Setiap kali anda bercadang untuk bercuti ke Kota Singa sudah pasti isu bajet menjadi sebab utama anda masih belum dapat memangkah Singapore dari travel bucket list anda.
Mana tidaknya, setiap tahun tanpa gagal kita mendengar berita bahawa Singapura berjaya mendapat tempat diantara bandar paling mahal didunia untuk didiami.
Walaupun kos hidup di Singapura tinggi jika dibanding dengan negara kita, ini tidak bermakna cita-cita untuk membeli-belah di Singapura itu tidak dapat menjadi kenyataan.
Lupakan Orchard Road dan Marina Bay, disini kami senaraikan 4 destinasi rahsia pilihan rakyat Singapore dimana anda boleh mendapatkan nilai terbaik untuk wang anda.
4. International Merchandising Mart Mall (IMM)
Terletak di Jurong East, International Merchandising Mart Mall, ataupun lebih dikenali sebagai IMM oleh penduduk tempatan, adalah pusat beli-belah barangan berjenama terbesar di Singapura dengan sekurang-kurangnya 90 kedai berjenama untuk anda berbelanja sakan!
Jenama-jenama popular antarabangsa seperti Charles and Keith, Adidas, Kate Spade dan Michael Kors antara nama besar dunia fesyen yang menanti ketibaan anda di IMM. Di sini anda boleh membeli fesyen musim lalu dengan harga diskaun yang menarik.
Walaupun tawaran hebat tersedia sepanjang tahun, mengikut tip dari orang Singapura sendiri, jualan hujung tahun adalah masa terbaik untuk datang berbelanja di IMM kerana pada masa inilah barangan musim panas yang sesuai dengan cuaca Malaysia sedang dipromosikan.
Selain itu, pusat beli-belah ini juga mempunyai kawasan permainan kanak-kanak di Tingkat 3 jadi ibu bapa boleh membeli-belah dengan tenang tanpa perlu bimbang di ganggu si kecil.
Jangan risau jika anda tidak mempunyai kereta kerana IMM hanya 10 minit masa berjalan kaki dari Stesen MRT Jurong East.
Stesen Jurong East terletak sepanjang laluan MRT Timur-Barat ataupun lebih dikenali sebagai talian hijau yang meyambungkan Lapangan Terbang Changi ke lokasi menarik seperti Merlion Park (Stesen Raffles Place) dan Haji Lane (Stesen Bugis).
Waktu Operasi: 10am – 10pm Setiap Hari
Alamat: 2 Jurong East Street 21, Singapore 609601
3. Pusat Beli-Belah Queensway
Jika anda seseorang yang mengamalkan gaya hidup aktif dan berkeinginan untuk mendapatkan jenama sukan terkenal dengan harga runtuh, jangan lepaskan peluang untuk ke syurga barangan sukan bernama Queensway Shopping Centre.
Dari jersi bola sepak ke raket badminton ataupun kasut balet, anda boleh temui semuanya di Pusat beli-belah Queensway kerana disini terdapat sebanyak 150 kedai berasingan, setiap satu menampilkan sesuatu yang unik.
Tambahan pula, anda akan rambang mata melihat diskaun besar yang dikenakan keatas jenama besar seperti Nike, Adidas dan Puma menyebabkan harga yang ditawar susah untuk di tolak.
Queensway ini bukan sahaja terkenal dengan barangan sukan yang murah, ia juga merupakan kawasan lepak rahsia golongan hypebeast dan hypebae kerana disini terdapat pelbagai kedai khas buat sneakerhead, contohnya Limited EDT Queensway, yang menjual pelbagai jenis kasut edisi terhad pujaan ramai.
Untuk menjimatkan kos pengangkutan, anda digalakkan untuk menggunakan bas ulang-alik percuma IKEA yang terletak diseberang jalan Pusat Beli-Belah Queensway.
Kekerapan bas ulang-alik ini setiap lima minit dan ia membawa penumpang ke stesen-stesen MRT yang terdekat seperti Stesen Redhill (Laluan Hijau) , Stesen Buona Vista (Laluan Oren dan Hijau) dan Stesen Tiong Bahru (Laluan Hijau).
Waktu Operasi: 11am – 9.30pm Setiap hari
Alamat: 1 Queensway, Singapore 149053
2. City Plaza
Anda mungkin pernah melihat baju-baju cantik di kedai blog atau kedai-kedai sementara dan tertarik membelinya. Pernahkah anda tertanya di mana usahawan-usahawan muda ini mendapat barangan mereka? Semua soalan anda akan terjawab di City Plaza Singapore.
Terletak berdekatan dengan Geylang Serai (kawasan warisan Melayu) terdapat sebuah pusat beli-belah unik bernama City Plaza di mana berpuluh penjual pukal memaparkan barangan ala blogshop yang beraneka jenis. City Plaza adalah destinasi shopping ideal untuk mereka yang ingin membeli barang menarik seperti baju dan aksesori dengan harga borong.
Jangan terkejut apabila anda dapat menemui baju gaya fesyen terkini pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga runcit di bandar! Walaupun pemilik kedai menggalakkan pembelian secara pukal, ruang untuk tawar-menawar harga sentiasa terbuka.
