Tagged in: Sumber Min Nature

37 Tempat Menarik Di Selangor | Panduan Bercuti Buat Seisi Keluarga

 

Selangor Darul Ehsan merupakan sebuah negeri yang terletak di tengah Semenanjung Malaysia dan mengelilingi kota metropolitan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Betapa strategik sekali lokasi negeri ini, menjadikan ia kaya dengan pelbagai pusat pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Terdiri daripada beberapa buah daerah yang berbeza, setiap daerah yang terdapat di negeri Selangor menawarkan sesuatu yang istimewa untuk dingati sesiapa sahaja yang menjadikannya destinasi pelancongan. Nak tahu apa yang istimewanya di negeri ini? Teruskan membaca senarai 37 tempat menarik di Selangor sehingga ke penghujung, mana tahu, mungkin ada beberapa tempat yang menarik hati anda?

37. Pantai Morib

Pantai Morib
Sumber: Phalinn Ooi

Terletak di Kuala Langat, Pantai Morib merupakan sebuah pantai yang tenang dan memiliki kawasan rumput yang agak luas untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga. Lokasinya yang tidak jauh dari bandaraya menjadikan ia destinasi tarikan untuk warga kota yang ingin menenangkan fikiran sambil menghirup udara segar yang menderu-menderu di Pantai Morib.

Kalau anda berniat ke sini, anda boleh merancang beberapa aktiviti menarik yang boleh dilakukan seperti berkelah, bermain layang-layang, menjamu selera di kedai-kedai seafood yang terdapat di sekitar, dan juga memancing ikan pada waktu air surut.

Bukan itu sahaja, kalau anda nak tahu, Pantai Morib ini juga menyimpan sejarah yang mana ia menjadi kawasan pendaratan askar British sewaktu perang dunia ke-2 untuk menyerang tentera Jepun. Anda sekeluarga dapat melihat monumen kecil  di tepi pantai ini yang menerangkan peristiwa bersejarah ini.

Alamat: Morib, 42700 Banting, Selangor


36. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

Sultan Abdul Aziz Museum
Sumber: Peter CB Yap

Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz yang terletak di dalam bangunan kolonial klasik hasil idea A.B. Hubback pada tahun 1909 ini merupakan lokasi yang patut anda lawati sekiranya anda ingin mendapatkan pengetahuan tentang kehidupan Sultan Abdul Aziz Shah yang merupakan Sultan Selangor yang ke-8 pada tahun 1960 dan Yang di-Pertuan Agong yang ke-11 pada tahun 2001. Anda dapat melihat pelbagai koleksi peribadi menarik Diraja termasuklah replika mahkota Diraja Selangor.

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00am – 5.00pm) | Isnin, Cuti Umum (Tutup)

Alamat: Bangunan Sultan Suleiman, 41000 Klang, Selangor Darul Ehsan


35. Trick Art Museum i-City

Trick Art Museum Selangor
Sumber: Saya Sayang Selangor

Pameran lukisan-lukisan di dalam Trick Art Museum i-City ini adalah berdasarkan teknik seni lukisan purba Trompe L’oeil yang mana lukisan-lukisan yang dihasilkan menggunakan teknik ini  kelihatan realistik dan hidup dalam 3 dimensi. Lukisan-lukisan 3D di muzium ini pasti membuatkan anda tertanya-tanya betul ke pandangan mata anda ni, seperti boleh disentuh tapi sebaik anda mendekatinya, ternyata ia hanyalah sebuah lukisan yang menipu mata anda.

Ilusi-ilusi optikal di sini menjadikan ia menarik untuk dijadikan props anda ber’posing’. Di dalam tapak yang berkeluasan 8000 kaki persegi ini anda dapat melihat 5 tema karya seni yang berbeza iaitu karya Mesir, Klasik Moden, Alam Haiwan, Karya Agung dan Hidupan Laut.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00am – 12.00am) | Jumaat (11.00am – 1.00am) | Sabtu, Cuti Umum, Cuti Sekolah (11.00am – 1.00am) | Ahad (11.am – 12.00am)

Alamat: Jalan Multimedia 7/Ah, I-city, 40000 Shah Alam, Selangor


34. Muzium Orang Asli

Muzium Orang Asli
Sumber: Orang Selangor

Muzium Orang Asli yang terletak di Gombak ini menempatkan galeri yang mempamerkan koleksi artifak seperti belanga yang telah wujud lebih daripada 600 tahun, alat-alat muzik tradisional, pakaian dan bermacam lagi. Selain itu, muzium ini juga lengkap dengan dewan teater mini, kedai cenderamata dan sebuah perpusatakaan. Kalau sudah puas belajar bermacam perkara baru di muzium ini, apa kata anda melawat pula perumahan kaum orang Asli yang terletak dekat sahaja dari muzium ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Muzium Orang Asli Gombak KM 24, Jalan Pahang Lama Gombak, 53100 Gombak, Selangor


33. Mines Resort City/ Mines Wellness City

Mines Resort City
Sumber: Subarna Zinnia

Pada asalnya, tapak Mines Wellness City ini merupakan tempat pelombongan bijih timah yang terbesar di dunia. Kini, ia dibangunkan dengan pelbagai tarikan menarik seperti hotel, pusat membeli-belah, padang golf,  pusat konvensyen dan Waterfront Business Park. Kalau anda singgah ke hotel yang bertaraf 7 bintang di sini, anda pasti teruja melihat rekabentuknya yang sangat menakjubkan.

Bersebelahan dengan hotel ini terdapat resort yang memilki tasik di mana anda boleh merasai pengalaman menaiki bot sambil melihat ikan-ikan yang terdapat banyak di dalam air. Sekiranya anda ke pusat membeli-belahnya pula anda pasti teruja melihatnya kerana bukan senang nak jumpa dalam dunia ni sebuah mall yang ada sungai di tengah-tengahnya.

Untuk anda yang datang bersama anak-anak, apa kata kalau anda membawa mereka bermain di Splash Park yang terletak di atas bumbung Mines Shopping Mall ini yang lengkap dengan taman permainan dan tempat bermain air. Menarik bukan? Apa lagi yang anda tunggu, datanglah bersama keluarga anda ke sini!

