28 Tempat Menarik Di Miri | Destinasi Terbaik Di Bandaraya Peranginan Sarawak

28 Tempat Menarik Di Miri | Destinasi Terbaik Di Bandaraya Peranginan Sarawak

May 7, 2018 0 By melakatour

 

Selamat datang ke Bumi Kenyalang! Negeri Sarawak, negeri yang kaya dengan flora dan fauna yang eksotik, pantai-pantai dengan air yang jernih serta masyarakat yang pelbagai etnik, agama dan budaya. Sebuah negeri yang ternyata penuh dengan warna-warni. Kepelbagaian yang wujud di bumi Borneo ini tiada kesudahannya dan mustahil untuk habis diselami dalam seminggu dua.

Miri terutamanya menjadi pintu masuk kepada banyak tarikan alam semula jadi yang terdapat di Sarawak, dari gua yang terbesar di dunia hinggalah ke tasik yang terbesar di Sarawak, Miri sememangnya destinasi yang tepat untuk anda memulakan langkah menerokai Bumi Kenyalang ini.

Namun begitu, anda sebenarnya boleh memaksimumkan destinasi-destinasi untuk dilawati dengan membuat perancangan awal. Oleh itu, di dalam artikel ini kami menyenaraikan tempat menarik di Miri yang anda boleh lawat semasa berada di sana untuk memudahkan rancangan perjalanan anda. Teruskan membaca.

28. Taman Negara Gunung Mulu

Gunung Mulu National Park Miri
Sumber: Geomorphology Rules

Berkeluasan 52,864 hektar, Taman Negara Gunung Mulu cukup kaya dengan flora dan faunanya. Kekayaannya ini menjadikan Taman Negara Gunung Mulu sebagai salah satu taman hijau yang paling banyak diselidiki di dunia. Dikatakan tumbuhan jenis vaskular sahaja terdapat lebih daripada 3000 spesies di dalam hutan ini.

Taman Negara ini juga menempatkan gunung yang memiliki gua-gua yang wajib diteroka sekiranya ke Sarawak seperti Gua Rusa dan Gua Air Jernih. Kalau anda nak tahu, di sini jugalah  terdapatnya ruang bawah tanah yang terbesar di dunia yang dipanggil Sarawak Chamber sehingga dikatakan boleh memuatkan 40 buah kapal terbang! Memang banyak tarikan luar biasa di Taman Negara ini.

Kalau anda memiliki stamina yang tinggi, anda boleh merancang untuk mendaki sehingga ke puncak gunung untuk menikmati pemandangan yang seluas pandangan sekitar Taman Negara.

Bayaran: Dewasa MyKad: RM15, Pelancong: RM30 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM10 | Kanak-kanak 6 Tahun Kebawah Percuma | Warga Emas (60 Tahun Keatas) RM7

Alamat: Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak


Lihat Tawaran Terkini Hotel-Hotel Di Miri

27. Hawaii Beach

Hawaii Beach Miri Image
Sumber: Calvin Yew

Macam-macam negara rasanya ada di Miri ini, dari Kanada hinggalah ke Hawaii, masih tak percaya lagi Miri ini destinasi percutian yang best?

Dari pusat bandaraya Miri untuk ke  Hawaii Beach, hanya mengambil masa 25 minit pemanduan. Sampai sahaja di Kampong Bakam iaitu lokasi di mana terletaknya Hawaii Beach ini, anda perlu berjalan kaki melalui papan kayu yang disediakan untuk menuju ke destinasi yang diimpikan.

Sambil menikmati pemandangan pantai ‘hawaii’ ini anda boleh berbbq dengan menggunakan peralatan bbq yang disediakan dengan caj tambahan.

Alamat: Kampung Bakam, 98000 Miri


26. Taman Negara Niah

Niah National Park Miri
Sumber: Starlightchild / C.C By 3.0

Taman Negara Niah yang berkeluasan lebih daripada 3000 hektar ini merupakan taman negara yang terdiri daripada hutan dipterokarp, paya gambut dan batu kapur yang menempatkan Gua Niah.

Gua Niah ini bukanlah gua yang biasa, kerana sebenarnya dari satu bahagian gua ke bahagian yang lain, memiliki tarikan tersendiri. Gua yang terdiri daripada sebuah Gua Besar dan beberapa Gua Kecil ini pernah menjadi penempatan awal manusia sekitar 40,000 tahun yang lalu.

