25 Pulau Di Malaysia Yang Menarik | Terokai Syurga Pantai Pasir Putih & Laut Biru

August 12, 2018 0 By melakatour

Malaysia adalah sebuah negara yang memegang reputasi sebagai syurga bagi pulau-pulau tropika disebabkan oleh kekayaannya dengan pulau-pulau yang mempesonakan jiwa bukan sahaja di sekitar Kepulauan Borneo tapi juga di kawasan Semenanjung.

Yang menjadikan pulau-pulau ini lebih istimewa adalah kerana keindahannya yang cukup terjaga dan lebih privasi berbanding pulau-pulau di negara lain yang terlalu sibuk dengan kedatangan pelancong-pelancong dari seluruh pelusuk dunia.

Oleh itu, tidak perlulah anda bersusah-payah menempah tiket penerbangan untuk ke negara lain bagi menikmati keindahan alam semula jadi yang turut ditawarkan di negara sendiri.

Bukan itu sahaja, anda juga dapat menjimatkan bajet di mana wang selebihnya boleh digunakan untuk melakukan banyak aktiviti menarik yang ditawarkan di pulau-pulau yang dilawati.

Di dalam artikel kali ini, kami menyenaraikan 25 buah pulau di Malaysia yang kami rasakan antara destinasi pulau yang wajib anda lawati apabila tiba musim cuti. Nak tahu di mana? Teruskan membaca.

25. Pulau Redang | Terengganu

Pulau Redang Terengganu - Main Image
Sumber: World Landscapes

Siapa tak kenal Pulau Redang, kat sinilah anda dapat tengok penyu bertelur sebab pulau ni adalah tapak pemuliharaan penyu yang penting di Terengganu. Bagi anda yang inginkan kepuasan bercuti di pulau di Terengganu, ini boleh dijadikan sebagai pilihan utama kerana ia adalah salah satu pulau yang tercantik dan terbesar di bahagian pantai timur negara ini.

Di sini, anda sekeluarga dapat melakukan banyak aktiviti menarik seperti jungle trekking, menyelam skuba, berenang dan snorkeling. Dalam banyak-banyak aktiviti yang terdapat di sini, salah satu yang tidak patut anda lepaskan adalah menyelam di lautan sekitar pulau ini terutamanya pada waktu tengahari ketika mana cahaya mentari menembusi air laut memperlihatkan keindahan panorama hidupan marin batuan karang dan ikan yang penuh warna-warni.

Untuk pengetahuan anda, di sekitar perairan pulau indah ini juga terdapat 2 buah tempat karamnya kapal lama ketika Perang Dunia Kedua iaitu kapal H.M.S Prince of Wales dan H.M.S Repulse.

Menarik kan? Untuk menuju ke sini, anda boleh menaiki bot yang disediakan di jeti yang tidak jauh dari Pasar Payang di Kuala Terengganu.

Alamat: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu

Baca: 35 Tempat Menarik Di Kuala Terengganu


24. Pulau Kapas | Terengganu

Pulau Kapas Main Image
Sumber: _ernxt_

Walaupun hanyalah sebuah pulau yang kecil, dengan kepanjangan 2 km dan kelebaran 1 km, Pulau Kapas cukup terkenal di negeri Pantai Timur ini.  Mana tidaknya, kedudukannya cukup strategik, kerana jaraknya yang hanyalah sekitar 6 km dari jeti Marang.

Nak tahu satu fakta menarik tentang Pulau Kapas? Dikatakan, terdapat beberapa asal-usul berbeza tentang nama pulau ini antaranya, nama Pulau Kapas diambil daripada nama pokok kapas yang kebiasaannya digunakan untuk membuat kapas atau kain, dan lagi satu sebab kenapa ia dinamakan sedemikian adalah kerana keindahan pasirnya yang putih bersih.

Pulau Kapas ini memiliki sebuah pantai yang cukup tenang dimana anda sekeluarga dapat mendamaikan fikiran sambil melihat keindahan pokok-pokok kelapa yang melambaikan daunnya di samping keindahan kawasan perairan di sekitar yang meriah dengan pelbagai hidupan marin.

