Categories
Malaysia Travel Guide

35 Tempat Menarik Di Negeri Sembilan | Panduan Lengkap Bercuti Ke Negeri Beradat

Kalau makanan pedas menjadi pilihan anda, tak perlu pertimbangkan lagi nak pergi atau tidak ke Negeri Sembilan ni, di sinilah anda dapat makan masakan Minang yang memang terkenal dengan kepedasannya ni. Jika makanan tak cukup untuk membuat anda sekeluarga datang ke sini, anda pasti tertarik dengan pemandangan bangunan-bangunan yang unik yang terdapat di sekitar dengan pengaruh Minangkabaunya.

Bukan itu sahaja, lokasinya cukup strategik berdekatan dengan KL dan Selangor. Untuk anda yang datang dari jauh, Seremban, KL dan Selangor semuanya perlu dijadikan destinasi percutian anda, masing-masing menawarkan kepelbagaian yang memeriahkan percutian anda sekeluarga.

Tak cukup menarik lagi? Atau masih tak percaya yang Negeri Sembilan ni hebat setaraf dengan destinasi pelancongan yang lain? Baca dulu senarai tempat menarik di Negeri Sembilan ni, jangan terkejut, banyak sebenarnya!

35. Pulau Burung

Pulau Burung Seremban
Sumber: Red GuestHouse

Berdekatan dengan Pantai Cahaya Negeri, Pulau Burung ini sangat menarik untuk anda menikmati alam semula jadi hutan dengan pokok-pokok paya bakau yang tumbuh di sekitar pulau kecil ini. Untuk ke sini, anda boleh menggunakan platform jalan kaki yang disediakan dari pesisir pantai PD hingga ke Pulau Burung. Jangan lupa bawa peralatan memancing sekali sebab pulau ini juga tempat yang sesuai untuk aktiviti ini.

Alamat: Pulau Burong, 71000, Negeri Sembilan


Baca: 32 Tempat Menarik Di Kuala Lumpur

34. Kompleks Muzium Negeri

Kompleks Muzium Negeri Sembilan
Sumber: Jeritan Minda

Tak tahu nak mulakan perjalanan anda ke mana kalau dah sampai ke Negeri Sembilan? Apa kata kalau ambil tahu tentang latar belakang negeri ini dulu? Baru sempurna rasanya bila dah tahu perkara penting tentang negeri yang dilawati, jadi jom ke Kompleks Muzium Negeri!

Kompleks Muzium ini memiliki reka bentuk tradisional Minangkabau yang pasti akan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melalui kawasan ini. Kompleks ini terdiri daripada 3 bahagian berbeza dan salah satunya adalah bahagian Istana Ampang Tinggi yang telah berusia lebih daripada sedekad.

Bahagian lain yang terletak di Kompleks Muzium Negeri ini adalah Teratak Perpatih yang mempamerkan banyak artifak dan info sejarah. Bahagian yang terakhir adalah Rumah Negeri Sembilan yang memiliki informasi berkaitan senibina bangunan serta budaya masyarakat Negeri Sembilan pada masa silam. Satu lawatan yang sangat informatif untuk anda sekeluarga.

Waktu Operasi: Selasa, Rabu, Sabtu Ahad (10.00am – 6.00pm) | Khamis (8.15am – 1.00pm) | Jumaat (10.00am – 12.15pm 2.45pm – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Muzium Negeri, Jln Sungai Ujong, Seremban


33. Pantai Saujana

Pantai Saujana Negeri Sembilan
Sumber: Sebghin Travels

Dekat sahaja dengan Bandar Tentera Darat. Pantai Saujana merupakan pantai yang berkepanjangan 1 km, dari pantai ini anda sekeluarga boleh berjalan kaki terus ke Pantai Cahaya Negeri, syok berjalan-jalan menghirup udara segar sekitar pantai sambil bersembang bersama keluarga mengenai rancangan percutian akan datang.

Apa lagi yang menarik di Pantai Saujana ni? Kalau anda datang pada malam Ahad, bolehlah anda membeli-belah di pasar malam yang agak meriah di sini. Nak makan pula? Kedai makan memang banyak berdekatan pantai ini, dari masakan Melayu hinggalah Western, tepuk dada, tanya selera.

Alamat: Pantai Saujana, 71050, Negeri Sembilan


32. Muzium Diraja Seri Menanti

Muzium Diraja Seri Menanti
Sumber: Negeri Sembilan – Negeri Beradat

Unik dan klasik, bangunan Muzium Diraja Seri Menanti ini adalah  pada asalnya sebuah istana yang mula dibina pada tahun 1902, sebelum merdeka lagi tu, bila anda sekeluarga melangkah kaki ke dalam Muzium Diraja ni, anda akan rasa seperti benar-benar tinggal di zaman itu. Mana taknya, setiap sudut ruangan di dalam muzium ini tidak diubah sama sekali kedudukan barangan di dalamnya, semuanya di dalam posisi sebagaimana semasa ia sebuah istana pada dahulukala.