Sebelum memasuki kawasan gua yang legend ini, anda perlu melalui laluan berpapan yang berketinggian beberapa kaki daripada lantai hutan sambil disajikan dengan udara segar dan bunyi kicipan burung serta haiwan-haiwan lain.

Setelah beberapa minit perjalanan, anda akan sampai ke Gunung Dagang dan seterusnya Kompleks Gunung Besar yang menjadi penempatan awal manusia beribu tahun yang lalu.

Apa-apa pun, sebelum anda ke sini dan berniat untuk menerokai gua-guanya, anda perlulah memakai penutup kepala untuk mengelak daripada terkena najis kelawar. Di samping itu, lampu suluh juga jangan lupa dibawa, kerana terdapat laluan yang gelap-gelita perlu dilalui untuk melihat banyak lagi gua-gua lain.

Alamat: Taman Negara Niah, 98200 Miri


25. Taman Negara Bukit Lambir

Lambir Hills National Park Miri
Sumber: Eric Chin

Ingin tahu satu fakta menarik tentang Bukit Lambir?  Dahulunya, Bukit Lambir pernah dijadikan sebagai kawasan pemerhatian oleh tentera Jepun semasa pencerobohan mereka ketika Perang Dunia Kedua. Buktinya, di tengah-tengah Taman Negara Bukit Lambir ini terdapat sebuah telaga minyak yang digunakan pihak Jepun sewaktu peperangan.

Sudah tahu kisah sejarahnya, barulah sesuai nak bercakap tentang aspek lain, tak gitu? Untuk pengetahuan anda, Taman Negara Bukit Lambir ini menyediakan banyak laluan untuk anda yang ingin berjungle trekking. Dari laluan yang pendek dan mudah hinggalah ke laluan yang panjang dan mencabar.

Laluan yang terpendek ini mengambil masa dalam 15 minit yang akan membawa anda ke kawasan air terjun Latak, manakala perjalanan yang mencabar pula akan membawa anda ke puncak Bukit Lambir yang berketinggian 465 meter.

Sepanjang perjalanan di dalam hutan ini anda dapat mendengar bunyi kicauan pelbagai jenis burung daripada 157 spesies burung yang terdapat di sini. Haiwan lain yang ada adalah seperti kera hantu, monyet dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Alamat: Taman Negara Bukit Lambir, Miri


24. Taman Negara Loagan Bunut

Loagan Bunut National Park Miri
Sumber: MiDYA

Taman Negara yang berkeluasan 10,736 hektar ini, Taman Negara Loagan Bunut menempatkan sebuah tasik semula jadi yang terbesar di Sarawak. Tasik ini berkeluasan 650 hektar dengan sumber air daripada Sungai Baram, Sungai Bunut dan Sungai Tinjar.

Namun begitu, sekiranya anda datang dalam bulan Februari hingga akhir bulan Mei ataupun hingga awal bulan Jun/Julai, anda dapat menyaksikan satu fenomena yang unik dimana air tasik menjadi kering sehinggakan anda boleh merentasinya dengan berjalan kaki.

Untuk menerokai hutannya pula, beberapa laluan yang disediakan di dalam taman negara ini adalah Laluan Hidrologi (2.5km) iaitu jalan yang melalui paya gambut, Laluan Hidupan Liar (2km), Laluan Belian (720m) dan Laluan Tapang (260m).

Waktu yang terbaik untuk ke sini adalah di waktu pagi untuk menikmati pemandangan berkabus kawasan sekitar hutan yang sungguh menyegarkan tubuh.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.00am – 5.00pm)

Bayaran: Dewasa RM10 | Kanak-kanak RM5

Alamat: Loagan Bunut National Park, 98150 Long Lama, Sarawak


23. Gunung Mulu

Mount Mulu Miri
Sumber: Shelby Ellis

Jangan tak tahu, Gunung Mulu boleh dikatakan antara destinasi pelancongan yang paling terkenal di Malaysia. Berketinggian 2,376 meter, gunung ini merupakan gunung yang kedua tertinggi di Sarawak selepas Gunung Murud.

Untuk menakluki gunung ini, anda boleh mendapatkan bantuan pemandu pelancong, maklumlah, bukan mudah untuk menempuh kawasan hutan yang tebal sehingga ke puncak. Waktu yang diambil kebiasaanya adalah 4 hari 3 malam. Tak perlu risau, kerana terdapat beberapa pondok di tapak kem disediakan iaitu:

Kem 1: 200m dari paras laut, 5.5km

Kem 3: 1300m dari paras laut, 12km

Kem 4: 1800m dari paras laut, 18.5km

Kesemua tapak kem ini terletak berdekatan dengan helipad untuk kes kecemasan.

