15 Tempat Menarik Di Labuan | Terokai Keindahan Permata Borneo

January 29, 2018 0 By melakatour

Terletak hanya beberapa jam perjalanan bot dari Kota Kinabalu, dan menjadi laluan feri untuk ke Brunei adalah sebuah pulau yang mempesonakan, Labuan. Siapa sangka sebuah pulau yang tenang dengan pantai-pantai indah terkenal di seluruh dunia ini pernah melalui zaman kegelapan sewaktu perang dunia pertama dan kedua yang memusnahkan sebahagian besar bangunan-bangunan di pulau ini.

Namun inilah juga yang menjadikan Labuan cukup istimewa, dasar lautnya menjadi tarikan untuk diterokai penyelam dalam dan luar negara kerana kapal-kapal yang karam dari peperangan suatu ketika dahulu dan peninggalan-peninggalan jajahan yang menimbulkan rasa ingin tahu.

Nak tahu apa lagi yang menarik tentang Pulau Labuan yang juga sebuah pulau bebas cukai ini? Teruskan membaca 15 tempat menarik di Labuan yang kami senaraikan khas untuk anda.

15. Pantai Layang-Layang

Pantai Layang-Layang Labuan
Sumber: AzmanKarib Photography

Terletak tidak jauh dari Victoria Town yang hanya 15 minit pemanduan adalah Pantai Layang-Layang. Sebuah pantai yang cukup indah terutama sekali ketika waktu matahari melabuhkan tirainya sekitar pukul 5.30 ke 6.30 petang.

Sambil menikmati pemandangan yang memukau ini anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan yang dijual di tepi pantai ini seperti cendol, sate, air kelapa yang menyegarkan dan banyak lagi. Bagi anda yang sukakan aktiviti menyelam, keindahan pemandangan di kawasan permukaan laut biru ini sama indahnya dengan flora dan fauna di dalam lautnya yang penuh warna-warni.

Cukup kaya dengan pelbagai jenis ikan, kerana ini jugalah Pantai Layang-Layang juga turut terkenal dalam kalangan kaki pancing.

 Alamat: OKK Daud Road, Pulau Labuan


Baca: 45 Destinasi Terbaik Di Sabah

14. Taman Damai Tugu Penyerahan Jepun

Peace Park Labuan
Sumber: 志在逍遥

Di tepian Pantai Layang-layang, terletaknya dua lagi tarikan lain di Labuan iaitu Taman Damai Tugu Penyerahan Jepun. Taman Damai dibina dengan sumbangan daripada Japan Shipbuilding Industry Foundation dan juga keluarga mereka yang terkorban sewaktu pencerobohan Jepun.

Pembinaan taman ini adalah untuk menjadi simbol keharmonian antara Malaysia dan Jepun. Di sebelahnya pula terletak Tugu Penyerahan Jepun, di sinilah peristiwa bersejarah di mana Angkatan Tentera Jepun yang diketuai Leftenan Jeneral Masao Baba telah menyerah kepada Tentera Australia pada tarikh 10 September 1945. Banyak perkara bersejarah yang dapat anak anda pelajari di sini bukan? Lain perasaannya apabila dapat melawat lokasi bersejarah ini sendiri.

 Alamat: OKK Daud Road, Pulau Labuan


13. Labuan War Memorial Cemetary

Labuan War Memorial Cemetary
Sumber: Australian War Graves

Labuan War Memorial Cemetary menempatkan tanah perkuburan tentera-tentera yang gugur sewaktu pencerobohan Jepun di Kepulauan Borneo pada tahun 1945. Terdapat sebanyak 1,788 buah kubur di memorial ini yang turut menempatkan warga Australia dan India.

Antara lain yang turut disemadikan di sini adalah Jack Mackey (1922–1945) dan Tom Derrick (1914–1945) yang pernah menerima Anugerah Kepujian Keberanian Victoria Cross.

Alamat: Labuan War Memorial Cemetary, 87000 Labuan


12. Muzium Marin Labuan

labuan marine museum
Sumber: Norani Ab Rahman

Bangunan 2 tingkat yang berbentuk seperti kerang, Muzium Marin Labuan ini cukup menarik untuk dilawati bersama keluarga. Bagi anda yang tidak berani menyelam di dalam air laut, di sinilah anda  dapat mendekati flora dan fauna marin yang bukan sahaja daripada kawasan laut, malahan juga dari paya bakau.