Alamat: Mines Wellness City, 43300 Seri Kembangan, Selangor


Baca: 32 Tempat Menarik Di Kuala Lumpur

32. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Masjid-Sultan-Salahuddin Abdul Aziz Shah
Sumber: Firdouss Ross‎

Selepas Masjid Istiqlal yang terletak di Jakarta, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ini merupakan masjid yang kedua yang terbesar di Asia Tenggara. Pada awal pembinaan masjid yang berkubah biru ini, jam antik yang telah berusia 600 tahun dan 4 buah lampu chandelier diberikan oleh Sultan Selangor untuk dijadikan sebahagian daripada masjid indah ini.

Senibina masjid yang pernah memegang rekod dunia sebagai masjid yang memiliki menara tertinggi pada tahun 1993 ini adalah kombinasi rekabentuk tradisional Islam Melayu, Asia Barat, Barat dan India. Amat menarik kisah masjid ini kan?  Datanglah ke masjid yang terletak di Shah Alam ini untuk melihat dengan lebih dekat lagi keindahannya. Anda pasti terpesona.

Alamat: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14, 40000 Shah Alam, Selangor


31. SnoWalk i-City

Snowalk I City
Sumber: I City

SnoWalk i-City yang terletak di Shah Alam ini merupakan sajli indoor yang pertama di Malaysia. Suhu di dalam SnoWalk i-City ini dikawal untuk sentiasa berada di bawah 5 darjah celsius. Yang menariknya lagi, terdapat lapisan salji dengan ketebalan 100 mm di lantai, kalau terasa cuaca di luar terlalu panas, datang je ke sini, kalah penyejuk udara di rumah. Pasti menyesal kalau datang dengan slipper, menggigil anda sekeluarga dalam ni nanti. Maka, pakailah kasut yang sesuai dengan musim ya.

Di samping itu, terdapat tarikan lain seperti kawasan permainan yang dapat memberikan keseronokan tak terkira kepada anak-anak seperti tempat membuat orang salji dan meluncur ais. Selain itu, anda juga dapat melihat lebih daripada 100 tan pameran ukiran ais yang telah dihasilkan oleh 30 orang pengukir yang handal.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00am – 12.00am) | Jumaat (11.00am – 1.00am) | Sabtu, Cuti Umum, Cuti Sekolah (11.00am – 1.00am) | Ahad (11.am – 12.00am)

Bayaran Masuk: Sebelum 6.00pm: Dewasa RM25 , Kanak-kanak RM20 | Selepas 6.00pm: Dewasa RM35, Kanak-kanak RM30

Alamat: Jalan Multimedia 7/Ah, I-city, 40000 Shah Alam, Selangor


30. Klang Gates Quartz Ridge

Quartz Ridge Klang Valley
Sumber: Chee Hong

Nama mudah bagi Klang Gates Quartz Ridge yang agak sukar untuk disebut ini adalah Bukit Tabur. Berkepanjangan lebih daripada 16 km dan dengan kelebaran 200 m menjadikan ia kawasan permatang kuarza yang terpanjang di dunia. Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat 5 jenis tumbuhan endemik iaitu jenis tumbuhan yang tidak dapat ditemui di kawasan lain di dunia. Pendakian Bukit Tabur ini memberikan anda pemandangan yang indah tasik Hulu Kelang di bahagian utara dan bandar Kuala Lumpur di bahagian selatan.

Selain itu, anda juga dapat melihat mineral kuarza yang terbentuk cantik di sini.  Apa-apa pun, kalau anda teringin mendaki Bukit Tabur ini, anda mestilah bukan seorang yang gayat, sebab kawasan cerunnya agak curam. Selepas puas melihat pemandangan apa kata kalau terjun mandi pula dalam air sungai yang jernih yang terdapat di bawah empangan di sini. Memang best untuk datang bersama keluarga, tapi pastikan masing-masing berpakaian sesuai untuk mendaki dan larat untuk ke puncak yang agak mencabar ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am – 7.00pm)

Alamat: Bukit Tabur, Persiaran Bukit Melawati, 68000, Selangor


29. Pantai Bagan Lalang

Bagan Lalang
Sumber: Khairil Yusof

Pantai Bagan Lalang ini tidak kurang menariknya daripada Pantai Morib yang lebih terkenal. Pantai ini cukup lengkap dengan fasiliti penting dan ia sesuai untuk anda datang bersama keluarga di hujung minggu untuk meluangkan masa dengan aktiviti yang menyeronokkan seperti ber’bbq’, berkelah, bermain pasir, bermain layang-layang, dan bermacam lagilah.

Agak banyak permainan menarik yang anda boleh main di sini sebab Pantai Bagan Lalang ini memiliki kawasan yang agak luas dan lapang. Aktiviti berkhemah juga best untuk dilakukan di sini, dapatlah tidur dengan bunyi air laut sebagai halwa telinga dan menghirup udara segar. Yang penting, anda sekeluarga dapat mencipta memori indah sekali-sekala buat sesuatu yang lain dari yang biasa kan.

Alamat: Pantai Bagan Lalang, 43950 Sepang


28. Kuan Wellness Eco Park

Kuan Wellness Eco Park
Sumber: Kuan Wellness

Terletak di Tanjung Sepat, Kuan Wellness Eco Park merupakan sebuah destinasi pelancongan untuk mendekati alam semulajadi yang sangat menarik untuk dilawati. Dengan keluasan sebesar 5 ekar, taman ekologi ini menempatkan 3 1/2 tingkat rumah burung layang-layang yang dikelilingi oleh ladang buah-buahan tropika dan ladang kelapa sawit.

Di samping itu, anda juga dapat melihat galeri burung layang-layang, mendapat pengetahuan tentang penghasilan sarang burung, melawat zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis haiwan dan banyak lagi tarikan menarik yang terdapat di sini. Nak tahu? Ajaklah keluarga anda ke sini, dapatlah anda sekeluarga pelajari sedikit sebanyak tentang alam semulajadi yang kaya dengan pelbagai manfaat yang tersembunyi ini.