Terbahagi kepada empat bahagian berbeza iaitu Balai Rong Seri iaitu tempat takhta dan mengadap raja, Balai Raja Muda, Bilik Beradu dan akhir sekali Ruang Santapan. Pada ruangan-ruangan ini anda dapat melihat juga pameran gambar-gambar yang berkaitan dengan kawasan tersebut. Selalu tengok di dalam cerita klasik je kan, kali ni, depan mata sendiri.

Waktu Operasi: Ditutup Sementara | Setiap Hari (8.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Muzium Diraja Seri Menanti, 71550 Seri Menanti, Kuala Pilah


31. Jeram Toi

Jeram Toi
Sumber: Ain D’Casa Homestay

Jeram Toi telah diterokai oleh British pada tahun 1895 dan sejak itu ia menjadi sebuah lokasi tarikan ramai untuk berkelah dan bermandi-manda. Air jernih yang mengalir di sungai ini dan kawasan sekitarnya yang terjaga dengan baik menjadikan ia pilihan ramai orang pada hari cuti.

Selain itu, Jeram Toi turut memiliki dua buah kolam semula jadi, oleh itu, banyaklah pilihan untuk anda sekeluarga berseronok. Bukan itu je, keseronokan bermandian di sini berganda-ganda jadinya kerana terdapat beberapa gelongsor air yang diletakkan di kolam. Di samping ini semua, kemudahan BBQ turut disediakan. Cukup sempurna untuk dijadikan tempat bersantai bersama keluarga.

Alamat: Jeram Toi, Kampung Jelebu


30. Muzium Tentera

Muzium Tentera Negeri Sembilan
Sumber: Juleswings Militaria

Kalau anda nak tahu, Port Dickson sebenarnya turut dikenali sebagai Bandar Tentera Darat kerana di sinilah ramai tentera darat telah dilantik dan dilatih di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, dekat sahaja dengan kawasan ini terletaknya Muzium Tentera yang memanggil-manggil untuk dilawati. Muzium ini pernah memenangi banyak anugerah, salah satunya adalah Anugerah Merit Pelancongan Malaysia pada tahun 2007 dan 2008.

Mesti ada sebab kenapa ia menerima anugerah kan? Muzium tentara ni bukan setakat menempatkan kereta kebal atau jet ya, sekali masuk sedar tak sedar, dah lebih dua jam. Yang menariknya tentang Muzium Tentera ni adalah pamerannya yang agak realistik dan meluas berkenaan ketenteraan, antaranya adalah segmen Kampung Ikhtiar Hidup yang menempatkan replika kawasan kampung yang ditanami banyak tumbuhan yang digunakan semasa dalam keadaan peperangan.

Seterusnya adalah segmen Terowong PKM yang menempatkan replika terowong yang memberikan anda dan keluarga pengalaman melihat dan merasai bagaimana peperangan antara askar Melayu dan komunis berlaku dan banyak lagi. Menarik kan?

Waktu Operasi: Rabu – Ahad (10.00am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Muzium Tentera Darat, Kem Si Rusa, Persiaran Pahlawan, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan


29. Kota dan Muzium Lukut

Muzium Lukut
Sumber: Muzium Negara

Kota Lukut merupakan sebuah kota pertahanan yang telah dibina pada tahun 1847 oleh Raja Jumaat dengan saiz sekitar 4 buah padang bola sepak. Sebuah kota yang maju dengan penghasilan bijih timah sehinggakan ia menjadi kota perusahaan bijih timah terkaya di Selangor pada masa itu.

Kalau anda nak tahu lebih banyak lagi info menarik berkenaan Kota Lukut ini, jangan lupa lawati Muzium Lukut yang menempatkan bermacam artifak yang telah ditemui di Kota Lukut. Bukan itu sahaja, anda dan keluarga juga akan mendapat pelbagai info menarik berkenaan tokoh-tokoh Lukut pada zaman silam. Sebuah tamadun yang bukan main hebat lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (9.00am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Lot 730, Kota Lukut, 71010 Port Dickson, Negeri Sembilan Darul Khusus


28. Muzium Adat Jelebu

Muzium Adat Jelebu
Sumber: Negeri Sembilan My Home Town

Malaysia adalah sebuah negeri yang kaya dengan budaya, tak sah rasanya kalau keunikan ini tidak diraikan melalui pameran bukan? Untuk menyelami kehidupan masyarakat Malaysia yang pelbagai budaya ni, apa kata kalau anda beramai-ramai bersama keluarga melawat Muzium Adat Jelebu.

