Batu Pahat dikatakan sebagai syurga makanan bagi negeri yang pernah menjadi pengeluar terbesar gambir dan lada hitam pada suatu masa dahulu, negeri Johor Darul Ta’zim. Dari sup yang beraneka rasa hinggalah mee racun, sungguh banyak sekali lokasi santapan menyelerakan untuk dicuba di sini.
Bukan sahaja syurga bagi deria rasa, Batu Pahat juga menempatkan banyak destinasi yang menarik untuk disinggahi. Nak tahu dimanakah lokasi-lokasi menarik ini? Teruskan membaca senarai 20 tempat menarik di Batu Pahat ini. Singgah jangan tak singgah ya?
19. Dataran Penggaram (Dataran Batu Pahat)
Jika di KL ada Dataran Merdeka, di Batu Pahat pula terdapat Dataran Penggaram ataupun Dataran Batu Pahat yang agak meriah terutamanya pada musim cuti sekolah dan setiap hujung minggu. Kemeriahan di sini ditambahkan lagi dengan pelbagai penganjuran acara seperti pameran, ceramah, persembahan kebudayaan dan banyak lagi.
Jika anda datang pada waktu yang tepat, dapatlah anda sekeluarga menyaksikannya, namun sekiranya tiada sebarang acara sewaktu anda ke sini, jangan risau, kerana pemandangan di sekitar dataran ini membuatkan kedatangan anda tetap berbaloi, terutamanya pada waktu malam, waktu ketika mana cahaya lampu neon daripada pokok-pokok menceriakan suasana persis di I-City Shah Alam.
Alamat: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat
18. Wet World Batu Pahat
Siapa yang tak suka bermandi-manda? Lagi syok kalau setiap kali melancong ke satu-satu tempat, anda cuba setiap taman tema airnya, barulah lengkap ‘portfolio’ mandi-manda anda sekeluarga. Di mana lagi taman tema air yang best di Batu Pahat ni kalau bukan di Wet World Batu Pahat.
Tidaklah sebesar Sunway Lagoon tapi tetap lengkap dengan bermacam jenis tarikan yang pasti membuatkan anda sekeluarga gembira kepuasan seperti gelongsor air yang panjangnya bukan kepalang, kolam renang berombak, Kiddy Pool dan banyak lagi!
Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm) | Rabu Tutup (Kecuali Pada Musim Cuti)
Bayaran:
Warganegara: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM17
Bukan Warganegara: Dewasa RM30 | Kanak-kanak RM27
Alamat: Lot 138, Jalan Bukit Pasir, Tasik Bukit Pasir, Batu 1/2, Johor, Kampung Batu Pasir, 83000 Batu Pahat
17. Taman Botani
“Cinta adalah suci lahir dari jiwa…” pernah terdengar lirik ini? Di mana ya? Inilah cebisan lirik lagu Asmaradana daripada filem Puteri Gunung Ledang. Kaitannya dengan Taman Botani yang terletak di Sri Medan ini adalah kerana di sinilah lokasi rakaman filem legenda ini. Lihat sahaja pemandangan yang disajikan di Taman Botani ini, tidak hairanlah ia telah menjadi lokasi pilihan. Cukup indah dan mendamaikan jiwa.
Alamat: Seri Medan, 83000 Batu Pahat
16. Pantai Minyak Beku
Sepanas-panas terik mentari yang menjadi bebelan ramai, keindahan cahayanya jika dilihat pada waktu yang tepat membuatkan segala masalah lenyap dari ingatan. Di mana dapat anda melihat keindahannya ini kalau tidak di pantai dengan lautan yang memancarkan cahaya mentari ibarat lukisan di galeri.
Jika anda ingin menikmati keindahan ini di Batu Pahat, datanglah ke Pantai Minyak Beku sama ada pada waktu matahari terbit atau terbenam. Pantai ini terletak hanya 7 km dari Bandar Batu Pahat. Sambil menikmati pemandangan, jangan lepaskan peluang untuk memancing di kawasan pantai ini yang turut kaya dengan pelbagai jenis ikan yang termasuklah ikan sembilang, kurau dan tuka.
Alamat: Jalan Minyak Beku, 83000 Batu Pahat
15. BP Walk (Batu Pahat Walk)
BP Walk ataupun Batu Pahat Walk adalah kawasan yang terletak di sepanjang Jalan Rahmat. Bagi anda yang ‘burung hantu’ ataupun tercari-cari tempat makan pada waktu malam, di sinilah salah satu lokasi yang boleh disinggahi.