Bayaran (5-Day Pass): Dewasa Mykad: RM15, Pelancong: RM30 | Kanak-kanak MyKad: RM5, Pelancong: RM10 | 5 Tahun Kebawah Percuma | Warga Emas 60 Tahun Keatas RM7

Alamat: Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak


22. Miri City Fan Recreation Park

Miri City Fan Recreation Park Miri
Sumber: Miri City Sharing Channel

Bertempat di dalam Miri Resort City, Miri City Fan Recreation Park merupakan taman indah yang berbentuk seperti kipas yang pernah mendapat anugerah lanskap bandar yang terbaik di Malaysia pada tahun 2001.

Taman yang berkeluasan 10.4 hektar ini memiliki tarikan-tarikan seperti Musical Fountain, Islamic Garden, Health Garden, Chinese Garden yang lengkap dengan kolam ikan koi dan Pustaka Miri. Tapi yang paling best sekali adalah kemudahan kolam renang awamnya, yang juga menawarkan kelas renang bagi anda yang berminat untuk belajar skill sunnah ini.

Alamat: Jalan Kipas, 98000 Miri


21. The Grand Old Lady No. 1

The Grand Old Lady No.1 Miri
Sumber: 양소혜

Sejak bila pula ‘Old Lady’ boleh menjadi tarikan pelancongan ni? Sebenarnya, The Grand Old Lady No. 1 ini adalah nama yang diberikan kepada telaga minyak yang tertua di Malaysia yang menggunakan peralatan kabel, sebab itulah ianya digelar sebagai ‘Old Lady’ iaitu seorang ‘ibu’ yang cukup berharga bagi negaranya. Tanpa minyak, mana mungkin Malaysia sekaya ini.

Lokasinya, adalah di atas Bukit Kanada yang memaparkan pemandangan bandar Miri sekiranya anda berdiri di hadapannya. Anda boleh merancang untuk berjoging bersama keluarga di trek yang disediakan di sekitarnya.

Alamat: Bukit Kanada, 98000 Miri


20. Bukit Kanada

Canada Hill Miri
Sumber: EV Photos

Bukit Kanada hanyalah Kanada pada namanya, lokasinya? Masih lagi di Miri ya. Bukit ini adalah bukit batu kapur yang cukup terkenal kerana menyajikan pemandangan yang memukau sekitar Miri.

Bukan itu sahaja, di sini jugalah terletaknya Muzium Petroleum untuk anda lawati bersama anak-anak bagi mengenali dengan lebih mendalam mengenai teknologi cari gali di Malaysia.

Kenapa dibina muzium petroleum di Bukit Kanada?  Kerana di bukit yang sama inilah lokasinya telaga minyak pertama digali oleh syarikat Shell Sarawak pada tahun 1910.

Alamat: Bukit Kanada, 98000 Miri


19. Taman Awam Miri

Miri Public Park Miri
Sumber: Visit Miri 2018

Terletak hanyalah 3 km dari bandaraya Miri, Taman Awam Miri merupakan taman indah yang dibina di atas bukit dikelilingi oleh lanskap penuh kehijauan yang menenangkan jiwa.

Jangan terkejut, kerana taman ini bukanlah seperti taman biasa yang memiliki trek berjoging dengan tempat bersantai tapi, ia sebenarnya cukup menarik dengan tarikan seperti jambatan gantung yang merentasi taman, menara peninjau, dan apabila turun dari menara peninjau ini pula anda akan terlihat kolam renang awam yang lengkap dengan gelongsor serta taman permainan dalam air, memang syoklah! Yang bestnya lagi, untuk bermandi-manda di kolam renang yang luas ini adalah percuma!

Alamat: Bintulu – Miri Rd, Taman Awam Miri, 98000 Miri


18. Pantai Tusan Bekenu

Tusan Bekenu Beach Miri
Sumber: Rahmat Hussain

Bertempat di sebuah lokasi yang agak tersorok, iaitu di hujung ladang kelapa sawit yang mana anda perlu berjalan kaki dalam 30 meter untuk turun ke kawasan pantainya, Pantai Tusan Bekenu.