Kalau anda nak tahu, salah satu aktiviti yang terkenal untuk dilakukan di sekitar pulau ini adalah mencandat sotong. Anda boleh menyewa bot yang terdapat di jeti Marang untuk mendapatkan hasil laut yang segar ini yang kebiasaannya rancak dilakukan dalam bulan Jun ke Julai setiap tahun.

Aktiviti-aktiviti lain yang boleh dirancang di pulau ini adalah meluncur ombak, berkayak, berenang dan banyak lagi.

Alamat: Pulau Kapas, Terengganu


23. Pulau Perhentian | Terengganu

Pulau Perhentian Main Image
Sumber: Tourism Malaysia

Mesti biasa dengar kan tentang pulau yang satu ni? Walaupun biasa dengar, mungkin anda tak tahu yang Pulau Perhentian ni sebenarnya terbahagi kepada dua iaitu Pulau Perhentian Besar dan Kecil.

Pulau Perhentian Besar adalah sebuah pulau yang sesuai untuk anda yang mendambakan ketenangan sewaktu musim cuti, di sini jugalah terletaknya beberapa buah resort yang indah untuk anda sekeluarga menikmati pengalaman percutian yang sempurna.

Bagi anda yang ingin mencuba sesuatu yang baru, alang-alang sudah berada di kawasan pulau, jangan lepaskan peluang untuk mengikuti kursus menyelam skuba yang ditawarkan sebilangan operator pelancongan di sini.

Mengenai Pulau Perhentian Kecil pula, pulau ini agak berbeza dengan Pulau Perhentian Besar  kerana kebanyakan pelancong lebih tertarik untuk melawat pulau Kecil disebabkan oleh kewujudan tempat-tempat penginapan yang menawarkan harga bajet.

Walaupun agak meriah, alam semula jadi di sini  kekal indah dan terjaga. Kalau anda nak tahu, pulau ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Long Beach dan Coral Bay. Inginkan lebih privasi? Berlarilah ke Coral Bay yang hanyalah 15 minit jaraknya dari Long Beach.

Walau bagaimanapun, pulau-pulau ini ditutup ketika musim tengkujuh iaitu antara bulan Oktober ke Februari. Jangan tersalah rancang pula ya?

Alamat: Pulau Perhentian, Terengganu


22. Pulau Rhu Hentian | Terengganu

Pulau Rhu Hentian Malaysia Image
Sumber: nikwatersport

Pulau Rhu Hentian bukanlah sebuah pulau yang terkenal sepertimana Pulau Perhentian dan Pulau Redang, namun pulau yang terletak hanyalah 15 batu nautika dari Kuala Besut ini juga mampu menghentikan nafas anda dengan keindahannya yang begitu mengujakan.

Kawasan pantainya cukup indah dengan kawasan perairan di sekitar yang jernih, anda sekeluarga boleh berehat di tepian untuk melegakan minda sebelum melihat keindahan hidupan marin yang ditawarkannya sambil menyelam. Panorama dalam airnya cukup memukau dengan kepelbagaian spesies ikan dan terumbu karang untuk dilihat.

Berkeluasan 1.4 hektar, anda dapat menerokai seluruh pulau ini dalam hanya 1 setengah jam sahaja di samping menikmati pemandangan di sekitar yang penuh dengan kehijauan.

Alamat: Pulau Rhu Hentian, Terengganu


21. Pulau Tenggol | Terengganu

Pulau Tenggol Main Image
Sumber: bobo_tifanny

Hanyalah dalam 50 minit perjalanan dari jeti Kuala Dungun, anda akan sampai ke sebuah pulau yang bukan calang-calang reputasinya dalam kalangan penyelam skuba, Pulau Tenggol ini sebenarnya pernah disebut di dalam majalah Asian Diver Magazine Annual Edition sebagai kawasan menyelam yang terbaik di Semenanjung Malaysia.

Dikatakan pulau ini menawarkan 20 buah kawasan menyelam yang menarik di sekitarnya, antaranya adalah Batu Tokong Laut di mana anda berpeluang untuk melihat ikan selar dan batu karang pelantar laut dalam, dan juga Teluk Air Tawar yang menjadi kawasan penyu.

Sebelum ke pulau ini, pastikan anda membawa semua barangan keperluan yang penting kerana tiada satu kedai pun di sini.