Lebih baik lagi jika anda membawa rakan membeli-belah untuk mendapatkan diskaun yang lebih hebat. Selain pakaian, anda juga boleh mendapatkan gajet retro seperti brick game dan jam tangan plastik untuk melengkapkan rupa hipster anda.
Menjelang Hari Raya, pereka fesyen terkemuka Fatimah Mohsin juga kerap berada di City Plaza untuk mempamerkan dan menjual karya terbaru beliau.
Walaupun beliau pernah diiktiraf Vogue semasa London Fashion Week dan baju beliau sering di pakai selebriti terkenal seperti Aron Aziz dan Sasqia Dahuri, harga busana Fatimah yang ditampilkan di City Plaza ini berpatutuan untuk mereka yang mahu memiliki sesuatu dari koleksinya.
Stesen MRT yang berdekatan dengan City Plaza adalah Stesen MRT Paya Lebar iaitu stesen pertukaran talian oren dan hijau.
Tip Bonus: Sebelah Stesen MRT Paya Lebar juga terletak kedai IUIGA yang menjual barangan dari pengilang Samsonite, Muji, Swarovski, L’Oreal dan sebagainya dengan potongan harga sebanyak 90%.
Waktu Operasi:
- 10:30am – 8pm | Isnin – Sabtu
- 9am – 9pm | Ahad
Alamat: 810 Geylang Road, Singapore 409286
1. Sim Lim Square
Mencari barangan elektronik terkini dengan harga yang berbaloi? Jom serbu Sim Lim Square! Pusat beli-belah elektronik 8 tingkat ini (6 tingkat atas jalan, 2 tingkat bawah tanah) kekal sebagai destinasi popular bagi warga tempatan mahupun pelancong yang mencari gadjet murah.
Melihat pada rupa luaran bangunan ini mungkin anda kurang percaya yang bangunan bereka bentuk lama ini menjadi sasaran pemburu gadjet terkini, tapi jangan cepat terpedaya dengan apa yang diluar kerana didalam anda dapat menjumpai pelbagai gajet dan barangan elektronik terkini dengan harga yang lebih rendah dari biasa.
Tambahan pula anda berpeluang untuk tawar-menawar dan jika bernasib baik, anda juga dapat barang percuma dengan pembelian anda. Pastikan spesifikasi dan harga model atau barangan dikaji dengan teliti terlebih dahulu sebelum pergi.
Tips kami daripada orang Singapura yang kerap ke sini adalah supaya anda bermula dari tingkat paling atas. Kedai-kedai di tingkat teratas mempunyai kos beroperasi yang lebih rendah jesteru dapat menawarkan barangan yang sama pada harga lebih murah berbanding dengan penjual di tingkat bawah.
Anda boleh mendapatkan produk import daripada China seperti Xiaomi dan Oppo yang tidak terdapat di tempat lain. Terdapat juga desas-desus yang pusat teknologi ini mungkin akan dirobohkan tidak lama lagi yang bermaksud harga mungkin akan menjadi semakin rendah.
Sim Lim Square juga terletak lebih kurang 10 minit berjalan kaki dari destinasi beli-belah lain yang terkenal seperti Bugis Street dan Mustafa Centre. Jika anda merancang untuk menggunakan MRT, Sim Lim Square hanya terletak di sebelah Stesen MRT Rochor.
Waktu Operasi: 9.30am – 9pm | Setiap Hari
Alamat: 1 Rochor Canal Road, Singapore 188504
Village Hotels Serviced Residences
Mahu pengalaman bermalam di penginapan istimewa semasa berada di Singapura nanti? Bukan hotel berbilang bintang biasa, Village Hotels oleh Far East Hospitality membolehkan anda hidup, makan, dan membeli-belah sambil menerokai keindahan Singapura seperti orang tempatan.
Dengan lapan hotel dan perumahan perkhidmatan terletak di kawasan menarik di seluruh pulau, pasti ada yang dapat memikat hati anda.
Selain daripada peluang untuk bermalam bilik selesa dan mengunakan perkhidmatan bertaraf dunia yang serba lengkap, satu lagi kelebihan tinggal di Village Hotels adalah kemudahan Handy Phone yang disediakan.
Anda boleh menggunakan Handy Phone ini untuk menikmati data mudah alih tanpa had, membuat panggilan antarabangsa dan tempatan, mendapatkan diskaun pelancong eksklusif dan panduan bandar secara percuma!
Jika anda sedang bercadang untuk bercuti sambil membeli-belah di Singapura, anda mungkin berminat untuk bermalam di Village Hotel Albert Court yang berhampiran dengan pusat beli-belah murah 24 jam, Mustafa Centre.
Hotel istimewa yang terletak berhampiran dengan pusat bandar ini memastikan anda dapat pengalaman penginapan yang luar biasa semasa berada di Singapura nanti. Anda boleh mengunjungi laman web dan social mereka untuk maklumat lanjut.
Far East Hospitality: Laman Web | Facebook | Instagram
Kami harap senarai destinasi membeli-Belah paling berbaloi di Singapore ini dapat memberi anda sedikit ilham untuk berbelanja dengan cermat semasa bercuti di sana nanti. Tidak kira mana pun pusat beli-belah yang anda lawati moga-moga anda pulang dari Kota Singa dengan memori yang indah!