Categories
Malaysia Travel Guide

35 Tempat Menarik Di Bandung | Destinasi Percutian Dingin Penuh Keajaiban

Dengar sahaja Bandung, pasti ramai yang mengenalinya sebagai destinasi membeli-belah yang cukup meriah dengan harga yang murah. Namun begitu, jangan hadkan pengetahuan anda tentang Bandung setakat itu sahaja, sebab banyak lagi tarikan-tarikan lain yang mampu memukau perasaan anda sekeluarga apabila ke sini. Indahnya bukan kepalang, terletak di antara tiga buah gunung, udara di sekitar Bandung cukup menyegarkan.

Seperti yang dikatakan, tarikan di Bandung bukan terhenti di lokasi shoppingnya sahaja yang begitu banyak, malahan juga kafe-kafe dengan konsep yang menarik, alam semulajadi dengan pemandangan mengasyikkan dan lain-lain lagi. Nak tahu di manakah agaknya lokasi-lokasi ini? Teruskan membaca senarai tempat menarik di Bandung ini.

35. The Lodge Maribaya Lembang

The Lodge Maribaya Lembang
Sumber: Simarmata Sahat

Dikelilingi dengan pokok-pokok pine, The Lodge Maribaya Lembang adalah lokasi alam semulajadi yang mesti anda lawati sekiranya berada di Bandung. Di samping lokasinya yang dihamparkan pemandangan hijau menyejukkan mata, anda sekeluarga juga boleh menikmati makanan yang enak dari 2 buah restoran terbuka yang terdapat di sini.

Harga makanan yang dihidangkan pula sangat berpatutan dengan hanya dalam Rp.50.000 untuk 2 orang. Mata sejuk, perut kenyang, rasa macam nak tinggal lagi lama sahaja di sinikan, kalau begitu, anda boleh sahaja sewa khemah-khemah berbentuk bawang yang disediakan di tapak perkhemahan lodge indah ini. Tapak perkhemahan ini sempurna dengan unggun api serta menu khas untuk penyewa khemah seperti daging kambing dan banyak lagi.

Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm

Bayaran: Rp. 15.000

Alamat: Jalan Maribaya No. 149-252 RT 03/ RW 15 Kampong Babakan Gentong, Cibodas Maribaya, Lembang


34. Farm House Lembang

Farm House Lembang
Sumber: mixedupalready.com

Terletak di kawasan tanah tinggi pergunungan Lembang, Farm House Lembang boleh dikatakan seperti sebuah kota Eropah kecil dengan bunga-bungaan yang tumbuh mekar pelbagai warna, udara yang sejuk dan bangunan-bangunan dengan seni bina negara Eropah.

Pendek kata, tak payah terbang jauh ke sana untuk menikmati semua ini, di Bandung pun ada Eropahnya sendiri! Selain daripada atmosferanya yang begitu menyegarkan, Farm House Lembang turut memiliki tarikan lain seperti zoo mini yang menempatkan arnab, kambing, burung, angsa dan banyak lagi.

Bagi para wanita, anda boleh menyewa gaun era klasik di Eropah dengan bayaran Rp.50.000 untuk sejam dan berposinglah anda sepuas hati di sekitar farm house ini. Antara tarikan yang paling unik di sini adalah rumah hobbitnya yang sering menjadi spot pilihan instagrammers tegar.

Waktu Operasi: 9.00am – 9.00pm

Bayaran: Rp.20.000 (Percuma Minuman dan Sosej Bakar)

Alamat: Jalan Raya Lembang No.108, Gudangkahuripan, Lembang, Kabupaten Bandung Barat


Baca: 48 Destinasi Terbaik Di Bali

33. Trans Studio Bandung

Trans Studio Bandung
Sumber: Trans Studio Bandung

Bagi anda yang ingin memberikan keseronokan yang tak terhingga kepada ahli keluarga sewaktu di Bandung, apa kata kalau anda bawa mereka ke Trans Studio Bandung. Bukanlah taman tema biasa, tapi sebuah taman tema yang terbesar  di Indonesia, fasiliti-fasiliti dan permainan yang disediakan di dalamnya juga bertaraf dunia. Ingin memberikan sesuatu yang terbaik kepada keluarga? Inilah lokasinya.

Permainan-permainan yang ditawarkan di sini terbahagi kepada 3 zon berbeza iaitu Zon Studio Central, Zon The Lost City dan Zon Magic Corner, masing-masing dengan tarikan tersendiri dan ini termasuklah Yamaha Racing Coaster yang merupakan 1 daripada 3 roller coaster jenisnya yang terdapat di dunia, hebat bukan?