Walau bagaimanapun, kalau anda masih baru dalam aktiviti menyelam, lokasi yang terbaik dan lebih selamat untuk anda berjinak-jinak adalah sama ada di Pulau Perhentian ataupun Pulau Redang.

Alamat: : Pulau Tenggol, Terengganu


20. Pulau Lang Tengah | Terengganu

Pulau Lang Tengah Main Image
Sumber: eddy_hardy

Lokasi Pulau Lang Tengah ini agak menarik kerana terletak di antara dua buah pulau yang terindah di Terengganu, iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Secara spesifiknya, pulau ini terletak dalam sekitar 22 km dari pesisir pantai semenanjung. Untuk ke sini, anda boleh menaiki bot dari Jeti Merang di Daerah Besut.

Lokasinya yang tidaklah begitu jauh dari pulau indah yang lain, membuatkan keindahan kawasan perairannya tidak ubah sepertimana pulau di sekitarnya. Mampu memukau jiwa dan yang best sekali, atmosfera pulau ini yang jauh lebih privasi berbanding yang lain kerana kurang dilawati.

Di sini anda dapat melihat kepelbagaian batu karang dan hidupan marin yang lain yang cukup mempesonakan. Point tambahan kenapa anda perlu ke sini adalah kerana kalau anda bernasib baik, anda mungkin dapat melihat sendiri penyu-penyu hijau datang mendarat untuk bertelur dari bulan Mei ke September.

Alamat: Pulau Lang Tengah, Kuala Terengganu


19. Pulau Gemia | Terengganu

Pulau Gemia Main Image
Sumber: pakejpulaumalaysia

Pulau Gemia ini lokasinya sangatlah dekat dengan tanah semenanjung yang hanyalah 5 km atau 15 minit sahaja menaiki bot dari jeti Marang di Kuala Terengganu. Bagi anda yang ingin ke Pulau Kapas, jangan lupa untuk singgah ke pulau ini yang hanyalah 800 meter dari satu sama lain.

Pulau yang diliputi pohon-pohon yang mekar menghijau ini merupakan sebuah pulau persendirian yang juga dikenali sebagai Coral Island kerana dikelilingi oleh terumbu batu karang. Ianya agak kurang dilawati dalam kalangan pelancong tempatan walaupun keindahannya tidak kurang hebat dengan yang lain, namun agak terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah berkayak, snorkeling dan trekking. Di samping aktiviti yang memerlukan tenaga, anda juga boleh sekadar bersantai dan kalau tepat pada masanya, anda mungkin berpeluang melihat kehadiran penyu dari spesies Agar yang datang untuk bertelur di pulau ini.

Alamat: Pulau Gemia, Marang


18. Pulau Rawa | Terengganu

Pulau Rawa Terengganu Main Image
Sumber: Malaysia Asia

Untuk menuju ke Pulau Rawa, anda boleh menaiki bot dari Pulau Perhentian Kecil dan Pulau Perhentian Besar. Kawasan di sekitar pulau ini cukup sempurna untuk anda yang ingin bersnorkeling ataupun menyelam skuba.

Panorama di dalam air sekitar pulau ini cukup mempesonakan, ditambah lagi dengan kejernihan airnya yang bak kaca lutsinar memandangkan pulau ini tidak dihuni oleh sesiapa dan juga tidak memiliki sebarang tempat penginapan yang dapat mencemarkan persekitaran. Dari segi kebersihan, pulau ini memang tip-top!

Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati sewaktu ingin meneroka kawasan sekitar perairan ini memandangkan terumbu batu karang tumbuh agak berdekatan dengan pesisir pantai.

Alamat: Pulau Rawa, Besut


17. Pulau Tinggi | Johor

Pulau Tinggi Johor Main Image
Sumber: Johor National Parks

Untuk pengetahuan anda, nama lain bagi Pulau Tinggi adalah Pulau Topi Jeneral, pelikkan? Tapi ada sebabnya. Pulau ini diberi gelaran sebagai Pulau Topi Jeneral oleh pelayar-pelayar yang datang dari China sekitar beratus tahun dahulu kerana ianya memiliki sebuah gunung yang berbentuk seperti topi pada sekali pandangan.

Gunung yang dinamakan Gunung Semadu ini berketinggian 2000 kaki dari paras laut dan merupakan gunung berapi yang sudah tidak lagi aktif. Kalau anda nak tahu, di dalam pulau ini juga terdapat dua buah perkampungan nelayan iaitu Kampung Tanjong Balang dan Kampung Pasir Panjang.