Waktu Operasi: Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah Cuti Umum (9.00am – 7.00pm) | Isnin – Jumaat (Tutup)

Bayaran Masuk: Mini Zoo RM5 | Swiftlet Home RM3

Alamat: Lot 408, Jalan Tanjung Layang, Kg Tanjung Layang, Mukim Batu, 42800 Tanjung Sepat, Selangor


27. Paya Indah Wetlands

Paya Indah Wetland
Sumber: Paya Indah Wetland

Paya Indah Wetlands merupakan kawasan tanah lembab buatan manusia yang terhasil selepas dijadikan kawasan perlombongan bijih timah. Penggalian tanah dari perlombongan ini menghasilkan tasik yang kini menjadi habitat bagi pelbagai jenis ikan, tumbuh-tumbuhan seperti teratai dan juga haiwan seperti badak air dan buaya. Kalau anda ke sini, anda dapat melakukan beberapa aktiviti menarik seperti menikmati pemandangan daripada menara pemerhati yang memberikan anda pemandangan 360 darjah kawasan sekitar.

Selain itu, dengan pokok-pokok yang tumbuh meliar di kawasan hutan sekitarnya, ia menarik perhatian banyak spesis burung, dianggarkan terdapat dalam 213 jenis burung yang menjadikan Paya Indah Wetlands sebagai habitat mereka, ini menjadikan aktiviti memerhati burung agak seronok untuk dilakukan di sini. Antara aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini bersama keluarga adalah berbasikal, berkayak, memancing dan memberi makan kepada badak-badak air dan buaya yang terdapat di tasik ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Jumaat (7.30am – 7.00pm) | Jumaat (Tutup dari 12.15pm – 2.45pm)

Alamat: Paya Indah Wetlands, Jabatan Perhilitan, Km 4, Jalan Dengkil – Banting, 43800 Dengkil, Selangor Darul Ehsan


26. Kepong Metropolitan Park

Kepong Metropolitan Park
Sumber: The Henge Residence

Taman Metropolitan Kepong ini terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dengan aktiviti bermain layang-layang dan juga berjogging. Taman yang berkeluasan 95 hektar ini turut lengkap dengan kemudahan lain seperti trek basikal, padang bola sepak, menara pemerhatian, trek kereta kawalan, pondok-pondok santai dan taman permainan. Bagi anda yang kaki memancing pula, anda dibenarkan memancing di tasik seluas 57 hektar di taman ini.

Bercakap tentang permainan layang-layang yang terkenal di sini, kalau anda datang pada hujung minggu, anda dapat melihat bermacam jenis layang-layang diterbangkan di awan, dari yang kecil sehinggalah yang bersaiz besar sehingga 30 kaki dalam pelbagai warna. Satu pemandangan yang menarik untuk dilihat sambil menenangkan fikiran di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (6.00am – 8.00pm)

Alamat: Kepong Metropolitan Park, Jalan Lingkaran Tengah, Kuala Lumpur, 52100


25. Kuala Selangor Fireflies

Kuala-Selangor-Firefly-Park
Sumber: Transitions Optical Malaysia

Anda suka melihat lampu yang cantik? Kalau anda datang ke sini, di Sungai Selangor anda boleh menaiki bot untuk melihat banyak kelip-kelip yang terbang bebas yang mengeluarkan cahaya semulajadi, mengalahkan keindahan chandelier di dalam kapal Titanic. Tiada apa yang dapat menandingi keindahan alam semulajadi. Untuk pengetahuan anda juga, Kuala Selangor merupakan salah satu kawasan yang memiliki koloni kelip-kelip terbesar di dunia.

Pasti anda terpesona melihat kecantikan kelip-kelip dalam suasana gelap di sekitar, ibarat hidup dalam dunia magikal. Sebelum anda ke sini, dinasihatkan supaya jangan membuat bunyi bising dan tidak menggunakan kamera berflash kalau nak melihat kelip-kelip ini dengan sepuas hati, sekiranya kelip-kelip lari daripada anda, apa yang nak dilihat?

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Pada Hari Hujan (8.00pm – 10.30pm)

Bayaran Masuk: RM15

Alamat: Firefly Park Resort Sdn Bhd, Jalan Haji Omar, Kampung Bukit Belimbing, Kuala Selangor, 45000 Selangor Darul Ehsan.


24. Kota Damansara Community Forest Park

Kota Damansara Community Forest Park
Sumber: Nor Azman Mohd Zawawi

Dengan keluasan 800 ekar, Taman Rimba Komuniti Kota Damansara memberikan ruang nafas kepada warga kota yang ingin lari dari hiruk-pikuk kota metropolitan. Di sini anda dapat menikmati kekayaan flora dan fauna yang indah dan sangat mengujakan. Untuk kemudahan anda yang ingin menerokai taman rimba ini, disediakan denai-denai atau laluan untuk pengunjung menikmati tanpa perlu mengerut dahi takut tersesat dalam hutan yang kelihatan sama sahaja daripada pelbagai sudut.

Terdapat dalam 9 batang denai yang disediakan untuk anda, bagi anda yang datang bersama anak kecil, denai yang paling sesuai ialah Denai Petaling yang mengelilingi kawasan tasik dan sesuai untuk semua tahap stamina.

Kalau ingin melihat tumbuh-tumbuhan yang digunakan masyarakat Orang Asli Temuan secara tradisional untuk membuat pelbagai kraftangan dan makanan, anda boleh melawat taman etnobotani yang terletak di Denai Tahak Sipew. Nak tahu apa lagi yang terdapat di denai-denai yang lain, apa kata kalau anda terokai sendiri taman rimba ini, kalau dah tahu semuanya dari artikel ini, tak surpriselah kan?