Selain itu, sebagai taman tema terbesar di negara yang bukan kecil saiznya ini, sudah pasti tidak mahu kalah dengan Genting Highlands, Trans Studio Bandung juga turut memiliki pusat membeli-belahnya sendiri iaitu Trans Studio Mall Bandung dengan lebih daripada 200 outlet yang terkenal dan lebih daripada 100 gerai makanan. Hotel? Sudah semestinya ada untuk taman tema sebesar ini, bukan 1 tapi 2 buah hotel. Semuanya ada di Trans Studio Bandung.

Waktu Operasi:

Isnin – Jumaat: 10.00am – 7.00pm

Hujung Minggu/ Musim Cuti: 9.00am – 10.00pm

Bayaran:

Isnin – Khamis: Rp.180.000

Jumaat: Rp. 200.000

Sabtu – Ahad: Rp. 280.000

Alamat: Jalan Jendral Gatot Subroto No.289, Cibangkong, Batununggal, Kota Bandung, Jawa Barat 40273


32. Tebing Keraton

Tebing Keraton
Sumber: S e a s i a

Tebing Keraton nama lainnya adalah Tebing Instagram, pasti anda dapat teka kenapa digelar sedemikian bukan? Ini kerana keindahan pemandangan dari tebing ini cukup memukau jiwa, sehinggakan tebing berketinggian 1,200 meter ini sanggup ditakluki hanya untuk beberapa keping foto.

Sekiranya anda ingin menikmati pemandangan yang terindah dari kawasan tebing ini, datanglah seawal yang mungkin untuk menikmati hamparan keindahan matahari terbit. Dari tebing ini juga, anda dapat melihat destinasi menarik lain di Bandung iaitu Tangkuban Perahu.

Bayaran: Rp. 76.000

Alamat: Taman Hutan Raya Ir. H. Djuanda


31. Sanghyang Heuleut

Sanghyang Heuleut
Sumber: The Packer Lodge Jakarta

Dikelilingi pohon yang rendang sebagai tempat berteduh, batuan indah yang terbentuk di sekitar sungai, Sanghyang Heuleut bukanlah tempat bermandi-manda yang biasa, dipercayai bahawa kawasan sungai ini juga adalah tempat mandian bidadari, percaya? Kalau tidak betul pun, mungkin anda yang bermandi-manda di sini akan keluar dengan wajah seindah bidadari.

Hentikan sahaja angan-angan ini ya, yang penting dapat bermandi-manda sepuas hati! Kalau anda nak tahu lagi, Sanghyang Heuleut ini tidak sibuk dengan pelancong, cukup bersih. Jadi apa lagi? Inilah waktunya untuk anda menikmati keindahan alam dengan lebih privasi bersama keluarga.

Waktu Operasi: 8.00am – 4.00pm

Bayaran: Rp.10.000

Alamat: Rajamandala Kulon, Kecamatan Cipatat, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 43283


30. Amazing Art World

Amazing Art World
Sumber: Darman Telaumbanua

Hebat juga Bandung ini, mengalahkan Bali pula, kenapa? Kerana bukan sahaja memiliki taman tema terbesar di Indonesia, Bandung juga menempatkan muzium 3D yang terbesar di negara ini. Dengan keluasan 15,500 meter persegi, Amazing Art World menandingi saiz muzium 3D lain yang wujud di Indonesia iaitu di Malang, Jogja, malahan juga pusat pelancongan terkenal dunia, Bali.

Muzium ini terbahagi kepada 8 zon berbeza iaitu Aqua, Animal, Media, Dinosaurus,  Love, Winter, History dan Artistic. Antara yang menarik di sini adalah anda boleh bergambar seperti dipegang oleh Kingkong, cukup realistik! Jangan lupa untuk membawa kamera dengan bateri yang penuh, lagi selamat, bawa power bank sekali!

Waktu Operasi: 8.00am – 8.00pm

Bayaran:

Isnin – Jumaat: Rp.130.000

Sabtu, Ahad, Cuti Umum: Rp.170.000

Alamat: Jl. Setiabudhi No.293, Isola, Sukasari, Kota Bandung, Jawa Barat 40154


29. Dusun Bambu

Dusun Bambu
Sumber: Wonderful Bandung Tour

Terletak di lokasi yang berdekatan dengan tarikan Bandung yang lain, Dusun Bambu adalah kawasan tanah tinggi yang sentiasa dinyamankan dengan udara bersih dan sejuk. Bagi anda yang melawati Dusun Bambu, di sini turut disediakan penginapan villa dan juga kemudahan glamping untuk anda menikmati keindahan flora dengan sepuas hati.

Rasanya, jika anda bercadang untuk bercuti berhari-hari di Bandung, menginap sahaja di sini kerana terlalu banyak tarikan yang disediakan antaranya adalah Restoran Purbasari yang terletak di pinggir tasik, Cafe Burangrang yang terletak di kawasan yang tinggi, Taman Arimbi yang merupakan taman bunga indah dengan aliran air sungai, dan juga Pasar Khatulistiwanya yang menawarkan banyak pilihan makanan yang merambangkan mata.