Apa istimewanya pantai ini sehinggakan orang sanggup bersusah-payah untuk datang melawat? Semua ini bermula pada tahun 2015, apabila seorang jurugambar tempatan telah menangkap foto yang memaparkan fenomena bio-luminescence ataupun air mata biru yang cukup mengujakan sesiapa sahaja yang melihat. Fenomena alam yang unik ini berlaku disebabkan gangguan oksigen yang berlaku terhadap mikroorganisme di dalam air.

Alamat: Exit Jalan Bekenu – Miri Coastal, 98150 Miri


17. Tebing Tusan

Pantai Tusan Bekenu Miri
Sumber: Synyster Paul

Tebing Tusan adalah satu lagi tarikan lain yang terletak di Pantai Tusan Bekenu. Anda sekeluarga dapat melihat pembentukan-pembentukan batu yang unik pada bukit di tepian pantai yang telah dihasilkan oleh hempasan ombak yang  berlaku tanpa henti.

Namun, dalam banyak-banyak pembentukan batu di sini, anda pasti akan tertarik dengan satu bentuk batu yang lain daripada yang lain, diberikan nama Batu Kuda, batu ini  memang betul-betul kelihatan seperti kuda yang sedang minum air dari laut.  Apa lagi? Inilah lokasi best bergambar!

Alamat: Exit Jalan Bekenu – Miri Coastal, 98150 Miri


16. Miri Crocodile Farm Mini Zoo

Miri Crocodile Farm cum Mini Zoo
Sumber: The Wright Route

Miri Crocodile Farm Mini Zoo adalah sebuah lokasi yang patut dilawati di Sarawak. Kalau tak datang, memang rugi. Seperti namanya, Miri Crocodile Farm cum Mini Zoo, ia bukanlah sekadar memberi peluang untuk anda mendekati buaya-buaya yang tak terkira banyaknya, tetapi juga banyak haiwan lain di zoo mininya.

Antara haiwan eksotik yang terdapat di sini adalah beruang madu, monyet, python, landak, burung merak, dan banyak lagi termasuklah burung yang paling berbahaya di dunia, kasuari.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Bayaran: Dewasa RM20 | Kanak-kanak RM10

Alamat: Lot 164, 24Km Miri-Kuala Baram Road, 98000 Miri


Baca: 27 Hotel Bajet Di Miri Yang Selesa

15. Piasau Nature Reserve

Piasau Nature Reserve Miri
Sumber: Piasau Nature Reserve

Piasau Nature Reserve adalah hutan simpan yang berkeluasan sekitar 88.67 hektar ataupun 220 ekar. Sebagai alam semula jadi yang terjaga, hutan ini cukup kaya dengan flora dan fauna yang pelbagai.

Sekiranya anda berpeluang ke sini, anda dapat mendekati sekitar 107 jenis tumbuhan dan 75 spesies haiwan yang telah dikesan menjadikan habitat mereka di sini. Yang paling menarik, anda mungkin dapat melihat burung kenyalang yang menjadi kebanggaan negeri Sarawak di dalam alam hijau ini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (8.30am – 6.00pm)

Alamat: Piasau Nature Reserve, 98000 Miri


14. Boulevard Hypermarket (Imperial Mall)

Boulevard Hypermarket Miri
Sumber: Boulevard Shopping Mall, Miri

Perhatian kepada kaki shopping, dah datang ke Miri tu, mai singgah ke Boulevard Hypermarket! Dah puas mencuci mata di Boulevard Hypermarket, anda hanya perlu melalui jambatan untuk ke pusat membeli-belah kedua yang terletak di sebelahnya iaitu Permaisuri Imperial City Mall.

Tak merancang untuk  bershopping barang? Di sini jugalah anda dapat melihat pelbagai pilihan makanan ataupun sekadar menonton salah satu filem Hollywood terbaru di panggung wayangnya. Sudah berpanas-panas di luar, apa salahnya meluangkan masa di bawah aircond tempat bershopping kan?

Alamat: Jalan Merpati, 98000 Miri


13. Miri Central Park

Miri Central Park Image
Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sarawak

Miri Central Park ini sebenarnya masih belum lagi dibuka, namun ini adalah salah satu tarikan baru yang mesti anda lawati setelah siap nanti. Dikatakan bajet yang akan dikeluarkan adalah dalam sekitar RM40 juta untuk sebuah taman yang berkeluasan 15.7 ekar.