Alamat: Section 10, Kota Damansara, Kuala Lumpur


23. Pantai Remis

Pantai Remis
Sumber: Ee Kok Jin

Pantai Remis merupakan sebuah pantai yang indah dan sering menjadi tarikan ramai penduduk tempatan yang ingin berkelah pada musim cuti sekolah dan hujung minggu. Namun, kalau anda ingin berenang-renang, air di pantai ini agak tidak sesuai kerana ia ditambak oleh batu-batu besar.

Tapi, banyak aktiviti menarik yang lain yang boleh dibuat di sini seperti menikmati makanan laut di gerai-gerai di sekitar pantai, bermain layang-layang, memancing ikan, dan mencari kerang atau ala-ala. Pengalaman berkelah di sini pasti menjadi satu memori yang manis bersama keluarga terutama sekiranya anda berpeluang menyaksikan cahaya indah matahari terbenam yang memantulkan cahaya pada air laut.

Bukan itu sahaja, kalau anda ingin berseronok di pantai ini dengan lebih lama lagi, anda sekeluarga boleh menginap di penginapan kabin yang terdapat di sini yang lengkap dengan tempat untuk berBBQ dan kolam renang. Ada idea lain yang lebih baik daripada meluangkan masa di Pantai Remis?

Alamat: Pantai Remis, 45800, Jeram, Kuala Selangor


22. Taman Rimba Kiara

Taman Rimba
Sumber: Jonathan Hurley

Taman Rimba Kiara boleh dikatakan sebagai salah satu daripada taman penuh kehijauan yang sangat indah yang terdapat di Kuala Lumpur. Di sini terdapat lebih daripada 40 spesis burung yang kebanyakannya merupakan spesis-spesis burung yang dilindungi sepenuhnya seperti burung enggang dan burung helang-kembara merah. Jangan lupa untuk membawa teropong kalau ke sini.

Alamat: Taman Rimba Kiara, Jalan Tun Mohd Fuad, Kuala Lumpur, 60000


21. Muzium Coklat Kota Damansara

Damansara Chocolate Museum
Sumber: Damansara Chocolate Museum

Bagi anda yang gilakan coklat (siapa tak?) jomlah ke Muzium Coklat Kota Damansara. Di sini terdapat pameran tentang coklat dari awal penemuan kegunaan biji koko pada zaman Olmex di Mexico (1200BC – 300BC) sehinggalah ke zaman moden yang menghasilkan coklat dengan menggunakan pelbagai jenis mesin. Salah satu perkara yang anda dapat ketahui daripada pameran ini adalah tentang bagaimana kaum purba Mayan dan Aztec yang gemar membuat air coklat dengan menjadikan bahagian atasnya berbuih sebagaimana teh tarik dibuat, nampaknya, orang Melayu bukanlah yang pertama yang mencipta air yang ditarik-tarik ini.

Selain pameran ini, anda juga dapat melihat bagaimana coklat diproses. Demonstrasi pemprosesan coklat ini bermula dari pukul 12.00pm ke 3.00pm. Anak-anak pasti seronok kerana bukan sahaja dapat melihat demo pembuatan coklat yang mengiurkan ini, mereka juga dapat merasa coklat-coklat ini. Kalau anda nak naikkan mood sebelum ke muzium ini apa kata kalau anda menonton filem Charlie and the Chocolate Factory terlebih dahulu, dah ada mood, enjoy semacam anda sekeluarga di muzium ini nanti.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: No.2, Jalan Teknologi 3/5, Taman Sains Selangor 1, 47810 Kota Damansara, Selangor


20. Pulau Ketam

Pulau Ketam
Sumber: Herman Wong

Pulau ini terletak di Sungai Klang yang berdekatan dengan kawasan pelabuhan. Mesti anda skeptikal kan dengan kedudukannya di kawasan yang terkenal dengan perindustriannya ni, kata orang, tak kenal maka tak cinta, jom pergi dulu ke sini, lihat sendiri betapa harmoninya perkampungan nelayan masyarakat Cina yang sudah bermula sejak tahun 1880 lagi.

Dari kawasan darat anda perlu menaiki feri yang akan melalui kawasan bakau sebelum sampai ke pulau ini. Setibanya di Pulau Ketam, anda akan dapat menyaksikan sendiri masyarakat-masyarakat di pulau ini yang menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama, ibarat menjejakkan kaki ke zaman klasik pula rasanya. Tiada kereta langsung yang dapat dilihat di sini. Selain itu, anda dapat melihat masyarakat kampung yang sedang membaiki jala, memproses udang dan bermacam lagi yang tak dapat dilihat di kota. Satu pengalaman yang unik untuk dirasai bersama keluarga.

Alamat: Pulau Ketam, Selangor


19. Pulau Indah

Pulau Indah
Sumber: Mohd Firdaus

Pulau Indah ini pada asalnya merupakan sebuah pulau yang tidak disentuh oleh modenisasi sedikit pun sebagai sebuah perkampungan nelayan yang dikelilingi paya bakau. Namun, sejak tahun 1994, selepas pembinaan jambatan Selat Lumut dibina yang menghubungkan Pulau Indah dan Pelabuhan Klang, Pulau Indah menawarkan dua dunia berbeza kepada para pelawat.

Kalau anda datang ke sini, anda dapat melihat bahawa di sebelah utara bandar ini meriah dengan pembangunan, perniagaan dan perindustrian, manakala di bahagian selatannya pula masih kukuh mengekalkan keharmonian kampung-kampung yang dalam masa yang sama menjaga dan mengembangkan lagi kawasan bakau untuk menjadikan ia pusat eko pelancongan yang menarik untuk dilawati.

Jika anda ingin membeli-belah dengan murah di kawasan bebas cukai, anda boleh ke sebelah utara pulau ini, jika anda dan keluarga hanya ada satu dalam fikiran, iaitu mendapatkan ketenangan jauh dari kesibukan kota, selatan Pulau Indah merupakan destinasi yang patut dilawati. Nak buat dua-dua pun apa salahnya!