Tak cukup dengan itu, banyak lagi aktiviti lain yang boleh dilakukan di sini seperti menaiki perahu menyelusuri sungai, bermain bermacam jenis permainan yang terdapat di booth, berjalan-jalan di sekitar sawah padi dan bermacam lagi.

Waktu Operasi: Rp.15.000

Bayaran: 9.00am – 9.00pm

Alamat: Kolonel Masturi KM 11, Cisarua, Bandung Barat


28. Stone Garden

Stone Garden Bandung
Sumber: Highlight Tour Travel And EO

Gunung batu kapur, Stone Garden yang terletak di puncak Gunung Pawon bukan sahaja menyajikan pemandangan indah pembentukan batu kapurnya, malahan di Gua Pawonnya juga ditemukan dengan banyak artifak sejarah peninggalan masyarakat purba.

Untuk pengetahuan anda, sekitar 27 juta tahun yang lalu, dataran tinggi Stone Garden juga merupakan kawasan laut cetek. Batuan-batuan karang pada waktu itu berkumpul sehingga terjadilah pembentukan batuan yang unik ini. Sekiranya anda berniat untuk datang ke sini, pastikan anda memakai kasut yang sesuai dan juga minuman kerana anda perlu mendaki hutan yang dalam sekitar 1.5 km.

Waktu Operasi: 6.00am – 5.00pm

Bayaran: Rp.3.000

Alamat: Puncak Gunung Pawon, kampung Giri Mulya, Desa Gunung Masigit, Kecamatan Cipatat, Padalarang Kabupaten Bandung Barat


27. Curug Cimahi (Curug Pelangi)

Curug Cimahi
Sumber: Life of Indonesia

Curug ataupun air terjun Cimahi ini terletak di kawasan tanah tinggi sekitar 1,050 meter dari paras laut dan merupakan salah satu tempat menarik di Bandung yang menjadi sasaran pelancong utama di sana. Bayangkan sahaja kesegaran udara dari kawasan air terjun ini dan juga suhunya yang sejuk antara 18 ke 22 darjah celsius, sangat sesuailah untuk anda yang inginkan melegakan rongga pernafasan dari segala macam pencemaran di kota.

Air terjun ini juga digelar sebagai Curug Pelangi kerana setiap kali malam menjelma, air terjun ini akan dinyalai dengan cahaya warna-warni pelangi yang berubah-rubah. Bagaimana ini boleh terjadi? Ini adalah kerana terdapat lampu-lampu yang dipasangkan di belakang air terjun yang berketinggian 71 meter ini. Pemandangan yang cukup unik!

Waktu Operasi: 8.00am – 9.00pm

Bayaran: Rp.15.000

Alamat: Kertawangi, Kecamatan Cisarua Kabupaten Bandung Barat, Jalan Kolonel Masturi


26. Lactasari Mini Farm

lactasari mini farm bandung
Sumber: Ekaristi Pratiwi

Laktasari Mini Farm ini terletak di lokasi yang agak lain daripada yang lain, bukan di atas tanah tapi adalah sebuah ladang di atas bumbung pusat membeli-belah Paris Van Java. Walaupun sedikit berbeza daripada zoo mini yang lain kerana lokasinya, namun keseronokan berada di zoo mini ini mungkin lebih hebat daripada zoo-zoo mini lain yang pernah dilawati.

Dengan bayaran Rp.50.000 untuk seorang kanak-kanak, dan tambahan Rp.10.000 untuk seorang dewasa yang mengiringi, anak-anak juga akan dibekalkan dengan apron, satu botol susu dan sebakul sayur. Sudah lengkap dengan kit ini, anak-anak boleh mendekati dan bermain dengan banyak haiwan yang terdapat di sini seperti kambing, hamster, arnab dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 7.00pm) | Sabtu Ahad (10.00am – 10.00pm)

Bayaran: Rp.60.000 Untuk Satu Anak Satu Pendamping (Termasuk Satu Bakul Sayur dan Satu Botol Susu)

Alamat: Jl. Sukajadi | Paris van Java Bandung, Bandung 40162


25. Kebun Strawberry Ciwidey

Kebun Strawberry Ciwidey
Sumber: Ube Green

Enaknya menikmati buah, tidak dapat dikalahkan dengan keenakan menikmati buah yang dipetik sendiri. Jadi apa kata kalau anda petik sendiri buah negara sejuk ini, strawberi, di Kebun Strawberry Ciwidey yang luas. Buah strawberi di ladang ini juga agak besar dengan warna yang merah menyala, bayangkanlah keenakannya.