Taman ini akan dilengkapi dengan lanskap penuh kehijauan, pokok-pokok rendang, trek berjoging dan berbasikal serta laluan berpapan yang menghidangkan pemandangan air laut yang membiru.

Notis: Dalam Projek

Alamat: Miri Central Park, 98000 Miri


12. Air Terjun Latak

Latak Waterfall Miri Image
Sumber: Eric Chin

Air Terjun Latak adalah sebuah tarikan alam semula jadi yang terletak di dalam Taman Negara Bukit Lambir. Taman Negara yang terletak sekitar 30 km dari Miri ini menempatkan kawasan air terjun yang dikatakan sebagai kawasan rekreasi yang terbersih di Malaysia. Betapa asyiknya dapat anda sekeluarga nikmati keindahan alam semula jadi tanpa sebarang nodaan ini.

Untuk menuju ke Air Terjun Latak yang juga merupakan air terjun tertinggi dan terbesar di dalam Taman Negara ini, anda sekeluarga hanya perlu berjalan kaki selama 20 minit dari HQ Taman Negara.

Sampai sahaja di kawasan air terjun, anda boleh berenang dengan penuh keseronokan dalam kolam yang terbentuk pada kaki air terjun. Kemudahan seperti meja berkelah, bilik persalinan dan tandas turut disediakan.

Alamat: Taman Negara Bukit Lambir, Miri

Koordinat:  N04 12.1′ E114 2.5′


11. Pantai Tanjung Lobang

Pantai Tanjung Lobang Image
Sumber: Penunu Bunsen

Pantai Tanjung Lobang atau nama mat salehnya, Brighton Beach adalah taman rekreasi yang tertua di Miri. Sebagai tarikan yang sudah berusia, anda boleh menjangkakan kehadiran banyak gerai makanan laut untuk memuaskan kelaparan perut yang dirasa setelah terleka melihat keindahan pantai.

Sememangnya melihat pemandangan di sini boleh membuatkan anda terleka seketika terutama sewaktu matahari tidak dilitupi awan menyimbahi langit dengan cahaya kuning, pink mahupun ungu, romantik bukan?

Untuk pengetahuan anda, antara kemudahan yang disediakan di sini selain daripada pilihan gerai yang banyak adalah, tempat duduk, bbq pit dan tandas awam.

Alamat: Pantai Tanjung Lobang, 98000, Miri


10. Tamu Muhibbah

Tamu Muhibbah Image
Sumber: Yew Weng Saw

Tamu Muhibbah ataupun Pasar Muhibbah ini lebih kuranglah seperti Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu. Di sinilah anda dapat membeli-belah aneka makanan dan ramuan khas dari Sarawak.

Dalam banyak-banyak produk yang dijual di sini, yang menjadi tarikan utama adalah Beras Bario. Beras yang harganya mengalahkan kemahalan harga Beras Wangi Siam. Beras Bario ini kalau di tempat lain agak mahal harganya, namun di Miri, boleh dikatakan harga yang ditawarkan untuk Beras Bario ini adalah yang lebih murah daripada di tempat lain.

Alamat: Tamu Muhibbah, 98000 Miri


9. Rumah Api Tanjung Lobang

Tanjung Lobang Lighthouse Image
Sumber: Muhammad Saffuan

Rumah Api Tanjung Lobang adalah sebuah stesen rumah api yang mula dibuka pada sekitar tahun 1930-an dan masih lagi aktif sehingga kini. Namun begitu, menara ini ditutup dari orang ramai kecuali kawasan tapaknya.

Untuk pengetahuan anda, di sebelah rumah api ini terdapat Memorial Perang Dunia Kedua untuk memperingati orang Sarawak, India dan Indonesia yang terkorban semasa peperangan ini berlaku.

Alamat: Jln Bunga Tanjung 2, 98000 Miri


8. Pusat Kraftangan Miri

Miri Handicraft Centre Image
Sumber: Miri Borneo Travel Agencies

Terletak di Jalan Brooke, Pusat Kraftangan Miri adalah satu lokasi yang perlu anda lawati sekiranya berada di Miri. Apalah gunanya bercuti ke sesebuah tempat tanpa melihat di depan mata penghasilan produk tradisionalnya, setuju?