Bukan main banyak gerai makan yang terdapat di sepanjang jalan ini, antara menu yang boleh ditemui di sini adalah sup yang beraneka rasa, mee bandung, sate, mee rebus dan banyak lagi masakan goreng lain yang diidam-idamkan perut menggerodak anda.
Alamat: Jalan Rahmat, 83000 Batu Pahat
14. Old Street Batu Pahat
Wahai instagrammers yang tegar, inilah heaven untuk anda mendapatkan foto-foto yang hebat sewaktu bercuti di Batu Pahat. Berlokasi di Old Street Batu Pahat, di atas bumbung bangunan ini terdapat sebuah taman yang dihias cantik yang diberi nama Sky Garden Old Street. Selain taman yang indah, di bahagian atas bumbung ini juga terdapat banyak restoran yang dihias dengan penuh kreatif.
Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Rabu Ahad (10.00am – 7.00pm) | Rabu Ahad Tutup
Alamat: Jalan Parit Besar, 83000 Batu Pahat
13. Taman Rekreasi Tasik Y
Simple sekali nama yang diberikan, Taman Rekreasi Tasik Y. Mesti anda tertanya-tanya kenapa satu huruf sahaja namanya? Ini kerana, taman ini sebenarnya berbentuk Y jika dilihat dari sudut pandangan burung yang berterbangan di awan.
Dahulunya merupakan tapak perlombongan, taman ini kini merupakan sebuah taman rekreasi yang dilawati ramai orang untuk beriadah di waktu petang dan di hujung minggu. Cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti laluan refleksologi, taman permainan, peralatan senaman dan pondok rehat.
Sudah penat bersenam, anda boleh mencuba pelbagai makanan menarik yang dijual di gerai-gerai yang dibuka di sini seperti Ais Kacang dan Rojak. Makanan yang cukup enak untuk dimakan di waktu petang.
Alamat: Jalan Sejati, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat
12. Restoran Bariani Power
Nama kedainya sememangnya menggambarkan betapa hebatnya nasi bariani yang dihidangkan di restoran ini, Restoran Bariani Power, barianinya memang power!
Sekiranya anda sekeluarga ke sini semata-mata untuk mencuba makanan yang terbaiknya, jangan tempah selain daripada nasi bariani ayam ataupun kambingnya. Yang bestnya, restoran ini turut menyediakan ruang makan yang berpenghawa dingin.
Waktu Operasi: 10.00am – 7.00pm
Alamat: No.18, Jalan Tukas 2, Taman Soga, 83000 Batu Pahat
11. Tugu Batu Pahat
Tugu yang menjadi lambang Batu Pahat ini berdiri dengan megahnya di Dataran Penggaram. Tugu Batu Pahat ini memiliki rekaan yang cukup unik menggambarkan nama ‘Batu Pahat’ itu sendiri dengan tangan yang tergantung dan memegang pahat.
Untuk pengetahuan anda, nama Batu Pahat dipilih untuk dijadikan nama daerah ini kerana peristiwa bersejarah yang dikatakan berlaku pada sekitar tahun 1456, waktu di mana tentera Siam telah datang menyerang kampung Minyak Beku yang merupakan lokasi batu yang dipahat untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Alamat: Jalan Rahmat, Kampung Bahagia, 83000 Batu Pahat
10. Nasi Lemak Cik Chom
Apabila melawat ke sesebuah negeri memang tak sah kalau tak cuba makanan-makanannya yang viral di dunia internet bukan? Inilah salah satu gerai yang mesti disinggahi iaitu kedai Nasi Lemak Cik Chom.
Nampak sekali viralnya makanan di sini apabila anda terlihat berduyun-duyun pengunjung sanggup beratur dari sebelum kedai dibuka lagi untuk memakan nasi lemak yang istimewa di gerai ini.
Apa yang special sangat tentang nasi lemaknya adalah lauk yang disediakan bersama dengan nasi lemak ini iaitu sama ada sotong bersaiz gergasi ataupun ikan siakap. Cukup mengiurkan!
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (4.30pm – 10.30pm) | Jumaat – Ahad (4.30pm – 11.00pm)
Alamat: No. 16, Jalan Kencana 1a/1, 83300 Sri Gading
9. Pantai Punggur
Terletak dalam sekitar 30 km dari Batu Pahat, walaupun mengambil sedikit masa untuk sampai ke Pantai Punggur ini, perjalanan terasa terbayar dengan pemandangan menakjubkan yang terhidang di depan mata terutamanya pada waktu matahari terbenam.