Bayaran: Masuk (Percuma) | Petik Buah Strawberi (Rp.35.000 – Rp.50.000)

Alamat: Pasir Jambu,Perkebunan Strawberry Di Sekitar Kawah Putih


24. Situ Cileunca

Lake Cileunca
Sumber: Sony Warsono

Terletak di kawasan pergunungan Pangalengan, Situ Cileunca adalah sebuah tasik buatan yang berkeluasan sekitar 1,400 hektar. Pada asalnya, Situ Cileunca merupakan kawasan hutan tebal yang kemudiannya diusahakan menjadi tasik bermula tahun 1918 untuk membekalkan air pada penduduk setempat.

Apa yang menariknya di sini selain daripada pemandangannya? Antaranya adalah tapak perkhemahan dan aktiviti sukan lasak raftingnya. Selain itu, kerana lokasinya yang terletak di kawasan tanah tinggi anda juga boleh menuju ke Kebun Strawberi yang terletak berdekatan, untuk ke kebun ini, anda perlu menyeberangi sungai terlebih dahulu menggunakan perahu yang disediakan.

Bayaran: Rp.2.500

Alamat: Desa Wanasari – Kecamatan Pangalengan -Kabupaten Bandung (Selatan), Jawa Barat


23. Danau Situ Patenggang

Danau Situ Patenggang
Sumber: Go Indonesia

Jarak antara kota Bandung dengan Danau Situ Patenggang ini adalah dalam sekitar 47 km dengan perjalanan yang mengambil masa sekitar 2 jam. Walaupun perjalanan untuk menuju ke sini agak jauh, namun semuanya terubat apabila mata anda terpandang akan keindahan yang disajikan di depan mata.

Selain menyegarkan mata dengan pemandangannya, anda juga boleh merancang pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama keluarga di kawasan tasik ini seperti menaiki perahu, memancing mahupun berkhemah di pinggiran tasik.

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm

Bayaran: Rp.20.000

Alamat: Jl. Raya Ciwidey-Rancabali, | Desa Patengan, Bandung 40973


22. Kawah Putih Ciwidey

Kawah Putih Ciwidey
Sumber: Farah Mohamad

Hanyalah 10 minit perjalanan dari Danau Situ Patenggang adalah Kawah Putih Ciwidey yang memiliki warna air yang cukup unik kerana kebolehannya bertukar-tukar warna seperti warna hijau epal, coklat susu dan warna kebiruan sekiranya terkena pancaran matahari.

Tapi Kawah Putih Ciwidey ini lebih kerap menunjukkan air berwarna putih yang diselaputi kabus tebal di permukaannya. Disebabkan keindahannya yang unik ini, Kawah Putih Ciwidey sering dijadikan lokasi  fotografi pra-perkahwinan.

Waktu Operasi: 7.00am – 5.00pm

Bayaran: Rp.15.000

Alamat: White Crater, Sugihmukti, Pasirjambu, Bandung, Jawa Barat


21. Observatorium Bosscha

Observatorium Bosscha
Sumber: Observatorium Bosscha

Sudah puas berjalan di sana-sini di atas permukaan bumi dan menikmati flora dan fauna, apa kata kalau anda membawa keluarga anda menyelusuri angkasa lepas dan menikmati keindahan yang ditawarkan di langit pula? Bukan dengan roket ya, tapi dengan teleskop yang terdapat di observatorium ini.

Terletak di atas bukit yang berketinggian 1310 dari paras laut, Observatorium Bosscha merupakan observatorium yang tertua di Indonesia. Sekiranya anda bercadang untuk ke sini, walaupun ia dibuka dari hari  Selasa hingga Sabtu, hanya hari Sabtu sahaja dibuka khas untuk kunjungan keluarga dan individu. Hari lain pula dikhususkan untuk lawatan yang besar.  Jangan terlepas pandang ya!

Waktu Operasi: Selasa – Sabtu

Selasa-Khamis:

-Sesi I : 09.00

-Sesi II: 11.00

-Sesi III: 13.00

Jumaat:

-Sesi I: 09.00

-Sesi II: 13.00

iii)  Sabtu: 9.00am – 1.00pm

  1. iv) Kunjungan Malam: Hanya Berlangsung Selama 4 Malam Setiap Bulan April – Oktober (5.00pm – 8.00pm)

Bayaran:

Siang: Rp.15.000

Malam: Rp. 20.000

Alamat: Observatorium Bosscha, FMIPA Institut Teknologi Bandung, Lembang, Bandung 40391, Jawa Barat


20. Pasar Baru

Pasar Baru Bandung
Sumber: misterbandung.com

Jangan terkejut, Pasar Baru yang terkenal dalam kalangan pelancong Malaysia ini  telah wujud sejak tahun 1884 lagi. Kenapa terkenal sangat pasal ini ya? Pernah anda dengar sesiapa yang ingin datang membeli-belah di Bandung sebab kain-kainnya yang murah? Di sinilah lokasinya.