Menempatkan lebih daripada 570 koleksi, lawatan ke muzium ini pasti membuat anda jatuh cinta dengan keindahan dan kekayaan spesies hidupan dalam laut, mungkin ramai yang nak jadi penyelam lepas ini? Antara ruang pameran yang terdapat di sini adalah Seksyen Hidupan Marin, Seksyen Batu Karang,

Maklumat Kapal Karam dan Seksyen Paya Bakau. Di tingkat atas muzium ini pula mempamerkan banyak lagi maklumat tambahan yang lain yang melibatkan peralatan menyelam, peralatan memancing klasik dan moden, serta banyak lagi informasi berkaitan spesies hidupan marin.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran: Percuma

Alamat: Muzium Marine Labuan, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, Kompleks Sukan Air Antarabangsa Labuan, Jalan Tanjung Purun.


11. Menara Jam Labuan

Menara Jam Labuan
Sumber: Monaza Mohd

Sudah puas berjalan di sana-sini sekitar Labuan, tiba-tiba terdengar bunyi dong! dong! dong! sebuah jam, dari mana lagi datangnya bunyi ini di tengah bandaraya Labuan kalau bukan dari Menara Jam Labuan yang penuh bersejarah.

Pada asalnya, menara jam ini dibina pada tahun 1906 sumbangan daripada seorang peniaga terkemuka Melaka, Chee Swee Cheng. Menara ini merupakan salah satu daripada empat buah struktur lain di Bandar Labuan yang terselamat daripada pengeboman tentera bersekutu.

Sedihnya pada tahun 1948 pihak British telah merobohkan menara jam ini dengan janji ia akan dibina kembali, namun begitu, menara ini sebaliknya telah dibina kembali oleh Perbadanan Labuan pada tahun 2002.

Jadi, menara jam yang anda dapat lihat kini adalah replika menara yang asal. Untuk pengetahuan anda, jam ini akan mengeluarkan bunyi pada setiap jam, oleh itu, rancang masa anda betul-betul untuk mendengar bunyinya ya?

 Alamat: Taman Antarabangsa Borneo


10. The Chimney Museum

The Chimney Museum
Sumber: Richard A. Gontusan

Setelah melalui jalan dengan pemandangan yang indah untuk sampai ke Muzium Chimney, anda akan disambut pula dengan kisah misteri yang menyelubungi muzium ini. Misteri di sebalik muzium ini bukanlah sesuatu yang meremangkan bulu roma, tapi tentang fungsi menara chimney ini sendiri.

Walaupun diberikan nama chimney ataupun cerobong asap namun tiada kesan pembakaran yang ditemui pada dinding sebelah dalam menara ini. Ada juga yang mengatakan bahawa ia adalah sebuah rumah api kerana terletak di kawasan tanah tinggi dan kerana kewujudan sebuah pelabuhan di Lubung Temiang pada suatu ketika dahulu.

Teori yang lain pula mengandaikan yang menara ini mungkin juga sebuah menara jam, namun, di mana pula jamnya? Menara yang pelik namun inilah yang menjadikan ia menarik untuk dilawati, tambahan lagi di kawasan sekitarnya merupakan tapak pelombongan arang dari tahun 1847 hingga 1911 sewaktu pemerintahan British.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Hari Pertama Raya Puasa  Haji Tutup

Bayaran: Percuma

Alamat: Muzium Chimney Kg Lubok Temiang Jalan Tanjung Kubong 87000


9. The Bird Park Labuan

The Bird Park Labuan
Sumber: Integratedinfo.com.my

Tidak jauh dari Muzium Chimney, terletaknya The Bird Park Labuan dengan 3 buah kubah besar dikelilingi oleh lanskap flora yang indah. Bagi anda yang suka melihat burung-burung yang dicipta dengan penuh warna-warni ini, dapatlah anda melihat dengan sepuas hati lebih daripada 580 spesies burung tanpa perlu membawa teropong yang berat. Semuanya ada di sekeliling anda. Satu perasaan yang pasti mengujakan sesiapa sahaja.