Terbahagi kepada empat buah galeri berbeza iaitu, Pengenalan Adat di Malaysia, Kitar Hidup yang mempamerkan adat berkaitan kelahiran, kematian, perkahwinan dan lain-lain, seterusnya, Galeri Tradisi Intelektual/ Kerajaan serta akhir sekali adalah Galeri Adat Perpatih iaitu adat yang hanya wujud di Negeri Sembilan kalau di Malaysia.  Tak cukup dengan pameran, pusat sumber dengan koleksi buku tentang adat pun ada di muzium ni!

Satu lawatan yang sangat bermanfaat terutama bagi anak-anak yang masih bersekolah untuk memperkenalkan mereka dengan budaya masyarakat yang pelbagai di Malaysia, soalan macam ni banyak keluar dalam karangan sekolah ya, jadi tak perlulah anda fikir panjang, jom beramai-ramai ke sini, sangat bermanfaat.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Cuti Hari Raya Aidilfitri Aidiladha (Tutup)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Muzium Adat Jabatan Muzium Malaysia 196, Jalan Dato’ Umbi, 71600 Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan


27. Teratak Za’Ba

Teratak Za'ba
Sumber: Teratak Za’ba

Lagi bangunan dengan reka bentuk klasik yang terdapat di Negeri Sembilan adalah Teratak Za’ba yang dibina dengan menggunakan kayu Cengal. Walaupun dibina pada zaman moden dan dirasmikan pada tahun 2001, tapi memang betul-betul nampak klasik, tambahan lagi dengan hasil-hasil pertukangan Melayu yang dinampakkan pada sekitar bangunan ini.

Bercakap tentang Teratak Za’ba ni pula, kalau anda nak tahu, Za’ba juga digelar sebagai Pendeta Za’ba, seorang yang dihormati dalam bidang kesusasteraan. Begitu banyak yang telah disumbangkan oleh tokoh ini membuatkan beliau seorang yang penting untuk dikenali oleh generasi muda. Kalau anda melawat Teratak Za’ba ini, anda dapat melihat pameran Bibliografi, Peribadi dan Pakaian beliau.

Selain itu, terdapat juga Sudut Umum yang menempatkan barangan klasik yang wujud waktu kehidupan Za’ba. Jangan buang masa lagi, jom ambil tahu tentang cendekiawan negara! Penuh inspirasi yang diperlukan untuk menjadi seorang yang berilmu seperti beliau.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am -5.30pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Teratak Za’ba, Kg. Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol


26. Pengkalan Kempas

Pengkalan Kempas
Sumber: NS Art Society

Terletak dekat sekali dengan sempadan negeri Melaka, sebelum ke Melaka tu jangan lupa singgah ke Pengkalan Kempas. Masuk-masuk sahaja ke Pengkalan Kempas ini anda akan dapat melihat deretan rumah kedai yang dikatakan telah berusia lebih daripada 100 tahun!

Bukan itu sahaja yang menarik di sini, di pekan kecil ini juga menempatkan beberapa tarikan yang mesti disaksikan sendiri seperti makam Sheikh Ahmed Majnun (nak tahu kisah tentang sheikh ini, anda boleh google, banyak sangat versinya), sebuah batu putih yang boleh mengesan penipuan dan batu megalith hidup yang dikatakan semakin membesar dari masa ke masa. Selain itu, bagi anda yang suka memancing, jangan lupa untuk ke Jeti Pengkalan Kempas, dapat udang galah beberapa ekor boleh kenyang perut!

Alamat: Pengkalan Kempas, 71150 Linggi, Negeri Sembilan


25. Pantai Teluk Kemang

Pantai Teluk Kemang
Sumber: Tourism Malaysia

Pantai Teluk Kemang merupakan pantai yang paling terkenal di Port Dickson, ia juga merupakan pantai yang terbesar di sini. Banyak aktiviti air yang menarik yang boleh dibuat di sini seperti jetski, banana ride, parasail dan buggy. Pantai ini juga lengkap dengan kemudahan-kemudahan seperti laluan pejalan kaki, tandas, gazebo, kedai cenderamata dan gerai-gerai makanan.

Alamat: Jalan Pantai Teluk Kemang, Taman Orkid, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan


24. Pantai Cahaya Negeri

Pantai Cahaya Negeri
Sumber: Nik Hasrawati Nik Hassan

Air laut yang jernih bak kristal, dan berpasir putih yang terasa agak lembut di tapak kaki. Dapat bayangkan? Pantai Cahaya Negeri ini boleh dikatakan sebagai yang tercantik di PD, walaupun tidaklah semahsyur Pantai Teluk Kemang. Selain itu, di sekitar pantai ini terdapat banyak tempat penginapan yang menarik, bolehlah anda menikmati pemandangan Pantai Cahaya Negeri dari bilik!