Cukup murah mengalahkan harga-harga pakaian yang anda temui ditawarkan di Malaysia. Pasar ini sangat luas dengan 8 tingkat kesemuanya, dapat anda bayangkan betapa banyaknya pilihan yang disajikan di depan mata?

Alamat: Ps. Baru Trade Center, Jl. Otto Iskandar Dinata, Kb. Jeruk, Andir, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 40181


19. Braga Culinary Night

Pasar Baru Bandung
Sumber: Fuji Fauji

Antara nikmat percutian selain daripada menyegarkan fikiran dan menyejukkan pandangan mata adalah keseronokan mencuba makanan yang baru. Kalau di Bandung ini, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke Braga Culinary Night yang terletak di Jalan Braga.

Bukan setiap hari ya, tapi hanyalah 2 minggu sekali, sekiranya anda bernasib baik, dapatlah anda mencuba aneka makanan yang diniagakan di sini seperti kuih-muih, nasi goreng, sosej bakar dan banyak lagi. Sambil-sambil mencari makanan di pasar ini, anda juga akan dihiburkan dengan persembahan muzik live, memang meriahlah!

Waktu Operasi: 2 Minggu Sekali, Sabtu (5.00pm – 1.00am)

Alamat:  Jalan Braga, Sumur Bandung, Bandung, Jawa Barat


18. Air Panas Ciater

air panas ciater bandung
Sumber: West Java Tourism Promotion

Terletak di kaki Gunung Tangkuban Perahu, berendam di Air Panas Ciater patut menjadi antara aktiviti penting yang anda lakukan semasa bercuti di Bandung. Mana tidaknya, udara yang sejuk dan segar dari kawasan pergunungan, dilengkapi dengan pemandangan menyegarkan gunung dan ladang teh, berendam pula di dalam air panas, tidakkah kedengaran seperti berada di dalam sebuah mimpi indah? Bukan itu sahaja, kandungan air panas ini juga dikatakan sangat bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan. Bertambah kukuhlah sebab untuk anda ke sini.

Waktu Operasi: 24 Jam

Bayaran: Bayaran Masuk Kawasan Mandi Rp 22.000 | Bayaran Masuk Kolam Air Panas Besar Rp 80.000 | Tiket Masuk Kolam Mandi Sederhana

Rp 20.000 – Rp 55.000

Alamat: Jl. Raya Ciater, Nagrak, Ciater, Kabupaten Subang, Jawa Barat 40154


17. Rumah Mode

Rumah Mode Factory Outlet Bandung
Sumber: Nora Edora Fuad

Tak cukup dengan membeli-belah di Pasar Baru? Mari kita menghabiskan wang di Rumah Mode pula. Rumah Mode adalah sebuah pusat membeli-belah pakaian berjenama dengan identiti tersendiri yang terlihat dari segi rekabentuknya yang memiliki pengaruh tradisional Jawa.

Keunikan seni binanya dan fesyen pakaian yang rata-rata mengikut trend terbaru menarik ramai kaki shopping terutama pada hujung minggu. Sehinggakan sekali anda terlepas pandang, pakaian yang menarik mata anda tadi mungkin sudah diambil orang.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.30am – 8.30pm) | Sabtu, Ahad (8.30am – 9.30pm)

Alamat: Jl. Dr. Setiabudhi, Kota Bandung, Jawa Barat


16. Muzium Geologi Bandung

Museum Geologi Bandung
Sumber: Zy Bo

Mula dibina pada tahun 1928, Muzium Geologi Bandung ini menempatkan banyak mineral, batuan dan fosil yang telah mula dikumpulkan sejak tahun 1850 lagi. Antara fosil yang dipamerkan di sini adalah fosil tengkorak manusia purba dari Indonesia sendiri, informasi tentang gunung berapi yang masih aktif di Indonesia dan banyak lagi. Sebuah muzium yang padat dengan pelbagai informasi, barulah terasa terisi percutian ini.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (8.00am – 3.30pm) | Sabtu, Ahad (8.00am – 1.30pm)

Bayaran:  Rp. 10.000

Alamat: Jl. Diponegoro No.57, Cihaur Geulis, Cibeunying Kaler, Kota Bandung, Jawa Barat 40122


15. Saung Angklung Udjo

Saung Angklung Udjo
Sumber: Saung Angklung Udjo

Saung Angklung Udjo adalah sebuah destinasi pelancongan yang mesti anda lawati untuk mendalami budaya dan kehidupan masyarakat Jawa Barat ataupun digelar etnik Sunda ini. Di sini anda dapat melihat persembahan tarian tradisional Sunda, melihat wayang golek, belajar membuat angklung dan banyak lagi.