Di Pusat Kraftangan inilah anda dapat melihat demo pembuatan kraftangan yang berasal dari bahagian utara Sarawak. Anda juga dapat membeli pelbagai barangan seperti ukiran kayu dan barangan manik yang dihasilkan Orang Ulu, bakul, tikar Penan dan banyak lagi. Yang paling best, jualan makanan etnik dan subetnik Sarawak juga boleh ditemui di sini.

Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 6.00pm)

Alamat: Miri Handicraft Centre, Jalan Brooke, Miri


7. Luak Bay Esplanade

Luak Esplanade Main Image
Sumber: Cikgu Sam

Luak Bay Esplanade adalah kawasan pantai berpasir putih yang terletak 11 km dari bandaraya Miri.

Lokasi ini menjadi pilihan ramai pelancong untuk berbbq dan berkelah sambil menikmati pemandangan yang mengujakan matahari terbenam ataupun menaik yang begitu menyerlah dengan lautan dan langit yang terbentang luas. Kalau anda nak tahu, selain Pantai Tusan, fenomena bio-luminescent turut dikatakan berlaku di pantai ini.

Alamat: Luak Bay Esplanade, 98000 Miri


6. Air Terjun Pantu

pantu waterfall Image miri
Sumber: Emma Akma

Air Terjun Pantu adalah sebuah lagi air terjun yang terdapat di dalam kawasan Taman Negara Bukit Lambir. Anda boleh menikmati keindahan air terjun ini dengan penuh privasi tanpa gangguan pelancong yang datang berbondong-bondong.

Salah satu sebab kenapa kawasan air terjun ini kurang mendapat perhatian walaupun keindahannya tidak kurang hebat daripada air terjun yang lain adalah kerana kedudukannya yang agak jauh dari HQ Taman Negara dengan pendakian dan perjalanan turun bukit yang secara keseluruhannya mengambil masa sekitar 1 jam.

Alamat: Taman Negara Bukit Lambir, Miri

Koordinat: N4.202425 E114.028774


5. Pantai Bungai

Pantai Bungai Miri Image
Sumber: Zainab Mahjin

Masa yang diambil untuk ke Pantai Bungai dari bandaraya Miri adalah kira-kira 1 jam pemanduan. Percayalah, dalam kepenatan perjalanan menuju ke pantai ini, segalanya terubat sebaik melihat kejernihan air pantai yang mengadap Laut China Selatan ini. Pemandangannya cukup menyegarkan.

Anda sekeluarga boleh membeli makanan seperti ais kacang, ais batu campur dan banyak lagi yang sungguh enak dinikmati sambil merasakan sepoi-sepoi angin.

Alamat: Pantai Bungai, Bekenu, Miri


4. Marina Bay

Marina Bay Miri Image
Sumber: EV Photo

Marina Bay adalah sebuah kawasan komersial dengan pembangunan terancang di Miri. Pembangunan kawasan sekitar Marina Bay ini seimbang dengan hidupan flora, di mana pokok-pokok dapat dilihat di tepian jalan, laluan papan kayu yang panjang juga turut disediakan sebagai ruang berjalan kaki dan berbasikal bagi anda yang ingin makan angin atau berjalan-jalan cari makan sambil menikmati pemandangan air laut yang membiru.

Alamat: Marina Bay, 98000 Miri


3. Borneo Tropical Rainforest Resort

Borneo Tropical Rain Forest Miri
Sumber: borneorainforestresort.com

Tak puas hanya melawat destinasi yang kaya dengan flora dan fauna? Anda ingin ‘tinggal’ di dalam suasana yang betul-betul hijau? Apa kata jika anda menginap di Borneo Tropical Rainforest Resort. Boleh dikatakan sebagai salah satu lokasi menarik di Miri kerana keunikan penginapan ini yang terletak di dalam kehijauan dan kesegaran hutan hujan Taman Negara Bukit Lambir.

Menginap di resort ini dapat memberikan anda sekeluarga ketenangan dalam erti kata sebenar. Bukan sahaja berlokasi menarik untuk anda yang ingin bersatu dengan alam, tetapi resort ini juga turut menawarkan pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk para penginapnya.

Berkenaan fasilitinya pula, anda sekeluarga boleh berseronok bermandi-manda di kolam renang dan taman tema airnya dalam suasana penuh kedamaian hutan hujan ini.