Alamat: Pantai Cahaya Negeri, 5, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan


23. Blue Lagoon

Blue Lagoon Seremban
Sumber: Arif Waliyuddin

Blue Lagoon ini tidaklah selengkap pantai yang lain, tapi masih seronok untuk bersantai di sini sebab ada sahaja beberapa buah pondok yang disediakan untuk anda berteduh sambil makan-makan bersama keluarga. Jangan lupa bawa makanan sendiri ya. Disebabkan ia tidak selengkap pantai yang lain, anda boleh menikmati pemandangan laut yang menenangkan dengan penuh privasi. Di sinilah nak sembang hati ke hati dengan keluarga tercinta.

Alamat: Tanjung Biru, Port Dickson 71050


22. Pusat Penetasan Penyu

Pusat Penetasan Penyu Glory Beach Resort
Sumber: Glory Beach Resort

Sekiranya anda ingin membawa keluarga anda merasai pengalaman indah melihat penyu menetas, bawalah mereka ke Pusat Penetasan Penyu Glory Beach Resort Port Dickson. Jenis penyu yang terdapat di sini adalah penyu karah. Bila dapat tengok puas-puas proses penetasan ni?

Kebiasaannya penyu jenis ini akan menetas dengan banyak dari bulan April ke September, telur yang dihasilkan kebiasaannya dalam 130 biji. Pada sekitar pukul 11 malam setiap hari Sabtu dan Ahad anda akan dapat melihat kecomelan anak-anak penyu yang dilepaskan ke dalam laut untuk mula hidup berdikari. Walau bagaimanapun, waktu anak-anak penyu ini dilepaskan sebenarnya bergantung kepada pihak resort juga, apa-apapun, dapatkan info daripada pihak resort terlebih dahulu.

Alamat: Glory Beach Resort, Batu 2, Jalan Seremban Tanjung Gemok 71000 Port Dickson


21. Pantai Bagan Pinang

Pantai Bagan Pinang Seremban
Sumber: Yoon Loy Yap

Pantai Bagan Pinang ini agak meriah sebab ia adalah sebuah pantai yang lapang dan berpasir bersih. Memang bestlah nak jadikan tempat berkelah. Selain daripada berkelah, anda boleh berseronok bersama keluarga sambil bermain layang-layang sebab ada beberapa gerai yang menjual layang-layang penuh warna-warni di sekitar pantai. Kalau dah penat berseronok di sini, singgah sahaja ke gerai-gerai dan trak makanan yang dibuka untuk anda mengisi perut yang lapar.

Di samping itu, sekiranya anda bernasib baik, anda dapat menyaksikan nelayan-nelayan pulang membawa hasil tangkapan mereka ke pesisir pantai, cepat-cepat keluarkan kamera sebab masa inilah nak ambil gambar suasana di sekitar pantai yang indah!

Alamat: Batu 3, Jalan Pantai, Kampung Bagan Pinang, 71000 Port Dickson, Negeri Sembilan


Baca: 37 Tempat Menarik Di Selangor

20. Pantai Tanjung Gemok

Pantai Tanjung Gemok Seremban
Sumber: Marita Ibrahim

Sebuah pantai yang tenang, bersih dan selamat untuk bermandi-manda. Kalau anda datang ke sini untuk berkelah, tempat paling best adalah di bawah pokok besar yang terdapat di sini. Dapatlah anda bumbung semula jadi melindungi anda daripada panahan matahari.

Kalau dah puas berkelah itu, aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah menaiki tour boat. Di samping itu, untuk pengetahuan anda, Tanjung Gemuk juga merupakan tempat penetasan penyu, bukan Terengganu je yang ada. Kalau anda bernasib baik, dapatlah anda tengok penyu-penyu menetas telur di sini.

Alamat: Pantai Tanung Gemok, Jalan Seremban, Batu 1, Port Dickson 71000


19. Pulau Arang

Pulau Arang Seremban
Sumber: paepy2864

Pulau yang terletak di hadapan PD Waterfront ini kecil sahaja. Belum lagi dikomersialkan, namun  begitu, dijangka pada tahun 2020 akan disediakan kereta kabel untuk anda yang ingin ke Pulau Arang sambil menikmati pemandangan indah merentasi air laut dari PD Waterfront. Jangan lupa, tahun 2020 nanti datanglah ke sini ya!