Waktu Operasi: 8.00am – 10.00pm

Bayaran: Rp.100.000

Alamat: Jalan Padasuka No.118, Pasirlayung, Cibeunying Kidul, Kota Bandung, Jawa Barat 40192


14. Paskal Food Market

Paskal Food Market
Sumber: Vindy Delacuesta

Setelah lelah menerokai sekitar Bandung, jangan dihiraukan kekosongan perut anda, sebab itulah anda perlu menuju ke Paskal Food Market yang terletak di Pasir Kaliki ini. Sungguh banyak pilihan makanannya yang terdiri daripada masakan Bandung, asia, Indonesia, barat dan banyak lagi.

Pilihan makanan yang terdapat di sini dikatakan lebih daripada 1000 jenis. Ada yang halal, ada yang tidak halal, jadi sebagai muslim, jangan main redah sahaja ya, tanya dulu status makanannya sebelum membeli.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00am – 11.30pm) | Sabtu, Ahad, Musim Cuti (11.00am – 12.30pm)

Alamat: Paskal Hyper Square, Jalan Pasir Kaliki No 25-27, Kebon Jeruk, Andir Bandung Jawa Barat


13. Kampung Daun

Kampung Daun Villa
Sumber: Herra Diaz

Terletak di Villa Trinity, Lembang, Kampung Daun adalah tempat untuk anda berjalan-jalan mencari makan yang menyediakan lebih daripada 20 buah pondok khas untuk para pelanggan yang ingin menikmati sajian yang dihidangkan di dalam atmosfera kampung dan alam semulajadi yang menyegarkan. Selain daripada restoran, anda juga boleh membeli makanan-makanan tradisional dan cenderamata Bandung daripada gerai-gerai kecil yang terdapat di sekitar.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat Ahad (11.00am – 11.00pm) | Sabtu (11.00am – 12.00pm)

Alamat: Villa Triniti, Jalan Sersan Bajuri KM. 4,7, Cihideung, Cigugur Girang, Parongpong, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 40154


12. Curug Sinulang

curug cinulang bandung
Sumber: Panji Ankantara

Curug Sinulang ini merupakan kawasan air terjun yang terletak di dalam  Taman Buru Gunung Masigit Kareumbi. Keindahan suasana sekitar air terjun ini membuatkan ia menjadi lokasi pilihan seniman untuk mendapatkan sumber inspirasi mereka. Jika anda terasa minda kreatif anda tersekat, bersantailah di Curug Sinulang,  fikiran anda akan kembali segar!

Waktu Operasi: 8.00am – 5.00pm

Bayaran:  Rp.5.000

Alamat: Cicalengka Sindang Wangi, Sindulang, Cimanggung, Sindulang, Cimanggung, Kabupaten Sumedang, Jawa Barat 45364


11. De’ Ranch Lembang

Sumber: Lu’lhue

Suhu yang sejuk, udara yang nyaman dan pemandangan yang mempesonakan, apa lagi sebab yang perlu dinyatakan untuk meyakinkan anda supaya ke sini? Teringin menaiki kuda? Di sinilah tempatnya untuk anda mencuba aktiviti ini, dengan konsep “Wisata Kuda Ala Koboi” anda dapat menunggang kuda di sini sambil mengenakan pakaian koboi yang disewa.

Suasananya di De’Ranch Lembang begitu sempurna membuatkan anda tidak berhenti-henti menekan kamera. Bukan itu sahaja aktiviti yang ditawarkan di sini, aktiviti lain yang boleh juga dicuba adalah seperti flying fox, peti luncur, memancing dan banyak lagi! Penuh aktiviti sehari anda di sini.

Waktu Operasi: Isnin (Tutup) | Selasa – Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Sabtu, Ahad (8.00am – 6.00pm)

Bayaran: Rp. 10.000

Alamat: Jalan Maribaya No 17, Kecamatan Lembang, Kabupaten Bandung Barat


10. Ranca Upas

Ranca Upas
Sumber: Deajeng Ratna

Berkeluasan 215 hektar dan berketinggian 1700 meter dari aras laut, Ranca Upas cukup kaya dengan pelbagai jenis flora dan fauna. Persekitaran Ranca Upas ini juga cukup sejuk membuatkan anda berasa seperti berada di dalam bilik berpenghawa dingin dengan suhu sekitar 17 ke 20 darjah celsius.

Antara yang menarik di Ranca Upas adalah tapak perkhemahannya yang luas, memberikan anda lebih banyak pilihan tapak idaman hati. Di samping itu, anda juga dapat mendekati dan memberi makan kepada rusa yang berkeliaran di sekitar. Selain itu, untuk mengisi waktu-waktu anda di sini, banyak aktiviti yang boleh dilakukan seperti berkayak, berendam di dalam kolam air panas dan lain-lain lagi.