Waktu Operasi: Dibuka Setiap Hari Kecuali Jumaat

Bayaran: Dewasa RM3 | Kanak-kanak Percuma | Warga Emas Pelajar RM2 | Pelancong RM5

Alamat: Tg. Kubong, Labuan Town, Labuan Island


Baca: 35 Destinasi Menarik Di Kundasang

8. Muzium Labuan

Muzium Labuan
Sumber: jmm.gov.my

Bangunan Muzium Labuan yang terletak di Jalan Dewan ini sebenarnya telah dibina oleh  pihak British pada tahun 1950-an untuk dijadikan Pejabat Pentadbiran Kolonial British. Selepas diambil alih oleh Jabatan Muzium Malaysia, pelbagai kerja konservasi telah dilakukan untuk dijadikan muzium yang penting di Labuan.

Antara pameran menarik yang terdapat di muzium ini adalah replika rumah suku Kadayan, artifak batu dari zaman neolitik yang ditemui di Pulau Burong dan koleksi senjata perang dunia.

Tak cukup dengan itu, anda juga dapat melihat dengan lebih dekat kerusi, meja dan pen yang telah digunakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir B. Mohamed. Nak tahu apa lagi yang ada di sini? Datanglah ke Muzium Labuan untuk melihat sendiri kekayaan koleksi dan informasinya.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.30am – 5.00pm) | Hari Pertama Raya Puasa  Haji Tutup

Bayaran: Percuma

Alamat: Muzium Labuan, Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, U 0364, Jalan Dewan, 87008


7. Ujana Kewangan

Ujana Kewangan Labuan
Sumber: Financial Park Labuan

Ke mana nak dituju di Labuan ini kalau tiba-tiba teringin bershopping seperti di kota metropolitan? Di sinilah lokasinya, Ujana Kewangan ataupun lebih dikenali sebagai UK dalam kalangan penduduk tempatan. UK ini sebenarnya adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang terdapat di Labuan. Antara yang terdapat di sini adalah Parkson, Giant, KFC, Pizza Hut dan lain-lain.

Tapi yang membezakan pusat membeli-belah ini dengan di tempat lain adalah kerana ia adalah salah-satu daripada tempat bershopping yang bebas cukai untuk barangan seperti coklat, ya anda tidak salah dengar, bebas cukai.  Nak bershopping coklat sehingga penuh satu luggage seperti di Langkawi? Datanglah ke Ujana Kewangan.

Alamat: Lot No. E008, Tingkat Bawah, Bangunan Financial Park, 87000 Wilayah Persekutuan


6. Pantai Pancur Hitam

Pantai Pancur Hitam
Sumber: Lan Rars‎

House of Millions of Peace, itulah nama yang diberikan kepada Pantai Pancur Hitam. Diberikan gelaran sedemikian kerana keindahan pemandangan dan ketenangan angin sepoi-sepoi bahasa pantai ini menjadikan ia pilihan ramai jutawan untuk membina rumah mewah di sini.

Keindahannya yang memukau turut menarik perhatian dunia sehingga dianugerahkan dengan Anugerah United Nation COBSEA Clean Beach 2008. Sambil-sambil menikmati pemandangan yang indah di pantai ini anda boleh membeli makanan yang dijual di tepi pantai seperti air kelapa, sosej, bertih jagung, coklat dan banyak lagi, barulah syok menikmati pemandangan sambil mengisi perutkan?

Alamat: Pantai Pancur Hitam, 87000


5. Pantai Pohon Batu

Pantai Pohon Batu Labuan
Sumber: Caryn Chan

Pantai Pohon Batu adalah sebuah pantai yang terletak sebaris dengan Pantai Pancur Hitam. Untuk pengetahuan anda, Pantai Pohon Batu terkenal dengan panorama indahnya sewaktu matahari terbenam. Jika anda ke sini, anda juga dapat melihat warung-warung kayu yang dibuka di tepian pantai indah ini dengan jualan makanan laut segar.

Tiada apa yang lebih menyeronokkan jiwa daripada menikmati pemandangan mempesonakan bawah lindungan pokok-pokok kasuarina dengan makanan yang masih segar hasil tangkapan nelayan di sini.

Alamat: Pohon Batu Smpang 26 (Pohon Batu), Labuan


4. Labuan Square (Dataran Labuan)

Labuan Square
Sumber: Labuan Square

Sekiranya anda datang ke Labuan pada tarikh-tarikh yang penting seperti hari kemerdekaan negara dan hari kemerdekaan Labuan anda dapat melihat kemeriahan dataran ini sepertimana di Dataran Merdeka KL.

