujud di Tanah Melayu.

Alamat: Taiping, Perak


7. Kuala Sepetang

Kuala Sepetang Taiping
Sumber: Yaman Ibrahim‎

Kuala Sepetang atau nama ‘British’nya Port Weld merupakan destinasi yang dapat membahagiakan deria rasa anda yang sentiasa mengimpikan juadah yang enak. Betapa banyaknya pilihan kedai-kedai makan di kawasan perkampungan nelayan ini sehingga berpinar mata. Dalam banyak-banyak makanan yang terdapat di sini, yang paling wajib dicuba dan menjadi kegilaan ramai adalah mee udangnya. Memang terbaik!

Aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini adalah memancing di atas bot bersama nelayan, melihat kelip-kelip, melawat kilang pemprosesan arang tradisional, memerhati burung dan banyak lagi yang melibatkan alam semula jadi.

Alamat: Kuala Sepetang, Perak


6. Burmese Pool Taiping (Kolam Renang Batu Besar)

Burmese Pool Taiping
Sumber: Jennifer Lai

Terletak di kaki Bukit Larut, Burmese Pool Taiping atau nama lainnya, Kolam Renang Batu Besar ini cukup terkenal dalam kalangan penduduk tempatan untuk menyegarkan badan dan fikiran. Memang puas bermandi-manda di kolam ini kerana keluasannya dan juga airnya yang begitu sejuk memberikan badan kelegaan yang tak terhingga.

Sambil menikmati mandian di kolam semula jadi ini, anda dapat menyajikan mata dengan pemandangan penuh kehijauan di sekitar yang cukup mengasyikkan.

Alamat: Burmese Pool, Taiping 34000


5. Air Terjun Pecah Batu

Air Terjun Pecah Batu Taiping
Sumber: Anazil Bin Nordin

Jika anda tidak kisah untuk meneroka lebih jauh sekitar Taiping ini, datanglah beramai-ramai ke kawasan Air Terjun Pecah Batu yang terletak agak jauh dari kawasan bandar ini. Lagi jauh dari bandar, lagi segarlah udaranya, tak gitu?

Ianya bukan sahaja cantik tapi juga cukup luas untuk anda bermandi-manda sepuas hati sambil menikmati keindahan flora di sekitar.

Namun begitu, anda perlulah berhati-hati juga sebelum bermandi-manda di sungai, terutama sekali sekiranya terlihat langit gelap atau hari hujan untuk mengelakkan fenomena kepala air.

Alamat: Jalan Kuala Trong, 34800 Terong


Baca: 22 Destinasi Terbaik Di Ipoh

4. Bukit Merah Laketown Resort

Bukit Merah Laketown Resort Image
Sumber: SMK Junjung

Siapa tak kenal Bukit Merah Laketown Resort? Resort ini dikelilingi oleh keindahan alam hijau dan berhadapan dengan air tasik yang terbesar di Malaysia yang berkeluasan 7000 ekar. Bukan sekadar tempat penginapan, keistimewaan resort ini sebagai pusat ekopelancongan juga adalah kerana ia turut menempatkan Ecopark, taman tema air dan Pusat Pemuliharaan Orang Utan.

Di dalam Ecopark resort ini, anda sekeluarga dapat bermesra dengan pelbagai jenis haiwan yang diletakkan di dalam habitat semula jadi mereka. Di samping itu, terdapat banyak juga aktiviti lain yang boleh dilakukan di dalam Ecopark ini seperti Skycycle, Nature Trail dan Tropical Trail. Bahagian-bahagian taman yang terdapat di sini pula adalah seperti Reptile Park dan Pets Parks.

Tarikan yang terdapat di Waterparknya pula adalah Body Slides, Water Speed Slides, Activity Pool, Lazy River, Kids Adventure River, Jumbo Shower, Water Pillar dan banyak lagi. Apa lagi? Kedengaran seperti tempat penginapan yang sempurna bukan?