Waktu Operasi: 24 Jam

Bayaran: Rp.10.000

Alamat: Jalan Ciwidey-Patengan Km. 11, Patengan, Rancabali, Patengan, Rancabali, Bandung, Jawa Barat 40973


9. Kota Mini Lembang

Kota Mini Lembang
Sumber: Wayank Travel Tour

Jika anda pernah mendengar tentang Kidzania, Kota Mini Lembang juga mengetengahkan konsep yang sama, namun kota mini ini mungkin lebih hebat lagi kerana lokasinya yang terletak di kawasan terbuka, pengalaman di sini terasa lebih realistik. Reka bentuk bangunannya dan cuaca di Lembang yang agak dingin membuatkan anda sekeluarga terasa seperti berada di Eropah.

Walaupun baru dibuka pada akhir Jun 2017, Kota Mini Lembang cukup lengkap dengan pelbagai jenis infrastruktur indah dan aktiviti kerjaya untuk dicuba oleh anak-anak. Bangunan-bangunan di sini juga bukanlah sekadar hiasan, kerana setiap rumah ini memiliki fungsi yang berbeza, ada yang menempatkan kelas memasak, kafe, rumah teddy bear dan banyak lagi!

Waktu Operasi: 8.00am – 6.00pm

Bayaran:  Rp.15.000 | Program Passport Rp 150.000 (Akses Kesemua Rumah dan Permainan)

Alamat:  Jl. Grand Hotel No.33, Lembang, Bandung, West Java 40222


8. Chinatown Bandung

Chinatown Bandung
Sumber: Chinatown Bandung

Terletak di dalam kawasan seluas 3,000 hektar, Chinatown Bandung ini agak unik sekali persekitarannya. Pekan ini menjadikan penempatan masyarakat Cina Tionghoa pada zaman dahulu sebagai inspirasi. Lawatan ke Chinatown Bandung dapat memberikan anda pengalaman yang ternyata unik dan sukar dilupakan. Spot fotografi? Tidak terkira banyaknya.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (12.00pm – 10.00pm) | Sabtu, Ahad (12.00pm – 12.00am)

Bayaran:

Isnin – Khamis: Rp.10.000

Jumaat – Ahad, Musim Cuti: Rp.20.000

Alamat: Jalan Kelenteng No 41, Kota Bandung, Jawa Barat Indonesia


7. Warung Kopi (Warkop) Modjok

Warung Kopi (Warkop) Modjok
Sumber: Beyby Wina

Tak kisahlah sama ada anda kaki kopi atau tidak, tapi anda mesti singgah sekali di dalam hidup ke Warung Kopi (Warkop) Modjok ini. Reka bentuknya, pilihan warnanya, dan dekorasi dalamannya cukup menarik! Walaupun begitu, harga makanan di sini tidak lari dari harga warung kopi biasa, sangat berpatutan, lagi satu bonus untuk anda ke sini bukan? Bukan itu sahaja, lengkap dengan wifi percuma lagi!

Waktu Operasi: 9.00am – 12.00am

Bayaran: Harga Makanan Bermula Dari Rp10.000

Alamat: Jalan Pinus Raya no. 73B, Komplek Pondok Hijau Indah


6. Rainbow Garden Lembang

Rainbow Garden Lembang
Sumber: Bandung Amanah Tours

Rainbow Garden Lembang adalah destinasi indah yang terletak di dataran yang tinggi. Tarikan yang dapat anda sekeluarga nikmati sekiranya menjejakkan kaki ke Rainbow Garden Lembang adalah taman bunganya yang indah persis taman di negara Jepun, penuh dengan warna-warni dan bunga-bungaan mekar yang disusun mengikut warna pelangi.

Begitu banyak sekali bunga-bungaan yang terdapat di sini membuatkan ia lokasi yang terbaik untuk anda memperkenalkan anak-anak dengan jenis-jenis bunga yang ada. Setelah puas mencuci mata, jangan lupa untuk singgah ke gerai makan yang banyak terdapat di sini. Antara sajian yang ada adalah seperti sate, soto bandung, pizza dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 7.00pm) | Sabtu, Ahad (8.00am – 8.00pm)

Bayaran:  Rp.10.000

Alamat: Kawasan Floating Market, Jalan Grand Hotel No.33E, Lembang, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 40391


5. Lereng Anteng

Lereng Anteng
Sumber: Opay Veil Brides‎

Terletak di pinggir bukit, Lereng Anteng adalah sebuah kafe yang mana anda dapat menikmati makanan enak sambil melihat pemandangan mengujakan sekitar kawasan pergunungan. Tempat-tempat duduk yang disediakan di kafe ini agak pelbagai, bermula daripada ruangan luar, separa luar dan ruangan dalam kafe.