Tidak jauh dari Pulau Tinggi, iaitu hanya dalam 10 minit dari pulau ini, terletaknya Pulau Sibu yang dikelilingi oleh perairan yang super-duper jernih dan terkenal dalam kalangan penyelam skuba.

Alamat: Pulau Tinggi, Mersing


16. Pulau Rawa | Johor

Pulau Rawa Johor Main Image
Sumber: Viral Media Johor

Pulau Rawa di negeri Johor ini sama indahnya dengan Pulau Rawa di Terengganu. Pulau ini terletak dalam 16 km dari Mersing, Johor. Kawasan di sekitarnya dikelilingi oleh lautan yang biru dan dalam. Pulaunya pula mekar dengan hutan yang mengijau untuk diterokai bagi yang suka akan aktiviti lasak.

Untuk aktiviti jungle trekking, anda boleh melalui 270 anak tangga yang disediakan untuk menuju ke puncak di bahagian timur pulau. Dari puncak ini anda dapat melihat pemandangan yang cukup mengujakan lebih-lebih lagi ketika matahari naik ataupun tenggelam.

Aktiviti lain yang terkenal di sini adalah snorkeling kerana kekayaannya dengan hidupan marin dan batuan karang yang berwarna-warni.

Alamat: Pulau Rawa, Mersing, Johor


15. Pulau Sibu | Johor

Pulau Sibu Johor Main Image
Sumber: Ck Ang

Pulau Sibu ini sebenarnya terdiri daripada beberapa buah pulau berbeza iaitu Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Sibu Hujung.

Dalam banyak-banyak pulau yang berkongsi nama ini, Pulau Sibu Tengah adalah yang paling sempurna dari segi fasilitinya kerana terdapat penginapan-penginapan yang selesa dan sesuai untuk para pelancong yang berjiwa urban.

Untuk beraktiviti, bagi anda yang memang kaki menyelam skuba,  pilihan lokasi untuk menyelam sangatlah memuaskan hati, sebulan duduk kat sini, baru selesai semuanya, kerana dalam kawasan di sekitar pulau ini terdapat kira-kira 30 buah lokasi menyelam yang menarik.

Alamat: Pulau Sibu, Mersing

Baca: 21 Destinasi Percutian Menarik Di Mersing Johor


14. Pulau Pemanggil | Johor

Pulau Pemanggil Main Image
Sumber: ASEAN Youth Organization

Jangan takut mendengar namanya, Pulau Pemanggil ini bukanlah diberikan nama dek kerana keseramannya tapi adalah berdasarkan daripada sebuah hikayat yang mengisahkan tentang seorang lelaki Indonesia dan keluarganya yang telah berlayar tidak jauh daripada pulau ini.

Ketika dia sedang tidur, lelaki ini termimpi yang ada suara memanggilnya untuk tinggal di pulau ini, dari sinilah Pulau Pemanggil mula dihuni dan semakin hari semakin ramai penduduk yang datang dari Indonesia dan Pulau Aur yang menetap di sini. Kalau anda nak tahu, pulau ini menempatkan sebuah kawasan perkampungan iaitu Kampung Buau.

Bagi anda yang ingin meneroka pulau ini, anda perlu menempuh lautan dalam sekitar 4 ke 5 jam dari Jeti Mersing, nak lagi cepat, anda boleh memilih untuk menggunakan bot laju, namun bayarannya pun, lebih tinggilah.

Walaupun perlu melalui perjalanan yang agak lama untuk ke pulau ini, kedatangan anda sebenarnya akan memberikan kepuasan kepada diri sendiri kerana di sinilah letaknya banyak lubuk rahsia yang dapat memberikan tangkapan hasil laut yang menggembirakan jiwa. Nak lagi best? Datanglah ketika musim mencandat sotong iaitu dari bulan Ogos ke September untuk mendapatkan hasil yang semaksimum mungkin.

Selain sotong, antara hasil laut lain yang mudah didapati di sini adalah ikan tenggiri, ikan kerapu,  ikan kerisi, ikan tongkol dan banyak lagi.

Alamat: Pulau Pemanggil, Mersing


13. Pulau Kukup | Johor

Pulau Kukup Main Image
Sumber: gambopilus_photografy

Tak payah nak ke Krabi untuk melihat perkampungan terapung, sebab di Johor pun ada kampung di atas air. Pulau Kukup merupakan kawasan perkampungan tradisional nelayan yang majoriti penduduknya adalah Cina.

Kalau dah dihuni oleh Cina, memang meriahlah kawasan ini dengan perniagaan-perniagaankan? Perniagaan utama sekali di sini adalah tempat penginapan seperti chalet, hotel dan resort. Khidmat sewa motor dan basikal pun ada. Kalau dah sampai di sini, inilah cara yang terbaik untuk anda melihat kawasan persekitaran kampung.

Selain kawasan perkampungan, Pulau Kukup juga sebenarnya secara keseluruhannya terdiri daripada paya bakau yang juga dikatakan sebagai kawasan paya bakau yang terbesar di Malaysia. Sepertimana di kawasan paya bakau yang lain, pulau ini agak kaya dengan hasil tangkapan seperti udang, ketam, dan bermacam lagi spesies ikan yang lain.

Alamat: Mukim, Air Masin, 82300 Kukup, Pontian


12. Pulau Besar | Johor

Pulau Besar Island Main Image
Sumber: cedric_fit.lifestyle

Pulau Besar dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar. Dengar namanya pun dah seram sejuk nak pergi kan? Jangan panik! Anda kini boleh melawat pulau ini dengan senang hati, kerana pulau yang dahulunya dihuni oleh babi-babi liar kini sudah pun hilang, yang tinggal hanyalah ketenangan dan keindahan untuk dinikmati, sebab itulah namanya pun sudah diubah.

Pulau ini walaupun agak kecil dengan kepanjangan hanyalah dalam 4 km dan kelebaran 1 km, ia menawarkan 4 buah resort untuk dijadikan pilihan. Aktiviti yang ditawarkan di atas pulau ini juga tidak mengecewakan, anda bukan sahaja boleh bermain bola tampar pantai, tapi padang golf juga turut tersedia.

Untuk aktiviti yang sukar dilupakan di sini, anda boleh berbual dengan penduduk setempat dan belajar cara-cara untuk menangkap ikan. Dengan pengalaman yang unik ni barulah terasa ‘hidup’ percutian anda di pulau!

Untuk menuju ke pulau ini, anda perlu menaiki bot dari Jeti Mersing dan masa yang diambil untuk sampai ke sini hanyalah dalam 30 minit.

Alamat: Pulau Babi Besar, Mersing

Baca: 50 Destinasi Terbaik Di Johor Untuk Percutian Istimewa


11. Pulau Labuan

pulau labuan malaysia Main Image
Sumber: Schizo Stars

Pulau Labuan ini terletak tidak jauh dari Kota Kinabalu, yang mana boleh diakses dalam hanya beberapa jam perjalanan bot. Feri yang menuju ke Brunei juga akan melalui pulau yang cukup mempesonakan ini.

Selain Pulau Langkawi, Pulau Labuan juga adalah sebuah pulau bebas cukai yang dapat memuaskan anda yang kaki shopping. Kalau shopping bukanlah apa yang ada di minda anda, Pulau Labuan menawarkan banyak lagi tarikan menarik yang lain seperti Taman Botani yang indah, kawasan pantai dengan panorama matahari terbenam yang memukau jiwa, muzium-muzium yang menarik, taman burung dan banyak lagi.

Bagi anda yang suka menyelam pula, kawasan perairan di sekitarnya turut menarik untuk diterokai terutama sekali di sekitar kawasan kapal-kapal karam.

Alamat: Pulau Labuan

Baca: 15 Destinasi Pelancongan Paling Popular Di Pulau Labuan


10. Pulau Mataking | Sabah

Pulau Mataking Main Image
Sumber: BackPackerz

Pulau ini sebenarnya terdiri daripada dua buah pulau iaitu Pulau Mataking Besar dan Pulau Mataking Kecil yang terletak berhampiran dengan sempadan Filipina. Untuk menuju ke pulau ini, anda perlu mengambil bot dari pekan Semporna, dan masa yang diambil untuk sampai ke pulau ini adalah dalam 40 minit.

Gugusan dua buah pulau ini terletak agak dekat, sekiranya air surut, anda boleh berjalan kaki menuju ke Mataking Kecil dalam hanya 20 minit. Berkenaan dengan fasiliti, Pulau Mataking Besar lebih lengkap dengan segalanya yang termasuklah tempat penginapan.

Selain menawarkan dua buah pulau untuk diterokai, tarikan lain di pulau ini adalah pejabat bos bawah airnya yang memang rare! Yang menjadikan ia lagi unik, pejabat pos ini bukanlah sekadar replika, tapi adalah sebuah pejabat pos yang sebenar di mana anda boleh menghantar surat kepada yang tersayang.

Bagi anda yang suka membaca buku pula, pulau ini turut menyediakan ruang membaca yang padat dengan bermacam jenis buku. Memang terbaiklah!

Alamat: Pulau Mataking, Sabah


9. Pulau Sipadan | Sabah

Sipadan Island Main Image
Sumber: Holidayguru

Pulau Sipadan ini bukanlah calang-calang destinasinya. Pulau ini merupakan sebuah lokasi skuba yang kelima terbaik di dunia. Panorama dasar lautannya mendedahkan keindahan yang terbawa-bawa ke mimpi dek kerana panahan warna-warni terumbu karang dan kepelbagaian spesies ikan yang berenang bebas.

Walaupun memegang reputasi yang besar dalam kalangan penyelam skuba, keindahan alam semula jadi pulau ini tetap diberikan kepentingan, dan salah satu usaha yang dilakukan adalah dengan hanya memberikan ruang kepada 120 orang penyelam sahaja dalam masa sehari.  Di samping itu, para pelawat juga perlu beredar dari Pulau Sipadan pada pukul 6 petang atau lebih awal daripada itu untuk menjaga kebersihan dan keselamatan hidupan marin di sini.

Untuk anda yang berminat menerokai kawasan perairan di sekitar Pulau Sipadan, antara lokasi hotspot menyelam adalah Coral Garden, Drop Off, Barracuda Point dan Turtle Cavern.

Alamat: Pulau Sipadan, Sabah


8. Pulau Lankayan | Sabah

Pulau Lankayan Sabah Main Image
Sumber: GMC Travel Tours Sdn Bhd

Tidak jauh dari bandar Sandakan, di sebelah timur Sabah, terletaknya sebuah pulau indah tak terkata, Pulau Lankayan. Pulau kecil ini merupakan sebuah pulau tropika yang cukup terkenal dalam kalangan peminat sukan menyelam skuba kerana dasar lautannya cukup kaya dengan hidupan marin makro yang penuh dengan warna-warni di samping terumbu-terumbu karang yang pelbagai bentuk dan warna, keindahannya sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Di sini terdapat sebuah kelas menyelam yang menawarkan sekitar 40 buah lokasi menyelam untuk anda terokai. Namun dalam banyak-banyak lokasi ini, Lankayan Wreck adalah pilihan yang paling terkenal.

Alamat: Pulau Lankayan, Sandakan, Sabah


7. Pulau Mabul | Sabah

Mabul Island Main Image
Sumber: Scubazoo

Pulau Mabul adalah sebuah pulau kecil yang dikelilingi oleh pantai yang berpasir. Di kawasan pantai yang indah ini anda boleh merancang untuk bangun awal pagi dan menanti keindahan cahaya mentari yang terbit.

Pada waktu malam pula, anda dapat melihat cahaya bintang yang cukup jelas memandangkan pulau ini jauh dari sebarang pencemaran cahaya atau ‘red polution’ seperti di kawasan bandar. Lokasi yang patut dilawati untuk merehatkan minda.

Selain keindahan kawasan pantainya, Pulau Mabul juga adalah salah sebuah lokasi penyelaman air cetek (muck-diving) yang terbaik. Selain lokasi menyelam, pulau ini turut terkenal kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Pulau Sipadan.

Untuk menuju ke pulau ini, anda perlu mengambil penerbangan dari Kota Kinabalu  untuk ke Tawau yang memakan masa selama hampir 1 jam, dan kemudiannya memandu untuk ke Semporna dalam masa sejam. Dari pekan Semporna, anda boleh mengambil bot laju untuk ke Pulau Mabul yang hanyalah mengambil masa selama 45 minit.

Alamat: Pulau Mabul, Sabah


6. Pulau Pom Pom | Sabah

Pulau Pom Pom Island Sabah
Sumber: Nurul Yazid

Pulau Pom Pom, comel betul namanya kan? Pulau ini terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Pulau Pom Pom Kecil dan Pulau Pom Pom Besar. Tapi sebenarnya kedua-duanya terletak di dalam satu pulau yang kecil. Kedua-dua bahagian ini akan habis anda terokai dalam hanya sekitar 30 minit berjalan kaki.

Dasar perairannya pula, dikatakan cukup kaya dengan hidupan marin dari spesies-spesies yang unik. Berdasarkan kajian yang pernah dilakukan, bilangan spesies ikan yang terdapat di sini adalah lebih daripada 220 kesemuanya, manakala terumbu karang pula lebih daripada 250 spesies.

Bukan itu sahaja tarikannya, pulau ini turut menjadi lokasi penyu-penyu untuk mendarat dan menetaskan telurnya dari bulan Mei hingga September.

Pulau yang terletak hanyalah 30 km dari Pekan Semporna ini tidaklah selengkap pulau terkenal yang lain, dan hanya terdapat sebuah tempat penginapan yang ditawarkan di sini. Oleh sebab itu, kalau anda merancang untuk menikmati percutian di pulau ini, booking penginapan anda terlebih dahulu dan secepat yang mungkin.

Alamat: Pom-Pom Island, Sabah


5. Pulau Layang-Layang | Sabah

Pulau Layang Layang Main Image
Sumber: Zaidawi Travel Kit Collection

Pulau Layang-Layang ini lokasinya bukannya dekat, kerana terletak pada jarak 300 km dari Kota Kinabalu. Tapi kalau anda tahu keistimewaan yang ditawarkannya, kata orang, gunung pun sanggup didaki. Pulau Layang-Layang ini adalah sebuah destinasi yang wajib dilawati bagi para pencinta aktiviti menyelam skuba.

Di sini terdapat dalam 14 buah kawasan menyelam untuk diterokai yang menyajikan panorama bawah air yang cukup mengujakan. Disebabkan kedudukannya yang jauh dari kawasan yang dipenuhi manusia, pulau ini cukup memukau keindahannya, alam semula jadinya terpelihara daripada sebarang pencemaran.

Alamat:  Pulau Layang-Layang, Sabah


4. Pulau Gaya| Sabah

Pulau Gaya Sabah Main Image
Sumber: kian.kiang

Gaya Island adalah sebuah pulau indah yang merupakan sebahagian daripada Taman Negara Tunku Abdul Rahman. Di dalam taman negara ini, Pulau Gaya merupakan pulau yang terbesar berbanding pulau-pulau lain. Di samping itu, ia juga sebuah pulau yang terletak paling dekat dengan Kota Kinabalu dengan jarak yang hanyalah 10 minit perjalanan.

Kalau anda nak tahu, ‘Gaya’ bukanlah kerana pulau ini ‘bergaya’ tetapi ia sebenarnya berasal daripada perkataan Bajau ‘Gayo’ yang bermaksud besar. Pulau ini sememangnya besar dengan keluasan lebih daripada 3700 ekar dan dengan puncak berketinggian lebih daripada 300 meter dari paras laut.

Pantai yang terindah di sini yang digelar sebagai Police Beach adalah sebuah lokasi berenang yang cukup menarik. Di pantai ini, anda dapat menyelam sambil menikmati pemandangan dasar laut yang sungguh jelas kerana airnya yang jernih bak kristal.

Alamat: Pulau Gaya, Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Sabah

Baca: 45 Tempat Menarik Di Sabah Yang Luarbiasa


3. Pulau Tioman | Pahang

Pulau Tioman Malaysia Main Image

Ketika merentasi sekitar 58 km dari pantai timur Semenanjung Malaysia untuk ke Pulau Tioman ini, anda akan terlihat keindahannya yang terpapar dari jauh lagi di mana berdiri dengan megah dua puncak Gunung Simukut. Dari jauh lagi sudah terasa aura keindahan alam semula jadi yang ditawarkannya.

Pulau ini memiliki status sebagai salah satu daripada pulau yang paling indah di dunia. Apa lagi? Tak perlu anda bersusah-payah menyediakan passport untuk ke luar negara bagi mencari keindahan percutian di tempat lain bukan? Datang sahaja ke sini.

Di pulau ini, banyak aktiviti yang boleh anda rancang untuk lakukan seperti meneroka hutan di mana tersedianya trek-trek untuk dilalui, dengan laluan yang terpendek adalah berkepanjangan 2 km dan yang terpanjang adalah 8 km, pilihlah yang bersesuaian dengan stamina anda. Aktiviti lain yang boleh dilakukan adalah melawati air terjun-air terjun yang terdapat di sini, mendaki gunung, menyelam skuba dan banyak lagi.

Alamat: Tioman Island, Mersing, Pahang


2. Pulau Pangkor | Perak

Pulau Pangkor Malaysia Main Image
Sumber: Ar Razzaq Global Solution

Pulau Pangkor adalah sebuah pulau yang padat dengan sejarah kerana pada suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan sebagai kawasan kubu pertahanan pihak Belanda daripada serangan musuh. Disebabkan itu, terdapat banyak lokasi-lokasi bersejarah yang menarik boleh dikunjungi di pulau ini seperti kota Belanda, Batu Bersurat dan kawasan Perkuburan Belanda.

Tarikan lain pula sudah semestinya terdiri daripada pantai-pantai yang terdapat di sini yang masing-masing menawarkan keindahan yang menenteramkan jiwa. Anda juga boleh menyewa bot untuk melawati pulau-pulau lain yang terletak berdekatan seperti Pulau Giam, Pulau Mentangor dan Pulau Pangkor Laut.

Aktiviti lain yang boleh dibuat di sini adalah menyewa basikal atau motor untuk melihat keindahan dan keharmonian sekitar pulau dengan lebih meluas lagi, mencandat sotong, berjungle trekking, snorkeling dan banyak lagi.

Alamat: Pulau Pangkor, Perak

Baca: 10 Destinasi Menarik Di Pulau Pangkor


1. Pulau Langkawi | Kedah

Pulau Langkawi Island Main Image
Sumber: EIS DRONE

Siapa tak kenal Pulau Langkawi, pulau yang menjadikan burung helang sebagai lambangnya ini merupakan sebuah destinasi percutian yang menjadi mimpi ramai penduduk dunia. Ianya cukup kaya dengan keindahan alam semula jadi yang mandamaikan jiwa.

Di sini, anda dapat bersantai di tepian pantai-pantai yang berpasir putih, menikmati keindahan air terjun, meneroka hutan hijau yang kaya dengan flora dan fauna dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Pulau Langkawi juga merupakan syurga bagi sesiapa yang suka membeli-belah kerana ianya adalah sebuah pulau bebas cukai. Nak bisnes dekat rumah? Borong banyak-banyak barang di pulau ni. Jangan lupa untuk beli berbeg-beg coklat untuk yang tersayang!

Alamat: Pulau Langkawi, Kedah

Baca: Senarai Tempat Menarik Di Langkawi


Tidak disangkal lagi bahawa negara yang kecil di peta dunia ini cukup kaya dengan keindahan alam semula jadi pulau-pulau tropika yang tidak mungkin dapat habis diterokai dalam waktu yang sekejap, lebih-lebih lagi bagi anda yang memang kaki menyelam skuba.

Bayangkanlah dalam satu-satu pulau itu sahaja sudah lebih daripada 10 area menyelam yang ditawarkannya. Pasti kenyang jiwa anda yang ingin melihat dengan sepuas hati panorama indah dunia dalam air.

Tidak cukup dengan keindahan pulau di Malaysia, Negara ini juga kaya dengan banyak lagi tarikan lain yang menanti-nantikan kehadiran anda, nak tahu di mana? Anda boleh membaca artikel kami yang bertajuk 43 Tempat Percutian Menarik di Malaysia.

Semoga anda sekeluarga dapat menikmati percutian yang terindah dalam hidup setiap kali tiba musim cuti! Jangan lupa untuk menyediakan kamera kalis air sebelum melawati pulau-pulau ini supaya semua memori indah tak kira di luar atau di dalam air dapat diabadikan di dalam foto. Selamat bercuti!

Article source: http://www.maisinggah.com/feed/