Harga: Dari RM344+ Semalaman

Alamat: KM36 Miri-Bintulu Road, Lot 15, Block 2, Sibuti Land District, 98000 Miri

Selanjutnya Di Booking.com


2. Miri Petroleum Museum

Miri Petroleum Museum Image
Sumber: Sarawakiana’s Photography

Ingin tahu lebih mendalam tentang industri yang menjadikan negara Malaysia kaya-raya? Bawalah keluarga anda melawat Miri Petroleum Museum. Tak akanlah cuci mata sahaja di Miri kan?

Jom isi minda tentang dunia petroleum, mungkin anak-anak anda boleh menggunakan info yang didapati dalam karangan mereka? Tarikan lain yang terdapat di dalam muzium ini selain info petroleum adalah simulasi gempa bumi.

Alang-alang sudah ke sini, jangan lupa untuk singgah juga ke The Grand Old Lady, telaga minyak tertua di Malaysia yang terletak bersebelahan dengan muzium.

Waktu Operasi: Selasa – Jumaat (9.00am – 4.45pm) | Jumaat Tutup Sementara Solat (11.45am – 2.15pm) | Sabtu Ahad (10.00am – 4.00pm) | Isnin Hari Pertama Cuti Umum Tutup

Bayaran: Percuma

Alamat: Canada Hill, Jalan Oil Well No. 1, 98000 Miri


1. Gua Rusa

Gua Rusa Miri
Sumber: UK Caving

Sememangnya di Sarawak ini begitu banyak sekali tarikan alam semula jadi yang hebat. Kali ini tarikannya adalah Gua Rusa. Apa yang hebatnya tentang Gua Rusa ini? Untuk pengetahuan anda, gua yang terletak di Gunung Mulu ini adalah gua yang kedua terbesar di dunia selepas Gua Hang Son Doong di Vietnam (tapi sebenarnya, ramai juga pengkaji yang tidak setuju dengan mengatakan Gua Rusa masih yang terbesar di dunia) dengan kepanjangan 2 km, dan 90 meter untuk ketinggian dan kelebarannya.

Kenapa diberikan nama Gua Rusa? Mesti ada sebabnya bukan? Ia mendapat nama sebagai Gua Rusa  kerana penduduk di kawasan setempat sering terlihat rusa datang berteduh ke dalam gua ini dan menjilat garam yang menyelaputi batu kapur pada gua.

Untuk sampai ke gua ini anda perlu melalui trek yang berkepanjangan 3 km yang mana akan menyajikan anda dengan pemandangan hutan hujan dan sungai yang mengalir segar.

Sampai sahaja, anda akan terlihat sebuah kawasan gua yang tidak henti-henti dialirkan dengan air dari siling gua. Lapangan yang disirami air di dalam gua ini dinamakan sebagai Taman Syurga yang juga dikatakan sebagai jurang yang terbesar di dunia. Tarikan lain yang terdapat di sini adalah bukaan dari dalam gua yang kelihatan seperti wajah Presiden Abraham Lincoln, pelik bukan?

Alamat: Gua Rusa, Gunung Mulu National Park, Sarawak


Itu dia kehebatan negeri kedua yang terbesar di Sarawak, begitu banyak sekali tempat menarik di Miri yang menanti ketibaan anda. Dari gua yang menjadi penempatan kuno berpuluh ribu tahun lamanya hinggalah ke pantai-pantai indah dengan fenomena ‘air mata biru’, dari kraftangan yang tidak tercapai dek akal ketelitiannya hinggalah ke beras yang enaknya mengalahkan beras wangi Siam. Miri, bukanlah destinasi yang boleh menjadi pilihan kedua tapi sememangnya yang utama untuk percutian yang akan datang.

Jika artikel ini telah berjaya menggoda anda sekeluarga untuk ke Miri, jangan buang masa lagi, jom booking tempat penginapan cepat-cepat  untuk harga yang jauh lebih murah daripada biasa.

Untuk ini, anda boleh membaca artikel kami berkaitan tempat penginapan yang selesa dan murah dalam artikel kami bertajuk 27 Hotel Murah di Miri.


Jika anda nak melihat tawaran terkini hotel terbaik di miri anda boleh terus melawat laman web Booking.com.

Sudah booking,  sekarang adalah waktunya untuk anda sekeluarga padukan stamina sebagai persediaan untuk menikmati segala keindahan dan keunikan yang ditawarkan di salah satu bandar di Bumi Kenyalang yang hebat ini, Miri.

Semoga anda sekeluarga dapat menikmati percutian yang menyeronokkan di Miri!

Article source: http://www.maisinggah.com/feed/