Jangan ingat ruang di dalam kafe tiada keistimewaannya berbanding dengan ruang lain, kerana ia lengkap dengan bean bag, cukup santai. Setelah puas mengisi perut yang kosong, anda juga boleh cuba bermain golf mini yang terdapat di sini.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 10.00pm) | Sabtu, Ahad (8.00am – 11.00pm)

Bayaran: Harga Makanan dan Minuman Bermula Dari Rp. 15.000 – Rp. 50.000

Alamat: Kampung Pagermaneuh, RT 02/04 Desa Pagerwangi Kecamatan Lembang Kabupaten Bandung Barat


4. Dago Dream Park

Dago Dream Park
Sumber: Aby Daaz

Dago Dream Park sememangnya sebuah taman mimpi, siapa tak seronok dengan pelbagai aktiviti menarik yang ditawarkan di sini, banyak juga yang unik. Antaranya adalah Karpet Terbang Aladin, Skybike, rumah anti-graviti, ATV, flying fox dan banyak lagi. Untuk aktiviti-aktiviti di sini, memang syok kalau ada kamera GoPro!

Waktu Operasi: Sabtu Ahad (8.00am – 6.00pm)

Bayaran:  Rp.20.000

Alamat: Jl. Dago Giri KM 2.2, Mekarwangi, Lembang, Pagerwangi, Lembang, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 40135


3. Jendela Alam Farm

Jendela Alam Farm
Sumber: West Java Tourism Promotion

Diberikan nama Jendela Alam Farm kerana misinya untuk membuka mata kanak-kanak tentang alam. Terbahagi kepada 5 bahagian. Yang pertama adalah Jendela Air yang menempatkan pelbagai aktiviti air termasuklah pengajaran tentang bagaimana air dijernihkan.

Seterusnya adalah Jendela Petualangan yang menempatkan pelbagai aktiviti menarik seperti memanjat tebing, menunggang kuda dan lain-lain. Selain itu adalah Jendela Bermain, Jendela Haiwan dan Jendela Tumbuhan. Agak lengkap juga ya?

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 3.30pm) | Sabtu Ahad, Cuti Umum(9.00am – 4.00pm)

Bayaran Masuk:

Isnin – Jumaat: Rp. 15.000

Sabtu Ahad: Rp. 20.000

Alamat: Komplex Graha Puspa, Sersan Bajuri, Kilometer 4,5, Cihideung, Parongpong, Kabupaten, Bandung Barat, 40559


2. Perkebunan Teh Cukul

Perkebunan Teh Cukul
Sumber: Teh Han Lin

Perkebunan Teh Cukul ini terletak di kawasan tanah tinggi sekitar 1,500 ke 1,600 meter dari aras laut. Sudah pasti, dengan ketinggian sebegini, udaranya cukup sejuk dan pemandangannya pula dapat menghilangkan segala kecelaruan yang ada di jiwa. Untuk ke sini dari Bandung, masa yang diambil adalah dalam sekitar 3 jam, agak jauh, tapi, percayalah, sampai sahaja di sini, perjalanan anda terasa sangat berbaloi.

Alamat: Jl. Cukul, Sukaluyu, Pangalengan, Bandung, Jawa Barat 40378


1. Pasar Terapung Lembang

Pasar Terapung Lembang
Sumber: Wonderful Bandung Tour

Bukan di Bangkok sahaja yang ada pasar di atas perahu ini, tapi juga di Bandung. Di Pasar Terapung Lembang ini anda dapat melihat pelbagai jenis makanan tradisional Bandung yang dijual, termasuklah sayuran dan ikan-ikan yang segar.

Selain pasar terapung, di sekitarnya pula ataupun di kawasan daratnya terdapat banyak lagi tarikan lain seperti keretapi mini, taman fauna, pancing magnet dan lain-lain lagi. Bagi muslim pula, surau turut disediakan.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (9.00am – 5.00pm) | Sabtu Ahad (9.00am – 8.00pm)

Bayaran:  Rp. 15.000

Alamat: Jl. Grand Hotel No.33E, Lembang, Kabupaten Bandung Barat, Jawa Barat 40391


Baca: 25 Hotel Bajet Di Bali Yang Menarik

Siapa sangka Bandung juga setanding dengan Bali bilangan tarikan yang terdapat di sini. Dari pusat membeli-belah, restoran yang menarik, alam semulajadi yang memukau, taman tema yang terbesar dan banyak lagi, memang tak cukup seminggu untuk ke semua tempat menarik di Bandung ini. Kalau anda nak tahu, sebenarnya banyak lagi yang tidak disenaraikan di dalam artikel ini.

Namun dari senarai ini sahaja, rasanya sudah cukup meyakinkan anda sekeluarga untuk memilih Bandung sebagai destinasi pelancongan yang akan datang. Tapi sebelum ke sana, jangan lupa untuk melayari laman web booking.com untuk membuat tempahan hotel yang terbaik dengan tawaran harga yang juga terbaik untuk menyelamatkan poket anda ya?

Jangan ditangguh-tangguhkan lagi, bakso panas sudah pun menunggu kedatangan anda ke Bandung. Semoga anda sekeluarga berseronok tak terhingga di negeri Jawa!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *