Categories
Malaysia Travel Guide

45 Tempat Menarik Di Sabah | Destinasi Terbaik Negeri Di Bawah Bayu

 

Sabah, Indah berbentuk muka bumi yang bergunung-ganang, berhutan mekar dan dikelilingi Laut Sulu di bahagian timur lautnya, Laut China Selatan di bahagian pantai baratnya dan Laut Celebes di selatan.

Di samping keindahan bentuk muka bumi, negeri di bawah bayu ini turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik yang kebanyakannya dapat mendekatkan anda dengan keindahan dan keunikan alam semulajadi.

Apakah aktiviti-aktiviti tersebut dan di mana tempat menarik di Sabah? Teruskan membaca untuk memahami dengan lebih mendalam lagi mengapa negeri ini menjadi destinasi pelancongan yang terkenal bukan sahaja bagi rakyat Malaysia sendiri, malahan menjadi destinasi idaman pelancong-pelancong dari seantero dunia.

45. Pulau Sapi

Pulau Sapi
Sumber: Sabah My Home Town

Bagi yang sukakan aktiviti lasak, di Pulau Sapi terletaknya Coral Flyer yang merupakan zipline yang terpanjang di dunia, tak main-main, serius, zipline yang terpanjang di dunia adalah di Sabah, dari Pulau Sapi ke Pulau Gaya, nak berflying fox, inilah dia lokasi paling ekstrem untuk dicuba.

Aktiviti lain yang mesti dibuat kalau sudah berada di sini adalah seperti snorkelling dan selaman skuba terutamanya pada waktu-waktu yang mana matahari memancarkan cahaya yang cerah, dengan air yang agak jernih, cahaya matahari dapat menembusi air laut yang membolehkan anda menikmati panorama indah hidupan di sekeliling batu-batu karang laut yang penuh warna-warni dengan jelas sekali.

Bulan Februari sehingga Mei merupakan bulan yang terbaik untuk melawat Pulau Sapi disebabkan pulau ini memiliki segalanya yang diidamkan oleh pencinta alam semulajadi seperti air laut yang jernih, hutan yang mekar hijau dan pantai yang berpasir putih, maka pada musim cuti (selain Feb-Mei), agak meriah dengan para pelancong.

Alamat: Pulau Sapi, Kota Kinabalu 88000, Sabah


44. Marine Museum

Marine Museum Sabah
Sumber: Honey Mark

Marine Museum Sabah dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti ruangan atrium yang dapat memberikan pengalaman seperti anda berada di dasar lautan, muzium yang memaparkan flora fauna di dalam laut dan akhir sekali adalah laluan paya bakau.

Anda dan anak-anak dapat melihat pertunjukan video tentang hidupan laut pada setiap Sabtu, 9.00am hingga 12.30pm dan seterusnya pula pada pukul 2.00pm hingga 4.00pm. Untuk melihat haiwan-haiwan laut yang penuh warna-warni ini diberi makan adalah pada setiap pukul 3.30pm hingga 4.00pm. Akuarium yang terletak di Universiti Malaysia Sabah ini dikatakan antara yang terbaik yang berada di Kepulauan Borneo.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Sabtu (9.00am – 12.30pm, 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.30am, 2.00pm – 4.00pm) | Ahad Cuti Umum (Tutup)

Harga: Dewasa MyKad: RM10, Biasa: RM20 | Kanak-kanak, Pelajar (4 -17 Tahun) Warga Emas MyKad: RM5, Biasa: RM10 | Kamera MyKad: RM5, Biasa: RM10

Alamat: Universiti Malaysia Sabah Borneo Marine Research Institute, Jalan UMS, Sabah, 88400 Kota Kinabalu


Baca: 23 Tempat Menarik Di Sarawak

43. Masjid Kota Kinabalu

Masjid Kota Kinabalu
Sumber: Nelson Michael

Merupakan masjid kedua terpenting di Kota Kinabalu selepas Masjid negeri di Sembulan. Kos pembinaan Masjid Kota Kinabalu ini adalah 34 juta ringgit. Seni binanya diinspirasikan daripada Masjid Nabawi yang terletak di Madinah. Juga digelar sebagai Masjid Terapung kerana dikelilingi oleh lagun buatan manusia. Bukan itu sahaja, masjid ini juga agak lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, klinik penjagaan paliatif, 3 buah madrasah dan ladang ikan.

Kalau anda nak menikmati pemandangan masjid indah ini dengan lebih dramatik lagi dari air yang terdapat di sekeliling, anda boleh menaiki bot pedal yang disediakan pihak masjid. Jangan lupa bawa kamera anda sewaktu ke sini.

Alamat: Jalan Teluk Likas, Kampung Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah


42. Muzium Negeri Sabah

Muzium Negeri Sabah
Sumber: Surang Chuensamran

Dikelilingi oleh taman indah penuh kehijauan ini merupakan Muzium Negeri Sabah yang berkeluasan 17 hektar.  Selain taman yang indah, di sekitar muzium ini juga terletaknya sebuah zoo dan kampung warisan. Antara pameran lain yang terletak di kompleks ini adalah Muzium Peradaban Islam Sabah dan Pusat Sains dan Teknologi.

Satu destinasi yang wajid dilawati sekiranya ke Sabah kerana sangat banyak sekali yang dapat dilihat di sini bersama keluarga, kata orang sambil menyelam minum air, sambil makan angin, sambil mengisi ilmu di dada.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga: Warganegara RM2 | Pelancong RM15 | Warganegara (Pelajar Beruniform, OKU, Warga Emas, Pemandu Teksi) Percuma

Alamat: Jalan Muzium, 88300 Kota Kinabalu, Sabah


41. Pasar Malam Sinsuran

Pasar Malam - Kota Kinabalu
Sumber: KK CIty

Terletak bersebelahan Hotel Le Meridien adalah Pasar Malam Sinsuran yang menjadikan mutiara sebagai tarikan utama, tapi… jangan lupa membuat kajian terlebih dahulu tentang bagaimana untuk mengesan mutiara original dan tipu ya. Di samping itu, hasil kraftangan lain juga tak kurang banyaknya seperti T-shirt Sabah, magnet peti ais, dan lain—lain lagi yang boleh dijadikan cenderamata kepada yang tersayang. Pssst… jangan lupa tawar-menawar kalau ke sini, mesti dapat murah punyalah!

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.30pm – 11.00pm)

Alamat: Lorong Guamantong, Sinsuran Kompleks, 88000 Kota Kinabalu, Sabah


40. Pasar Filipina

Pasar Filipina Sabah
Sumber: Nurul Aida Zakaria

Pasar Filipina ini pula syurga bagi pencinta makanan, di sini anda dapat menemui pelbagai jenis makanan laut, maklumlah Sabah kan kaya dengan hasil laut. Kalau anda ke sini, jangan lupa untuk mencuba makanan popular di sini (yang peliknya, bukan seafood), BBQ kepak ayam madu yang memang pergh! Sedap hingga menjilat jari! Walau lapar macam mana sekalipun, jangan endahkan kebersihan kedai yang dipilih, nanti tak pasal-pasal satu keluarga tak dapat menikmati percutian di Sabah sebab sakit perut, kan susah.

Waktu Operasi: Setiap Hari (5.30pm – 11.00pm)

Alamat: Jalan Tun Fuad Stephen, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah


39. Signal Hill Observatory Platform

Signal Hill Observatory
Sumber: Lim Eng Seong

Bentuknya seperti UFO, tapi bukanlah UFO, ia merupakan dek pemerhatian yang terletak di Signal Hill, puncak tertinggi di Kota Kinabalu. Di sinilah anda dan keluarga dapat menikmati pemandangan terindah dan terbaik sekitar Kota Kinabalu, tiada yang dapat melawan pemandangan dari Observatory Platform ini.

Sudahlah berangin sepoi-sepoi, dapat pula anda menyaksikan pemandangan sekitar Kota Kinabalu sehingga ke pulau-pulau yang terdapat di sekelilingnya, menakjubkan tak dapat digambarkan dengan kata-kata, nak tahu, lihat sendiri.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 12.00am)

Harga: Percuma

Alamat: Jalan Bukit Bendera, 88400 Kota Kinabalu, Sabah


37. Kokol  Hill

Kokol Hill
Sumber: Orang Putih Kita

Satu jam perjalanan dari Kota Kinabalu dan anda akan sampai ke Bukit Kokol yang terletak di Banjaran Crocker, sebuah banjaran yang memisahkan pantai timur dan pantai barat Sabah. Selain Signal Hill Observatory Platform yang terdapat di Kota Kinabalu untuk mendapatkan pemandangan menyejukkan mata, di Bukit Kokol ini juga tidak kurang hebatnya, mungkin lebih menakjubkan lagi kerana dikelilingi hidupan semula jadi dan udara yang sangat menyegarkan. Andai kata tak puas dengan hanya beberapa minit di bukit ini, anda boleh menginap di rumah penginapan ataupun resort yang terdapat di sini.

Alamat: Kota Kinabalu, Sabah


36. Kota Kinabalu Wetland Centre

Kota Kinabalu Wetland Centre
Sumber: Skyphotography

Hutan bakau yang berkeluasan 24 hektar ini kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna yang mengujakan sesiapa sahaja yang melihat. Antara haiwan yang dapat disaksikan di sini adalah seperti ketam bakau, penyu dan biawak.

Di Kota Kinabalu Wetland Centre ini disediakan ruang jalan berpapan berkepanjangan 1.5 km yang membuatkan hutan ini dapat diterokai oleh kanak-kanak kecil dengan selamat. Selain itu, untuk pengetahuan anda, lokasi ini juga terkenal bagi mereka yang mencintai burung, di sini terdapat lebih kurang 80 spesis burung yang berterbangan bebas di sekeliling hutan, sesuailah dengan nama asalnya sebelum ditukar kepada Wetland Centre iaitu Kota Kinabalu City Bird Sanctuary.

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM15 | Kanak-kanak (7 Tahun Keatas) MyKad: RM3, Biasa: RM10 | Kanak-kanak (6 Tahun Kebawah) Percuma

Alamat: Jalan Bukit Bendera Upper, Taman Likas, 88400 Kota Kinabalu, Sabah


35. Masjid Negeri Sabah

Masjid Negeri Sabah
Sumber: Kota Kinabalu Car Rental

Masjid Negeri bagi negeri Sabah ini memiliki seni bina yang menggabungkan bangunan-bangunan pada zaman keagungan Islam dan zaman moden. Kubah masjid ini pula diinspirasikan daripada masjid yang terkenal di dunia iaitu Masjid Biru di Istanbul, Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan Masjid Jame di New Delhi, manakala, menaranya yang berketinggian 215 kaki pula diambil dari rekaan Masjid Nabi di Madinah dan Masjidil Haram di Mekah.

Ilham rekaan yang begitu kreatif dan pelbagai sekali bukan? Lain dari yang lain, jadi tak perlu berfikir panjang, lawatilah masjid ini bersama keluarga untuk lihatlah sendiri keindahan rekabentuknya yang sangat mengagumkan.

Alamat: Jalan Tunku Abdul Rahman, Sembulan, 88100 Kota Kinabalu, Sabah


34. Pantai Tanjung Aru

Pantai Tanjung Aru
Sumber: TrekEarth

Kalau anda tertanya-tanya manalah nak berkelah kalau menginap di sekitar Kota Kinabalu ni, jawapannya adalah di Pantai Tanjung Aru yang hanyalah 6 km sahaja dari bandar. Memang syok. berkelah di sini, fasilitinya juga sangat lengkap sekali, memudahkan anda yang membawa anak kecil dengan bermacam ragam.

Di sini anda dapat menikmati pelbagai makanan yang dijual di tepi pantai, air kelapa, air tebu, sate, apa sahaja yang anda bayangkan sesuai dimakan di tepi pantai, hampir kesemuanya ada. Lagi info penting yang perlu anda tahu sebelum ke sini adalah waktu matahari terbenam di sini, iaitu pada pukul 5.30 dan ke atas, ya, memang awal, dan ya, anda perlu tahu kalau anda bercadang ke pantai, kerana pada waktu inilah pemandangan paling indah dalam hidup anda dapat dinikmati.

Alamat: Tanjung Aru, 88100 Kota Kinabalu, Sabah


33. Sabah Indoor Climbing Centre

Sabah Indoor Climbing Centre
Sumber: Sabah Indoor Climbing Centre

Apa? Tak pernah ber’wall climbing’? Jangan risau, jangan sedih, di sini terdapat ramai pakar-pakar wall climbing yang dapat membantu anda menjadi seorang wall climber yang tidak gentar menghapi cabaran. Beraktiviti lasak bersama keluarga adalah satu aktiviti yang sangat bermanfaat kerana dapat menaikkan keyakinan diri dan sifat kepimpinan ahli keluarga terutama anak-anak. Seronok dan berfaedah, bawa sahaja keluarga ke sini, mesti enjoy punya!

Waktu Operasi: Isnin –  Jumaat (4.00pm – 10.00pm) | Hujung Minggu Musim Cuti (10.00am – 10.00pm)

Harga: Dewasa RM12 |Kanak-kanak (Bawah 18 Tahun) RM9

Alamat: Sabah Indoor Climbing Centre, 24, Jalan Burung Puin, Taman Yakim Jaya, 88450 Kota Kinabalu, Sabah


32. Tambunan Rafflesia Reserve

Tambunan Rafelesia Reserve
Sumber: Wen Chih Lin

Hanyalah 1 jam perjalanan dari Kota Kinabalu, anda akan sampai ke Tambunan Rafflesia Reserve yang menawarkan aktiviti jungle trekking untuk mencari bunga rafflesia yang merupakan bunga yang paling unik, paling pelik dan paling besar di dunia ini, banyak sebab untuk anda melihat bunga Rafflesia ini di depan mata sendiri.

Namun begitu, bersedialah untuk menghidu bau yang agak kurang enak sebaik mendekati bunga ini. Nak tahu kenapa ia bunga tapi busuk? Bunga Rafflesia ini mengeluarkan bau busuk untuk menarik perhatian lalat dan serangga untuk menuju ke arahnya dan pap! dimakan begitu sahaja. Itulah kisahnya mengapa bunga ini pelik. Walau bagaimanapun, bunga ini hanya berkembang beberapa hari sahaja, good luck!

Waktu Operasi: 8.00am – 3.00pm

Harga: RM5

Alamat: Tambunan Raflesia Reserve, 500, 89650 Tambunan, Sabah


31. Monsopiad Cultural Village

Monsopiad Cultural Village Sabah
Sumber: Skypod Hostel

Pada suatu ketika dahulu, terdapat sekumpulan lanun datang dan cuba merompak daripada kawasan perkampungan suku kaum Monsopiad, bertindak dengan pantas, ketua kampung suku kaum itu menangkap dan membunuh lanun-lanun itu, kepala mereka dijadikan hiasan pada pagar di sekeliling kampung untuk menakutkan lanun yang lain. Kini, anda dapat melihat tengkorak-tengkorak ini digantung pada siling rumah panjang di kampung warisan Monsopiad.

Di samping tengkorak sebagai antara tarikan paling top di sini, anda juga dapat melihat kehidupan sebenar masyarakat Monsopiad, seperti makanan tradisional mereka, kepercayaan, tarian dan pakaian mereka. Lagi satu, jangan lepaskan peluang untuk mencuba meniup sumpit yang menjadi senjata utama masyarakat ini dalam menyerang musuh. Mungkin anda pahlawan yang mereka cari selama ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM45, Biasa: RM55 | Kanak-kanak (7 – 12 Tahun) MyKad: RM25, Biasa: RM25

Alamat: Kampung Kuai Kandazon, Penampang, 89507 Kota Kinabalu, Sabah


30. Borneo Trading Post

Borneo Trading Post
Sumber: KK Waterfront

Pejam mata sekali sahaja, anda mungkin terlepas pandang barangan yang sangat menarik untuk dijadikan tanda ingatan sebaik pulang dari Sabah nanti. Punyalah menarik barangan-barangan di sini sampaikan susah nak membuat pilihan, macam nak beli semua je.

Borneo Trading Post ini terkenal dalam kalangan pelancong-pelancong asing kerana produk-produk yang dijual dan keunikan kebanyakan barangan di sini yang sukar ditemui di tempat jualan kraf yang lain. Antara barangan yang boleh ditemui di sini adalah seperti tempat menyimpan nasi, mangkuk-mangkuk, barang kemas dan banyak lagi produk buatan kayu yang lain. Hati-hati berbelanja di sini, boleh licin poket.

Alamat: Jalan Tun Fuad Stephens | Lot 16 the Waterfront, Kota Kinabalu 88000


29. North Borneo Railway

North Borneo Railway
Sumber: Bigfoot Services LTD

Rasailah pengalaman menaiki kereta api yang penuh nostalgia di North Borneo Railway, laluan kereta api yang tertua di Borneo dan Sabah. Satu peluang yang tak boleh disia-siakan kalau anda datang ke Sabah. Anda akan disajikan dengan penorama indah hutan-hutan hujan, sawah-sawah padi, bandar-bandar di pesisir pantai dan banyak lagi yang sangat menakjubkan sepanjang perjalanan menaiki kereta api klasik ini.

Ciri-ciri klasik kereta api ini bukan sahaja dari segi luarannya, malahan ruangan dalamannya membuatkan anda terasa seperti hidup di dalam era 1900-an. Satu pengalaman yang unik dan pasti tidak dapat dilupakan anda sekeluarga. Berminat? Perihal lain berkaitan kereta api ini adalah seperti berikut:

Waktu Boarding: 9.30am di Stesen Tanjung Aru

Waktu Bertolak: 10.00am setiap Rabu Sabtu Sahaja

Waktu Pejabat: Isnin – Jumaat (10.00am – 6.00pm) | Sabtu (9.00am – 5.00pm)

* Tempahan awal perlu dibuat sehari sebelum bertolak.

Harga: Dewasa Kanak-kanak 4 Tahun Keatas RM345 (Termasuk Sarapan Makan Tengahari) | Kanak-kanak 3 Tahun Kebawah Percuma

Alamat: North Borneo Railway, Jalan Utama Sutera Harbour 88100


28. Desa Cattle Dairy Farm

Desa Cattle Dairy Farm
Sumber: Anna Jimenez

Desa Cattle Dairy Farm ini juga digelar sebagai New Zealand Kecil negeri Sabah kerana panorama sekelilingnya yang kelihatan seperti di negara orang Maori itu. Pemandangan ladang lembu ini sangat menyejukkan mata dengan kehijauan rumputnya yang seluas pandangan mata. Bukan itu sahaja, bukit-bukau di sekeliling ladang ini juga menjadikan pemandangan 100 kali lebih memukau sesiapa sahaja yang datang. Kalau dah datang ke sini, jangan lupa untuk membeli produk-produk tenusu hasil dari ladang ini, segar dan sedap!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5 | Kanak-kanak MyKad: RM4

Alamat: Desa Cattle Dairy Farm, 89308 Kundasang, Sabah


27. Taman Kinabalu

Taman Kinabalu
Sumber: Sabah Hacks

Taman ini merupakan tempat di mana eksplorasi pendakian puncak Gunung Kinabalu dimulakan. Taman ini sendiri sudah cukup tinggi sebenarnya, 1585 meter dari paras laut. Taman Kinabalu ini dijadikan sebagai kawasan biologikal yang paling penting di dunia dengan lebih daripada 4500 jenis flora dan fauna yang merangkumi 100 jenis mamalia, lebih daripada 110 jenis siput darat dan 326 jenis burung.

Sangat menakjubkan, tak perlu ke zoo negara untuk melihat semua haiwan ini, datang sahaja ke Taman Kinabalu, lagi realisitik! Lain daripada itu, jangan lupa untuk singgah ke Monumen Gempa Bumi Kinabalu di taman ini juga. Di samping itu, anak-anak anda pasti seronok dapat melihat banyak tupai yang comel di pagar Timpohon yang terdapat di taman ini, nak lagi syok, bawa makanan untuk diberi kepada haiwan comel ini, serius geram melihat mereka makan makanan yang diberikan dengan penuh semangat.

Alamat: Mount Kinabalu National Park, 89300 Ranau, Sabah


26. Kudasang War Memorial

Kundasang-War-Memorial
Sumber: Audrey Ling

Mula dibuka pada tahun 1962, tapak memorial ini digunakan untuk memperingati wira-wira warga Australia, British dan masyarakat tempatan yang terbunuh sewaktu peperangan dunia kedua meletus. Di sebalik memperingati wira-wira yang berani ini, anda dapat menikmati pemandangan indah taman-taman yang terdapat di sini yang berbeza tema untuk menggambarkan perbezaan kewarganegaraan wira-wira ini sepeti Taman Australia, Taman Inggeris, Taman Borneo dan akhir sekali ialah Taman Kolam Renungan (Contemplation).

Kawasan persekitaran taman ini terjaga dengan baik sekali, ini memberikan ketenangan yang tak terkira kepada sesiapa sahaja yang datang. Oh! Jangan lupa untuk mencuba kepak ayam di gerai yang terletak dekat sahaja dari pintu masuk memorial ini, sedap!

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.30pm)

Harga: Warganegara: RM2 | Pelancong: RM10

Alamat: Kundasang War Memorial, 90 Km, Jalan Kundasang Kauluan, Kundasang, 89300, Ranau, Sabah


25. Ladang Teh Sabah

Ladang Teh Sabah
Sumber: Lee Yew Leung

Ladang Teh Sabah ini merupakan ladang teh organik yang satu-satunya di kepualauan Borneo. Berketinggian 2272 kaki dari aras laut dan berkeluasan 6200 ekar, dari sini anda dapat melihat pemandangan hutan rimba dan Gunung Kinabalu yang sangat mengasyikkan.

Perjalanan anda di sini tidak patut berhenti di ladangnya sahaja, alang-alang dah sampai, singgahlah ke kilang tehnya sekali, baru lengkap perjalanan anda. Di kilang ini, anda dapat melihat demonstrasi pembuatan teh dari proses ia dipetik, dibersihkan, digredkan, pendek kata dari A ke Z. Sangat informatif dan bermakna untuk anak-anak kecil yang bersifat ingin tahu.

Waktu Operasi: 8.00am – 4.00pm

Alamat: Ladang Teh Sabah, KM 17, Jalan Ranau/Sandakan Kampung Nalapak Beg berkunci No.2, 89309, Ranau, Sabah


24. Ranau Paragliding Park

Ranau Park Gliding Park Sabah
Sumber: Suara Sabah

108 km dari Kota Kinabalu terletaknya sebuah kota, Ranau yang memiliki bentuk muka bumi bergunung-ganang dan becuaca agak sejuk dengan udara yang menyegarkan. Untuk yang ingin melakukan aktiviti ekstrem, datanglah ke Ranau Paragliding Park di mana anda dapat berpragliding ibarat burung yang terbang bebas sambil menikmati pemandangan sekitar yang indah, anda dapat melihat kawasan perkampungan dan sawah-sawah padi yang terbentang luas. Satu pengalaman yang sukar dilupakan.

Alamat: Ranau Paragliding Park, Jalan Kompleks Sukan Ranau, 89308 Ranau, Sabah


23. Pekan Kundasang Pekan Nabalu

Pekan Kundasang
Sumber: Borneo Hotel

Dikelilingi gunung-ganang yang sangat indah, terdapatnya pasar yang menjual bermacam sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar dan organik di Pekan Kundasang, persis Cameron Highland, sejuknya juga lebih kurang sahaja samanya seperti di sana. Kalau anda ingin memberikan orang tersayang anda sesuatu yang istimewa, bunga-bungaan segar yang bermacam warna ada juga dijual di sini. Kalau dah cuaca pun seperti di Cameron Highland, sudah tentu ada saja buah comel yang berwarna merah itu, strawberry, segar dan sedap dimakan begitu sahaja.

Di Pekan Nabalu pula, anda dapat melihat ramai penduduk tempatan yang terdiri daripada kaum Dusun meniagakan pelbagai barangan kraftangan yang menarik, boleh rambang mata, kempis poket kalau ke sini, bahaya, bahaya…

Alamat: Pekan Nabalu, 89150 Ranau, Sabah | Pekan Kundasang, 89308 Ranau, Sabah


22. Rumah Terbalik Tamparuli

Rumah Terbalik Tamparulli
Sumber: 1 Sabah

Bagaimanalah agaknya kan kalau dunia ini semuanya terbalik? Agak-agak pening tak kepala? Nak tahu macam mana rasanya hidup dalam dunia yang serba tak kena ni bolehlah ke Rumah Terbalik Tamparuli, kesemuanya, daripada rumah sehinggalah ke perabot dalamannya semuanya terbalik. Selain daripada tarikan Rumah Terbalik Tamparuli ini, di sekitar kawasan ini juga terdapat 3D Wonders Museum yang mempamerkan karya-karya seni 3D.

Waktu Operasi Rumah Terbalik Tamparuli: Setiap Hari (7.00am – 7.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM10.60, Biasa: RM19.10 | Kanak-kanak (4 – 12 Tahun) RM5.30 | Kanak-kanak (Bawah 3 Tahun) Percuma

Alamat: Rumah Terbalik Tamparuli, Kampung Telibong, Batu 21, Jalan Telibong, Tamparuli 89250


21. Pulau Selingan

Pulau Selingan
Sumber: Khairul Hizad

Untuk menuju ke Pulau Selingan ini, anda perlu menaiki bot dari Sandakan yang memakan masa 50 minit merentasi Laut Sulu. Setibanya di sini nanti anda dapat melihat kepelbagaian flora yang terdiri daripada hutan bakau, pokok lantana dan lain-lain lagi.

Apa yang menariknya di Pulau Selingan ini adalah kerana ia menjadi tempat pembiakan utama penyu-penyu sehinggakan pulau ini dijadikan Pulau Konservasi Penyu. Waktu-waktu kebiasaan penyu ini datang ke pesisir pantai adalah seawal jam 7 petang dan selewat jam 2 pagi. Bersekang matalah kalau anda ke sini menunggu penyu-penyu menunjukkan kehadirannya. Yang seronoknya lagi, apabila telur-telur penyu ini menetas, anda sekeluarga dapat menyentuh haiwan comel ini sebelum dibiarkan bebas ke lautan.

Alamat: Selingan Turtle Island, Pulau Selingan, Sabah


20. Pulau Gulisan

Pulau Gulisan
Sumber: Marina Court

Seterusnya, Pulau Gulisan juga merupakan salah satu daripada 3 Taman Laut Pulau Penyu di Sabah, pulau-pulau yang lain adalah Pulau Selingan dan Pulau Bakungan. Pulau Gulisan ini adalah yang terkecil antara 3 pulau yang lain. Kalau anda ke pulau ini, anda dapat menyaksikan sendiri penyu-penyu comel ini menetaskan telur di bahagian utara, timur dan barat daya kawasan pulau ini.

Alamat: Pulau Gulisan, Sabah


19. Sepilok Orang Utan Centre

Sepilok Orang Utan Centre
Sumber: Yaxa Reizen

Orang utan merupakan salah satu daripada haiwan yang banyak kerenah yang menghiburkan hati. Kalau anda ke Sepilok Orang Utan Rehabilitation Centre, anda dan keluarga dapat melihat bayi orang utan yang tak duduk diam bergerak dari sana ke sini menggunakan tali-tali dan tayar yang tergantung di merata tempat.

Masing-masing memiliki personaliti tersendiri yang menambahkan lagi keterujaan sesiapa sahaja yang melihat. Walau bagaimanapun, untuk tujuan keselamatan, pelawat hanya boleh berjalan di atas ruang jalan yang disediakan dan tidak dibenarkan untuk mendekati haiwan-haiwan ini. Dapat tengok secara live pun dah cukup puas hati kan, bukan senang nak jumpa.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.45am – 4.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM30 | Kanak-kanak (17 Tahun Kebawah) MyKad: RM2, Biasa: RM15 | Kamera: RM10

Alamat: Sabah Wildlife Department, W.D.T. 200, Sandakan, Jalan Sepilok, Sepilok, 90000 Sandakan, Sabah


18. Rainforest Discovery Centre

Rainforest Discovery Centre
Sumber: Amazing Borneo

Terletak 23 km dari kawasan pekan Sandakan adalah Rainforest Discovery Centre yang memberikan peluang kepada para pelawat untuk menyelami kehidupan alam semulajadi melalui pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan.

Yang paling menarik sekali adalah ruang jalan berkanopi di mana anda dapat berjalan melaluinya sambil menikmati pemandangan flora dan fauna di sekeliling ditemani bunyi siulan burung-burung yang terdapat banyak di hutan hujan ini. Di samping itu, anda dapat melihat pelbagai lagi binatang lain seperti orang utan, rusa, tupai dan monyet. Jangan lupa untuk bawa kamera anda kalau ke sini, setiap sudut hutan ini menawarkan pemandangan yang indah.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Harga: Dewasa MyKad: RM7, Biasa: RM15 | Kanak-kanak (5 – 17 Tahun) MyKad: RM7

Alamat: Rainforest Discovery Centre, Sepilok, 90715 Sandakan, Sabah


17. Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary

Probosis-Monkey Sanctuary Labuk Bay
Sumber: Borneo Adventure

Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary ini terletak di dalam hutan bakau Semawang. Di sini anda sekeluarga dapat melihat monyet belanda yang lain daripada monyet lain dari segi saiz hidungnya yang agak panjang dan perutnya yang besar dan kepala dengan bulu yang agak kemerahan.

Haiwan yang memiliki fizikal yang unik ini sangat menarik untuk dilihat di depan mata sendiri. Selain daripada monyet belanda, anda dapat juga melihat hidupan liar yang lain seperti tupai terbang dan kunang-kunang. Sehari memang tak cukup untuk melihat segala yang ditawarkan di sini, anda boleh menginap di chalet untuk menerokai kawasan ini sepuas hati sebelum ke tempat lain.

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Biasa: RM60 | Kanak-kanak (Bawah 12 Tahun) MyKad: RM5, Biasa: RM30

Alamat: Labuk Bay Proboscis Monkey Sanctuary, Off Jalan Labuk, 90000 Sandakan, Sabah


16. Sandakan Memorial Park

Sandakan Memorial Park
Sumber: Top Peak Travel

Dahulunya pada zaman sebelum kemerdekaan dan tanah Melayu dijajah komunis, situasi di Sandakan ibarat neraka dunia. Pihak Jepun telah menjadikan dalam 3000 tentera British Australia dan New Zealand sebagai tawanan perang yang mana hanya 6 orang terselamat kerana berjaya melepaskan diri. Namun kini, peristiwa pahit ini telah berakhir dan yang tinggal adalah sebuah kisah yang menyentuh hati sesiapa sahaja yang melawati bekas kem tahanan ini.

Siapa sangka sebuah taman yang dikelilingi pokok-pokok rendang dan penuh ketenangan ini sebenarnya menyimpan memori yang penuh duka. Datanglah ke taman ini bersama keluarga untuk memperingati ketahanan dan ketabahan tawanan perang pada zaman negara ini dijajah.

Alamat: Sandakan Memorial Park, Mile 8, Jalan Labuk Utara, Taman Rimba, 90702 Sandakan, Sabah


15. Pulau Lankayan

Pulau Lankayan

Perjalanan ke Pulau Lankayan dari Sandakan memakan masa lebih kurang 1 jam setengah. Apabila anda sampai sahaja ke pulau ini anda dapat melihat air lautnya yang begitu jernih, penyu-penyu sibuk ke hulu ke hilir, satu pengalaman yang sangat menyeronokkan seluruh ahli keluarga.

Pulau ini kecil sahaja, mungkin hanya memakan masa dalam 15 minit untuk habis pusing satu pulau indah ini. Aktiviti yang sering dilakukan di sini adalah snorkelling, dengan air yang jernih, panorama di dalam laut dapat dinikmati dengan jelas sekali, pemandangan di dalam air Pulau Lankayan yang kaya dengan hidupan laut penuh warna-warni ini ternyata sangat mempesonakan.

Alamat: Pulau Lankayan, Sabah


14. Gomantong Cave

Gomantong Cave
Sumber: Sharif Putra

Kawasan di sekeliling Gua Gomantong dan di gua ini sendiri dipelihara dengan baik sekali untuk membiarkan hidupan liar hidup dalam habitat mereka tanpa sebarang masalah. Dalam perjalanan ke gua ini anda dapat menikmati suasana penuh ketenangan di dalam hutan tapi jangan terkejut pula kalau terjumpa orang utan tiba-tiba yang mungkin berjalan di atas kanopi ruang jalan kerana kawasan hutan di sini menjadi habitat haiwan ini juga.

Setibanya di gua itu nanti, anda perlu bersedia dengan bau najis kelawar yang agak menusuk hidung, dan bagi anda yang membawa keluarga terutama kanak-kanak, perlu tabahkan diri melihat agak banyak lipas yang ada di sini. Agak mencabar, tapi satu pengalaman yang menarik untuk disimpan di dalam memori.

Harga: Dewasa MyKad: RM5, Biasa: RM30 | Kanak-kanak (Bawah 18 Tahun) MyKad: RM2, Biasa: RM15

Alamat: Gomantong Caves, 90000 Kinabatangan, Sabah


13. Bornean Sun Bear Conservation Centre

Borneo Sun Bear Conservation Centre
Sumber: Women On The Road

Kalau anda menyangka beruang hanya berada di kawasan yang sejuk seperti di antartika dan lain-lain, ternyata anda salah, kerana di Bornean Sun Bear Conservation Centre anda dapat mendekati beruang matahari yang juga merupakan antara spesis beruang yang paling kecil di dunia.

Antara kemudahan yang disediakan di pusat ini adalah dek pemerhatian, pusat pelawat dan ruang jalan berpapan. Selain itu, untuk pengetahuan anda, terdapat lebih daripada 40 ekor beruang matahari yang dapat dilihat di sini. Jangan lepaskan peluang untuk melihat haiwan-haiwan comel ini pada waktu mereka aktif iaitu dari pukul 9.30am ke 3.00pm.

Harga: Dewasa MyKad: RM15, Biasa: RM30 | 12 – 17 Tahun MyKad: RM2, Biasa: RM5 | Bawah 12 Tahun Percuma

Alamat: Bornean Sun Bear Conservation Centre, PPM 219, Elopura, 90000 Sandakan, Sabah


12. Pasar Tanjung Tawau

Pasar Tanjung Tawau
Sumber: Tawau

Pasar ini dikatakan sebagai pasar tertutup yang terbesar di Malaysia dengan 6000 buah gerai. Bermacam jenis barangan boleh ditemui di sini dari makanan laut, rempah ratus hinggalah ke barangan-barangan logam untuk kemudahan di dapur. Antara yang menjadi tarikan utama para pelancong di sini adalah amplang yang dijual murah. Bagi anda yang sukakan ikan bilis, kualiti ikan ini di sini agak memuaskan, segar dan murah pula tu. Apa-apa pun, sebagai orang yang bijak berbelanja, jangan lupa untuk tawar-menawar, baru puas hati!

Alamat: Pasar Tanjung Tawau, Bandar Tawau, 91000 Tawau, Sabah


11. Maliau Basin Conservation Area

Maliau Basin
Sumber: Saya Orang Sabah

Maliau Basin Conservation Area adalah kawasan hutan yang menyeronokkan untuk aktiviti memerhati burung dan merentas hutan. Untuk aktiviti merentas hutan, ia boleh dilakukan pada malam hari untuk melihat haiwan liar yang bebas di habitat mereka.

Kalau anda betul-betul serius ingin menerokai hutan ini, jangan lupa untuk memakai pakaian dan kasut yang sesuai, penting juga untuk memakai stokin yang dapat menyelamatkan anda daripada pacat, dan dinasihatkan untuk anda memakai penolak serangga ataupun insect repellent pada kulit. Menerokai hutan ini memang mencabar dan tidak begitu sesuai untuk kanak-kanak dan untuk orang yang kurang stamina.

Alamat: Maliau Basin Conservation Area, Sabah


10. Hutan Simpan Bukit Gemok

Hutan Simpan Bukit Gemok
Sumber: Ahmad Shukri

Hutan Simpan Bukit Gemok memiliki ruang jalan berkanopi yang terpanjang di Sabah yang dapat dilihat setelah 1 jam lebih pendakian. Sepanjang perjalanan di dalam hutan ini anda akan menemui beberapa buah pondok yang disediakan untuk anda bersantai setelah penat berjalan, tandas juga disediakan untuk para pelawat.

Antara haiwan yang dapat dilihat di hutan ini adalah tupai, rusa, burung-burung yang pelbagai jenis dan banyak lagi. Tapi diingatkan juga, sekiranya anda berniat untuk  merentas hutan ini, pakai pakaian dan kasut yang sesuai. Di samping itu, anda perlu berhati-hati kalau datang ke sini pada musim hujan, perjalanan boleh menjadi lebih mencabar dengan jalan yang agak berlumpur dan licin.

Harga: RM1

Alamat: Hutan Simpan Bukit Gemok, Tawau, Sabah


9. Balung River Eco Park

Balung River Eco Park
Sumber: Diari Perantau

Taman ini pernah memenangi anugerah Tarikan Alam Semulajadi Terbaik pada tahun 2003, apa lagi cara terbaik untuk menghabiskan percutian anda sekeluarga kalau bukan di taman indah ini. Bukan setakat cantik, malahan, banyak aktiviti menarik yang boleh dibuat di sini untuk berseronok bersama keluarga seperti berenang, merentas hutan, memancing, memerhati burung, perkhemahan, berkelah, campfire dan lain-lain lagi.

Untuk penginapan yang selesa, anda boleh menetap di chalet yang dibina dengan menggunakan kayu balak dan batuan sungai untuk memberikan pengalaman seperti tinggal di kawasan desa, agak realistik suasana desa di sini. Lebih-lebih lagi, anda dapat melihat buah naga dan macam-macam lagi pokok buah lain yang tumbuh segar di kawasan sekitar. Tiada sebab untuk tidak ke sini bukan?

Harga: Dewasa RM3 | Kanak-kanak RM2

Alamat: Balung River Estate, Sabah


8. Monumen Menara Loceng

Tawau Bell Tower
Sumber: Lee Chye Ewe

Bangunan bersejarah, Monumen Menara Loceng yang berusia lebih daripada 100 tahun ini terletak di hadapan pejabat Pos 2020. Monumen ini dikatakan sebagai yang paling antik yang terdapat di Tawau. Apabila anda ke sini, jangan terkejut pula melihat yang ‘menara loceng’ ini sebenarnya sudah tiada locengnya, tapi namanya masih lagi kekal sedemikian rupa.

Alamat: Monumen Menara Loceng, Padang Bandaran Tawau


7. Pulau Tiga

Pulau Tiga
Sumber: @scifo_bryan

Pulau Tiga merupakan salah satu daripada 3 buah pulau yang terletak di Taman Negara Pulau Tiga. Pulau Tiga sebenarnya lebih dikenali sebagai Pulau Survivor, kenapa? Kalau anda nak tahu, pulau ini menjadi lokasi penggambaran musim pertama siri TV Amerika, Survivor. Bukan calang-calang rupanya status pulau ini.

Antara aktiviti menarik yang boleh dibuat di sini adalah berenang, snorkeling, berkayak dan juga berendam di dalam gunung berapi lumpur kecil. Menurut penduduk setempat, berendam di dalam lumpur ini dapat menyembuhkan bermacam penyakit kulit. Mesti anda terfikir, tak panas ke lumpur gunung berapi ini? Tak perlu risau kerana lumpur ini hanyalah suam-suam kuku sahaja, memang syok untuk berendam.

Alamat: Pulau Tiga, Sabah


6. Weston Wetland Park

Weston Wetland Park
Sumber: Classic Holidays

Weston Wetland Park menawarkan pemandangan indah dengan haiwan-haiwan yang tenang di habitat masing-masing. Pasti anak-anak anda seronok dapat melihat dengan lebih dekat monyet-monyet belanda yang bergerak bebas di sekeliling, dari pokok ke pokok. Apabila waktu matahari terbenam pula, anda dapat menikmati pemandangan terbaik dari sungai di taman ini.

Tiba sahaja waktu malam, anda dan keluarga boleh menaiki bot untuk melihat banyak kunang-kunang yang memancarkan cahaya seperti lampu lip lap, satu pemandangan yang mengujakan, membuatkan anda ingin menyimpan memori ini dalam botol kaca, tapi, malangnya, memori tidak boleh disimpan sebegitu rupa. Yang penting, kekal jelas dalam memori.

Alamat: Weston Wetland Park, 89800 Beaufort, Sabah


5. Pulau Kapalai

Pulau Kapalai
Sumber: Travel Mogul

Pulau Kapalai yang turut dikenali sebagai Maldives negara Malaysia ini terletak 15 km dari Sipadan. Perjalanan ke sini dari Pulau Mabul yang tak kurang hebatnya hanyalah 15 ke 20 minit perjalanan menaiki bot. Aktiviti yang terkenal yang sering dilakukan di sini adalah muck diving ataupun aktiviti menyelam ke dasar laut untuk menerokai makhluk makro yang terdapat di bahagian dasar, satu pemandangan yang agak menakjubkan. Anda juga boleh menyewa kayak dariapada resort-resort yang terdapat di pulau ini.

Alamat: Pulau Kapalai, Tawau, Sabah


4. Pulau Sipadan

Pulau Sipadan
Sumber: ryzal118

Pulau Sipadan yang hanya berkeluasan 12 hektar ini cukup terkenal dengan kekayaan ekosistem marinnya. Mana taknya, terdapat lebih daripada 3000 spesis ikan dan juga terumbu karang yang ditemui di sini. Pulau Sipadan disenaraikan sebagai destinasi menyelam terbaik di dunia di dalam majalah Rodale’s Scuba Diving. Bukan itu sahaja, pulau ini turut menjadi tempat pembiakan penyu. Apa lagi yang anda fikirkan, jadikan Pulau Sipadan sebagai destinasi yang wajib dilawati kalau ke Sabah.

Alamat: Pulau Sipadan 91307, Sabah


3. Pulau Mabul

Pulau Mabul
Sumber: Big John Scuba

Pulau Mabul terkenal dalam kalangan para penyelam kerana ia terletak dekat dengan Pulau Sipadan yang merupakan destinasi terbaik untuk aktiviti ini. Terletak hanya 15 km dari Sipadan, pulau yang berkeluasan 20 hektar ini ditumbuhi oleh pokok palma dan memiliki kawasan-kawasan pantai yang kecil. Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan di sini adalah menyelam skuba di mana anda dapat menyaksikan pelbagai hidupan laut yang menarik seperti ikan katak, ikan kalajengking, jawfish dan banyak lagi yang unik dan menarik untuk dilihat.

Alamat: Pulau Mabul, Sabah


2. Pulau Layang-Layang

Pulau Layang Layang
Sumber: Awesome Nature

Pulau Layang-Layang ini terletak agak jauh dari pesisir Sabah iaitu 300 km. Kawasan di sekeliling pulau ini sangat jernih dan tidak tercemar sedikit pun kerana kedudukannya yang agak jauh dari sebarang gangguan dan pembangunan. Hati-hati, air di sini turut menjadi tempat jerung berkeliaran. Untuk anda yang suka menyelam, pasti anda berasa seronok dengan panorama laut yang ditawarkan di sini, begitu indah sekali dengan bermacam spesis hidupan yang penuh warna-warni yang dapat dilihat dengan jelas.

Alamat: Pulau Layang-Layang, Sabah


1. Pulau Manukan

Pulau Manukan
Sumber: Kembara Nusantara

Air laut tenang di Pulau Manukan menjadikan ia selamat untuk sesiapa sahaja termasuklah kanak-kanak. Sebagai sebuah pulau ke-2 yang terbesar di Taman Marin Tunku Abdul Rahman, ia menjadi destinasi pilihan ramai pelancong, tapi, anda jangan risau, ada ruang untuk semua orang mendapatkan percutian penuh ketenangan. Sebagai sebuah pulau yang berhutan, anda dapat bersantai di bawah rimbunan pokok sambil menikmati udara segar Pulau Manukan setelah puas berenang.

Aktiviti yang terkenal di Pulau Manukan adalah snorkelling. Lokasi terbaik untuk anda melakukan aktiviti ini adalah kawasan laut yang dalam sedikit berdekatan dengan jeti dan jauh dari kawasan pantai yang dipenuhi pelawat. Di sini terdapat taman batu karang yang sangat indah. Bagi anda yang tak pandai berenang, boleh menggunakan jaket keselamatan yang disediakan.

Alamat: Manukan Island, Kota Kinabalu, Sabah

Anda rasa senarai ini pun sudah cukup banyak untuk membuktikan keindahan dan keunikan negeri ini? Tidak sama sekali, sebenarnya banyak lagi destinasi menarik yang terdapat di Sabah. Sebagai negeri kedua yang terbesar di Malaysia yang terletak di kepulauan Borneo yang merupakan pulau ketiga terbesar di dunia, sukar untuk dikalahkan oleh negeri lain dari segi bilangan destinasi menarik untuk dilawati. Kekayaan flora dan faunanya menjadi idaman ramai para pelancong dalam dan luar negara yang menginginkan ketenangan dari kesibukan kota.

Apa lagi yang anda fikir-fikirkan, jadikan Sabah sebagai destinasi pelancongan anda yang seterusnya. Tempat menarik sudah pun banyak anda ketahui dari penulisan ini, bagaimana pula penginapan? Untuk mengetahui penginapan yang menaruk dengan harga yang murah yang terdapat di Kota Kinabalu anda boleh membaca artikel kami 22 Hotel Murah di Kota Kinabalu. Selain daripada merujuk artikel ini, anda boleh juga melayari booking.com untuk mendapatkan tawaran hotel yang hebat!

Akhir kata, terima kasih kerana meluangkan masa anda membaca artikel tempat menarik di Sabah ini, semoga anda dan keluarga mendapat sebuah percutian yang indah di negeri yang indah, pulang pula dengan senyuman yang penuh di wajah, jom ke Sabah bah!