Di sini terdapat sebuah jeti yang menjadi spot yang sempurna untuk anda bergambar berlatar belakangkan keindahan lautan yang terbentang luas bersama yang tersayang.
Alamat: Jalan Kampung Punggur Laut Timur, 83100 Senggarang
8. Hutan Lipur Bukit Soga Perdana (Hutan Lipur Soga Perdana)
Hanyalah 3 km dari Bandar Batu Pahat, Hutan Lipur Bukit Soga Perdana adalah hutan simpan yang memiliki taman rekreasi yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti trek jogging, tandas dan pondok rehat.
Di dalam hutan simpan yang berketinggian 600 kaki ini juga terdapat sebuah menara pemerhatian yang terletak sekitar 785 meter dari titik awal perjalanan. Pemandangan dari menara ini sungguh indah, dapat dilihat di sini adalah keindahan flora menghijau dari hutan dan juga bandar Baru Pahat.
Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)
Bayaran: Percuma
Alamat: Jalan Perdana 17, Taman Bukit Perdana, 83000 Batu Pahat
7. Ladang Nanas (Kg. Parit Tengah)
Ladang nanas yang terletak di Kampung Parit Tengah ini merupakan ladang yang terbesar di Asia Tenggara dan juga yang ketujuh terbesar di dunia. Dapat anda bayangkan keluasannya?
Tidak terlihat penghujungnya. Antara jenis nanas yang diusahakan di sini adalah daripada jenis Josaphine dan juga Morris. Kenapa nanas jenis ini yang menjadi pilihan? Ini adalah kerana buahnya yang besar dan isinya yang sangat manis. Kesedapannya boleh dibuat makan begitu sahaja.
Alamat: Ladang Nanas, Kampung Parit Tengah, Batu Pahat
6. Bulatan Simpang Rantai
Selain dataran dan sebuah tugu, satu lagi lokasi yang menjadi mercu tanda Batu Pahat adalah Bulatan Simpang Rantai yang merupakan bulatan yang menghubungkan Jalan Kluang, Jalan Tanjung Laboh dan Jalan Rahmat. Bulatan ini sebenarnya memiliki kisah misterinya sendiri.
Dikatakan tidak lama dahulu, Majlis Perbandaran Batu Pahat berniat untuk menaik tarafkan lanskap bulatan ini dengan menebang sebatang pokok ara yang berdiri di sini, namun ketika kerja pengorekan tanah dilakukan, sebuah keranda dengan jasad berkapan ditemui di sini. Oleh kerana itu, Majlis Perbandaran membatalkan rancangan tersebut. Betul atau tidak, tiada kepastiannya.
Namun itulah kisah yang digembar-gemburkan. Kini, pokok ini telah diwartakan sebagai pokok warisan yang tidak boleh ditebang melainkan mendapat keizinan daripada Jabatan Warisan.
Alamat: Bulatan Simpang Rantai, 83000 Batu Pahat
5. Galeri Dato’ Onn Batu Pahat
Bangunan Galeri Dato’ Onn Batu Pahat yang telah dibina pada tahun 1938 ini terletak di dalam sebuah kawasan padang golf. Sebelum dijadikan galeri, bangunan yang berkeluasan 4487.50 kaki persegi ini merupakan rumah kerajaan yang didiami oleh Dato’ Onn dari tahun 1945 hingga 1947 sewaktu beliau mememang jawatan sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat.
Pemimpin yang berjiwa rakyat ini pernah memegang banyak lagi jawatan lain di dalam kerajaan yang termasuklah Menteri Besar Johor yang ke-7. Ingin mengikuti kisah hidup pemimpin yang banyak menyumbang kepada kemerdekaan negara ini? Jadikanlah Galeri Dato’ Onn Batu Pahat sebagai salah satu destinasi lawatan anda sekeluarga di Batu Pahat nanti.
Terdapat banyak foto berkaitan Almarhum yang menceritakan peristiwa-peristiwa penting yang pernah berlaku di dalam hidupnya. Di samping itu, galeri ini turut mempamerkan banyak barangan lain yang wujud pada zaman Dato’ Onn seperti basikal tua, senjata, tembikar, barangan perhiasan dan lain-lain lagi.
Waktu Operasi: 9.00am – 4.30pm
Alamat: JKR 525, Jalan Dato Mohd Shah, Gunong Soga, 83000 Batu Pahat
4. DIY Playground
Sudah biasa mendengar tentang alat tulis, bekas dan perabot kitar semula? Jangan tak tahu, kreativiti menghasilkan barangan yang dikitar semula sebenarnya tidak hanya terhenti di situ, cukup mengagumkan betapa banyak sekali benda menarik yang boleh dihasilkan menggunakan barangan kitar semula dan salah sebuah lokasi untuk anda menyaksikannya adalah di DIY Playground.
Sebuah taman permainan yang secara keseluruhannya dihasilkan daripada barangan kitar semula. Daripada buaian, kapal lanun, gelongsor dan banyak lagi yang menceriakan hari anak-anak anda terdapat di taman ini. Kerana keunikannya, DIY Playground turut dilawati oleh banyak pelancong dari luar negara.
Waktu Operasi: Ditutup Selepas Pukul 11.45pm Atas Faktor Keselamatan
Bayaran: Percuma
Alamat: Jalan Syed Abdullah, Kampung Pegawai, 83000 Batu Pahat
3. Mee Racun Tulang Sri Jaya
Nak tahu makanan itu sedap atau tidak, lihat sahaja bilangan pengunjungnya, berbaris-baris orang beratur untuk menikmati mee beracun di Mee Racun Tulang Sri Jaya. Mee racun? Macam bahaya je? Betapa enaknya makanan yang dihidangkan di sini sehingga meracun jiwa anda untuk datang berulang kali.
Menu yang mampu meracun anda sehingga terbawa ke mimpi ini adalah mee yang dihidangkan dengan sup gearboxnya. Jangan risau, walaupun terkenal, harga makanannya cukup berpatutan.
Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00pm – 12.00am)
Alamat: TL1, Jalan Rotan Tungal, Taman Sri Jaya, 83000 Batu Pahat
2. Pasar Karat Batu Pahat
Bagi anda yang memiliki ‘old soul’, Pasar Karat Batu Pahat adalah sebuah pasar barangan antik yang memang rugi kalau tak singgah. Pelbagai barangan dari masa lalu yang dapat anda lihat di sini yang termasuklah pakaian, cenderamata, elektronik, duit syiling dan banyak lagi. Sesetengah barangan yang diniaga di sini didatangkan dari Singapura.
Waktu Operasi: Jumaat – Ahad (7.00am 1.00pm)
Alamat: Jalan Pasar, Batu Pahat
1. Tropical Village Ayer Hitam
Tropical Village Ayer Hitam adalah sebuah taman tema berkeluasan 32 ekar yang terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu bahagian mercu tanda, sudut santai, taman permainan dan pertanian.
Di bahagian mercu tanda terdapat replika-replika Mini Malaysia seperti KLCC dan A Famosa. Di ruangan Mini World pula terdapat replika Eiffel Tower, Statue of Liberty dan lain-lain lagi. Di sudut santai taman tema ini terdapat House of Mirrors, Dinosaur Train dan Haunted House, manakala pada bahagian taman permainan pula terdapat Pet Corner, Oriental Island dan Garden of the Shy Monkey.
Sungguh banyak sekali untuk dilihat di taman tema ini bukan? Jika tak cukup sehari untuk melihat kesemuanya, anda boleh bermalam di bilik dorm yang disedikan pihak Tropical Village Ayer Hitam.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 8.00pm) | Jumaat – Ahad (10.00am – 10.00pm)
Alamat: Jalan Johor, 86200 Ayer Hitam
Makan, minum, bersantai, berhibur malahan berpatah ke masa lalu, semuanya dapat anda rasai di Batu Pahat. Hebat juga penangan salah satu daerah di negeri Johor ini ya? Ingin tahu lebih banyak lagi tentang tarikan menarik yang ditawarkan Johor? Anda boleh membaca artikel kami bertajuk 50 Tempat Menarik Di Johor dan juga 21 Tempat Menarik Di Mersing.
Diharapkan artikel tempat menarik di Batu Pahat ini dapat membantu anda sekeluarga merancang sebuah percutian yang terindah dalam memori. Dalam membuat perancangan percutian, jangan lupa untuk melayari booking.com untuk mendapatkan harga yang terbaik bagi banyak hotel menarik yang terdapat di sekitar Johor. Selamat bercuti ke Batu Pahat!