Alamat: Pulau Indah, 42920 Port Klang, Selangor


18. Bukit Melawati

Bukit Melawati
Sumber: BRO Buzz

Untuk ke Bukit Melawati dari KL hanya mengambil masa selama 1 jam sahaja. Sampai sahaja di sini anda pasti teruja dengan keindahan pemandangan yang ditawarkan di bukti ini yang ternyata sangat indah. Mana taknya, dari bukit ini, anda akan disajikan dengan pemandangan laut Selat Melaka dan kawasan-kawasan kampung nelayan yang terdapat di sekitar.

Bukan itu sahaja yang menarik di sini kerana di atas Bukit Melawati ini juga terdapat pelbagai peninggalan bersejarah seperti rumah api, kubu lama, perigi beracun, kubur diraja, beberapa buah meriam dan lain-lain lagi sehinggakan bukit ini diwartakan sebagai Monumen Lama dan Tapak Bersejarah dibawah Akta Bendapurba.

Di samping itu, anda dan keluarga juga dapat berseronok melihat keletah monyet-monyet lutong dan kera yang banyak terdapat di sini. Terutama sekali monyet lutong yang agak mesra dengan pengunjung yang datang memberikan makan. Tapi anda perlu berjaga-jaga sedikit dengan kera, ia agak agresif berbanding monyet biasa.

Waktu Operasi: Sabtu, Ahad Cuti Umum (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM5 | Kanak-kanak RM3

Alamat: Jalan Semarak, 45000 Kuala Selangor


17. FRIM

Forest Research Institute Malaysia
Sumber: Adventurous Malaysia

Tak tahan dengan pencemaran di kawasan bandar, anda dan keluarga ingin selamatkan diri dari semua ni? Jom ke FRIM, nak lagi best, datang awal-awal lagi di waktu daun-daun berembun dan udara sangat segar, barulah terasa berbaloi dah datang dari jauh. Untuk anda yang terasa badan agak berat, apa kata kalau berjogging sambil mendaki bukit di FRIM ni. Pemandangan pun sangat mengujakan. Di FRIM ini bukan setakat hutan rimba, anda juga boleh bermandi-manda atau berkelah di air terjun indah yang terdapat di sini. Sambil berkelah tu, pejamkan mata anda dan tenangkan fikiran sambil mendengar kicauan burung yang berterbangan.

Bukan itu sahaja, anda boleh juga mengajak keluarga anda melawat Taman Botani Kepong yang juga terletak di FRIM ini. Taman Botani ini menawarkan lanskap yang indah, sesuai untuk anda bergambar bersama keluarga. Kalau anda ingin menerokai hutan FRIM ini pula, anda boleh mendapatkan khidmat pemandu pelancong yang akan turut memberikan penerangan tentang flora dan fauna di hutan rimba ini di samping mengelakkan anda daripada tersesat.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00am – 1.00pm, 2.00pm – 4.30pm) | Jumaat (8.00am – 12.15pm, 2.45pm – 4.30pm)

Bayaran Masuk: Orang Awam MyKad: RM1, Biasa: RM5 | Basikal: RM2 | Kereta: RM5

Alamat: Jalan FRIM, Kepong, Petaling Jaya 52109


16. Gua Damai Xtreme Park

Gua Damai Xtreme Park
Sumber: Gua Damai Xtreme Park

Bertempat di bahagian utara Batu Caves, Gua Damai Xtreme Park merupakan destinasi pilihan bagi ramai peminat aktiviti lasak memanjat dinding ataupun wall climbing. Terdapat lebih daripada 70 ruang memanjat, aktiviti lasak di sini bukan sahaja boleh dilakukan pada siang hari, kerana ia turut dilengkapi dengan spotlight untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti wall climbing pada waktu malam.

Sebelum anda ke sini, anda perlu tahu yang aktiviti memanjat dinding di sini agak mencabar, walau apapun, inilah salah satu sukan yang dapat membentuk jati diri supaya menjadi seorang tidak mudah berputus asa untuk menuju ke puncak, nak ajar anak anda sesuatu yang berharga, bawalah mereka ke sini.

Bayaran Masuk: Fun Climbing RM70 | Basic Rock Climbing Course RM150 | Gua Damai Extreme Package RM150 | Basic Tree Climbing RM70 | Personnel Climbing Guide RM250

Alamat: Kampung Melayu Wira Damai Batu Caves, Selangor Malaysia


15. Kidzania

KidZania Kuala Lumpur
Sumber: Kidzania

Alam dewasa bukanlah satu dunia yang mudah, banyak perkara yang perlu diambil kira, tak naklah anak-anak anda terkejut sangat bila dah sampai waktunya nanti kan, jadi apa kata kalau anda bawa mereka ke Kidzania, sebuah dunia di mana anak-anak anda boleh memilih pekerjaan yang mereka ingin cuba seperti menjadi DJ radio, doktor, jururawat, pakar kecantikan, jurugambar dan banyak lagilah yang bukan sahaja dapat menaikkan keyakinan diri dalam bersosial bersama kanak-kanak lain, malahan dapat mencungkil kreativiti dan kemampuan mereka untuk berfikir dengan kritikal.

Dalam dunia Kidzania, apa sahaja pekerjaan yang mereka lakukan akan diberikan gaji dalam matawang Kidzo yang seterusnya boleh digunakan untuk membeli-belah atau berseronok dengan aktiviti lain yang terdapat di sini. Anak-anak boleh belajar berjimat dan memahami kepentingan bekerja keras untuk mendapatkan sesuatu yang diingini. Satu aktiviti menarik yang sangat bermanfaat bukan?

Waktu Operasi: Ahad – Jumaat (10.00am – 5.00pm) | Sabtu, Cuti Umum, Cuti Sekolah (10.00am – 7.00pm) | Isnin (Tutup Kecuali Pada Musim Cuti Sekolah)

Bayaran Masuk Mengikut Umur (Walk-In): 0 – 1 Percuma | 2 – 3 RM41 | 4 – 17 RM85 | 4 – 17 OKU Percuma | 18 – 59 RM41 | Warga Emas RM35

Alamat: KidZania Kuala Lumpur, Curve NX, 18 Jalan PJU 7/5, Mutiara Damansara, 47810 Petaling Jaya, Selangor


14. IceScape Ice Rink

IceScape Ice Rink
Sumber: Ice Scape Ice Rink

IceScape Ice Rink yang terletak di IOI City Mall ini merupakan satu-satunya gelanggang ais yang terbesar dan bersaiz Olimpik di Malaysia. Kalau nak tunggu salji turun di Malaysia, memang tak mungkinlah kan, takkan nak tengok sahaja mat-mat saleh meluncur sana-sini di ice rink dengan penuh keseronokan, mesti anda pun nak merasa.

Tak payah nak keluar negara, datang sahaja ke sini. Kalau anda teragak-agak sebab tak pernah berice-skating, anda boleh menggunakan patung penguin yang disediakan pihak IceScape sebagai tempat berpaut. Kalau nak join dengan lagi serius aktiviti unik (di negara tak bersalji) ini, anda boleh menyertai kelas ice-skating yang disediakan untuk beginners yang tak sabar nak menjadi pakar dalam sukan ini. Baru nampak kelas sikit bila tahu berice-skating ni, lagipun apa salahnya belajar skills baru kan, baru serba boleh!

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)

Bayaran Masuk: Isnin –  Jumaat RM25 | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah RM30

Alamat: IOI City Mall, Lebuh IRC, IOI Resort City, 62502 Selangor


13. Pantai Kelanang

Pantai Kelanang
Sumber: Mohd Hashim Miskon

Dikelilingi oleh pokok kasuarina yang menyejukkan pandangan mata, Pantai Kelanang ini agak kurang dilawati yang menjadikan ia sebuah pantai yang tepat untuk dijadikan tempat santai sekiranya anda dan keluarga inginkan ketenangan dalam privasi. Di bawah pokok-pokok yang tumbuh mekar di sekelilingnya juga sesuai untuk dijadikan kawasan berkelah mahupun berkhemah.

Cuma anda perlu tahu bahawa kawasan pesisir pantai ini bercampur antara pasir dan juga lumpur dan bukanlah seratus-peratus berpasir halus seperti pantai yang lain. Selain berkelah, anda juga boleh cuba menangkap ketam dan mengutip cengkerang yang banyak terdapat di sini.

Alamat: Pantai Kelanang, Kampung Kelanang, Selangor


12. Jump Street Trampoline Park

Jump Street Trampoline Park Petaling Jaya
Sumber: Jumpstreet Trampoline

Jump Street Trampoline Park ini terletak bersebelahan sahaja dengan JayaOne Mall. Untuk pengetahuan anda, trampoline park ini merupakan yang terbesar di Asia, ya, di ASIA. Apa lagi yang anda tunggu? Bukan sahaja seronok untuk kanak-kanak, orang dewasa pun berseronok mengalahkan budak-budak kalau dah mula melompat-lompat di trampoline di sini. Tak perlu fikir lama, jom ke sini bila ada masa free.

Waktu Operasi: Isnin –  Jumaat (11.00am – 9.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Sekolah, Cuti Umum (9.00am – 9.00pm)

Bayaran Masuk: RM27 + Grip Socks RM5

Alamat: No 8A, Jalan 13/6, Seksyen 13, 46200, Petaling Jaya, Selangor


11. Paragliding Bukit Jugra

Paragliding Bukit Jugra
Sumber: Paragliding Malaysia

Terbanglah anda sepuas hati seperti burung yang terbang bebas di angkasa di Bukit Jugra. Aktiviti paragliding ataupun luncur udara ini memang patut dicuba walau sekali dalam hidup, pasti menjadi memori yang takkan dapat dilupakan. Bukan sahaja dapat melihat pemandangan indah dari sudut yang berbeza, malahan anda sendiri dapat menikmati udara yang segar dari kawasan yang jauh dari darat.

Tapi kalau anda seorang yang gayat, janganlah ya. Untuk anda yang tak pernah melakukan aktiviti ini dan berjiwa ekstrem, anda boleh menjadi penumpang kepada paragliding pilot yang bertauliah untuk memandu anda sewaktu meluncur udara. Untuk terbang secara solo pula, anda kena mendapatkan lesen terlebih dahulu. Walau bagaimanapun cara anda berparagliding, memori yang tercipta tak boleh diucapkan dengan kata-kata, bak kata Nora Danish, “Kita hidup hanya sekali, so… kita enjoy!”

Bayaran Masuk: RM220

Alamat: Bukit Jugra, Banting


10. Camp 5 Indoor Climbing Gym

Camp 5 Indoor Climbing
Sumber: Camp 5

Camp 5 Indoor Climbing Gym merupakan satu lokasi yang  patut dilawati untuk anda yang menyukai aktiviti lasak. Sesuai juga untuk yang mahu berjinak-jinak dalam dunia wall climbing ini. Persekitaran yang selesa dilengkapi dengan penyejuk udara, anda tak perlu berpanas di bawah terik cahaya matahari, berganda keseronokannya untuk yang baru ingin mencuba aktiviti lasak ini, lagi seronok bila dah berjaya sampai ke puncaknya yang menyajikan pemandangan yang mempersonakan.

Sekiranya anda tiada keyakinan untuk memulakan aktiviti memanjat dinding ini sendiri, anda boleh menyertai kelas rock climbing yang disediakan gym ini ataupun pilih sahaja pakej percubaan yang ditawarkan. Ramai juga kanak-kanak yang dibawa untuk melakukan aktiviti ini di sini. Tak perlu berfikir lama, lokasi mana lagi yang best untuk membina stamina di hujung minggu kalau bukan di sini?

Waktu Operasi: Isnin –  Jumaat (2.00pm – 11.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum (10.00am – 8.00pm)

Bayaran Masuk (1 Day Visit Pass): Dewasa RM33 | Kanak-kanak (Bawah 15 Tahun) RM16 | Kanak-kanak (Bawah 8 Tahun) Percuma

Alamat: EZ501, 5th Floor, 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama, Damansara, Petaling Jaya 47800, Selangor


9. Min Nature

Min-Nature-Kuala-Lumpur
Sumber: Min Nature

Min Nature merupakan tapak pameran model miniature yang terbesar di Asia dengan keluasan 17,000 kaki persegi. Model-model miniature yang dapat dilihat di sini kesemuanya merupakan hasil tangan rakyat Malaysia sendiri. Anda dapat melihat kawasan kampung dan bandar yang dibina dengan penuh realistik kerana lengkap dengan patung-patung kecil manusia yang menghidupkan dunia yang kecil ini. Turut dipamerkan adalah landasan keretapi bersaiz mini yang terpanjang.

Bukan itu sahaja, anda boleh juga melihat bagaimana model-model mini ini direka menggunakan mesin printer 3D yang terdapat di sini. Sebelum pulang, jangan lupa untuk membawa balik modeling kit yang dijual murah dengan harga RM20. Unik dan menyeronokkan, wajib dilawati kerana merupakan satu-satunya pameran miniature yang terdapat di Malaysia.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 10.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM28 | 4-12 Tahun RM15

Alamat: Level 4, Summit USJ, Subang Jaya


8. Galactic Laser Tag

Galactic Laser Tag
Sumber: Galactic Laser

Bagi anda yang pernah bermain paintball, konsepnya sebenarnya sama sahaja dengan Galactic Laser Tag ini. Cuma bezanya paintball menggunakan peluru cat yang agak menyakitkan kalau terkena kulit, nah, ini dia penyelesaian untuk anda yang nak buat aktiviti yang menyeronokkan ini tanpa sebarang risiko.

Menggunakan teknologi laser, sekali anda ditembak dengan senjata laser ini, keupayaan anda untuk menembak akan hilang. Main perang-perang terasa realistik lagi dengan suasana gelap berkabus di Galactic Laser Tag ini. Daripada anda kebosanan tiada apa untuk dibuat di hujung minggu, datang sahaja ke Galactic Laser Tag, mana tahu, mungkin ada antara anda yang berkebolehan dalam strategi peperangan.

Waktu Operasi: Ahad – Khamis (10.00am – 10.00pm) | Jumaat, Sabtu, Cuti Umum, Cuti Sekolah (10.00am – 11.00pm)

Bayaran Masuk: Pakej RM60 – RM100 | Ahli RM33 – RM51 | Bukan Ahli RM38 – rm58

Alamat: LG3.06 Sunway Pyramid Mall, No. 3 Jalan PJS11/15, 46150 Petaling Jaya


7. Skytrex Shah Alam

Skytrex Adventure Shah Alam
Sumber: Skytrex Adventure

Skytrex Shah Alam yang bertempat di Taman Pertanian Malaysia ini menawarkan pelbagai aktiviti lasak yang menarik untuk dicuba seperti spider web, cable walk, flying fox dan banyak lagi yang menguji stamina anda. Untuk anda yang ingin datang bersama keluarga, jangan risau, ada sahaja aktiviti yang sesuai untuk anda, tapi sekurang-kurangnya perlu mencapai ketinggian 1.1 m.

Tahap ekstrem aktiviti di sini bergantung kepada jenis tiket yang dibeli. Sekiranya anda membeli tiket Little Adventure, ia memberikan pakej aktiviti yang sesuai untuk anda yang baru berjinak dalam aktiviti lasak dan untuk yang masih dalam usia muda; Big Thrill sesuai untuk anda yang intermediate; Extreme Challenge pula untuk yang memiliki stamina yang tinggi dan sudah advanced dalam aktiviti sebegini. Jangan overestimate diri anda ya!

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin (8.30am – 5.00pm)

Bayaran Masuk (Tempahan Online): Beginner RM35 | Intermediate RM45 | Advanced RM55

Alamat: Jalan Liku 8/1, Seksyen 8, 40000 Shah Alam, Selangor


6. Farm In The City

Farm In The City Kuala Lumpur
Sumber: Farm In The City

Sukakan haiwan yang comel? Apa kata kalau anda membawa anak-anak ke Farm in the City. Mereka pasti tersenyum gembira dapat mendekati haiwan-haiwan comel yang dibiarkan bebas di dalam zoo ini. Bukan setakat bermain dengan mereka, anda sekeluarga juga dapat merasai pengalaman memberikan haiwan-haiwan ini makan.

Zoo ini dibahagikan kepada 11 habitat iaitu Turtle Tortoise Farm, Pets Village, Rabbit Farm, Bird Aviary dan bermacam-macam lagi. Pasti anda terhibur melihat keletah haiwan-haiwan ini.

Waktu Operasi: Isnin (10.00am – 6.00pm) | Selasa (Tutup) | Rabu – Jumaat (10.00am – 6.00pm) | Sabtu, Ahad, Cuti Umum dan Cuti Sekolah (9.30am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM32 | Kanak-kanak (Bawah 12 Tahun) RM27 | Warga Emas (Atas 60 Tahun) RM27

Alamat: Eureka Farm Sdn. Bhd., Lot 40187 40188, Jalan Prima Tropika Barat, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan


5. Sunway Lagoon

Sunway Lagoon Resort
Sumber: Kentwee86

Siapa tak pernah mendengar tentang taman tema air yang terkenal ini, Sunway Lagoon. Wajib dilawati sesiapa sahaja yang datang ke KL atau Selangor. Tarikan yang terdapat di sini bukan hanya water park malahan anda tidak patut melepaskan peluang berseronok dengan aktiviti lain yang bertaraf dunia seperti Amusement Park, Extreme Park, Wildlife Park, Scream Park dan Nickelodeon Lost Lagoon.

Nak seronok lagi, anda kena peka dengan promosi-promosi tiket untuk pakej aktiviti menarik di Sunway Lagoon, lagi best kalau anda membeli tiket yang mendapatkan anda akses ekspres untuk bermain aktiviti-aktiviti di sini tanpa perlu beratur, barulah sempat nak mencuba semua permainan menarik di sini!

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Alamat: Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor


4. Zoo Negara

Zoo Negara
Sumber: Zoo Negara

Zoo Negara yang terletak di Jalan Ulu Kelang ini memiliki lebih daripada 400 spesis haiwan yang berbeza dan secara kesuluruhannya terdapat 5000 haiwan yang ditempatkan di zoo ini. Zoo Negara dibahagikan kepada 16 bahagian yang berbeza iaitu taman reptilia, burung-burung tasik, tapir Malaya, gajah Malaysia, kompleks beruang dan lain-lain lagi.

Untuk memberikan anak-anak anda pengalaman yang menyeronokkan sewaktu ke Zoo Negara, anda boleh membawa mereka ke Children’s World yang menempatkan banyak haiwan comel seperti ayam, arnab dan itik yang dibiarkan bergerak bebas di kawasan taman. Anak-anak juga dapat melihat hutan hujan mini yang direka lengkap dengan kandang kuda kecil, taman permainan dan kolam ikan. Mereka pasti tidak dapat melupakan pengalaman indah di Dunia Kanak-kanak ini. Tambahan pula anda juga dapat menyertai program sukarelawan yang dijalankan oleh pihak Zoo.

Waktu Operasi: Isnin – Selasa (9.00am – 4.30pm) | Sabtu, Ahad (9.00am – 5.30pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM44 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) RM16 | Warga Emas RM21

Alamat: Jalan Ulu Kelang, Kemensah Heights, 68000 Ampang, Selangor


3. Pantai Tanjung Rhu

Pantai Tanjung Rhu
Sumber: Krik Alfie

Setibanya anda ke Pulau Carey, anda perlu meneruskan perjalanan untuk ke Pantai Tanjung Rhu dalam 10 ke 15 minit. Pantai Tanjung Rhu memiliki kawasan pesisir berkepanjangan 2.5 km yang berpasir putih bersih. Bolehlah anak-anak bermain pasir dan berlari-lari sepuas hati di sekitar pantai yang luas ini. Di samping itu, untuk pengetahun anda, kawasan pantai ini menjadi tempat pelabuhan nelayan-nelayan yang terdapat di Pulau Carey.

Fakta menarik yang lain berkenaan Pulau Carey di mana terletaknya Pantai Tanjung Rhu ini adalah ia merupakan pulau yang menjadi tempat tinggal masyarakat orang asli Mah Meri yang masih mengamalkan cara hidup tradisional mereka. Agak menarik untuk dilihat kalau anda datang ke sini.

Alamat: Pantai Tanjung Rhu, Pulau Carey, 42960 Kuala Langat, Selangor


2. Taman Alam Kuala Selangor

Taman Alam Kuala Selangor
Sumber: Wilbur Goh

Terbahagi kepada 2 bahagian berbeza, sebahagin besar Taman Alam Kuala Selangor ini merupakan Hutan Hujan Tropika, yang selebihnya pula adalah Hutan Paya Bakau. Bagi pencinta aktiviti memerhati burung, hutan ini sangat kaya dengan pelbagai spesis burung yang bukan sahaja dari dalam negara malahan burung-burung yang berhijrah dari luar negara.

Spesis burung yang menyinggah hutan ini dari luar negara biasanya datang setiap tahun mulai bulan September hingga April pada waktu negara asal mereka mengharungi musim sejuk. Antara spesis burung dari negara lain yang boleh ditemui di sini adalah burung Brown Shrike, Warbler, Purple Herow, Great Eagle dan banyak lagi. Spesis-spesis burung tempatan pula adalah seperti burung Raja Udang, bangau, Serandau dan lain-lain.

Lawatilah Taman Alam Kuala Selangor sekiranya anda ingin mendapatkan udara segar di samping melihat keindahan alam sekeliling yang turut meriah dengan bunyi kicauan burung. Pastikan anda membawa teropong dan kamera kalau ke sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari Termasuk Cuti Umum (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM4 | Kanak-kanak (Bawah 17 Tahun) RM1 | Warga Emas RM2

Alamat: Taman Alam Kuala Selangor, Jalan Klinik, Kuala Selangor, 45000 Kuala Selangor, Selangor


1. Tadom Hill Resort Banting

Tadom Hill
Sumber: Tadom Hill

Dibuka pada Disember 2015, jangan anda pandang rendah dengan Tadom Hill ini walaupun baru. Kalau tak percaya, datanglah ke sini bersama keluarga, pasti seronok tak terkira sebab begitu banyak aktiviti menarik yang boleh dibuat di sini seperti berenang di tasik, bergayut seperti Tarzan di tali gayut atas air sebelum terjun ke dalam air, berakit dan bermacam lagi aktiviti air yang lain.

Bukan setakat itu, anda juga boleh mencuba aktiviti lain yang turut disediakan seperti abseiling, flying fox, ATV, dan mendaki bukit. Tak cukup sehari berseronok di Tadom Hill? Apa kata kalau anda dan keluarga menginap di penginapan-penginapan yang hampir kesemuanya dibuat berasaskan kayu buluh di sini? Terasa seperti bercuti di kawasan desa baq hang.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 6.30pm)

Bayaran Masuk: RM22/pax untuk semua aktiviti air

Alamat: Tadom Hill Resorts, 42700 Banting

Untuk anda yang duduk di sekitar Selangor, anda pasti yang anda dah melawat semua tempat menarik di sini? Bagi yang datang dari jauh pula, tunggu apa lagi, rancanglah percutian anda ke sini, ternyata banyak tempat menarik di Selangor. Kalau anda merancang untuk bercuti di sini selama beberapa hari, anda boleh layari booking.com untuk mendapatkan penginapan yang best dengan harga yang sangat berpatutan.

Baca: 25 Hotel Menarik Di Kuala Lumpur

Sebenarnya anda PATUT meluangkan masa lebih daripada sehari di Selangor ini, sangat banyak tempat untuk dilawati. Bukan itu sahaja, dah puas makan angin di Selangor, anda boleh sahaja singgah ke Kuala Lumpur yang turut memiliki banyak tempat menarik untuk dilawati, dekat pula dengan Selangor, dah alang-alangkan?

Akhir kata, diharapkan artikel ini membantu anda dalam membuat perancangan percutian yang menyeronokkan bersama keluarga. Selamat bercuti-cuti Malaysia di Selangor!