Di sini juga banyak dijalankan persembahan dan keraian lain yang penting di Labuan. Lalu-lalulah di Labuan Square ini kalau anda sudah sampai ke Labuan ya, mungkin ada sesuatu yang menarik diadakan.

 Alamat: Jalan Merdeka, Labuan


3. Labuan Botanical Gardens

Labuan Botanical Gardens
Sumber: Zalia Binti Abdullah

Terletak berdekatan dengan Bandar Labuan yang hanya 5 minit pemanduan, Labuan Botanical Gardens didirikan di atas tapak kawasan yang pernah menempatkan bangunan kerajaan yang digelar Bumbung 12 dibina oleh penjajah dengan seni bina yang cukup unik pada tahun 1852.

Bumbung 12 ini juga merupakan tempat tinggal Sir James Brooke dan pernah menjadi rumah persinggahan King Edward VIII (The Prince of Wales) sewaktu kedatangannya ke Labuan pada tahun 1922. Namun pada tahun 1945, bangunan ini dan sebahagian besar kawasan di sekelilingnya musnah dibom oleh tentera bersekutu. Yang tinggal hanyalah sisa bangunan serta sebuah tangki air.

Kini tapak ini menempatkan sebuah taman botani indah dengan sebuah taman bunga raya pelbagai spesies, taman herba, sebuah tasik buatan dengan jambatan merentasinya, laluan refleksologi, gazebo, taman permainan kanak-kanak dan rumah pondok di atas pokok. Ingin berseronok dengan anak-anak dalam taman yang menyegarkan? Datanglah ke taman botani ini.

Bayaran: Percuma

Alamat: Labuan Botanical Garden, 708, 87000 Labuan


2. One Stop Duty-Free Shopping

One Stop Duty Free Shopping Victoria Point
Sumber: One Stop Duty Free

Terletak betul-betul di tengah bandaraya Labuan, di One Stop Duty-free Shopping ini anda dapat menghabiskan hari terakhir anda sekeluarga di Labuan dengan membeli-belah pelbagai barangan menarik dengan harga yang bebas dari cukai.

Tiada perasaan yang lebih menggembirakan bila dapat bershopping di bawah harga jualan sebenar, ya tak? Antara yang boleh dijumpai di sini adalah coklat, mutiara dan banyak lagi produk lain yang dihasilkan penduduk tempatan seperti saho, sambal dan tapai.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 9.00pm)

Alamat: Bandar Labuan, 87000 Labuan


1. Masjid Jamek An’Nur

Sumber: Fans of Islamic Way of Life

Satu-satunya masjid yang terletak di Wilayah Persekutuan Labuan, Masjid Jamek An’Nur ataupun  Masjid Negeri Wilayah Persekutuan Labuan adalah sebuah masjid yang dibina pada tahun 1980 dengan gabungan seni bina Melayu Brunei dan Turki.

Reka bentuknya yang agak futuristik menjadikan ia tarikan yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong yang datang ke Labuan. Sebuah masjid yang cukup indah dan berbeza dari masjid yang lain. Jangan lepaskan peluang untuk singgah bersolat di sini.

Alamat: Jalan Merdeka, Labuan


Pulau yang kecil namun cukup padat dengan tarikan yang tersendiri. Kekayaan sejarah, keindahan panorama pantai dan laut dalam yang mempesonakan serta statusnya sebagai pulau bebas cukai menjadikan ia destinasi pelancongan idaman ramai untuk lari daripada kekacauan kehidupan di kota. Jadi, apa lagi yang anda tunggu, tidak perlu keluarkan wang lebih untuk membuat passport, pulau indah ini masih di dalam radar negara Malaysia.

Yang perlu anda lakukan hanyalah menempah hotel yang juga tak menipiskan poket anda melalui booking.com. Tiada sebab untuk tidak ke Labuan bukan?

Sekian sahaja penulisan kali ini, diharapkan artikel tempat menarik di Labuan ini dapat membantu anda merancang percutian yang sukar dilupakan. Semoga anda sekeluarga berseronok menikmati ketenangan percutian di Labuan nanti!

Baca: 23 Destinasi Terbaik Di Sarawak