Alamat: Pulau Arang, 71000, Negeri Sembilan


18. PD Ostrich Show Farm

PD Ostrich Show Farm Seremban
Sumber: Yen Yen

Jom naik burung unta di PD Ostrich Farm! Itupun kalau anda bawah 40kglah. Nampaknya, anak-anak jelah yang boleh naik burung unta ni. Tak apa, jangan sedih, banyak lagi aktiviti lain yang sesuai untuk anda, contohnya menunggang kuda, ataupun naik ATV, hebat juga kan?

Bagi anak-anak kecil yang comel, mereka bukan sahaja boleh mendekati dan memberi makan kepada burung-burung unta yang terdapat di sini, sebab ada banyak lagi binatang lain sebenarnya, seperti arnab, keldai dan kambing. Dah puas berseronok, jangan lupa beli barangan yang dibuat daripada burung unta di kedai cenderahati yang terdapat di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.30am – 6.00pm)

Bayaran Masuk: Dewasa RM20 | Kanak-kanak Atas 3 Tahun RM15

Alamat: Lot 1419 Jalan Kemang 13 | Batu 9, Jalan Pantai, Port Dickson 73000


17. Jelita Ostrich Farm

Jelita Ostrich Farm Seremban
Sumber: Tadika APC

Teringin nak tahu bagaimana rasanya makan telur burung unta yang sedap ni? Anda boleh dapatkannya di sini dengan harga RM80. Bukan setakat makanan, di sini juga anda boleh mendekati burung-burung unta ini untuk bergambar, memberi makan, tengok burung unta berlumba dan nak naik burung unta pun boleh.

Memang sepuas hatilah anda dapat kenal-mengenali burung-burung unta di sini. Tapi anda jangan anggap ladang ini hanya menempatkan burung unta je, sebab ada juga binatang lain seperti itik, kambing, kuda dan bangau.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 5.00pm)

Bayaran Masuk: RM10

Alamat: Lot 1504, Batu 6, Mukim Pantai, Jalan Jelebu, 71770 Seremban


16. Sungai Timun Fireflies

Sungai Timun Fireflies
Sumber: hajahlijahandco

Anak-anak anda pasti seronok dapat melihat cahaya-cahaya kecil berterbangan di udara ibarat di dalam dunia magika tapi sebenarnya datang daripada kunang-kunang yang terbang bebas di Sungai Timun. Sungai Timun Fireflies ini dikatakan antara kawasan melihat kunang-kunang yang terbesar di Malaysia.

Bukan itu sahaja yang menjadi tarikan Sungai Timun ni, sebab di sini juga anda boleh memancing udang galah. Kalau malas nak memancing, singgah je kedai-kedai makanan laut yang banyak di sekitar Sungai Timun, banyak makanan laut yang sedap dihidangkan sebagai contoh ikan bakar, lobster dan kupang. Bila waktu dah gelap dan perut dah kenyang barulah anda mula mencari kunang-kunang ni!

Alamat: Sungai Timun Fire Flies, Rembau


15. Taman Tema Air PRIMALAND

Primaland-Port-Dickson-Seremban
Sumber: Jom Bercuti

Taman Tema Air PRIMALAND ini terletak di dalam PRIMALAND Port Dickson Resort Convention Centre. Taman Tema ini tidaklah segempak di Sunway Lagoon tapi tetap menyeronokkan untuk menghabiskan masa cuti bersama keluarga. Lengkap dengan gelongsor dan tiub spiral, ini pun sebenarnya sudah cukup menggandakan keseronokan anda yang bermandi-manda di sini, turun naik gelongsor terus ke dalam kolam, mana tak bestnya kan? Lagi best kalau tunggu bawah tong air yang besar di sini, sekali air disimbah, memang nikmatlah!

Waktu Operasi: Sesi Pagi (8.00am – 12.00pm) | Sesi Petang (12.30pm – 7.00pm)

Bayaran Masu (Hujung Minggu): Dewasa 1 Sesi: RM30, 2 Sesi: RM50 | Kanak-kanak (3 – 12 Tahun) 1 Sesi: RM20, 2 Sesi: RM30 | Kanak-kanak (2 Tahun Dan Ke Bawah) 1 Sesi: RM10, 2 Sesi: RM15

Alamat: Taman Tema Air PRIMALAND, Batu 12, Port Dickson


14. Pusat Borong Nilai 3

Pusat Borong Nilai 3
Sumber: Tourism Malaysia Central

Mari, mari, mari! Shopping sakan di Pusat Borong Nilai 3. Di sinilah anda boleh membeli banyak barangan dengan harga borong. Kakak-kakak, mak cik-mak cik, mesti kena datang ke Nilai 3 ni, ada banyak gerai-gerai pakaian borong.

Boleh rambang mata melihat pilihan pakaian yang melimpah ruah dan murah di sini. Bukan setakat pakaian, kalau anda mencari barangan perkahwinan, perabot, hiasan rumah, kraftangan, lampu-lampu hiasan, aksesori kereta dan bermacam lagilah, semuanya ada di sini.

Alamat: Nilai 3, Nilai, 71800, Nilai, Negeri Sembilan, 71800


13. Rembau Crystal

Rembau Crystal Seremban
Sumber: Rembau Crystal

Bukan di Nilai 3 sahaja yang ada barangan hiasan rumah, Rembau Crystal yang terletak di Perkampungan Kristal ini menawarkan pelbagai kraftangan yang diperbuat daripada kristal oleh rakyat Malaysia sendiri. Anda nakkan apa? Lampu meja? Kelengkapan dapur? Semuanya ada. Memang sukar nak buat pilihan kalau dah dikelilingi dengan kilauan kristal ni. Bukan setakat tempat membeli-belah, di sini juga anda dan keluarga boleh melihat sendiri bagaimana barangan kristal ini dibuat.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.30pm) | Sabtu (9.00am – 5.00pm)

Alamat: Lot 1432, Perkampungan Crystal, Jalan Kampung Mulia, 71300 Rembau, Negeri Sembilan


12. Pusat Rekreasi Ulu Bendul

Pusat Rekreasi Ulu Bendul
Sumber: Negeri Sembilan

Pusat Rekreasi Ulu Bendul yang terletak di kaki Gunung Angsi ini dapat memberikan anda sekeluarga ketenangan yang tidak akan dapat dilupakan, dengan pepohon rendang yang tumbuh di sekitar pusat rekreasi ini, anda boleh berkelah sambil mendengar bunyi air sungai yang mengalir jernih.

Di samping keindahan yang menenangkan jiwa, anda juga boleh bermandi-manda di kolam besar yang turut dialirkan oleh air sungai, cukup menyegarkan. Sudah puas bersantai di sini, anda boleh mendaki sedikit ke atas bukit dan di sini anda akan menemui Snake Garden yang menempatkan beberapa ekor ular dan unggas. Yang paling best sekali, di sinilah anda dapat lihat di depan mata sendiri seekor ANACONDA! Agak besar juga. Jangan risau, semuanya diletakkan di dalam tempat yang selamat untuk anda lihat bersama keluarga.

Alamat: Pusat Rekreasi Ulu Bendul, Tanjong Ipoh, Kuala Pilah


11. Jeram Gading

Jeram Gading
Sumber: Jeram Gading

Yang menjadikan Jeram Gading ini sebuah lokasi yang unik adalah kerana terdapat dua buah jambatan gantung yang menyambung dua tebing sungai, tapi, hanya satu sahaja yang selamat digunakan.

Dinamakan Jeram Gading kerana alkisahnya pada dahulu kala gajah banyak ditemui di sekitar kawasan ini. Jangan risau, kerana itu berlaku pada zaman dahulu, sekarang ia selamat sahaja untuk dijadikan tempat berekreasi bersama keluarga. Nak berkelah di sini memang sangat menenangkan, dengan kehijauan kawasan hutan di sekitar sungai, menyejukkan mata yang memandang. Kalau anda nak menikmati keindahan Jeram Gading lebih lama lagi, anda sekeluarga boleh menginap di resort yang terdapat di sini.

Alamat: Jeram Gading, Jalan Kampung Chennah, Negeri Sembilan, 71150


10. Taman Tasik Seremban

Taman Tasik Seremban
Sumber: Hamidi Izwan

Salah satu daripada tasik yang paling tua di Malaysia, Taman Tasik Seremban ini dihiasi dengan pohon-pohon tropika yang menghijau dan bunga-bungaan yang tumbuh mekar. Di samping itu, di sini juga terdapat dua buah tasik indah dan wakaf untuk anda bersantai bersama keluarga sambil menikmati pemandangan.

Kalau anda inginkan aktiviti yang mengeluarkan peluh, trek jogging dan taman permainan turut tersedia di taman tasik ini. Tak cukup dengan itu, tarikan unik yang terdapat di sini adalah sebuah pentas terapung yang mana pada setiap minggu kedua dan keempat hari Sabtu akan diadakan Program Hiburan Sekeluarga “Serembang di Seremban”. Datanglah ke sini pada hari-hari itu ya!

Alamat: Taman Tasik Seremban, Jalan Taman Bunga, Taman Tasek Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan


9. Taman Orkid Seremban

Taman Orkid Seremban
Sumber: mpsns

Taman yang berkeluasan 1.62 hektar, Taman Orkid Seremban ini memang tempat menarik untuk meluangkan masa bersama keluarga sambil melihat pelbagai jenis pokok orkid yang berwarna-warni. Antara orkid yang ditanam di taman ini adalah Black Orchid, Tiger Orchid, Eria Rulchella, Eria Ornata dan banyak lagi, nak tahu apa yang ada, mai datang ramai-ramai.

Selain daripada orkid-orkid yang meriah dengan warnanya ini, anda juga boleh menyejukkan mata dengan menikmati pemandangan pokok yang menghijau yang terdapat di sekeliling taman dan air terjun buatannya.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 7.00pm)

Bayaran Masuk: Percuma

Alamat: Taman Orkid Seremban, 70100 Seremban, Negeri Sembilan


8. Rantau Eco Park

Rantau Eco Park Seremban
Sumber: Faiz Kemas Seremban

Rantau Eco Park merupakan taman yang menawarkan pemandangan alam semula jadi yang indah untuk anda dan keluarga menjalankan aktiviti rekreasi. Antara tarikan utama yang terdapat di sini adalah kolam air yang agak luas dan seronok untuk bermandi-manda yang tersedia untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

Bukan itu sahaja, di sini juga terdapat zoo mini yang menempatkan pelbagai jenis binatang seperti rusa, ayam, kuda dan banyak lagi. Anda boleh membeli makanan untuk diberikan kepada haiwan-haiwan di sini. Dah puas melihat haiwan-haiwan comel ni, aktiviti lasak turut disediakan untuk anda lakukan seperti berkayak. Semuanya ada di dalam satu taman.

Alamat: Rantau Eco Park, Kampung Kuala Sawah Pasir, 70300 Rantau, Negeri Sembilan


7. Gunung Angsi

Gunung Angsi Seremban
Sumber: Soo Thang

Ada dua jalan yang boleh digunakan untuk menakluki Gunung Angsi ini, yang pertama adalah melalu trek Hutan Lipur Ulu Bendul dan yang kedua adalah melalui trek Bukit Putus. Kalau anda nak yang lebih mencabar kerana perjalanan lebih jauh, anda boleh menggunakan trek Ulu Bendul, sekiranya anda menggunakan trek Bukit Putus pula, kurang 1 – 1.5 km perjalanan kalau dibezakan dengan Ulu Bendul.

Apa-apa pun, tujuannya sama sahaja, untuk sampai ke punca Gunung Angsi yang menyajikan anda dengan panorama indah banjaran-banjaran gunung yang menyejukkan pandangan mata.

Alamat: Gunung Angsi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan


6. Batu Maloi Cave

Gua Batu Maloi
Sumber: Gua Batu Maloi Cave

Batu Maloi Cave ini merupakan sebuah gua yang agak mencabar untuk diterokai.  Boleh dikatakan 90% waktu anda berada di dalam gua ini, badan anda ditenggelami air sebab ini adalah gua bersungai. Ada yang mencecah paras pinggang dan ada juga hingga ke paras dada.

Kalau anda dan keluarga ingin melakukan aktiviti lasak ini, pastikan anda memiliki kelengkapan yang lengkap seperti headlamp yang kalis air, sarung tangan kerana anda perlu banyak menolak badan dan merangkak di dalam air, stokin, makanan yang dapat memberikan tenaga (energy bar) dan lain-lain lagi yang penting.

Sebelum anda masuk ke Batu Maloi Cave ini, anda perlu mendapatkan tour guide terlebih dahulu, ini bukan gua biasa, ia memberikan anda sekeluarga pengalaman luar biasa. Tak percaya? Cuba dulu.

Alamat: Batu Maloi Cave, Tampin,Negeri Sembilan


5. Port Dickson

Port Dickson Seremban
Sumber: Skywalker Aerial Studio

Hanyalah 1 jam sahaja dari Kuala Lumpur, kawasan ini dahulunya merupakan tempat penghasilan arang sehingga pernah diberikan nama Arang sebelum ditukarkan kepada Port Dickson. Port Dickson rasanya lebih sesuai untuk sebuah kawasan yang dikelilingi dengan pantai-pantai yang indah ni.

Memang rugi kalau tak pernah datang ke sini, sangat banyak aktiviti air yang boleh dilakukan seperti snorkeling, wind surfing, berkayak, ski air dan banyak lagi. Bukan itu sahaja, rasa nak makan makanan laut fresh? Apa kata kalau anda memancing di sini. Malahan, sekiranya anda suka berlayar, anda boleh mendapatkan keahlian sementara daripada Yacht Club di sini.

Bagi anda yang datang dari Kuala Lumpur, datang sahaja ke Port Dickson kalau anda sekeluarga inginkan percutian yang meriah dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan di dalam alam semula jadi.

Alamat: Port Dickson, Negeri Sembilan


Baca: 10 Hotel Terbaik Di Port Dickson

4. Hutan Simpan Sungai Menyala

Hutan-Simpan-Sungai-Menyala
Sumber: Rakan Alam Sekitar Uniten

Dengan keluasan 1,305 hektar, Hutan Simpan Sungai Menyala merupakan Hutan Dipterokarp Tanah Pamah yang terbesar di Asia Tenggara. Hutan Simpan Sungai Menyala ini bukan hutan biasa, tapi ia adalah sebuah hutan dara kerana tak pernah sama sekali dinodai dengan pembalakan, penerokaan atau lain-lain lagi. Maknanya, hutan simpan ini memang seronok untuk diredahi, kekayaan flora dan faunanya bakal mengasyikkan jiwa anda sekeluarga.

Lokasinya pula hanyalah 12 km sahaja dari Bandar Port Dickson, sampai sahaja ke Port Dickson tu, jangan lupa untuk menjadikan meredah Hutan Simpan Sungai Menyala sebagai salah satu aktiviti percutian anda!

Alamat: Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson


3. Gunung Datuk

Gunung Datuk Seremban
Sumber: Razer Mj

Gunung yang berketinggian 2900 kaki ini iaitu Gunung Datuk adalah gunung yang ke-220 tertinggi daripada 300 buah gunung yang terdapat di Malaysia. Gunung Datuk juga lebih tinggi daripada gunung lain yang terletak di Negeri Sembilan ini iaitu Gunung Angsi.

Bayangkanlah pemandangan yang dapat dinikmati sebaik sampai ke puncak Gunung Datuk, mesti lagi memukau, dengan udara yang lebih segar, di puncak yang lebih tinggi. Alang-alang dah penat mendaki jauh ke puncak Gunung Datuk, pastikan anda turut membawa peralatan berkhemah. Dapatlah melihat pemandangan matahari naik pula bangun tidur nanti.

Alamat: Gunung Datuk, Rembau


2. Lorong Seni Seremban

Lorong Seni Negeri Sembilan
Sumber: Tourism Malaysia Central

Bagaimana lagi cara yang lebih best untuk mempamerkan keunikan negara Malaysia yang pelbagai kaum ini kalau bukan melalui karya seni kreatif kan? Di Lorong Seni Seremban ini anda dapat mencuci mata melihat hasil-hasil lukisan yang melambangkan budaya kaum-kaum yang penuh warna-warni di Malaysia.

Bukan sekadar lukisan biasa, 3D pula tu! Suasana Bandar Seremban yang masih agak klasik ini menambahkan lagi aura hipster di Lorong Seni ini. Bawa kamera, selfie stick, dan apa lagi, berklik-klik non-stop lah di sini dengn pose terhebat anda sekeluarga!

Alamat: Lorong Seni Seremban, 155C, Jalan Dato Bandar Tunggal, Bandar Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan


1. Masjid Negeri Sembilan

Masjid Negeri Sembilan
Sumber: Masjid Negeri Negeri Sembilan

Kalau anda bersiar-siar makan angin di sekitar Negeri Sembilan dan ternampak sebuah bangunan yang kelihatan seperti stadium ini, kemungkinan besar itu adalah Masjid Negeri Sembilan yang dibina pada tahun 1966. Unikkan? Binaan bangunan ini juga agak simbolik dengan sembilan buah tiang, sembilan anjung tambahan, dan sembilan ruang yang mencerminkan sembilan daerah pentadbiran yang dimiliki Negeri Sembilan. Masjid yang memiliki reka bentuk Minangkabau ini memiliki 3 tingkat dengan ruangan solatnya yang menawarkan pemandangan indah Taman Tasik Seremban.

Alamat: Jalan Dato’ Hamzah, Negeri Sembilan


Banyak juga tempat menarik di Negeri Sembilan ni kan? Ini baru sahaja dengar cerita keseronokan melawati kawasan-kawasan ni, belum pergi lagi. Kalau dah pergi mesti nak datang lagi punyalah! Tak cukup sehari kalau nak ke semua tempat menarik di Seremban ni, jadi apa kata kalau bawa keluarga anda semua menginap di hotel-hotel tepi pantai yang ada di Seremban. Tak payah pening kepala nak cari di mana hotel-hotel yang best dan murah ni, pergi je ke booking.com dan di sini anda boleh pilih di hujung jari sahaja penginapan pilihan hati anda.

Dah tahu semua tempat yang best-best untuk dilawati kan? Jom kita berhenti bercerita, mula bergerak menuju ke destinasi percutian idaman hati. Semoga anda sekeluarga berseronok di Seremban!