Harga: Dari RM109+ Semalaman

Alamat: Jalan Bukit Merah Semanggol , 34400 Simpang Ampat Semanggol


3. Masjid Lama Bandar Taiping

Masjid Lama Bandar Taiping
Sumber: Garmin

Apa lagi yang memegang rekod paling antik di Taiping ya? Kali ini adalah tempat beribadah Muslim sendiri iaitu Masjid Lama Bandar Taiping. Masjid yang tertua di Taiping ini telah dibina oleh keluarga Ngah Ibrahim pada tahun 1893 untuk menggantikan bangunan madrasah yang diperbuat daripada kayu. Jika diperhati dengan terperinci, dapat dilihat pengaruh reka bentuk Belanda pada masjid ini.

Disebabkan nilai klasiknya sebagai masjid yang telah berdiri lebih daripada 100 tahun, Masjid Lama Bandar Taiping telah digazetkan sebagai bangunan warisan di bandar ini.

Selain itu, untuk pengetahuan anda, masjid ini turut menempatkan makam tokoh-tokoh yang dihormati di ruang belakangnya seperti makam kerabat dan keturunan Long Jaafar.

Alamat: Jalan Kota, 34000 Taiping


2. Matang Mangrove Forest Reserve

Matang Mangrove Forest Reserve
Sumber: Pusat Eko Matang Mangrove Forest Reserve

Hutan paya bakau yang terbesar di Malaysia, Matang Mangrove Forest Reserve ini berkeluasan lebih daripada 40,000 hektar.  Walaupun teramatlah luas kawasan paya bakau ini, ia juga sebenarnya merupakan antara kawasan paya bakau yang diberikan penjagaan yang terbaik di dunia.

Matang Mangrove Forest Reserve yang telah digazetkan sebagai hutan simpan sejak tahun 1906 ini merupakan yang tertua di negara ini.

Bayangkanlah, setelah sebegitu lama terpelihara, sudah semestinya anda dapat menyaksikan sebuah persekitaran alam semula jadi yang cukup indah dan kaya dengan flora dan faunanya yang tersendiri. Disinilah anda dapat melihat spesies-spesies haiwan kawasan paya seperti udang, ketam, udang karang, pelbagai jenis ikan dan banyak lagi.

Alamat: Kampung Kuala Sepetang, 34650 Kuala Sepetang


1. Pejabat Daerah Dan Tanah Larut Matang dan Selama

Pejabat Daerah Tanah Larut Matang  Selama
Sumber: M Fitri M Shukri

Pejabat Daerah Dan Tanah Larut Matang dan Selama adalah antara bangunan yang paling klasik yang terletak di bandar Taiping ini. Bangunan yang mula dibina pada tahun 1883 oleh pihak British ini siap pada tahun 1897-8 dan berfungsi sebagai New Government Office ketika Taiping dijadikan sebagai ibu negeri Perak. Bangunan ini dapat dilihat berdiri dengan megah di bahagian pintu masuk Taman Tasik Taiping.

Alamat: Pejabat Daerah Dan Tanah Larut Matang dan Selama, 34000 Taiping


Inilah antaranya tarikan-tarikan hebat untuk dilawati di Taiping, dari muzium yang tertua hinggalah ke paya bakau yang terbesar, inilah destinasi percutian yang wajib ada dalam bucket list anda.

Mungkin tidak sehebat negeri-negeri lain dari segi kemodenannya, namun tarikan yang telah wujud berdekad lama yang banyak terdapat di sini memiliki auranya yang tersendiri, penuh dengan nostalgia dan keindahan yang asli yang sukar didapati di tempat lain.

Sudah puas meneroka bandar ini, apa kata jika anda meluaskan lagi langkah di sekitar Perak dengan melawat bandaraya Ipoh yang tidak kurang hebat aura klasiknya dan tarikan hipsternya, nak tahu di mana? Anda boleh membaca artikel kami tentang 22 Tempat Menarik Di Ipoh.

Apa lagi yang ditunggu? Sediakan baju hujan untuk ke kawasan yang paling banyak hujan di Malaysia ini, jangan lupa juga kamera dan pakaian yang cun untuk bergambar di tempat-tempat menarik di Taiping. Apa-apa pun sebelum bergerak ke sini, layari terlebih dahulu booking.com untuk menempah tempat penginapan yang best dan berpatutan di Taiping ya?

Selamat bercuti ke Taiping!